Entah mengapa, jarang dapat menulis di sini. Bukan sibuk sangat. Bukan tidak menulis. Menulis juga tapi tidak habis dan akhirnya terperuk di dalam draft.
Cuti hujung minggu lepas saya habiskan di Tanah besar untuk mencari rumah yang sesuai untuk dibeli. Rasanya lama lagi saya terpaksa mengajar di Penang sebelum dapat pulang ke negeri asal. Menyewa rumah di sini agak mahal dan lebih berbaloi untuk membeli rumah terus. Sekurang-kurang duit yang kita laburkan setiap bulan menjadi milik kita berbanding kita menyewa. Tidak cukup hari sabtu, hari ahad kami datang lagi dan hasilnya ada 4 buah rumah yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
Untuk membeli rumah yang baru, harga agak mahal sehingga melebihi had pinjaman yang layak. Memang rumah di Penang ini agak tinggi nilainya di sebelah tanah besar. Di sebelah pulau tak payah cerita la. Rumah di atas tanah, kalau takde 550k takyah buka mulut la. Lagian saya tidak berapa suka di sini. Sekurang-kurangnya beli di seberang, lebih banyak orang kita dan harga lebih sesuai walaupun makin lama makin naik harganya.
Untuk melepaskan 'bebanan' di kepala ini, saya campakkan ke dalam tulisan ini. Moga ada manfaatnya.
Rumah 1
Rumah teres setingkat corner lot. Halaman rumahnya agak cantik dengan rerumput dan sesuai jika ingin bercucuk tanam. Surau dekat dan masjid juga tidaklah jauh sangat. Jiran-jiran juga baik sementara kondisi rumah juga ok. Harga rumah lebih kurang 280k
Rumah 2
Harga lebih murah. Kurang dari 180k tetapi ianya rumah teres setingkat ditengah. Diubah suai sehingga menjadi 4 bilik dan 3 bilik air. Rumah agak lama iaitu hampir 10 tahun tetapi kondisi masih lagi baik. Ada 3 surau berdekatan dan masjid juga tidaklah jauh sangat.
Rumah 3
Rumah tengah tetapi ianya teres 2 tingkat. Rumah ini harganya lebih kurang rumah 1, cuma ia sudah berusia belasan tahun tetapi ianya masih baik. Paling menarik kedudukannya dekat dengan masjid dan hanya boleh berjalan kaki jika ingin di sana. Lebih menarik lagi masjid tersebut sangat aktif dengan ceramah ustaz-ustaz yang osem.
Rumah 4
Harga lebih kurang rumah 1 cuma ianya teres setingkat end lot. Tiada halaman di tepi tetapi dalaman lebih cantik dan moden dari rumah 1 sesuai dengan usianya baru 3 tahun. Keadaan dalam rumah tersebut sangat menarik dengan hiasan dalaman yang unik. Tuan rumah sangat teliti dalam mengubahsuai rumah sehingga menggunakan khidmat pakar. Kali pertama masuk, pasti tertarik. Surau yang aktif amat dekat dan masjid juga tidak jauh. Dapur rumah memang terbaik.

Bila fikir-fikir pasal rumah ni, jadi 'ttekey' plak. Aduiii.. Rumah cantik dan menarik. Balik dari tengok rumah, terus saya hubungi bonda bertanya pendapat. Belum sempat saya bercakap tentang rumah, bonda terlebih dahulu memulakan bicara beliau.
"Tadi bonda jumpa kawan baik yang lama tak jumpa", ujar bonda. Saya mendiamkan diri, memberi peluang bonda bercakap. Kata bonda, kawan beliau ingin menjual tanah dusun. Harganya bawah 50k. Sebenarnya sebelum ini saya pernah meminta bonda mencarikan tanah yang sesuai untuk dibeli. Kebetulan kali ini ada yang bertanya kepada bonda terus. Bonda menjelaskan kepada kawan tersebut tentang saya dan kawannya mencadangkan saya melihatnya sendiri ketika balik cuti raya cina nanti.
Kemudian saya bercerita satu persatu tentang rumah kepada bonda. Bonda tidaklah menghalang jika ingin membeli rumah kerana menurut bonda, rumah tidak susut nilai. Cuma bonda menimbulkan isu 'orang rumah'. Kata bonda kalau kita dh tahu orang rumah kita tu kerja kat mana, senang sikit buat keputusan. Hurm...