BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


5 Sep 2013

Alhamdulillah & Minyak Naik

Alhamduillah. Akhirnya saya dapat menulis kembali di sini. Blog kecil ini tidak dapat dibuka kerana ada sedikit masalah. Kata blogger.com, ianya cuba diceroboh. Wallahu a'lam. Moga Allah memberi petunjuk kepada kita semua.

Banyak perkara yang ingin dikongsi di sini. Seperti biasa, bila lama tidak menulis, pasti banyak disimpan di dalam peti minda. INshaALlah jika berkesempatan. Masa sentiasa ada, terpulang kepada kita untuk menguruskannya. Setiap orang diperuntukkan 24jam sehari.

ISu yang suam-suam kuku sekarang adalah isu kenaikan harga minyak. Mungkin dalam minggu depan, tidak akan kedengaran lagi. Ianya akan diganti dengan isu kenaikan harga barang. Sebenarnya tiada apa yang boleh diperkatakan lagi tentang isu ini. Pandai-pandailah kita menguruskan ekonomi kita.

Nak salahkan kerajaan? Siapa suruh pilih kerajaan ini? Ini bukan kali pertama minyak naik selepas pilihanraya. Pilihanraya seterusnya adalah pada 4 atau 5 tahun akan datang. Rakyat marhein yang dikatakan terbeban dengan kenaikan ini pasti akan melupakan bebanan ini pada waktu itu apabila disogok dengan BR1M. Skrip yang sama akan berulang kembali.

Secara peribadi, saya sebenarnya tidak terkejut dengan kenaikan ini. Ini skrip yang sama dengan pilihanraya yang lepas. Yang akan terkesan dengan kenaikan ini pastinya rakyat marhein. Yang guna moto, terkesan cara guna motor, yang guna kereta apalagi. Yang tiada kereta atau motor, tunggulah kenaikan harga tambang pula. kecuali anda menaiki basikal menggunakan kudrat sendiri. Yang tu, sediakan duit buat beli minyak panas dan minyak angin.
Para peniaga pula sedang mengira kenaikan barang masing-masing. Nak salahkan mereka 100% tak boleh juga. Untung rugi mereka perlu dikira juga. Kenaikan minyak adalah ibu segala kenaikan. Sebab itu saya hanya mampu tersenyum bila orang membandingkan kenaikan minyak dengan kenaikan rokok. Ramai lagi orang yang 'bodo ketok' di negara kita. Tugas kita bersama tu utnuk menyekolahkan mereka.

Kalau kerajaan nak naikkan minyak RM 1 pun, apa yang kita boleh buat sekarang? Nak demo macam di Asia Barat? kahkahkah... mimpi di siang hari.

Deme tu dah tak risau pun sebenarnya kalau rakyat tak nak undi. Deme dah ada bangla yang nak dibawa masuk untuk kerja kat sini. PRU-14 lambat lagi, tapi persiapan sudah dibuat dari awal lagi. Siap sedia no...

Katalah gajah rimau sekalipun, minyak dah naik pun. Nak turun payah sekali. KALAU  turun sekalipun, turunkah harga barang?

Ada lagi satu. Golongan 'bodoh piaq' yang membanding harga minyak Malaysia dengan Singapura. Meh kita cuba bandingkan gaji cikgu sini dengan sana. huhuhu.

20 Jul 2013

Takleh solat vs takleh puasa

Sepanjang bulan ramadhan ni, kantin sekolah ditutup. Seperti tahun-tahun yang lepas, murid-murid akan ke dewan untuk solat dhuha secara berjemaah. Sukar sekali untuk mendisiplin murid menepati waktu kerana masa 20minit waktu rehat agak singkat. Yang ponteng bersembunyi tu pasti ada. Yang duk main-main ayaq masa ambil wudhu takyah cakap la.

Bagi murid-murid yang uzur, disediakan sebuah bilik di tepi dewan untuk mereka duduk sementara menunggu rakan-rakan habis solat. Tidaklah mereka merayau atau tinggal dalam kelas. Murid bukan Islam pula dibenarkan berada di kantin untuk makan makanan yang mereka bawa.

Suatu hari, usai kelas saya sebelum rehat, saya meminta murid-murid kelas saya turun lebih awal ke dewan supaya mereka boleh membantu Ustaz membentangkan tikar. Mereka akur, kecuali 3 orang murid perempuan.
"Kenapa tak gerak lagi?", tanya saya kepada salah seorang daripada mereka.

"Saya tak boleh solat, cikgu", jawabnya.

"Kamu?", saya menunjuk kepada rakan disebelahnya.

"Saya pun takleh solat cikgu", jawabnya. Lalu saya menunjukkan jari ke arah seorang lagi rakan mereka.

"Dia pun sama, cikgu", jawabnya.

Betul ke ni. Ada sedikit keraguan pada saya dengan mereka melalui tingkah laku dan bahasa badan mereka ketika menjawab soalan saya.

"Eh, kamu tak puasa ek?", tanya saya kepada mereka.

"Apa ni cikgu, saya puasa la. pagi tadi saya bangun sahur makan nasi goreng", jawabnya.

"Kamu?", tanya saya kepada seorang lagi.

"Puasa la cikgu. Apa pulak tak puasa", jawabnya.

"kamu?"tanya saya kepada seorang lagi dan diangguknya.

"Habis tu, kalau kamu puasa, pergilah solat dhuha. Apa pulak tak boleh solat. Cikgu kira sampai empat, kamu dah takde dalam kelas. 1....2....3.... ", mereka semua menghilangkan diri keluar kelas.

Aduhaiii, murid-muridku.

Nak mendisiplin dalam saff solat pun tidak kurang susahnya. Ada saja modal mereka untuk bercakap. Mencuit kawan tidak kira dalam solat mahupun luar solat. Usai 2 rakaat pertama ke 2 rakaat berikutnya bukan main bising lagi mereka. Namun alhamduillah, makin lama, makin baik. Mungkin keberkatan solat itu sendiri yang dapat mendisiplin murid tersebut.

2 Jun 2013

Bahagianya merayakan cinta

Artikel kedua berturut-turut tentang cinta.
Cuba menyelami hati sendiri.
Apa perasaanku ketika ini?

Artikel yang lepas adalah bait kata di muka depan buku tajuk kali ini.
Bahagianya merayakan cinta.
 
Buku karya Ustaz Salim A.Fillah ini cuba saya selami. 
Saya tidak mengenal penulis buku ini,
namun saranan seorang sahabat untuk saya baca buku ini saya turuti.
Jarang beliau memuji sebuah buku, katanya buku ini lain dari yang lain.

Lalu saya memilikinya dan jatuh cinta kepadanya. 
Atau mungkin bangun cinta?

Dan ingin saya cadangkan buku ini buat sahabat-sahabat Pena Cikgu (PC)
Yang sedang menghitung hari menuju ke hari bahagia,
Mahupun yang sedang berbahagia bersama yang tersayang.

Sesuai untuk dibaca sebagai bekalan dalam bahtera baitul muslim
Atau mungkin juga sebagai barangan hantaran

Moga bermanfaat. :-)

31 Mei 2013

Jatuh Cinta vs Bangun Cinta

Ada dua pilihan ketika bertemu cinta.

"Jatuh Cinta" dan "Bangun Cinta".
UNtuk dirimu, daku memilih cinta yang kedua,
Supaya cinta kita menjadi istana, tinggi menggapai syurga.

...bersambung

16 Mei 2013

Suka duka Hari Guru


16 Mei, tarikh yang diingati oleh ramai orang. Masakan tidak, dari bangku sekolah lagi kita menyambut hari guru. Bila tiba, hari guru, saya teringat zaman kanak-kanak dulu. Sibuk minta bonda belikan hadiah untuk cikgu. Terkocoh-kocoh bonda bangun seawal pagi untuk mencari hadiah sebelum menghantar anaknya ke sekolah. Kesian bonda. Pada masa itu, tidak sesenang sekarang. Hadiah yang paling 'femes' di kalangan kawan-kawan adalah kotak tisu, sabun dan pen. Sekotak tisu paling 'femes' kerana saiznya yang besar bila dibalut. Nampak macam 'grand' kononnya. Seorang cikgu kadang-kadang dapat 4 5 kotak tisu. huhu.

Rupanya bila melangkah dewasa, jejak ini diikuti oleh adinda. Kata bonda adinda merajuk tidak mahu ke sekolah kerana tiada hadiah untuk diberi kepada cikgu. Aduhai... ikut perangai sape la ni.

Masa di sekolah menengah, agak tragis juga. Selepas perhimpunan sempena hari guru, cikgu-cikgu menunggu di atas astaka, sementara murid-murid diminta naik ke pentas untuk menyampaikan hadiah kepada guru-guru. Usai majlis, ada guru yang mendapat sangat banyak hadiah sehingga terpaksa meminta bantuan 2 3 orang murid untuk diangkut ke kereta. Namun yang sedihnya, ada cikgu yang tak dapat langsung. Bukan kerana ustaz itu tidak bagus, bahkan tinggi ilmunya. Mungkin kerana tidak mesra murid menyebabkan beliau tidak menerima sebarang hadiah.

Tahun berikutnya, setiap kelas diminta menyediakan satu hadiah untuk seorang guru. Maksudnya setiap cikgu pasti menerima hadiah. Ada pun, hadiah peribadi itu masih diteruskan :)

Itu suka duka sewaktu menyambut hari guru sebagai murid. Adapun, sewaktu menjadi cikgu, lain pula keseronokannya. INshaAllah akan saya kongsikan nanti.

Hari ni, bila masuk kelas, seperti biasa saya menulis hari (Thursday) dan tarikh (16 Mei 2013) dan sebelah tarikh saya menulis (Hari Guru). Murid-murid tersengih melihat saya. Kelas yang bising tadi beransur diam.

"Hari ni hari guru. Kamu semua kena diam." kata saya kepadanya.

"Hari guru cikgu tak boleh marah", ujar seorang murid.

"yelah, sebab tu kamu semua kena diam. Hari guru, murid-murid kena diam", kata saya.

"Habis tu, nanti hari kanak-kanak nanti, kami semua boleh bising la cikgu kan? Pastu cikgu-cikgu pula kena diam tak boleh marah kami", jawab seorang murid yang lain.

Huuu... kamu ni kalau menjawab, bukan main lagi ye...

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru di seluruh Malaysia. Pengorbanan guru amat besar dan tidak mampu dibalas. Jadilah guru yang berdedikasi.

Saya teringat tajuk perbincangan kumpulan sewaktu temuduga dulu.

"Guru ibarat lilin yang membakar diri menerangi insan sekeliling vs guru umpama kasturi yang wangi dan mewangikan orang sekeliling. Bincangkan". :)

Terima kasih cikgu

9 Mei 2013

Hentikan nyalakan api perkauman

Lama saya tidak menulis di sini. Sebenarnya selalu juga saya menulis tetapi tidak 'publish'kan. Entah mengapa, sejak identiti diketahui rasa malu untuk menulis. Sebelum ini, sedaya mungkin saya cuba melarikan diri dari menjawab pertanyaan "mengajar di sekolah mana?", "nama sebenar apa?" dan sebagainya. :) Namun akhirnya saya tidak mampu lagi melakukannya.

Keputusan PRU-13 sudah diketahui umum. Walaupun banyak perkara boleh dipersoalkan tentang PRU-13 yang lalu, namun apalah yang mampu dilakukan? Terpaksa menelan setiap keperitan hidup selepas ini.

Selepas melepas untuk menikmati penurunan harga minyak, penghapusan tol, penurunan harga kereta, penghapusan interest pembelian rumah, elaun khas pendidikan dan sebagainya....
terpaksa pula menunggu kenaikan harga minyak yang menjana kenaikan harga barang dan GST yang akan dilakukan dalam masa terdekat. OH, tidak!!!
gambar dari sini
Walaupun tewas, BN dikatakan dilanda tsunami cina. Utusan Malaysia terus memainkan sentimen perkauman. Saya tidak mampu menulis lagi tentang ini, saya menyalin kembali status saya di facebook untuk semua.

"
Melayu duk jeles dengan DAP yang menang banyak, pastu duk main isu perkauman. Padahal

1. DAP letak melayu kat BUkit Bendera vs cina (BN) boleh menang melayu. Padahal majoriti cina.

2. PKR letak calon melayu di Pantai Jerjak vs cina (BN) boleh menang melayu, padahal kawasan majoriti cina.

3. PKR letak Rafizi di Pandan vs cina (BN), rafizi menang padahal kawasan majoriti cina

jika isu perkauman nak dimainkan, begini caranya...

1. Bagaimana Cikgu Normala boleh kalah di kawasan Majoriti Melayu lawan Cina?

2. Bagaimana Mahfodz Mohamad boleh kalah di kawasan majoriti Melayu lawan india?

3. Bagaimana Suhaizan Kayat boleh kalah dikawasan majoriti Melayu lawan cina?

4. Bagaimana Hamdan Basiran boleh kalah di kawasan majoriti Melayu (75%) kepada india (2.57%)?

5.Bagaimana Khalid Jaafar boleh kalah di kawasan Hulu Selangor kepada India?

Yang lain-lain sila cari sendiri...
Apakah bangsaku yang itu pengkhianat?

Ayuh..

Duhai bangsaku, jangan malas... BUka mata, buka minda. Tolak politik perkauman. Sudah lebih 6 dekad kita merdeka. Kenapa tidak dikatakan MCA rasis? Mengapa bukan gerakan yang racis ketika memerintah Penang? Kerana mereka komponen BN.

Bangsaku mesti rajin membaca dan berfikir, bukan hanya tahu menelan apa yang disuap Ayuh bangsaku, berubahlah. Jangan salahkan cina kerana kemalasan kita. Jangan bila di sua duit, terus bisu mulutnya."


 Hampir 200 share untuk status ini. Kadang-kadang saya rasa lebih ramai yang membaca jika menulis di facebook. Apapun, blog ini tetap merupakan aset saya yang sangat berharga (inshaAllah akan saya tulis sebabnya nanti)

Saya tidak pasti kenapakah sentimen perkauman ini dimainkan oleh media. Kadangkala membuatkan saya malu kepada rakan-rakan cina terutama cikgu cina yang sering saya temui di sekolah.

Sedang duk marking paper, seorang cikgu cina datang kepada saya sambil menunjukkan akhbar utusan...

"kenapa teruk sangat ni? dari semalam lagi",beliau bertanya dalam nada sedikit cemas..

speechless...

"kita kan elok2 je kat sekolah, kenapa keterlaluan sangat?", tnya beliau lagi...

"saya dah lama tak baca utusan cikgu. cikgu baca lagi ke?", saya mengalihkan jawapan.

"saya baca pun yang sekolah punya. Lepas ni tak payah langgan lah", katanya.

p/s : Bila kita selalu berurusan dengan cina di sekeliling kita, kadang2 kita rasa malu sendiri bila sentimen ini dimainkan oleh bangsa kita.

.............................................................................................................
Ada lagi satu kisah tentang sentimen ini. Ianya ditimbulkan oleh anak didikku. Aku sedih, namun tidak mahu berkongsi di sini utk menjaga hati semua pihak.

Sesungguhnya tugas cikgu untuk memandaikan bangsa amat sukar dlm lingkungan media seperti ini. Aduhaiiii...


Pada saya, ini bukan tsunama cina, tetapi tsunami rakyat. Masakan PR boleh menawan Selangor dengan majoriti yang lebih besar sedangkan orang Melayu di Selangor peratusannya lebih ramai dari bangsa lain. Di Perak, Terengganu, Perlis malah di kebanyakan negeri undi Melayu meningkat kepada PR. Jadi hentikanlah sentimen perkauman ini.

Saya ramai kawan cina, bahkan ada antaranya lagi baik dari melayu dari segi perangainya. Sering juga berdialog tentang agama buddha nya dan menerangkan Islam kepadanya. Jangan rosakkan perpaduan kami.

#inshaAllah lepas ni kembali menulis tentang kisah cikgu dan perkongsian lain :)

##untuk rekod, saya pernah kehilangan beberapa rakan pembaca di blog kerana menulis tentang politik sambil disertakan mesej "ingatkan blog bebas, rupanya ada juga politik", Apa daya saya....

Aku menulis bukan kerana nama... Kata Pak Ramli Sarip :)

27 Mac 2013

Cuti tanpa 'homework'



Tertarik juga baca tentang sistem pendidikan Negara Finland. Ada juga rasa jeles melihat suasana pembelajaraan 1 guru 12 murid. Kita, sampai 1 oran gcikgu kena ngajar 40 orang murid dalam satu kelas. Bahkan ada yang 50 orang. Harapnya bila saya membandingkan begitu, tiada yang menyuruh saya mengemas barang dan berpindah ke Finland dan jadi rakyat Finland. Alangkah dangkal dan ceteknya pemikiran macai seperti itu.

Cuti tanpa 'homework' adalah sesuatu yang agak mustahil untuk dilaksanakan di Malaysia. Cuti sekolah di Malaysia bermaksud ada kelas tambahan, ada homework banyak dan kena pergi kelas tuisyen. Selain itu, cuti di Malaysia juga bermaksud anda boleh dipanggil semuala ke sekolah jika perahan tenaga anda diperlukan. Jika tiada semua ini ditempat anda bermaksud anda bukan berada di Malaysia.

Sebelum cuti hari tu, Pihak pentadbir telah mengingatkan kepada cikgu-cikgu supaya memberi homework yang banyak kepada murid. Saya tidak menyalahkan 100% juga kepada mereka kerana saya pernah ditegur oleh ibu bapa kerana tidak memberi homework kepada anaknya.

Seorang murid mengadu kepada saya kerana namanya dicatat dalam buku demerit kerana tidak menyiapkan homework.

"Kenapa Firdaus tak buat?", tanya saya.

"Tak sempat, cikgu", katanya.

"Balik sekolah Firdaus buat apa?", tnya saya lagi.

"Lepas sekolah ada kelas tambahan , lepas tu kena g ngaji quran pastu ada sukan, malam kena g tuisyen pula. Pastu balik dalam pukul 10 saya letih dan ngantuk. Saya pun tidur", jawabnya.

"Hang ni robot ke? Bila masa hang rehat", getus hati saya.

Sistem pendidikan negara kita sebenanrya agak teruk. Mohon kepada pembaca tidak meminta saya keluar Malaysia kerana kenyataan ini. Terbaru, sistem PBS membebankan murid dan cikgu. Penggunaan terlalu banyak kertas membuatkan saya tertanya-tanya, ke mana kah hala tuju kita?




20 Mac 2013

Tolong orang, kita akan ditolong

Lama juga tidak menulis. Bukan apa, cuma berasa segan bila mana identiti saya diketahui oleh orang lain. Rasa tidak bebas untuk menulis dengan baik. Tulisan-tulisan selepas ini mungkin akan ditulis dengan lebih hati-hati dan ditapis dulu, bukan lagi main tulis je macam dulu-dulu.

Kadang-kadang bila kita lihat orang yang ada masalah, kita tak terfikir suatu ketika nanti kita akan hadapi masalah yang sama. Jadi kita tidak pernah berasa empati pada mereka. Sama juga jika kita lihat orang yang sakit,  tidak pernah ingin berempati kepada mereka.

Jika ada rakan-rakan guru diluar sana ingin mengelakkan tugas atau sesuatu jawatan di sekolah, elakkan lah diri kalian dari menjadi mengatur jadual kelas tambahan pada masa cuti sekolah. Cukup berbelah bagi antara tanggungjawab kita dan rasa kasihan dengan rakan-rakan guru yang lain.

Saya baru diberi taklifan ini, nampak mudah namun hakikatnya sangat sukar. Tahun lepas, guru yang membuat jadual, hanya mengeluarkan jadual tanpa merujuk kepada guru-guru yang akan mengajar, memang mudah baginya membuat jadual, tapi ianya menimbulkan masalah kepada guru-guru tersebut termasuk saya. Cuti 9 hari jadi 4 hari.

Menyedari hakikat itu, saya cuba lebih fleksible, cikgu-cikgu boleh memilih hari yang mereka 'free', namun timbul masalah apabila adanya cikgu-cikgu yang septutnya mengajar mempunyai perancangan sendiri sepanjang cuti. Bercuti, balik kampung, kenduri dan sebagainya. Saya terpaksa melakukan dengan sangat teliti bagi mengelakkan ada yang makan hati dan tugas saya tergendala.

Bagi yang betul-betul tidak dapat, saya cuba sedaya upaya untuk dapatkan pengganti dari cikgu-cikgu yang boleh datang. Mujurlah ada beberapa rakan guru yang sangat sporting untuk membantu. Selaku guru yang 'paling muda' dalam kalangan mereka, saya cuba memahami permasalahan mereka. Guru-guru lelaki tiada masalah, namun apabila tiba pada guru perempuan, masalah mula timbul.

"Habislah akak kena marah kat hasben. Dahla masa cuti ni je yang kami boleh balik kampung. Dia dahla susah dapat cuti", luah seorang rakan guru kepada saya.

"Kami dah plan nak bercuti, tiket semua dan beli, Macam mana ye?"tanya seorang lagi rakan guru.

Masalah timbul bila melibatkan suami mereka. Saya tidak menyalahkan mereka dan keluarga mereka kerana saya faham situasi mereka. Mungkin saya juga akan berasa benda yang saya, Lalu saya cuba aturkan sebaik mungkin dengan cikgu-cikgu yang sporting termasuk menunda kepulangan saya ke kampung halaman. Alhamdulillah, semuanya setel kecuali seorang cikgu yang masih tiada pengganti.

Sebulan yang lepas (Imbas kembali..macam cerekarama la plak)

"Cikgu, esok kak tak dapat hadir kelas tambahan. Nak bawa anak ke klinik. Macamana ye? Nak kena cari pengganti ke?", tanya seorang rakan guru kepada saya.

"Sepatutnya macam tu la kak.", jawab saya.

"Kak dah tanya semua tapi semua tak dapat sebab diorang memang ada kelas. Cikgu boleh ganti kelas akak tak?", tanya cikgu tu lagi.

"Erm, Cuba akak tanya Cikgu A, dia takde kelas esok. Kelas dia lusa, biar dia masuk kelas akak esok dan nanti akak ganti balik kelas dia lusa. Saya kelas lain, nanti susah pula kalau akak nak ganti balik", cadang saya kepadanya. Lalu dia bertanya cikgu A.

"Boleh tak cikgu A ganti saya esok. Nanti saya ganti balik kelas cikgu A lusa. Kira kita tukar hari je la", tanya cikgu tersebut kepada cikgu A.

"oh tak boleh. Esok saya ada sukan. Tak sempat nanti (alasan ini sebenarnya tiada kaitan)", jawab cikgu A.

"Erm..", cikgu tersebut agak kecewa.

"Takpe cikgu A, minggu ni sukan dibatalkan. Takde masalah kalau nak ganti", sampuk seorang cikgu yang lain. Aah la, minggu mana ada sukan. Baru saya teringat.

"Oh.. yeke?", tanya cikgu A kemudian dia terdiam seketika sebelum menyambung. "Oh, esok saya tak boleh, saya ada hal". 

Sebenanrya ada alasan lain lagi yang cikgu A beri, namun bila alasan itu dipatahkan dia mematikan ayat dengan berkata, saya tak boleh, saya ada hal.

Saya terdiam, tidak mampu berkata apa-apa.

Akhirnya saya terpaksa menggantikan cikgu tersebut kerana kasihan melihat takde sesiapa yang dapat tolong dia. Agak janggal namun tiada pilihan lain. Sebelum dia balik, dia berkata kepada saya.

"Sekarang baru akak tau sape yang susah nak minta tolong, sape yang mudah. Akak akan ingat".

Saya tersenyum dan meminta beliau tidak berfikir sangat tentang masalah itu kerana sudah selesai.

Imbas kembali tamat

"Kak,  dalam cuti ni ada satu kelas takleh nak on, takde cikgu. Akak boleh ganti tak?", tanya saya kepada cikgu yang pernah saya ganti kelasnya itu.

"Cikgu mana kak kena ganti?", tanya beliau.

"Cikgu A...", belum sempat saya jawab soalan, terus cikgu tersebut memotong "tak boleh"

"Sebenarnya kak..." belum sempat saya cakap dia terus memotong, "cari orang lain. akak tak nak". Lalu dia berlalu. Saya melihat cikgu A terkial-kial mencari pengganti, tetapi tidak berani bertnya cikgu tersebut. Memang cikgu diwajibkan cari pengganti bila tidak dapat hadir.

Usai rehat, beliau datang kepada saya.
"Akak boleh ganti dia, tapi akak ganti  bukan sebab dia, tapi sebab akak nak tolong cikgu setelkan jadual ni. Kalau bukan sebab cikgu, akak memang taknak ganti dia", kata akak ini kepada saya.

"Betul ni? Terima kasih", ucap saya kepadanya.

"Tapi jenuhlah akak nak menjawab dengan suami nanti. Dia selalu duk cakap, akak ni selalu mudah nak tolong orang tapi orang susah nak tolong kita bila kita minta tolong. Dahla suami akak cuti hari tu", ujarnya. Saya pula yang rasa serba salah.

Adakalanya saya terfikir, wajarkah kelas tambahan diadakan pada waktu cuti sekolah? Tidak cukupkah dengan waktu persekolahan dan kelas tambahan pada hari persekolahan. Cikgu-cikgu hanya ada waktu cuti sekolah untuk dimanfaatkan bersama keluarga. Ibu bapa juga pasti bising kerana waktu itu saja mereka ada untuk bawa anak jalan-jalan.




25 Feb 2013

Hakikatnya bukan seperti yang digambarkan

Alhamdulillah, transkrip jawapan murid sudah selesai di semak. Analisis item dan bedah siasat terhadap kertas jawapan sudah selesai dilakukan. Bolehlah nak bincang soalan dan jawapan dengan murid esok. InshaAllah saya cuba kongsikan pada masa akan datang tentang kaedah yang saya buat sebelum saya berbincang dengan murid bagi mengenalpasti kelemahan mereka.. Bukan yang terbaik, mungkin juga kurang berkesan namun saya selesa menggunakannya.

Menjadi seorang cikgu di zaman ini sememangnya bukan tugas yang mudah. Banyak dugaan dan rintangan yang perlu kita tempuhi. Cabaran dari murid, ibu bapa, masyarakat mahupun KPM sendiri. Kadang-kadang ia boleh menjadi tekanan kepada kita jika kita silap menanganinya.

Dalam tulisan-tulisan sebelum ini, banyak cerita manis dan pengalaman menarik sepanjang saya menjadi cikgu. Saya seperti memberi gambaran yang sangat indah tentang tugas mendidik anak bangsa. Ya, sudah pasti ianya bagus untuk memberi galakan dan semangat kepada guru-guru muda yang lain ataupun kepada bakal-bakal cikgu yang berkunjung ke sini.
gambar hiasan

Ada sisi tidak baik juga sebenarnya jika keindahan saja yang digambarkan. Nanti kurang persediaan dari untuk mereka menempuhi 'alam persekolahan'. Sebenarnya cikgu, hakikat di sekolah bukanlah indah seperti yang digambarkan. Banyak juga pengalaman pahit yang perlu saya telan dalam usaha untuk memandaikan dan mendidik anak bangsa ini.

Pernah anak didik saya ditangkap kerana berkhalwat dalam semak di luar kawasan sekolah ketika para muslimin sedang bersiap-siap untuk mengerjakan solat jumaat (cuba teka  umur anak didik saya ini?). Ada juga murid yang ditahan kerana.... arghh, tidak sanggup lagi menulis keburukan anak sendiri. Kadang-kadang terfikir untuk melepas jawatan  disiplin ini supaya tidak lagi tahu tentang salah laku anak murid.

Lagian saya rasa diri saya tidak sesuai untuk jawatan ini. saya lebih suka menyelesaikan masalah murid dengan kaedah psikologi berbanding kaedah disiplin. Sebab itu kadang-kadang usai melaksanakan SOP untuk salah laku murid, saya berjumpa mereka secara personal untuk mencungkil masalah mereka.

Ya Allah, jadikan murid-muridku murid-murid yang bertaqwa.




5 Feb 2013

Rumah oh rumah


Entah mengapa, jarang dapat menulis di sini. Bukan sibuk sangat. Bukan tidak menulis. Menulis juga tapi tidak habis dan akhirnya terperuk di dalam draft.

Cuti hujung minggu lepas saya habiskan di Tanah besar untuk mencari rumah yang sesuai untuk dibeli. Rasanya lama lagi saya terpaksa mengajar di Penang sebelum dapat pulang ke negeri asal. Menyewa rumah di sini agak mahal dan lebih berbaloi untuk membeli rumah terus. Sekurang-kurang duit yang kita laburkan setiap bulan menjadi milik kita berbanding kita menyewa. Tidak cukup hari sabtu, hari ahad kami datang lagi dan hasilnya ada 4 buah rumah yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Untuk membeli rumah yang baru, harga agak mahal sehingga melebihi had pinjaman yang layak. Memang rumah di Penang ini agak tinggi nilainya di sebelah tanah besar. Di sebelah pulau tak payah cerita la. Rumah di atas tanah, kalau takde 550k takyah buka mulut la. Lagian saya tidak berapa suka di sini. Sekurang-kurangnya beli di seberang, lebih banyak orang kita dan harga lebih sesuai walaupun makin lama makin naik harganya.

Untuk melepaskan 'bebanan' di kepala ini, saya campakkan ke dalam tulisan ini. Moga ada manfaatnya.

Rumah 1
Rumah teres setingkat corner lot. Halaman rumahnya agak cantik dengan rerumput dan sesuai jika ingin  bercucuk tanam. Surau dekat dan masjid juga tidaklah jauh sangat. Jiran-jiran juga baik sementara kondisi rumah juga ok. Harga rumah lebih kurang 280k

Rumah 2
Harga lebih murah. Kurang dari 180k tetapi ianya rumah teres setingkat ditengah. Diubah suai sehingga menjadi 4 bilik dan 3 bilik air. Rumah agak lama iaitu hampir 10 tahun tetapi kondisi masih lagi baik. Ada 3 surau berdekatan dan masjid juga tidaklah jauh sangat.

Rumah 3
Rumah tengah tetapi ianya teres 2 tingkat. Rumah ini harganya lebih kurang rumah 1, cuma ia sudah berusia belasan tahun tetapi ianya masih baik. Paling menarik kedudukannya dekat dengan masjid dan hanya boleh berjalan kaki jika ingin di sana. Lebih menarik lagi masjid tersebut sangat aktif dengan ceramah ustaz-ustaz yang osem.

Rumah 4
Harga lebih kurang rumah 1 cuma ianya teres setingkat end lot. Tiada halaman di tepi tetapi dalaman lebih cantik dan moden dari rumah 1 sesuai dengan usianya baru 3 tahun. Keadaan dalam rumah tersebut sangat menarik dengan hiasan dalaman yang unik. Tuan rumah sangat teliti dalam mengubahsuai rumah sehingga menggunakan khidmat pakar. Kali pertama masuk, pasti tertarik. Surau yang aktif amat dekat dan masjid juga tidak jauh. Dapur rumah memang terbaik.

Bila fikir-fikir pasal rumah ni, jadi 'ttekey' plak. Aduiii.. Rumah cantik dan menarik. Balik dari tengok rumah, terus saya hubungi bonda bertanya pendapat. Belum sempat saya bercakap tentang rumah, bonda terlebih dahulu memulakan bicara beliau.

"Tadi bonda jumpa kawan baik yang lama tak jumpa", ujar bonda. Saya mendiamkan diri, memberi peluang bonda bercakap. Kata bonda, kawan beliau ingin menjual tanah dusun. Harganya bawah 50k. Sebenarnya sebelum ini saya pernah meminta bonda mencarikan tanah yang sesuai untuk dibeli. Kebetulan kali ini ada yang bertanya kepada bonda terus. Bonda menjelaskan kepada kawan tersebut tentang saya dan kawannya mencadangkan saya melihatnya sendiri ketika balik cuti raya cina nanti.

Kemudian saya bercerita satu persatu tentang rumah kepada bonda. Bonda tidaklah menghalang jika ingin membeli rumah kerana menurut bonda, rumah tidak susut nilai. Cuma bonda menimbulkan isu 'orang rumah'. Kata bonda kalau kita dh tahu orang rumah kita tu kerja kat mana, senang sikit buat keputusan. Hurm...





19 Jan 2013

Fenomena Listen! Listen!

Tak perlu dijelaskan lagi tentang isu ini. Namun saya tidak menyangka ianya menjadi satu fenomena di mana semua orang memperkatakannya. Pergi ke mana-mana saja, pasti terdengar orang menyebut "Listen! listen! listen! atau pun memperkatakan tentang haiwan ada masalah, kucing ada masalah, ikan jaws ada masalah. Hurm.
gambar dari internet
Semuanya melakonkan secara sinikal. Apabila saya melihat mereka, mereka pasti tersenyum dan mengulang-ulang lagi. Bahkan saya sendiri kadang-kadang terbawa-bawa semasa di dalam kelas. Bukan kelas bising sangat pun, tapi tersebut juga. Murid dah diam pun, masih duk ulang-ulang lagi sampai depa gelak-gelak. Ntah depa paham ke tidak. Memang fenomena lah.

Bukan orang-orang biasa, bahkan turut mendapat respon dari ahli akademik dan ahli politik. Yang paling menarik adalah respon dari Timbalan Menteri KPT. Memang Dato adalah seseorang yang saya kagum. Beliau seorang yang berprinsip walaupun kadang kala terpaksa melawan arus. Banyak juga isu-isu orang muda lebih-lebih mahasiswa yang dijuarai oleh beliau.

Apabila melihat kepada isu ini, sebenarnya agak sedih saya melihat segelintir mahasiswa. Tidak adil untuk menghukum semua, namun agak ramai yang bersifat begitu. Mengangguk dan terus mengangguk tanpa berfikir. Ingatlah rakan-rakan mahasiswa, grade yang baik bukan penentu kejayaaan anda. Penting tetapi ia bukan segalanya. Jadilah mahasiswa, bukan PELAJAR di universiti.

Jika anda melihat orang-orang hebat sekarang, anda selidiklah kehidupan mereka di kampus. Apakah mereka kaki studi? Saya bukanlah orang yang hebat mana, namun pengalaman di kampus amat manis untuk dikenang.


18 Jan 2013

Lain kali jangan cakap beso

Hari ini kecoh isu Ustaz Fathul Bari kahwin di Thailand. Ini perkahwinan kedua beliau, Tidak pasti bila isu ini tercetus namun saya baru je tahu. Bukan niat untuk mencampuri urusan beliau, namun ada sedikit pesanan dan pengajaran yang boleh diambil dari isu ini.
gambar dari sini
Soal beliau nak kahwin 2 atau 3 atau 4 sekalipun, saya tidak bermasalah dengannya. Ikutlah kemampuan anda. Menurut beliau, ada orang menyebarkan memfitnah beliau tentang isu ini. Bukanlah saya nak menyokong orang yang dikatakan memfitnah itu. Pada saya, tidak perlu lah kita mencampuri urusan rumah tangga beliau apalagi isteri pertama beliau pun bersetuju. Kenapa kita yang bukan isteri dia nak sibuk-sibuk.

Namun, saya tertarik dengan doa keburukan ke atas orang Islam yang didoakan oleh beliau. Beliau mendoakan keburukan ke atas umat Islam kerana merasakan diri beliau teraniaya dalam isu ini. Lalu dibawakan kisah sahabat Saad bin Abi Waqas. Saya tidak mampu mampu berkata-kata.

Cuma saya teringat tentang kata-kata beliau ketika isu doa di stadium tahun lepas. Beliau dengan lantang tidak bersetuju dengan doa keburukan ke atas Muslim lalu mencadangkan doa kebaikan supaya orang itu berubah ke arah lebih baik. Itu lebih hampir kepada sunnah. Doa di stadium dulu sebenarnya bukanlah doa ke atas individu, tapi doa kepada organisasi, namun kini beliau sendiri mendoakan keburukan dan doa yang lebih teruk ke atas individu. Apa sudah jadi ustaz?

Sebab itu lah, bila kita tidak berada di tempatnya, kita sedaplah bercakap. Kita tak kena zalim sedapla kata  "tak boleh doa keburukan", "kena doa baik-baik saja". Nah, sekarang apa sudah jadi? Bila kena atas dahi kita, bila kita terasa dizalimi baru kita gelabah cari hadith untuk justifikasikan tindakan kita. Lain kali jangan cakap beso. Pesanan ini untuk diri saya sendiri juga.

16 Jan 2013

Hadiah buat murid ponteng

Alhamdulillah, berkesempatan menulis setelah agak lama tidak muncul di sini. Banyak sekali perkongsian yang ingin dikongsi dengan semua. Saya bukanlah guru yang terbaik, bukan juga guru yang sempurna, namun sedaya upaya berusaha untuk menjadi terbaik.
gambar ihsan google
Pelbagai teori yang dipelajari oleh bakal guru sebelum dicampak ke sekolah. Ada yang boleh pakai, ada juga yang tidak sesuai. Masakan tidak, teori itu bukanlah sesuatu yang muktamad untuk kita terima tanpa bantahan. Hanyasanya Alquran dan Hadith yang bersifat qat'ie dan tiada keraguan dan bantahan pada keduanya.

Saya suka mencuba sesuatu yang lain dari yang pernah saya cuba. Ianya untuk melihat sesuatu itu dari perspektif yang berbeza. Kadang-kadang apa yang saya cuba buat adalah berlawanan dari apa yang kebiasaannya dibuat oleh orang lain, namun saya cuba juga untuk melihat keberkesanannya. Sebenarnya sudah banyak kali saya juga dan kali ini saya ingin berkongsi salah satu darinya.

Seorang murid telah saya kesan tiada di dalam kelas saya sejak minggu lalu. Tidak hadir ke sekolah. Lalu saya bertanya kepada murid-murid lain.

"Mana Daniel? Lama dah tak datang ke sekolah ni. Sejak minggu lepas lagi." tanya saya.

"Dia ponteng, cikgu. Saya nampak dia selalu naik basikal petang-petang p ronda." jawab Siti.

"Betul cikgu. Dia malas mai sekolah." sampuk murid lain pula.

"Pesan kat dia, cikgu suruh mai sekolah. Nanti kita bagi hadiah kat dia", pesan saya kepada mereka.

Hari ini, usai saya mengajar dan memberikan latihan, saya terlihat seorang murid yang sudah lama saya tidak lihat. Dari tempat duduk guru, saya bertanya kepadanya.

"Kamu Daniel ke?" saya bertanya. Teragak-agak dia menganggukkan kepala.

"Kenapa lama tak datang sekolah?", tanya saya.

"S...saya... demam, cikgu", jawabnya perlahan.

"Dia bohong, cikgu. Saya duk nampak dia asyik duk main basikal petang-petang", potong Siti. Dia memandang kepada Siti sebelum menundukkan kepala. Perlahan-lahan saya menuju kepadanya.

"Cikgu ada janji nak bagi hadiah kat dia kan?", saya bertanya kepada kelas.

"Ha... betul cikgu. cepat cikgu, bagi dia hadiah," Intan pula menjawab.

Saya kembali ke meja guru. Di atas meja ada pembaris panjang warna kuning. Semua mata tertumpu kepada saya sementara Daniel masih menundukkan kepala. Ketakutan mungkin.

Saya mencapai beg galas, kemudian mengeluarkan sebatang pensil dari kotak.

"Ini hadiah cikgu buat Daniel", saya memberikan pensil kepada Daniel. Kelihatan dia terkejut dan teragak-agak menerimanya.

"Aaaaaaa.....", kelas menjadi riuh.

"Mana adil cikgu. Cikgu kata nak bagi 'hadiah' kat dia,"Asyraf mula bersuara.

"Betullah, kan cikgu dah bagi hadiah tu. Pensil tu la hadiah," balas saya.

"Mana boleh macam ni. Kami ingat cikgu nak rotan. Kami pun nak pensil juga", Siti tidak berpuas hati.

"Kalau dapat A matematik, cikgu bagi pensil", saya tersenyum padanya.

"Saya pun tak nak datang sekolah lah. Nanti cikgu bagi pensil kat saya", kata Farah.

"Ha? Farah nak ponteng ke?" tanya saya.

"Tak la cikgu. Gurau je. Kalau tak mai sekolah nanti mak ayah saya marah", jawab Farah.

Saya melihat Daniel begitu bersemangat menyiapkan kerja kelas yang saya berikan dengan pensil tersebut.

"Kelas, esok ada masa cikgu tak?", tanya saya.

"Ada cikgu, masa lepas rehat macam hari ini juga", Daniel menjawab degan pantas ketika rakan-rakan yang lain sibuk mencari jadual. Saya tersenyum kepadanya.

"Nanti datang ye Daniel", kata saya kepadanya.

Tiba-tiba saya teringat kepada Mohd Danish. Apa khabar kamu.


9 Jan 2013

Bicara Selebriti kembali lagi

Bicara Selebriti siri ke 7 kembali lagi ke Kelantan. Berikut adalah maklumat tentang panelis yang saya dapati dari facebook. Moga bermanfaat.


Dari kanan,
Moderator tetap, Abang Amin Idris.

Panelis
1. Azizul Hasni Awang, pelumba basikal trek negara
2. Pierre Andre, Pelakon dan Pengarah Filem
3. Oki Setiana Dewi, Heroin KCB
4. Ustaz Zamri 'Mantop'

INshaAllah, bicara ini bakal diadakan pada 20 Januari 2013 jam 9malam bertempat di Balai Islam, Lundang. Moga bermanfaat.

Wallahu a'lam.

# Banyak benda nak tulis dan nak respon, tapi kekangan masa menghalang. Moga ALlah kasih kita semua,


4 Jan 2013

Tuisyen dan Mek Tam


Alhamdulillah, minggu pertama persekolahan sudah sampai ke penghujung. Boleh la merehatkan otak sebentar walaupun ditemani oleh buku-buku latihan murid untuk disemak. Tidak mahu lagi bertangguh seperti tahun lepas supaya kesibukan di sekolah tidak berganda.

Tak lama lagi, bermula lah kelas tambahan. Ini satu lagi 'bonus' untuk cikgu yang mengajar kelas peperiksaan. Moga murid-murid dapat hadir seperti mana mereka hadir ke sekolah. barulah semangat nak mengajar. Ni kalau separuh je hadir, nak mengajar pun rasa tak semangat.

Ada juga tawaran mengajar tuisyen di luar. Aduhai, saya sangat tidak berminat untuk mengajar tuisyen. Terasa bagai menggangu kosentrasi saya untuk dan mengganggu masa saya. Banyak perkara lagi boleh dibuat pada waktu itu. Hurm, namun ada juga yang tidak dapat dielak.
Tak dapat elak tu apabila rakan-rakan guru sekolah kita yang meminta kita mengajar anak mereka. Sangat sukar menolak kerana setiap hari kita akan bertemu mereka di sekolah. Rasa malu mata pula kalau mereka bersungguh-sungguh meminta dan kita bersungguh-sungguh menolak.

Tahun lepas seorang guru yang minta, tahun ni beliau ingin menyambung lagi. Katanya keputusan matematik anaknya ada peningkatan. Erm, budak tu yang cerdik sebenarnya. Kita 'jong' push je.

Tahun ni ada seorang cikgu yang lain pula minta ajar anaknya Mek Tam. Ingat kan anaknya nama Mek Tam, rupanya ajar Add math. Tak tahu pula orang panggil Mek Tam kat subjek yang saya duk sebut 'ek mek' sejak dari zaman sekolah dulu lagi. Aduhai, bila tolak. Beliau meminta lagi. katanya beliau tak meletakkan harapan tinggi pun pada subjek tu sebab beliau tahu anak beliau macam mana. Memang la tapi kita yang mengajar ni mestila kita nak yang terbaik kan. So, setakat ini terpaksa la bersetuju dulu. Moga akan timbulnya keikhlasan bila waktu nak mula mengajar nanti.

Percayalah ibu-ibu dan bapa-bapa. Sebenarnya tuisyen ni tak perlu pun. Cukup dengan apa yang cikgu ajar kat sekolah dan kelas tambahan yang cikgu buat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails