BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


18 Okt 2010

Bodoh atau kepandaian berbeza

Satu hari seorang profesor bijak pandai sedang menyeberang sebuah sungai yang luas dengan sampan yang didayung oleh seorang pakcik. Di tengah perjalanan, profesor itu bertanya kepada pakcik "Kamu pandai menulis dan membaca?"

"Tidak tuan, Saya buta huruf", jawab pendayung sampan.

"Oh, kamu sudah hilang separuh dari kehidupan kamu! Orang yang tidak pandai menulis dan membaca telah hilang separuh keupayaan untuk hidup dengan berjaya".

Sampan terus bergerak meredah sungai yang luas itu. Sejurus kemudian, profesor bertanya lagi,"Kamu ada membuat simpanan untuk masa depan?"

"Tidak,tuan. Pendapat saya cukup-cukup makan saja".

"Kalau begitu kamu hilang separuh lagi kehidupan kamu.  Mana mungkin orang yang tidak menyimpan boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti."

Sampan terus bergerak. Tiba-tiba sampan itu terlanggar bucu sebuah batu dan bocor. Air mula memasuki sampan. Mereka berdua bergegas mengambil apa jua bekas untuk mencedok air keluar dari sampan. Namun, usaha mereka tidak berhasil kerana air begitu deras masuk. Ternyata sampan itu akan tenggelam! Dalam keadaan cemas itu si pendayung bertanya kepada profesor, "Tuan,tuan pandai berenang?"

"Err, saya tidak tahu berenang!" jawab profesor panik. 

"kalau begitu, tuan akan hilang seluruh hidup tuan."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kisah ini saya ambil dari Majalah SOLUSI. Saya percaya kisah ini sudah kita dengar berulang kali dengan versi yang berbeza. Namun pengajarannya adalah sama untuk menunjukkan setiap orang mempunyai kepandaian yang berbeza. Kita tidak boleh mendakwa seseorang itu bodoh walaupun kita mempunyai pendidikan yang tinggi darinya kerana pada hakikatnya kita saling memerlukan. Sebagai contoh, seorang doktor pakar yang belajar sehingga ke luar negeri, apabila keretanya rosak, pomen yang berkelulusan darjah 6 juga yang dicari. 

Seorang Perdana Menteri sekalipun memerlukan driver untuk memandu keretanya, mempunyai pembantu untuk menguruskan jadualnya. Bahkan pekerja Majlis bandaran turut penting walaupun tugas mereka hanya memungut sampah.  Jika tiada mereka, pasti kita dikelilingi bau yang busuk. Tukang sapu dan 'cleaner' yang sering dipandang lekeh juga penting untuk keselesaan kita. Saya teringat sewaktu kerja di jabatan kerjaan suatu ketika dulu, apabila 'cleaner' datang untuk membersihkan meja dan mengambil sampah, ada staff yang terganggu dan tidak selesa kononnya menggangu tugas.Namun bila tidak ada, dirungut pula sampah banyak dan sebagainya. Itulah sebab kita tidak boleh sombong.
Manusia itu tidak bodoh, cuma kepandaian yang berbeza. Bayangkan kalau semuanya mempunyai kepandaian yang sama, alangkah bosannya dunia ini.Malah mungkin hancur binasa. Allah Maha Bijaksana

2 ulasan:

aisyahHumaira berkata...

Assalamu'alaikum..

Alhamdulillah, menarik sgt kisah diatas, dan besar juga pengajarannya..ALLAH sebaik-baik pengatur, sblm mewujudkan alam ini, ALLAH sudah pun merencana sebaik-baiknya..kita sebenarnya hidup saling memerlukan, tak perlu merasa tinggi diri, pandanglah org yg lbh rendah dari kita supaya kita lbh bersyukur dgn apa yg apa..
Insya'ALLAH, kita sama2 doakan..
syukran..

Al - Mu'allim berkata...

Waalaikumussalam ustazah humaira

Itulah yang sepatutnya. Namun manusia apabila sudah di atas lupa asal usul dan rasa diri mereka hebat. Itulah sebab mereka berasa sombong dan tidak menghormati orang lain.Moga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang bersyukur. InshaAllah.
Ameen

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails