BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


21 Dis 2011

Apabila harga baju 1 dirham sehelai

Alhamdulillah, jumaat  lepas saya berkesempatan mengikuti kuliah dhuha di Medan Ilmu selepas tidak sempat untuk pergi pada minggu sebelumnya kerana masih di Bandung. Sesampai di sana, saya terlihat sehelai baju yang menarik perhatian saya. Namun kerana kuliah sudah bermula, saya tinggalkan dulu baju tersebut bagi mengambil kesempatan mendengar kuliah.

Kuliah diadakan dua sesi oleh 2 pengkuliah.
Sesi 1 : jam 8.30-9.30 pagi, pengkuliah tidak tetap dan selalu bertukar setiap minggu.

Sesi 2 : jam 9.30-10.30 pagi, kuliah tafsir oleh Tok Guru MB Kelate.

Oleh kerana kesihatan tok guru tidak mengizinkan, maka pengkuliah 1, Ust Mohd Amar mengambil alih sesi tok guru menjadikan kuliah beliau pada pagi itu 2 jam.

Saya tidak bercadang untuk berkongsi isi kandungan kuliah kali ini, namun jika berminat boleh menonton kembali rakaman di Kelantan TV. Untuk pengetahuan sahabat, kuliah dhuha boleh ditonton secara live di web tersebut. Namun, saya tidak menggalakkan pengguna broadband menontonnya kerana pasti melibatkan bandwith yang besar. Namun terpulang kepada sahabat2. Bagi pengguna seperti stremyx, amatlah dialu-alukan.

Usai kuliah, saya kembali ke gerai tersebut dan baju yang dijual semakin sedikit.

Lalu saya bertanya, "bang, brapo rial selai ni?".

"bukan rial, harganya 1 dirham", jawabnya.

"ha, 1 dirham?", padahal dah jelas dah, tp tanya lagi. memang tabiat pelik saya kot. hehe. Teringat ada beberapa dirham di rumah, namun tak pula saya bawa.

"ye, 1 dirham saja. Kalau takde dirham, boleh tukar dgn kami" ulang beliau.

Lalu saya menukar 1 dirham Kelantan dengan RM 25. Kemudian membeli baju tersebut dengan wang 1 dirham tersebut.
Inilah rupa design baju yang menarik minat saya
Entah mengapa, rasa sangat gembira dan seronok berurus niaga dengan wang dirham ini kali pertama ini. Saya berharap agar suatu hari nanti dapat berurus niaga menggunakan dinar pula. Pada hari tersebut, 1 dinar emas = RM 771. Penurunan harga dinar menyebabkan hati saya meronta-ronta untuk menambah koleksi sedia ada, namun memikirkan gaji ketika itu belum masuk, saya terpaksa memujuk hati supaya bersabar.

Apabila gaji + bonus masuk 19hb yang lepas, tanpa berlengah saya terus mendapatkan dinar walaupun harga ketika itu sudah naik kepada RM 777. Lepas beli beberapa keping, baru sedar perbelanjaan bulan ini sepatutnya dikawal kerana laptop perlu dirawat dan beberapa perkara lain yang perlu diberi perhatian. Hasil pengiraan kasar selepas tolak perbelanjaan sewa rumah, takaful, saguhati buat ayahanda dan bonda yang dilebihkan kerana sebulan menghabiskan beras di rumah dan belanja untuk adik-adik, saya hanya tinggal RM 7++ untuk belanja sehingga gaji bulan hadapan. Itu belum ditolak perbelanjaan untuk ke KL bagi sambutan Tahun Baru kerana tahun ini berkira-kira untuk menyambung kembali tugas yang lama ditinggalkan dulu.Moga ada rezeki dari langit.

(utk makluman : Hari ini, 21/12/2011 harga dinar Kelantan meningkat kepada RM 791)

Apapun, sekurang-kurangnya saya sudah tidak perlu memikirkan lagi tentang perbelanjaan azam 1 ini. Rasanya sudah cukup dinar yang dikumpulkan untuk dijadikan maharnya nanti. Mudah-mudahan keluarga bonda kepada anakanda saya nanti sudi menerima dalam bentuk dinar ini walaupun berlainan dengan kebiasaan.

Untuk sahabat-sahabat, saya mencadangkan supaya ambil sebahagian simpanan sahabat-sahabat dan tukarkan kepada emas. Biar kita simpan dalam bentuk emas supaya tidak berlaku susut nilai. Seekor kambing pada hari ini tidak sama nilainya dengan seekor kambing pada 10 tahun yang lepas jika dinilai dalam bentuk wang kertas kerana nilai wang itu telah susut, tetapi seekor kambing pada hari ini sama nilainya hatta dengan zaman Nabi SAW. Jika dulu 1 dinar boleh membeli seekor kambing, dengan dinar itu jugalah boleh dibeli kambing pada hari ini.

Lepas ni nak kumpul perak la pula. Dengan gaji seorang cikgu biasa, tak mampu nak beli dinar selalu. Untuk makluman sahabat-sahabat, jika dinar dan dirham kelantan, harga semasa boleh dirujuk di sini.

Jom guna dinar dan dirham!!!

14 Dis 2011

8 tips cepatkan jodoh

InshaALlah kali ini saya cuba kongsikan tips cepatkan jodoh yang saya dapat dari Majalah Anis. Sudah lama tidak berkongsi ilmu di sini, asyik duk cerita pengalaman diri je. Moga beroleh manfaat.

Memang benar, jodoh pertemuan, ajal dan maut di tangan Allah, tetapi berusahalah untuk mencari dan menjejaki calon pasangan anda. Dato' Ustazah Soto Nor Bahyah Mahmood berkongsi tip-tip untuk mempercepatkan jodoh :


1. Berdoa selepas solat lima waktu.
Berdoalah dengan bahasa apa sekalipun setiap kali selepas solat 5 waktu supaya diringankan jodoh. Katanya berdoalah dari sekarang kerana doa memerlukan masa untuk dikabulkan.



"Ketika sy di tingkatan satu, ibu saya sudah pun menyuruh saya berdoa supaya diringankan jodoh di samping berdoa untuk lulus dalam peperiksaan. Saya mengamalkan doa Akashah kerana banyak khasiat dan kelebihan terkandung di dalamnya", beliau berkongsi amalannya.


2.Berdoa pada waktu tengah malam.
Menurutnya Rasulullah SAW ada menyebut dalam satu hadith bahawa berdoa pada waktu tengah malam (qiamullail) yang mana Allah mustajabkan doa samada hajat di dunia mahupun akhirat. Di samping melakukan solat sunat pada tengah malam, berdoalah supaya apa yang kita hajati terutamanya dalam soal jodoh dimustajabkan.


3.Doa ibu bapa.
Ibu bapa perlu berdoa supaya anak-anak mereka dipermudahkan urusan jodoh. Doa ibu bapa boleh membantu mempercepatkan jodoh anak-anak terutama anak-anak yang masih belum bertemu jodoh akibat halangan yang tertentu.


4.Puasa pada hari jadi
Puasa ini dipanggil puasa hajat. Ujarnya pada hari tersebut kita dilahirkan dalam keadaan bersih tanpa sebarang dosa. Jadi, berpuasalah pada hari kita dilahirkan supaya hajat kita dipermudahkan dan dikabulkan ALlah.


5. Solat sunat taubat.
Beliau menyarankan agar melakukan solat taubat terlebih dahulu pada waktu tengah malam sebelum berdoa diringankan jodoh yang terhalang.


"Kita mahu Allah tunaikan hajat kita tetapi dengan Allah belum selesai dan bersih. Jadi mintalah ampun terlebih dahulu sebelum berdoa memohon sesuatu hajat", katanya.


6.Pohon restu ibu bapa.
Tanyalah ibubapa terlebih dahulu apabila kita sudah berkenan pada seseorang. Mungkin getaran hati ibu memberi isyarat jodoh terbaik kepada kita seperti yang berlaku kepada ustazah Siti Nor Bahyah sendiri. Beliau mengaku menerima kiriman surat daripada beberapa lelaki termasuk suaminya sndiri, Ustaz Wan Akashah dan semua surat tersebut ditunjukkan kepada ibunya sebelum mengambil apa-apa tindakan.


"Apabila ibu saya membaca surat yang dikirimkan oleh suami ketika itu, dia memberitahu saya bahawa ada getaran di dalam hatinya dan membenarkan saya membalas surat tersebut", imbaunya.


Sebelum berkahwin, Ustaz Wan Akashah juga pernah mengitimkan surat kepada keluarganya di Malaysia untuk meyakinkan mereka bahawa beliau mampu menggalas tanggungjawab sebagai suami di samping tidak mengabaikan pelajarannya di Mesir. Ternyata surat yang dikirimkan itu berjaya menyakinkan keluarganya bahawa beliau mampu untuk berkahwin.


Jika ibu bapa tidak bersetuju dengan pilihan yang dibuat sedangkan dia sudah baik untuk kita, saran beliau supaya pujuk ibu bapa dengan baik, berdoalah supaya Allah melembutkan hati mereka agar menerima pilihan kita seadanya.


7. Amalkan doa-doa pilihan.
Antara doa-doa yang boleh dijadikan amalan ialah daripada Surah Yusuf, ayat 4 untuk memudahkan dan mendapatkan jodoh yang baik. Ujarnya lagi, doa Nabi Musa dalam surah al-Qasas ayat 24 patut diamalkan kerana doa ini adalah untuk sesuatu hajat yang dirasakan amat mendesak. Jelas beliau lagi, doa ini menjadi amalannya hingga kini.


"Dalam doa, kita tidak boleh meminta dengan cepat tetapi doa ini membolehkan kita mencapai sesuatu hajat dengan cepat", katanya.


8.Solat hajat.
Jika semuanya sudah diamalkan maka langkah terakhir ialah melakukan solat hajat memohon agar dipermudahkan dan dipertemukan dengan pasangan yang baik, dunia dan akhiratnya.


Kita sebagai umat manusia hanya mampu merancang, berusaha dan bertawakal tetapi Allah yang akan menentukan segalanya. Menurut beliau lagi, 'black magic' antara faktor yang menyebabkan jodoh terhalang. Oleh itu, saran beliau supaya membaca suarah Yunus ayat 81 untuk membatalkn sihir dan ilmu hitam.


**InshaAllah, moga apa yang saya sampaikan ini dapat diamalkan oleh semua tanpa mengira samada bercita-cita untuk berkahwin atau tidak. Saya yang cetek ilmu ini, tidak pernah mendengar tentang item ke 4 iaitu Puasa pada hari jadi. Mungkin jika ada sahabat yang pernah mengamalkan, mohon berkongsi di sini untuk lebih jelas atau bertanyakan mereka yang lebih arif tentangnya.

Wallahu 'alam

Jika masih ragu-ragu, mungkin alkisah tentang jodoh boleh menguraikan kekusutan saudara/i

13 Dis 2011

Usrah di Kota Bandung

Ni cadangan saya buat para aktivis umat, buat para du'at dan juga buat ahli usrah supaya aktiviti usrah dilihat lebih menarik dan santai. Tak kira lah nak panggil Jaulah ke, Rehlah ke, Kelah ke, namakanlah apa saja. Untuk ke Bandung, kos tidak sebesar mana pun lebih-lebih lagi jika dalam kumpulan yang ramai. Mungkin perbelanjaan lebih sikit perlu semasa booking tiket air asia. Namun lebih awal ditempah lebih murah yang didapati. Macam saya sendiri, sepatutnya kos penerbangan pergi-balik RM 75, namun kerana perbincangan kami yang memakan masa seminggu, kos bertambah menjadi RM 150 seorang.

Untuk 4 malam di sana, kami menghabiskan Rp 1 juta untuk hotel. Kami tinggal di 3 hotel berlainan, Ada hotel Rp 250,000 (bilik standard) , ada yang Rp 225,000 dan ada yang Rp 300,000 (bilik deluxe) . Jadi untuk 2 orang, hanya Rp 500,000 sahaja. Jika lebih dari 2 orang, pasti lebih murah. Caranya cari bilik yang lebih besar dan tinggallah lebih ramai dalam satu bilik. (untuk rekod :  Rp 1 juta = +-RM 350). Setiap kami hanya keluarkan RM 175 untuk bilik hotel selama 4 malam di sana.

Untuk kenderaan + supir (pemandu), kami hanya gunakan pada hari pertama. Itupun kerana kami ingin ke Tangkuban Perahu. Tidak pasti samada mahal atau tidak, tetapi  kami hanya menempah Honda Jazz melalui hotel sejam sebelum kami bertolak. Caj yang dikenakan adalah Rp 400,000 selama 12jam (termasuk pemandu dan minyak, tidak termasuk kos masuk ke tempat-tempat yang kami lawati). Jika pergi ramai mungkin boleh menaiki Avanza (Rp450,000) atau Innova (Rp 500,000).

Makanan di sana murah jika kita pergi bukan untuk makan semata-mata. Sarapan pagi sudah disediakan oleh Hotel. Walaupun harga hotel hanya Rp 250,000, itu sudah termasuk buffet untuk sarapan pagi dan pengangkutan percuma dari Airport ke Hotel. Dengan kata lain, kita dijemput di Airport tanpa dikenakan apa-apa bayaran tambahan. Makanan sarapan boleh diminta dihantar ke bilik hotel. Makanan tengahari atau malam, jika ingin berjimat, boleh membawa bekalan roti jagung, atau choc dari Malaysia. Ahli usrah, biasanya sepinggan nasi boleh dimakan hingga 4 - 5 orang.

Mungkin juga boleh melawat beberapa pasentran di Bandung ini. Kami sempat bertanya beberapa pasentran yang terkenal di Kota Bandung ini, namun maaf saya lupa membuat catatan. Boleh juga membandingkan cara hidup di pasentran mereka dengan pondok di tempat kita. Mungkin ada yang menarik boleh diambil dari mereka. Kami sendiri tidak sempat untuk ke mana-mana pasentran di sana.

Shopping. Siapa kata ahli usrah tidak boleh shopping. Alang-alang sudah di sana, apakata luangkan sedikit waktu untuk shopping. Untuk tempat yang murah dan boleh dibuat tawar menawar sehingga 50%, boleh ke Pasar Baru. Saya tidak tahu menilai harga, makanya tidak banyak yang dapat saya beli di sana kerana tidak pasti samada harga betul-betul murah atau tidak. Jadi saya hanya membeli apa yang saya perlu. Tempat shopping terkenal untuk warga Indonesia yang ke Kota Bandung adalah Pasar baru dan Gedung Sate. Sementara rakyat Malaysia lebih suka membeli di Factory Outlet yang bersepah di Jalan Dago mahupun Jalan Riau (Martadinata).

Di sini saya kongsikan sedikit info pergerakan rupiah kami sepanjang di sana.

Hotel -  Rp1 juta ( 4malam) - seorang Rp 500,000
Kenderaan - Rp 400,000 (12 jam) - seorang Rp 200,000      *kami hanya gunakan sehari sahaja
Makan - Rp 300,000 (sepanjang di sana) - seorang Rp150,000 *sebenarnya boleh dijimatkan lagi.

Hotel + Kenderaan + Makan = (500ribu + 200ribu + 150ribu = 850ribu)
***Lebih kurang RM 297 seorang.

Shopping bergantung kepada individu la, samada ke sana untuk shoping atau jalan-jalan. Saya pun tidak pasti mana selebihnya duit saya dihabiskan.

Duit bawa - Duit belanja am = Rp 3juta  - Rp 850ribu
                                            = Rp 2.15juta

Tidak banyak buah tangan yang kami beli kerana kami tidak membeli bagasi. Hanya hand carry bag (cabin bag) dan laptop beg. Kalau ikutkan had maximum berat cabin bag adalah 7kg, tp mereka tak timbang pun.

Saya hanya membeli beg tangan untuk bonda, Baju solat untuk ayahanda, telekung solat muslimah, t-shirt bandung tak pasti berapa belas helai, kemudian baju dan seluar sendiri, sandal, brownies, keychain, fridge magnet dsb.

Jangan lupa menyimpan Rp 75,000 untuk cukai lapangan terbang sebelum check in balik nanti.

Jadi untuk ke Bandung yang sebenar tidaklah mahal sangat, yang penting siapa diri kita yang menentukan berapa yang perlu di bawa. RM 1000 sudah cukup sangat dah sebenarnya.

11 Dis 2011

From Bandung with Love

Alhamdulillah.

Penerbangan QZ 7695 dari Bandara Husein Sastranegara, Bandung jam 4.00 petang (5 petang waktu Msia) selamat tiba di LCCT jam 7.00 malam selepas 2 jam berada di udara. Usai menjama'kan solat, kami terus ke KL Sentral menaiki SkyBus dan seterusnya menaiki LRT dan STAR ke Plaza Rakyat dan menyambung perjalanan ke Kuala Perlis.

Saya tinggalkan dulu kisah perjalanan di Langkawi bagi memfokuskan sedikit pengalaman di Kota Bandung. Ini mungkin boleh jadi panduan percutian ke Bandung atau tips bercuti ke Bandung. atau mungkin juga tidak :)

BANDUNG. Ada sebab mengapa kami tidak memilih pakej travel agency. Hanya berbekalkan Rp 3 juta, Kota Bandung kami takluki. Ada beberapa perkara menarik yang mengubah persepsi kami kepada warga Indonesia. Walaupun tidak adil untuk mengulas tentang sesuatu tempat dengan hanya 4 malam 4 hari di sana, tetapi inilah antara hasil yang kami dapat.

Betapa sebelum pergi kami risau dengan situasi kemarahan warga Indonesia kepada Malaysia selepas Timnas Garuda tumpas di kaki Harimau Muda pada Sukan Sea yang lepas, namun di sana kami dilayan dengan baik sekali hatta oleh gelandangan di tepi-tepi jalan. Walhal di bandung itu terkenal dengan Tim sepak bola yang hebat iaitu Persib.

Kota Bandung selamat untuk para backpacker walaupun menjelang tengah malam. Dalam kegelapan malam, kami berdua berjalan dengan aman tanpa diganggu oleh pemain skateboard di bahu jalan mahupun remaja-remaja yang lepak. Membuka peta di khalayak juga tidak menjadi masalah bahkan kami dibantu bila memerlukan. (Kami lebih risau untuk berjalan kaki dari Stesen LRT Pasar Seni ke Plaza Rakyat kerana banyak kes samun di situ. Oleh sebab itu kami menggunakan perkhidmatan Star di Masjid Jamek)

Jalanraya di Bandung sangat sesak dan kelihatan tidak sesuai untuk para pejalan kaki. Namun sesiapa boleh melintas jalan tanpa rasa takut kerana para pemandu mobil atau motor tidak akan melanggar bahkan akan sentiasa alert dengan pejalan kaki yang akan melintas jalan.(Tiba di KL Sentral, saya cuba melintas jalan seperti di Bandung apalagi kereta dilihat agak jauh, namun dilajukan lagi keretanya)

Hon merupakan perkara biasa di Bandung. Ianya seperti sapaan sesama pengguna jalan raya. Sesuatu yang agak pelik  kerana tidak sedikit pun rasa marah atau kedengaran pekikan kemarahan para pengguna jalan raya apabila di hon. Berbeza dengan negara kita. Hon adalah petanda marah atau pengganti laungan "woi, buta ke?!!!". Hon juga kadang kala mengundang perbalahan besar. (pernah berlaku di hadapan mata saya)

Kehidupan rakyat mereka susah di mata saya. Mereka berjualan di mana-mana saja dengan pelbagai cara yang tidak pernah saya terfikir. Lampu Isyarat merah merupakan rezeki bagi mereka. Ada yang bermain gitar menghiburkan para penumpang angkutan atau kereta persendirian (sejujurnya suara mereka lebih sedap dari penyanyi mee segera negara kita), ada yang memakai kostum badut dan menggerakkan kepala atau berjoget di celah-celah kesibukan jalan. Ada yang berjualan kueh, kad isi ulang (top-up), tisu, makanan, air minuman, peta dan pelbagai lagi. Dari orang tua hinggalah bocah yang masih di bangku sekolah rendah tidak kira lelaki atau perempuan. Semuanya kerana uang. Argh, sungguh sulit menceritakan di sini. Namun tidak pernah mereka mengeluh tidak diberikan uang. Diberi diambil, tidak diberi, mereka beralih kepada kenderaan lain. Tidak pernah terdengar ada yang menjerkah atau mengherdik mereka walaupun mereka ada yang menghalang lalu lintas.

Tip merupakan sesuatu yang sangat biasa di Bandung. Anehnya tidak pernah mereka memaksa apalagi meminta tetapi ianya diberi tanpa rasa beban. Di jalanan yang tiada polis, kadang kala terdapat yang sukarela mengawal lalu lintas untuk memudahkan kereta memasuki atau keluar dari simpang yang sibuk. Dibuat secara sukarela walaupun di tengah panas. Diberi tip diambil, tidak diberi diteruskan juga tugasan itu. Saya memerhatikan tindak tanduk mereka dengan rasa pelik. Jalan menjadi lebih lancar.

Oleh kerana pengangkutan utama kami adalah jalan kaki (kadang-kadang naik juga angkutan kota dan sehari menggunakan supir), adakalanya kami tersasar ke perkampungan setinggan di sana (sewaktu berjalan dari Jln Cihampelas- Jln Dago). Jalan yang sempit di celah-celah rumah atau kadang-kadang ada kedai kecil di sana meyebabkan kami tersesat, namun dengan senang hati saja mereka menunjukkan kami jalan keluar. Walaupun agak takut, namun alhamdulillah, mungkin juga berkat dari doa sahabat-sahabat yang tidak putus-putus mendoakan kami.

Sebelum pergi, ada saya terbacakan nasihat supaya tidak menanyakan harga Angkutan Kota dari suatu tempat ke suatu tempat kerana mereka akan 'sembelih' kita, ada juga nasihat supaya apabila ingin berhenti, sebut saja "kiri, pak" dan jika menyebut "stop" atau "berhenti", mereka tidak akan mengendahkannya. Mungkin itu yang dialami oleh mereka tetapi tidak pada kami. Mudah mereka mengesan kita adalah warga Malaysia. Hanya melalui percakapan walaupun saya cuba berbahasa Indonesia. Apabila kami bertanyakan arah tuju kami, mereka memberitahu angkutan yang patut kami naiki jika angkutan mereka tidak melalui jalan tersebut. Apabila sampai, mereka sendiri akan berhenti dan memberitahu kami bahawa telah sampai. Mereka amat menghormati kami sebagai pelancong ke tempat mereka. Jarak yang jauh  kami bayar Rp3000, jika dekat Rp 2000 saja namun banyak kali kami berikan Rp3000 sebagai sedekah :) Jika  memberi not lebih spt Rp10000, mereka akan memberi wang bakinya.

Di mana saja ada yang berjualan cenderahati spt keychain atau baju. Kebiasaanya di tempat makan kesukaan rakyat Malaysia ataupun di depan Factory Outlet. Mereka menawarkan harga yang sangat tinggi berkali ganda dari harga sebenar namun apabila kita tidak mahu membeli, diturunkan harga sehingga kadang kala di luar pemikiran kita. Sejujurnya, ada yang saya beli bukan kerana mahukannya tetapi atas dasar kasihan. Barangkali kota bandung ini tidak sesuai untuk orang lembut hati seperti saya. hehe.

Untuk pusingan pertama, biarlah saya berhenti di sini dahulu. Bukan maksudnya saya ingin menganggungkan negara luar dari negara sendiri namun itulah hakikat yang terjadi. Saya lebih cintakan negara saya dari Bandung, sehingga t-shirt bandung yang mempunyai tulisan 'i love Bandung' tidak mendapat tempat di hati saya walaupun designnya lawa. Namun, tidak salah jika kita belajar sesuatu yang baik dari mereka.

*Semasa memandu di Langkawi, saya cuba bersikap seperti pemandu Bandung. Melihat orang ingin melintas, saya perlahankan kenderaan sehingga kadang kala serba salah pejalan kaki untuk melintas. Barangkali tidak percaya ada yang sanggup memberi jalan kepada mereka. Sungguh, musafir di Bandung banyak mengajar saya erti kehidupan.

** Apa yang saya tulis ini merupakan antara pengalaman saya sendiri di Bandung. Ianya mungkin berlainan dengan apa yang anda baca di tempat lain atau berlainan dengan pengalaman anda sendiri. Justeru, mungkin lain juga pengajaran yang anda dapat. Moga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua.

Wallahu a'lam

5 Dis 2011

Mohon maaf

Ini adalah posting auto update. Jika sahabat-sahabat dapat melihat artikel ini bermakna saya sudah selamat sampai ke Bandoeng. InshaAllah. Saya ingin memohon maaf atas segala kesilapan yang saya lakukan semasa mengendalikan blog ini. Ambillah segala apa yang bermanfaat dan tegurlah segala kekurangan yang terdapat di sini (kecuali bab template sb saya tidak cukup kreatif untuk menjadikan blog ini lebih menarik)

InshaAllah, dari Bandoeng terus ke Langkawi bagi menyaksikan LIMA. Nak buka tawaran untuk kiriman pun, tiada sesiapa di sini yang mengenali saya dan saya juga tidak mengenali sesiapa. Moga kita akan dipertemukan suatu hari nanti. InshaALlah.

Posting ini akan dikeluarkan (dipadamkan) selepas seminggu. Jika sahabat-sahabat masih melihat posting ini selepas seminggu, faham-faham saja lah :D. Ku mohon kiriman doa dari kalian. Wallahu 'alam.

4 Dis 2011

Merebut Kelebihan Bulan Muharram

ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)
Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.
Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.
Hikmah bulan haram
Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.
Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)
Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.
Amalan sunnah Muharam
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.
‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.
” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.
Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”
Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

sumber : ustazazhar.net

2 Dis 2011

Apa guna jadi blogger kalau...

Ish, nak tulis blog pun tak senang kalau komputer macam ni. Nak ziarah sahabat-sahabat pun susah kalau komputer lembab gini. Nak balas komen pun tak daya kalau gini sokmo. Nak beli laptop baru, takut tak cukup bajet gi Bandoeng. Apapun, layan benda ni la dulu. Bijak juga dia pantun (pantun ke?)
Apa guna jadi blogger
kalau update pun skali skaler... hehe

28 Nov 2011

Cuti-cuti cikgu sekolah,

Lamanya saya tak berkongsi ilmu di sini, asyik cerita pasal diri sendiri je. Mesti sahabat-sahabat yang berkunjung ke Pena Cikgu menyampah kan. hehe. Bukan apa, menggunakan desktop ni menyebabkan sukar untuk mencari maklumat, kalau laptop tu semua dah sedia ada, cuma tinggal nak hurai je.

Air banjir semakin surut, ikan-ikan semakin kurang dapat namun alhamdulillah sudah dapat ikan keli yang agak besar dan sudah selamat landing di dalam perut. Juga , baru tadi dapat haruan yang agak besar di mana haruan itu sedang berehat di dalam gulai lemak di dapur. Sungguh, rasa ikan yang kita tangkap dan siang sendiri lebih sedap. Mungkin memakan hasil susah payah sendiri ditambahkan rempah kasih sayang bonda menyebabkan ianya lebih sedap. Bukan semua orang sanggup menyiang ikan darat kerana ianya lebih hanyir dari ikan laut.

Kesurutan (ada ke perkataan ini dalam BM) air di baruh menyebabkan saya terpaksa mencari alternatif baru bagi mengisi masa cuti. Aktiviti mengecat baru separuh setel di dapur. Itupun adik gegurl bongsu yang buat dengan bonda. Saya tolong gitu-gitu je. Nak kena beli cat warna dulu sebab yang di cat tu baru cat alas. Lepas tu nak cat di bilik lagi. Sementara semua itu berlaku ada baiknya saya pergi bercuti.
InshaAllah hujung minggu ini saya akan bercuti ke Bandoeng. Satu tempat yang dikatakan syurga membeli belah. Saya sendiri tidak tahu bahawa itulah tempat shopping kegemaran rakyat Malaysia sewaktu seorang sahabat mengajaknya baru-baru ini. Apa yang ada di fikiran saya ketika itu adalah untuk mengisi masa cuti dengan hobi saya iaitu melancong dan jalan-jalan. Alkisah seorang sahabat mengajak saya bercuti dan mengajak saya menemaninya. Bagaikan orang dahaga diberikan air, saya menerima tanpa banyak soal. Tanpa mengikut mana-mana agen, tanpa menempah mana-mana hotel, kami ke sana secara backpacking walaupun ini adalah adalah pengalaman pertama kami ke sana. Kasi adventure skit :D
Ikut perancangan awal, inshaAllah pulang dari Bandung, kami akan terus ke Langkawi. Apa yang menyebabkan saya tertarik ke sana adalah pada tarikh tersebut, kebetulan ada pertunjukan LIMA di sana di samping sahabat saya ini tidak pernah ke sana. Tambahan pula, pada hari terakhir sekolah baru-baru ini, seorang cikgu mengajak saya melawat kampungnya di Langkawi sambil diberikan penginapan dan kenderaan percuma sepanjang saya di sana. Penginapan dan pengangkutanlah yang paling mahal di sana lebih-lebih lagi sewaktu LIMA berlangsung, jadi bagaikan orang lapar diberikan nasi, sudah banyak dapat cut cost tu. Bolehlah bajet untuk penginapan dan pengakutan digunakan untuk shoping. (mengalahkan orang pompuan kan?).

Passport sudah siap, tiket sudah dicetak, hanya menunggu masa untuk berangkat. Apapun, kita merancang Allah jua merancang namun perancangan Allah adalah yang terbaik. Moga selamat pergi dan balik. INshaAllah.

Ikutkan cuti ini ingin bercuti secara lone ranger ke Sabah lebih-lebih lagi Sabah lah satu-satunya negeri di Malaysia yang belum saya jejaki. Sahabat di sana berkali-kali menjemput saya ke sana dengan dijanjikan penginapan, pengakutan dan makanan di sana akan ditanggung. Namun, memandangkan ajakan sahabat ini lebih menarik, percutian ke Sabah ditangguhkan ke tarikh yang akan ditentukan kemudian. Negeri-negeri lain sudah selamat dijajah sewaktu menjadi pengawai kerajaan dulu. Banyak outstation yang memerlukan saya ke terbang ke seluruh negara, jadi kesempatan itu digunakan untuk berjalan-jalan.

**timbul juga rasa risau untuk ke Indon buat masa ini kerana rakyat mereka pasti masih terluka dengan kekalahan sang Garuda kepada Harimau Malaya pada Sukan Sea yang lepas. InshaAllah, berkat doa sahabat-sahabat, segalanya akan selamat. (^_^)

27 Nov 2011

Azam terbesarku tahun 1433h

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah. Kita masih diberi kesempatan untuk hidup di dalam tahun baru 1433h. Samada sedar atau tidak, suka atau tidak, usia kita sudah meningkat setahun dan kita semakin menghampiri kematian. Namun, itu tidak boleh menjadi penghalang untuk kita hidup sambil lewa di dunia ini, seharusnya ia menjadi benteng kepada diri kita dari terpedaya dengan tipu daya syaitan.

Bila tiba tahun baru, perkataan yang paling femes adalah 'azam' hinggakan orang yang bernama Azam jadi perasan atau berlagak macho kononnya beliau menjadi sebutan ramai (hehe, sori zam, gurau2 je). Macam-macam azam yang kita dengar, antaranya azam nak jadi baik, azam nak berubah, azam nak tinggal rokok bagi perokok, azam nak tutup aurat bagi yang buka aurat, azam nak solat bagi yang tak solat dan macam2 lagi.

Pada saya, azam seperti bagus, namun alangkah lebih manis dan indah jika azam perubahan akhlak ini tidak ditunggu semasa tahun baru. Bahkan jika ingin berubah, berubah sekarang tidak kira bila 'sekarang' itu. Tidak perlu 'esok saya akan berubah' atau 'mulai hari ini saya akan berubah' tetapi katakan 'mulai SEKARANG saya akan berubah'.

Ibnu Umar pernah berkata, "Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit. 

Bagaimana azam tahun lepas? Dah tertunaikah? hehe. Saya pun dah lupa apa azam tahun lepas. Tak perlu malu bila azam tidak dapat ditunaikan kerana kita bukan Tuhan untuk mengatur segalanya seperti kehendak kita. Erm... untuk tahun ini saya tulis di sini supaya senang untuk diingati dan dirujuk kembali. Sebenarnya lebih kepada target. Banyak sebenarnya namun saya tulis yang paling utama buat diri saya untuk tahun ini.

Azam 1
Saya ingin menunaikan salah satu hak anak saya ke atas saya iaitu salah satunya mencari ibu yang baik. Masuknya tahun 1433h, umur saya sudah menginjak ke angka 28thn. Wah, tuanya walaupun rasa macam budak-budak lagi. Berapa umur sahabat-sahabat pada tahu 1433h ini? Umur di tahun hijrah lebih dari tahun Miladi.

Rasanya sudah sampai waktunya untuk saya mendirikan rumah tangga. Hukum berkahwin ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Rasanya saya sudah di peringkat sunat. hehe. Jadi harus segera melaksakan sunnah Rasulullah SAW.

InshaAllah, bermula sekarang, 1 Muharram, pencarian gadis melayu/ustazah pilihan/solehah akan bermula dengan lebih serius. Mohon doa sahabat-sahabat semoga Allah mengurniakan seorang isteri yang akan menjadi ibu yang baik buat anak saya kelak. INshaALlah.

Azam 2
Memiliki samada tanah atau rumah. Ya, jika azam 1 dicapai, di manakah saya ingin menempatkan ibu kepada si anak tadi. Jika tanah, saya memilih untuk membeli di negeri kelahiran saya, Kelantan. Namun, jika rumah, saya tertarik dengan pelawaan housemate untuk meninjau rumah di Kulim bila buka sekolah nanti. Kulim dengan Pulau Pinang tidaklah jauh mana, jadi tidaklah susah untuk berulang dari rumah ke tempat kerja.

Untuk membeli rumah di Pulau Pinang, rasanya agak sukar kerana kos yang tinggi untuk rumah di atas tanah. Lagipula, saya merasakan sukar untuk mendidik anak-anak menjadi soleh/solehah di Pulau ini. Mungkin ada sahabat-sahabat yang mempunyai info tentang rumah di Kulim boleh menghubungi saya di sini. Saya sedang menimbangkan 2 perkara ini secara serius.

Apapun,
"Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah". (3:159)

Siapa kita untuk mengarahkan Allah mengurniakan apa yang kita inginkan. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita, maka bersangka baiklah dengan Allah.

Kita merancang, Allah juga merancang dan sudah pastilah perancangan ALlah itulah yang terbaik kerana Allah sebaik-baik perancang. Apa yang penting, kerjasama. Eh, sempat lagi buat lawak. Serius beb!. Apa yang penting adalah usaha kita untuk mencapai apa yang kita rancang.

25 Nov 2011

Laptop rosak & cuti sekolah

Akhirnya laptop benar-benar rosak, disyaki masalah motherboard. Memang laptop Compaq selalu ada masalah begini. Risik-risik di kedai, kos pembaik pulih mencecah RM600. Satu jumlah yang lebih berbaloi jika membeli laptop baru. Huhu, rasanya di Penang lagi murah kos tukar motherboard baru menyebabkan saya menangguhkan operasi pembaikbulih sehingga buka sekolah nanti. Cuti tanpa laptop menjadi sesuatu yang pelik sejak 2 3 tahun kebelakangan ini.
Untuk hidup sebulan di rumah tanpa laptop adalah sesuatu yang sukar, lantas saya menghabiskan duit gaji yang baru diterima untuk membeli monitor LED yang baru untuk dipadankan dengan CPU di rumah. CPU ini saya gunakan sepanjang pengajian di kampus dulu dan saya tinggalkan di kampung halaman kerana lebih senang menggunakan laptop. Awal tahun yang lepas, monitor rosak tetapi saya membiarkan saja supaya adik-adik lebih menumpukan perhatian pada pelajaran mereka. Alhamdulillah, nasib baik CPU masih boleh digunakan walaupun hampir setahun tidak diguna.

Kalau ikutkan mahu saja membeli laptop baru, namun keinginan harus ditahan kerana ada kegunaan lain yang perlu diberi keutamaan pada bulan ini. InshaAllah akan dikongsikan pada post akan datang.

Cuti sekolah

Banjir mula melanda Kelantan. Alhamdulillah kawasan rumah saya tidak pernah terlibat dengan banjir walaupun kampung saya dinaiki air. Bahkan kawasan rumah digunakan oleh saudara mara untuk menyimpan kenderaan mereka apabila rumah mereka dinaiki air.

Cuti ini rutin kehidupan seminggu dua ini dijangka sama. Usai kuliah subuh (jika ada) atau mengulang hafalan yang semakin hilang, saya turun ke baruh untuk melihat hasil rezeki yang terlekat pada pukat yang dipasang. Bukan nak sangat, tapi sebab ayahanda selalu bertanya dan mengidam 'ikan darat', digagahkan juga untuk dimasukkan ke dalam rutin. Pulang dari baruh, menikmati sarapan di rumah atau menjengah ke kedai kopi atuk untuk membantu mana yang patut. Sepatutnya catata tentang kedai kopi ini sudah lama saya post kan namun masih terkurung di draft sejak 14/12/2010 yang lalu. Bayangkan betapa banyak artikel terperangkap dalam draft.

Pulang ke rumah, cari beberapa info di internet, atau ke luar berjumpa dengan sahabat-sahabat yang pulang ke Kelantan. Biasalah, sewaktu cuti sekolah, hanya rakan-rakan guru lah yang ada atau rakan-rakan yang bekerja di Kelantan.

Jika pulang sebelum asar, lepas asar kena bersiap untuk melihat hasil yang melekat di pukat. Jika menunggu keesokan harinya, pasti ikan-ikan akan mati dan rasanya tidak akan segar sangat. Setakat ini hanya ikan haruan, puyu, lampam, patung, sepat dan terbul. Ayahanda mengharapkan ikan keli namun belum rezeki. Sudah pastilah keli ini berlainan rasanya dari keli peliharaan yang selalu didapati di kedai makan. Gambar akan cuba saya usahakan kerana sukar membawa kamera ke sana, tak pasal-pasal masuk air :)

Malam, usai solat isya menghabiskan masa melayari internet. Ikutkan nak mengajar anak-anak jiran yang datang mengaji dengan bonda, namun mereka tidak mahu mengaji dengan saya. (^-^).

Mungkin esok atau lusa aktiviti mengecat rumah terpaksa dimasukkan ke dalam rutin harian. Nak bagi cantik sikit selepas lebih 10 tahun tidak berganti cat. Mana tau kot2 ada orang baru yang akan menjadi ahli keluarga kami. :D

23 Nov 2011

Perjalanan yang jauh

Alhamdulillah. Selamat sampai ke kampung halaman jam 1pagi tadi. Awal pagi Rabu baru sampai ke kampung halaman sedangkan sekolah sudah mula bercuti sejak Sabtu yang lepas. Kelewatan pulang ke kampung halaman kerana hari Ahad ada kenduri sahabat di Balik Pulau. Boleh saja pulang pada Ahad malam, tetapi ditangguhkan kerana ingin mengikuti kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Masjid Negeri P.Pinang pada malam itu.

Berjaya mengajak 3 orang sahabat guru yang lain dan turut membawa seorang anak murid yang sangat konsisten dalam belajar mengaji Al-Quran.
(Sesungguhnya saya malu pada rakyat Negeri Pulau Pinang kerana UAI dibenarkan memberi kuliah di Masjid Negeri yang besar itu dinegeri mereka sedangkan di negeri Kelantan, UAI tidak dibenarkan berkuliah di masjid atas arahan MAIK. Oleh itu, kuliah yang sepatutnya diadakah di Masjid wakaf Bharu pada Khamis ini ditukarkan ke Gelanggang Futsal Arena di Pengkalan Chepa)

Hajat untuk pulang pada Hari Isnin terbantut apabila bonda dan ayahanda sahabat ini meminta saya bermalam di rumah mereka semalam dua. Saya hanya mampu bermalam semalaman sahaja sebelum pulang pada hari Selasa bersama 2 orang sahabat yang lain.

Kami bertolak usai solat asar kerana menunggu seorang daripada kami masih mempunyai urusan di sekolah. Perjalanan lancar sehinggalah sampai di Tasik Banding, beliau diSMS tentang satu tugasan yang belum disiapkan. Bayangkan dalam keadaan pulang ke kampung masih lagi diburu.huhu.
Perjalanan diteruskan hingga kami tiba ke puncak Banjaran Titiwangsa jam 8.15 malam. Suasana hujan lebat dan kabus yang tebal menyukarkan perjalanan kami. Kami mengambil keputusan untuk berehat di sana sambil membantu sahabat tadi menyiapkan tugasan yang diSMS tadi. Kedinginan malam di puncak banjaran Titiwangsa amat mencengkam jiwa. Sangat sejuk umpama di musim salji apalagi saya hanya memakai t-shirt dan lupa membawa pulang sweater.

Usai menyiapkan kerja, masalah lain timbul apabila tidak dapat membuat sambungan internet kerana beliau tidak menjelaskan bil Celcom. Saya sendiri tidak mempunyai broadband selepas menamatkan perkhidmatannya  awal tahun yang lalu kerana menggunakan streamyx di rumah. Kami melihat masalah ini sebagai masalah bersama apalagi kami sama-sama cikgu. Kami bergegas meneruskan perjalanan sehingga ke Tanah Merah untuk mencari kedai yang mempunyai wifi percuma. Alhamdulilah, restoran Ed'de Chicken Chop ada menyediakan wifi, sambil beliau emelkan kerja tersebut, kami mengalas perut. Kami di sana agak lama sehingga jam 11 malam.

Perjalanan diteruskan mengikut jalan short cut ke Tumpat dari Pasir Mas melalui Meranti. Kami resah apabila air sudah melintasi jalan di pertengahan jalan dan tiada kenderaan lain yang lalu, namun setelah diteliti, rupanya hanya air hujan yang bertakung, bukan air sungai atau bendang. Di pertengahan jalan, kami terpaksa berpatah balik ke bandar Pasir Mas keadaan minyak kereta yang tidak mengizinkan untuk terus melalui jalan tersebut. stesen minyak yang terletak di jalan itu sudah tutup.

Alhamdulillah, selepas beberapa stesyen yang kami temui tutup walaupun ada orang, ada satu stesyen minyak yang masih buka. Menjadi masalah apabila tiada pekerja yang kelihatan, kami hampir putus asa sehingga terlihat kelibat seorang manusia sedang tidur terbaring di luar stesyen minyak. Rupanya beliau adalah petugas yang kebosanan tiada pelanggan.

Ringkas cerita jam 1 pagi lebih, saya sampai di rumah. Sebaik membuka pintu, bonda dilihat tertidur di sofa ruang tamu bersama 2 orang adinda sementara ayahanda di bilik. Usai bersalaman dengan bonda, kami bersembang lama sehingga ayahanda keluar jam 3 pagi ke dapur. Tetiba banyak topik yang dibincangkan. Ayahanda turut serta dalam bicara awal pagi. Adinda bongsu terbangun apabila kami berbicara tentangnya. Rupanya sudah lama beliau memasang telinga mendengar perbualan kami. Jam 4 pagi saya sudah tidak berani untuk tidur walaupun bonda menyuruh berehat. Bimbang sukar untuk bangun subuh kerana keletihan.
Bonda dan ayahanda ke bilik solat sementara saya ke bilik untuk refresh diri.

Azan subuh saya longlai sebelum diingatkan oleh bonda, "tadi kata taknak tidur sb takut susah bangun, ni dah azan baru nk tidur". Alhamdulillah, menang pertarungan dengan syaitan untuk membawa ayahnda dan bonda ke surau dengan menaiki kereta walaupun hujan.

Usai solat subuh, keadaan lemah. Cuba hidupkan laptop untuk menulis namun laptop tetiba rosak. Alhamdulillah, sekarang dan boleh guna walaupun nampak tanda-tanda awal kerosakan motherboard. Mudah-mudahan  tidak berpanjangan supaya perkongsian dapat diteruskan sepanjang cuti sekolah.

Akhirulkalam. Selamat bercuti untuk semua guru dan adik2 yang bersekolah mahupun bermaktab :D

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails