BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


Al-Mu'allim

Tentang Al-Mu'allim

Saya merupakan seorang cikgu yang berasal dari Negeri Kelantan Darul Naim, Serambi Makkah. Mendapat pendidikan awal sehingga SPM di sini sebelum berhijrah ke Lembah Klang bagi menyambung pengajian di peringkat Universiti. Setelah menimba pengalaman selama 2 tahun sebagai kakitangan kerajaan, saya memilih untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dan seterusnya menjadi seorang cikgu.

Saya ingin menjadi seorang cikgu yang bersifat murabbi atau pendidik, bukan hanya sekadar mengajar di kelas semata-mata. Walaupun saya bukanlah seorang ustaz yang mengajar Pendidikan Islam, namun saya tetap seboleh mungkin menyuntik kefahaman agama di dalam kelas saya. Saya bukan hanya mahu anak didik saya cemerlang di dalam bidang akademik malah turut cemerlang dari sudut akhlak.

Siapa Al-Mua'llim?

Kenapa saya berselindung di sebalik nama ini? Ada yang bertanya. Jawapannya mudah, kerana saya adalah seorang mu'allim :)
Itu adalah jawapan yang baik namun tidak tepat dari segi jawapan. Melalui pengalaman yang saya curahkan di sini, saya tidak terkejut jika ada pembaca yang mengenali saya. Namun secara jujurnya saya berharap tidak ada, bahkan saya tidak mengenali sesiapa pun di kalangan followers blog ini. Saya berharap agar perkongsian di blog ini bermanfaat untuk semua pengunjung.

Pena Cikgu

Saya memilih nama pena cikgu kerana saya adalah seorang cikgu dan pena ini adalah pena saya sebagai seorang cikgu. Saya berharap pena ini dapat bertahan sebagai sebuah blog yang sentiasa memberi nasihat dan berkongsi pengalaman bersama pengunjung. Ambillah apa-apa yang baik di dalam blog ini dan tegurlah sebarang kesilapan. Sesungguhnya saya hanyalah seorang manusia biasa yang sentiasa melakukan kesalahan.


kalkulus2102

Kenapa alamat blog ini kalkulus2102? Sebenarnya alamat blog dan nama pena cikgu ini saya dapat secara spontan. Pelbagai nama telah dicuba sehingga mendapat nama ini. Walaupun dilihat tidak commercialize, namun tidak mengapa kerana blog ini bukan untuk tujuan komersial. Lagipun itulah nama yang terbaik dapat difikirkan ketika itu. 2102 adalah tarikh lahir blog ini iaitu 21 Februari 2010.


Kenapa blog ini wujud?

Pada mulanya saya menulis blog ini untuk berkongsi pengalaman saya ataupun sebagai diari ataupun sebagai tempat melepaskan perasaan saya. Namun atas kesedaran untuk menjadi muslim yang bermanfaat, saya mengubah niat saya dan menjadikan blog ini sebagai tempat saya turut berkongsi nasihat untuk pengunjung. Moga ianya turut menjadi saham saya di akhirat nanti.

Saya seboleh mungkin tidak akan meletakkan sebarang iklan mahupun nuffnang kerana saya bimbang niat saya untuk menulis dan berkongsi nasihat akan berubah. Selain itu, blog yang saya gunakan ini adalah blog percuma dari blogspot, jadi tiada bayaran yang dikenakan melainkan bayaran internet yang tetap saya kena bayar walaupun saya tidak menulis blog. Lagipun saya masih mempunyai kewangan yang cukup untuk menyara hidup saya, jadi tidak perlu duit tambahan dari menulis blog :). Mungkin juga suatu hari nanti saya akan mewujudkan sebuah blog yang berorientasikan keuntungan dan perniagaan dengan menggunakan nama sebenar saya.

Kenapa anonymous?

Kenapa saya tidak menonjolkan nama sebenar saya? Sebenarnya ini bukanlah blog pertama saya. Umur saya sudah melebihi suku abad dan saya sudah memulakan penulisan blog saya di awal millenium iaitu di zaman yang kecoh dengan pepijat y2k. Jika anda tidak mengetahui apa itu pepijat y2k bermakna anda masih kanak-kanak sewaktu zaman itu dan search lah di google untuk mengetahui tentang itu.

Blog itu saya usahakan hampir satu dekad dan alhamdulillah respon sahabat-sahabat amat baik. Seronok sebenarnya bila kita menulis dalam keadaan sahabat-sahabat kita mengenali kita. Di situ saya menulis tentang tazkirah, pengisian ilmu dan juga nasihat-nasihat berdasarkan pengalaman saya dan sahabat-sahabat yang lain. Namun panas yang di sangkakan sampai ke petang, rupanya badai yang melanda di tengahari. Saya hampir kehilangan seorang sahabat kerana blog tersebut.

Tidak perlu saya jelaskan dengan jelas tentang sebabnya kerana ia hanya akan membuka kisah lama, namun cukup saya katakan ianya angkara salah faham tentang tulisan yang saya tulis. Sahabat-sahabat yang lebih rapat dengan beliau menuduh saya menulis tentangnya walaupun saya tidak melakukannya. Tulisan saya hanyalah bersifat umum dan tiada kena mengena dengan beliau. Walaupun kami tidak seakrab dulu, namun alhamdulillah dia tetap sahabat saya.

Saya mengambil tindakan drastik dengan berhenti menulis. Walaupun ada sahabat-sahabat lain yang bertanya namun saya tidak menceritakan apa yang berlaku. Cukuplah seorang sahabat yang hilang, saya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Hampir setahun saya berhenti menulis. Semakin lama saya berhenti, semakin bertambah perasaan untuk menulis. Namun saya memujuk hati saya kerana bimbang kisah lama akan berulang lagi. Akhirnya saya tidak mampu bertahan lagi dan saya mengambil keputusan untuk menulis di blog yang baru dengan nama yang baru tanpa dikenali sesiapa.

Saya gembira di sini walaupun tidak mengenali sesiapa dan tidak dikenali. Barangkali respon yang diterima atau yang saya beri lebih ikhlas berbanding dengan orang yang kita kenali. Moga kita terus istiqamah dalam menulis dan memberi nasihat kepada ummat.

1 ulasan:

alibaba berkata...

knp x gn murabbbi, ada bz ke dgn mualim.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails