BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


Memaparkan catatan dengan label Perkongsian ilmu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perkongsian ilmu. Papar semua catatan

20 Dis 2012

Saya dan rokok : episode 2

Sepatutnya ni dah masuk episode ke-5 selepas lama saya tulis episode 1, namun saya letakkannya di episode ke 2 kerana masih belum di publishkan episode yg lain. Takkan nak langkau episode. Ada kisah di sebalik episode ini,  baru sekarang saya berkesempatan untuk menulisnya.

Sebenarnya tulisan ini berada di dalam draft sejak setahun lalu, entah kenapa tidak terbuka hati untuk menyiapkannya dengan sempurna. Kadang-kadang terlalu banyak alasan menyebabkan saya malu kepada diri saya sendiri. Lagipun saya telah berjanji untuk menyambung tulisan tersebut.

Namun, kali ini sebelum saya menyambung tentang apa yang saya tulis pada ayat terakhir di dalam tulisan episode 1, saya ingin menyentuh satu lagi tajuk tentang rokok yang tidak kurang pentingnya dalam kita cuba untuk mendidik masyarakat iaitu tentang cikgu yang merokok.
gambar dari wikipedia
CIKGU MEROKOK

Menjadi seorang cikgu bukan saja kita mengajar dengan kata-kata, bahkan dengan perbuatan kerana apa yang kita lakukan akan dilihat dan cuba ditiru oleh murid. Bahkan cikgu sebenarnya lebih dipercayai oleh murid berbanding dengan ibu bapa mereka. Benarlah kata pepatah cikgu kencing berdiri, murid kencing berlari.

Saya teringat ketika mengajar murid tentang tajuk bahaya merokok. Pelbagai penerangan dan huraian panjang lebar tentang bahaya merokok saya berikan kepada mereka sehingga habis masa saya di dalam kelas tersebut. Di akhir kelas, seperti biasa saya membuka soalan kepada mereka jika ada sebarang kemusykilan.

Tiba-tiba seorang murid mengangkat tangan.

"Ya, silakan,".

"Cikgu, cikgu Azmi(bukan nama sebenar) merokok tu. tak bahaya ke?", tanya Amirul

"Ya, cikgu. Saya nampak Cikgu Azmi merokok kat tepi padang sana," tambah Joseph.

"Kadang-kadang dia buat asap bulat-bulat cikgu," sampuk Jhonny.

"Err..Err..," susah juga saya nak menjawab. Mengenangkan Cikgu Azmi adalah kawan saya, juga seorang cikgu tetapi saya berfikir murid-murid di hadapan saya ini lebih utama untuk saya didik.

"Ha..Macam mana tu, cikgu?," Khaleel dan Tajudeen bertanya serentak.

"Tak kira sesiapa. Kalau merokok, ianya tetap bahaya walaupun orang yang merokok itu cikgu,", jawab saya.

"Jadi, cikgu Azmi pun akan mati ke sebab hisap rokok?," tanya Cheong pula memandangkan ada gambar mayat berbungkus kesan akibat rokok. Dushh..

"Macam cikgu cakap tadi, merokok ni memberi bahaya kepada jantung kita sepeti mana dalam gambar... bla bla bla," Saya menghurai kembali apa yang saya terangkan dengan ringkas tetapi penuh yakin.

Saya sangat bersyukur kerana tidak menjadi seorang perokok. Walaupun ada antara rakan-rakan yang merokok, alhamdulillah saya tidak langsung teringin. Mungkin kesan dari cuba-cuba dulu :)

Tapi tu lah. Amat sukar untuk mendidik murid jika cikgu sendiri yang melakukan kesalahan yang nyata di hadapan murid. Kita ingin mendidik murid tidak merokok tetapi kita merokok dihadapan mereka. Bahkan merokok pula di hadapan mereka.

Usai kelas, saya ke bilik guru dan berjumpa cikgu Azmi.

"Tadi aku masuk topik rokok. Duk terang-terang kat depa, depa cakap duk nampak hang hisap rokok tepi padang. Letih juga nak menjawab," jelas saya.

"Owh, hang terang je kat depa. Cakap bahaya hisap rokok ni dan jangan jadi cam aku", jawab cikgu Azmi ringkas.

Merokok adalah bahaya kepada kesihatan kita bahkan Majlis Fatwa telah mengemukakan mengeluarkan fatwa HARAM MEROKOK berdasarkan hujah-hujah yang diberikan. Amat tidak patut ianya diamalkan oleh seorang muslim, apalagi seorang cikgu lebih-lebih lagi dilakukan dihadapan murid.

Kepada yang belum mencuba, usah cuba melakukan sesuatu yang haram walaupun sekali.

Mohon maaf jika ada yang tersinggung. Wallahu a'lam

17 Dis 2012

Alkisah tentang jodoh

gambar dari sini
Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah.  Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintah-Nya agar berusaha. Carilah jodoh yang baik, rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga.

Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan ALlah. Milik kita hanya usaha. Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita.

"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.

"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"

"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya.

"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada facebook dan twitter?," gurau saya.

"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain...."


8 Dis 2012

Ubat hati ada 5 perkara

Salam 'alaik.

INshaAllah malam ni nak kongsi pengisian yang diberi oleh seorang ustaz iaitu tentang ubat hati. Kita ni kalau sakit jasmani, risau sangat. Sakit sikit, telan panadol dah, atau ubat-ubat lain. Lepas tu makan pulak supplement2 untuk elak sakit. Bukan tak boleh, bagus juga jaga kesihatan tu namun hati kita juga perlu diubati sebab kalau hati kita sakit, payah nak masuk ilmu dan nak merasai kemanisan ibadat kepada Allah.
Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawwas ;

UBAT HATI ADA 5 PERKARA:

1. Baca Al=Quran dan maknanya (betul tajwidnya dan hayati maksudnya)
Cuba cek diri kita, berapa hari sekali kita baca al-quran? atau bila kali terakhir kita baca al-quran dan maksudnya? Adakah betul tajwid kita? Betulkah bacaan al-quran kita? Al-quran ini adalah ayat-ayat cinta dari Allah. Kalau setiap hari kita boleh baca akhbat huruf demi huruf, tapi quran kita tak baca, memang berat nanang la:)

2. Solat malam dirikanlah (Qiyamullail)
Sentiasalah berniat untuk bangun qiamullail, dan berusahalah untuk bangun, jika tak bangun, sekurang-kurangnya dapat juga satu pahala. JIka tersedar dan rasa malas sangat nak bangun, sekurang-kurangnya beristighfarlah memohon ampun dari Allah. Payah sangat nak bangun, saya pernah kongsi tips untuk bangun pagi. Moga bermanfaat.

3. Berjumpullah dengan orang yang soleh (Majlis ilmu)
Hadirilah majlis ilmu kerana ianya salah satu dari taman-taman syurga. Majlis yang turut digemari oleh para malaikat ini kalaupun kita tidak dapat hadiri sebagai pelajar, jadilah pendengar. Malaikat amat suka kepada Majlis ilmu sebab itu pada hari jumaat, ada malaikat yang ditugaskan mengambil kehadiran para jemaah ke masjid, apabila imam naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah, malaikat akan tutup buku kehadiran tu dan duduk sama-sama mendengar khutbah. Bukan maksudnya orang yang datang selepas itu tak dapat pahala, tapi namanya tiada dalam buku kehadiran awal para malaikat. Wallahu a'lam.

4.Perbanyakkan berpuasa (yang sunat)
Puasa wajib memang wajib kita tunaikan tapi ni adalah puasa sunat. Sebenarnya puasa sunat lebih sukar untuk ditunaikan berbanding puasa wajib. Puasa adalah perisai. Syurga ada satu pintu yang dinamakan arRayyan dikhaskan untuk orang yang rajin berpuasa.

DARIPADA Sahl bin Sa'ad berkata bersabda Nabi Muhammad SAW: "Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: "Di manakah orang yang telah berpuasa?" Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

5.Zikir malam berpanjanglah (dari malam sehingga waktu sahur)
Cara zikir mengingati Allah ini banyak. Sentiasalah kita mengamalkannya. InshaAllah kita termasuk di dalam kalangan hamba yang sentiasa dekat dengan Allah.

Salah satunya siapa mengamalkannya, semoga Allah sentiasa mencukupkannya.

#Kata-kata Ibrahim al-Khawwas adalah yang behuruf gelap sementara huraiannya adalah dari saya sendiri. Moga bermanfaat untuk semua. Duk cerita pasal diri sendiri saja, kadang-kadang tidak memberi manfaat pun kepada sahabat-sahabat yang berkunjung ke sini. Moga perkongsian ini dapat dimanfatkan oleh diri saya dan kita semua. Wallahu a'lam.

31 Jan 2012

Tips menangani murid nakal

Saya tidak pasti samada cara ini berkesan untuk anda atau tidak, tetapi ianya berkesan untuk saya. Sebagai seorang cikgu, sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk anak didik saya. Namun situasi sekolah saya ketika itu tidak membantu saya menjadi seorang cikgu yang terbaik buat mereka. Saya tiada masalah jika ada pelajar yang bercakap2 di dalam kelas asalkan tidak berlebihan dan kerja saya tidak mereka abaikan. Namun tidak bagi pentadbir sekolah, bagi beliau kelas perlu diam dan jika ada murid yang bercakap, cikgu akan dimarahi dan murid itu akan dirotan.

Situasi ini amat merimaskan cikgu-cikgu. Saya sebenarnya tiada masalah jika ingin memarahi saya tetapi merotan pelajar yang membuat kesalahan bercakap adalah sesuatu yang tidak patut. Bagi mengelak mereka dirotan, saya terlebih dahulu memarahi mereka supaya tidak membuat bising dan menyiapkan kerja.

Suatu hari, kelas saya bising seperti biasa, almaklumlah masa-masa terakhir sebelum balik ni mereka lebih agresif. Dari jauh kelihatan pentadbir sekolah berjalan dari kelas ke kelas. Alamak, apa aku nak buat ni.

"Boys. Quite and do your work", saya meminta mereka duduk sambil mengetuk rotan ke meja cikgu. Suasana kelas berubah seketika dan masing-masing menyambung kerja, tetapi ada seorang murid saya tidak mengendahkan arahan saya untuk duduk di tempatnya dan menyiapkan kerjanya.

"You, come here boy", saya memanggilnya ke depan. Kelas menjadi sepi dan seluruh mata memandangnya. Perlahan-lahan dia datang ke depan sambil tersengih-sengih. Saya menarik tangannya ke tepi meja guru, lalu saya pun duduk di kerusi guru.

"Kenapa kamu tak dengar cakap cikgu? Cikgu suruh buat kerja, satu kerja pun kamu tak mula lagi ni", tanya saya. Dia diam saja, senyumannya mula kendur walaupun saya tidak marah pun padanya.

"Kamu tak suka cikgu ke? kamu tak suka cikgu ajar kelas kamu?", saya bertanya. Diam lagi.

"takpelah, if u dont like me, i'll ask other teacher to replace me to teach u. Next class, cikgu minta cikgu lain ganti cikgu ye. Kamu kan tak suka cikgu, biarlah cikgu lain yang ajar kamu", saya terus bermain kata-kata. Dia menggeleng-geleng kan kepala. Seperti mahu berkata sesuatu tetapi tidak keluar dari mulutnya.

"Kamu jangan risau. Cikgu tak marah pun. dah kamu tak suka, takpelah. cikgu lain yang ganti cikgu nanti", jelas saya kepadanya. Kelihatan cecair nipis keluar dari mata kirinya.

"eh, menangis ke? betul ke ni? Sikit je air mata, dahla sebelah je. Ni nangis betu-betul ke olok2.", getus hati saya. Nak bagi dia lebih terharu, saya menyeka air mata itu dengan menggunakan tangan saya

"huushhhh!!! jangan nangis, orang laki tak boleh nangis", saya 'memujuk'. Air matanya terus berlinangan. Kali ini dari kedua belah mata. Alamak, dah nangis betul2 ni.

"dah2, pergi masuk tempat", saya memujuknya lagi. Dia tidak berganjak, lalu saya memimpin je ke tempat duduk untuk mengelaknya menangis teresak-esak.

Elok je dia duduk, dia mengambil pensil dan memulakan tugasannya. Walaupun kawan-kawannya datang mengusik, mengacau, mengajaknya bermain, tidak dipedulikannya. Padahal sebelum ini, dialah yang selalu mengacau kawannya. Saya memerhatikannya dari jauh. Sekejap2 dia memanggil saya sambil mengangkat hasil kerjanya.

"cantik tak cikgu?", dia bertanya.

"wah, sangat cantik. bagus2", puji saya.

Sebenarnya, itulah hari terakhir saya di sana. Ya, memang betul-betul ada cikgu lain yang masuk menggantikan saya. Namun, nama itu tetap akan saya ingat. Mohd Danish.

Sebenarnya sahabat-sahabat, kadang-kadang pelajar-pelajar ni kita kena jentik perasan mereka. walaupun seganas dan sebrutal mana pun mereka, di dalam hati mereka tetap ada taman.

1 Jan 2012

Cetusan hati seorang bakal cikgu : Hebatnya perancangan Allah

Alhamdulillah, masih berkesempatan untuk pulang ke kampung selepas seminggu menghabiskan masa di Penang. Selain bertugas, saya juga dipaksa menandatangani SBPA dan juga mesyuarat guru dari 27-29 Disember selain Orientasi pada 30 Disember.

Kali ini, saya ingin berkongsi sebuah email yang saya terima dari seorang bakal cikgu menceritakan pengalaman yang beliau lalui sebelum terjun ke dalam bidang pendidikan. Bermula dari SPM sehinggalah selepas mendapat segulung Ijazah, beliau berkali-kali tanpa putus asa dan penuh pengharapan kepada Allah, akhirnya pada Julai yang lalu barulah Allah kabulkan permohonan beliau.

Rupanya Allah mengabulkan doa beliau pada masa yang sesuai dan banyak hikmah yang beliau perolehi sepanjang perjalanan untuk menjadi seorang cikgu. Begitu hebat dan teraturnya perancangan Allah yang tidak kita sedar. Sebagai menghormati permintaan beliau, saya menutup beberapa bahagian di dalam surat ini. Moga kita dapat pengiktibaran dari perkongsian ini.

Emel ini saya terima sebelum saya ke Bandung lagi, namun oleh kerana beberapa hal yang tidak dapat dielakkan, baru kini saya berkesempatan untuk menyiarkannya di sini. Moga bermanfaat.

klik pada teks untuk besarkan


14 Dis 2011

8 tips cepatkan jodoh

InshaALlah kali ini saya cuba kongsikan tips cepatkan jodoh yang saya dapat dari Majalah Anis. Sudah lama tidak berkongsi ilmu di sini, asyik duk cerita pengalaman diri je. Moga beroleh manfaat.

Memang benar, jodoh pertemuan, ajal dan maut di tangan Allah, tetapi berusahalah untuk mencari dan menjejaki calon pasangan anda. Dato' Ustazah Soto Nor Bahyah Mahmood berkongsi tip-tip untuk mempercepatkan jodoh :


1. Berdoa selepas solat lima waktu.
Berdoalah dengan bahasa apa sekalipun setiap kali selepas solat 5 waktu supaya diringankan jodoh. Katanya berdoalah dari sekarang kerana doa memerlukan masa untuk dikabulkan.



"Ketika sy di tingkatan satu, ibu saya sudah pun menyuruh saya berdoa supaya diringankan jodoh di samping berdoa untuk lulus dalam peperiksaan. Saya mengamalkan doa Akashah kerana banyak khasiat dan kelebihan terkandung di dalamnya", beliau berkongsi amalannya.


2.Berdoa pada waktu tengah malam.
Menurutnya Rasulullah SAW ada menyebut dalam satu hadith bahawa berdoa pada waktu tengah malam (qiamullail) yang mana Allah mustajabkan doa samada hajat di dunia mahupun akhirat. Di samping melakukan solat sunat pada tengah malam, berdoalah supaya apa yang kita hajati terutamanya dalam soal jodoh dimustajabkan.


3.Doa ibu bapa.
Ibu bapa perlu berdoa supaya anak-anak mereka dipermudahkan urusan jodoh. Doa ibu bapa boleh membantu mempercepatkan jodoh anak-anak terutama anak-anak yang masih belum bertemu jodoh akibat halangan yang tertentu.


4.Puasa pada hari jadi
Puasa ini dipanggil puasa hajat. Ujarnya pada hari tersebut kita dilahirkan dalam keadaan bersih tanpa sebarang dosa. Jadi, berpuasalah pada hari kita dilahirkan supaya hajat kita dipermudahkan dan dikabulkan ALlah.


5. Solat sunat taubat.
Beliau menyarankan agar melakukan solat taubat terlebih dahulu pada waktu tengah malam sebelum berdoa diringankan jodoh yang terhalang.


"Kita mahu Allah tunaikan hajat kita tetapi dengan Allah belum selesai dan bersih. Jadi mintalah ampun terlebih dahulu sebelum berdoa memohon sesuatu hajat", katanya.


6.Pohon restu ibu bapa.
Tanyalah ibubapa terlebih dahulu apabila kita sudah berkenan pada seseorang. Mungkin getaran hati ibu memberi isyarat jodoh terbaik kepada kita seperti yang berlaku kepada ustazah Siti Nor Bahyah sendiri. Beliau mengaku menerima kiriman surat daripada beberapa lelaki termasuk suaminya sndiri, Ustaz Wan Akashah dan semua surat tersebut ditunjukkan kepada ibunya sebelum mengambil apa-apa tindakan.


"Apabila ibu saya membaca surat yang dikirimkan oleh suami ketika itu, dia memberitahu saya bahawa ada getaran di dalam hatinya dan membenarkan saya membalas surat tersebut", imbaunya.


Sebelum berkahwin, Ustaz Wan Akashah juga pernah mengitimkan surat kepada keluarganya di Malaysia untuk meyakinkan mereka bahawa beliau mampu menggalas tanggungjawab sebagai suami di samping tidak mengabaikan pelajarannya di Mesir. Ternyata surat yang dikirimkan itu berjaya menyakinkan keluarganya bahawa beliau mampu untuk berkahwin.


Jika ibu bapa tidak bersetuju dengan pilihan yang dibuat sedangkan dia sudah baik untuk kita, saran beliau supaya pujuk ibu bapa dengan baik, berdoalah supaya Allah melembutkan hati mereka agar menerima pilihan kita seadanya.


7. Amalkan doa-doa pilihan.
Antara doa-doa yang boleh dijadikan amalan ialah daripada Surah Yusuf, ayat 4 untuk memudahkan dan mendapatkan jodoh yang baik. Ujarnya lagi, doa Nabi Musa dalam surah al-Qasas ayat 24 patut diamalkan kerana doa ini adalah untuk sesuatu hajat yang dirasakan amat mendesak. Jelas beliau lagi, doa ini menjadi amalannya hingga kini.


"Dalam doa, kita tidak boleh meminta dengan cepat tetapi doa ini membolehkan kita mencapai sesuatu hajat dengan cepat", katanya.


8.Solat hajat.
Jika semuanya sudah diamalkan maka langkah terakhir ialah melakukan solat hajat memohon agar dipermudahkan dan dipertemukan dengan pasangan yang baik, dunia dan akhiratnya.


Kita sebagai umat manusia hanya mampu merancang, berusaha dan bertawakal tetapi Allah yang akan menentukan segalanya. Menurut beliau lagi, 'black magic' antara faktor yang menyebabkan jodoh terhalang. Oleh itu, saran beliau supaya membaca suarah Yunus ayat 81 untuk membatalkn sihir dan ilmu hitam.


**InshaAllah, moga apa yang saya sampaikan ini dapat diamalkan oleh semua tanpa mengira samada bercita-cita untuk berkahwin atau tidak. Saya yang cetek ilmu ini, tidak pernah mendengar tentang item ke 4 iaitu Puasa pada hari jadi. Mungkin jika ada sahabat yang pernah mengamalkan, mohon berkongsi di sini untuk lebih jelas atau bertanyakan mereka yang lebih arif tentangnya.

Wallahu 'alam

Jika masih ragu-ragu, mungkin alkisah tentang jodoh boleh menguraikan kekusutan saudara/i

11 Dis 2011

From Bandung with Love

Alhamdulillah.

Penerbangan QZ 7695 dari Bandara Husein Sastranegara, Bandung jam 4.00 petang (5 petang waktu Msia) selamat tiba di LCCT jam 7.00 malam selepas 2 jam berada di udara. Usai menjama'kan solat, kami terus ke KL Sentral menaiki SkyBus dan seterusnya menaiki LRT dan STAR ke Plaza Rakyat dan menyambung perjalanan ke Kuala Perlis.

Saya tinggalkan dulu kisah perjalanan di Langkawi bagi memfokuskan sedikit pengalaman di Kota Bandung. Ini mungkin boleh jadi panduan percutian ke Bandung atau tips bercuti ke Bandung. atau mungkin juga tidak :)

BANDUNG. Ada sebab mengapa kami tidak memilih pakej travel agency. Hanya berbekalkan Rp 3 juta, Kota Bandung kami takluki. Ada beberapa perkara menarik yang mengubah persepsi kami kepada warga Indonesia. Walaupun tidak adil untuk mengulas tentang sesuatu tempat dengan hanya 4 malam 4 hari di sana, tetapi inilah antara hasil yang kami dapat.

Betapa sebelum pergi kami risau dengan situasi kemarahan warga Indonesia kepada Malaysia selepas Timnas Garuda tumpas di kaki Harimau Muda pada Sukan Sea yang lepas, namun di sana kami dilayan dengan baik sekali hatta oleh gelandangan di tepi-tepi jalan. Walhal di bandung itu terkenal dengan Tim sepak bola yang hebat iaitu Persib.

Kota Bandung selamat untuk para backpacker walaupun menjelang tengah malam. Dalam kegelapan malam, kami berdua berjalan dengan aman tanpa diganggu oleh pemain skateboard di bahu jalan mahupun remaja-remaja yang lepak. Membuka peta di khalayak juga tidak menjadi masalah bahkan kami dibantu bila memerlukan. (Kami lebih risau untuk berjalan kaki dari Stesen LRT Pasar Seni ke Plaza Rakyat kerana banyak kes samun di situ. Oleh sebab itu kami menggunakan perkhidmatan Star di Masjid Jamek)

Jalanraya di Bandung sangat sesak dan kelihatan tidak sesuai untuk para pejalan kaki. Namun sesiapa boleh melintas jalan tanpa rasa takut kerana para pemandu mobil atau motor tidak akan melanggar bahkan akan sentiasa alert dengan pejalan kaki yang akan melintas jalan.(Tiba di KL Sentral, saya cuba melintas jalan seperti di Bandung apalagi kereta dilihat agak jauh, namun dilajukan lagi keretanya)

Hon merupakan perkara biasa di Bandung. Ianya seperti sapaan sesama pengguna jalan raya. Sesuatu yang agak pelik  kerana tidak sedikit pun rasa marah atau kedengaran pekikan kemarahan para pengguna jalan raya apabila di hon. Berbeza dengan negara kita. Hon adalah petanda marah atau pengganti laungan "woi, buta ke?!!!". Hon juga kadang kala mengundang perbalahan besar. (pernah berlaku di hadapan mata saya)

Kehidupan rakyat mereka susah di mata saya. Mereka berjualan di mana-mana saja dengan pelbagai cara yang tidak pernah saya terfikir. Lampu Isyarat merah merupakan rezeki bagi mereka. Ada yang bermain gitar menghiburkan para penumpang angkutan atau kereta persendirian (sejujurnya suara mereka lebih sedap dari penyanyi mee segera negara kita), ada yang memakai kostum badut dan menggerakkan kepala atau berjoget di celah-celah kesibukan jalan. Ada yang berjualan kueh, kad isi ulang (top-up), tisu, makanan, air minuman, peta dan pelbagai lagi. Dari orang tua hinggalah bocah yang masih di bangku sekolah rendah tidak kira lelaki atau perempuan. Semuanya kerana uang. Argh, sungguh sulit menceritakan di sini. Namun tidak pernah mereka mengeluh tidak diberikan uang. Diberi diambil, tidak diberi, mereka beralih kepada kenderaan lain. Tidak pernah terdengar ada yang menjerkah atau mengherdik mereka walaupun mereka ada yang menghalang lalu lintas.

Tip merupakan sesuatu yang sangat biasa di Bandung. Anehnya tidak pernah mereka memaksa apalagi meminta tetapi ianya diberi tanpa rasa beban. Di jalanan yang tiada polis, kadang kala terdapat yang sukarela mengawal lalu lintas untuk memudahkan kereta memasuki atau keluar dari simpang yang sibuk. Dibuat secara sukarela walaupun di tengah panas. Diberi tip diambil, tidak diberi diteruskan juga tugasan itu. Saya memerhatikan tindak tanduk mereka dengan rasa pelik. Jalan menjadi lebih lancar.

Oleh kerana pengangkutan utama kami adalah jalan kaki (kadang-kadang naik juga angkutan kota dan sehari menggunakan supir), adakalanya kami tersasar ke perkampungan setinggan di sana (sewaktu berjalan dari Jln Cihampelas- Jln Dago). Jalan yang sempit di celah-celah rumah atau kadang-kadang ada kedai kecil di sana meyebabkan kami tersesat, namun dengan senang hati saja mereka menunjukkan kami jalan keluar. Walaupun agak takut, namun alhamdulillah, mungkin juga berkat dari doa sahabat-sahabat yang tidak putus-putus mendoakan kami.

Sebelum pergi, ada saya terbacakan nasihat supaya tidak menanyakan harga Angkutan Kota dari suatu tempat ke suatu tempat kerana mereka akan 'sembelih' kita, ada juga nasihat supaya apabila ingin berhenti, sebut saja "kiri, pak" dan jika menyebut "stop" atau "berhenti", mereka tidak akan mengendahkannya. Mungkin itu yang dialami oleh mereka tetapi tidak pada kami. Mudah mereka mengesan kita adalah warga Malaysia. Hanya melalui percakapan walaupun saya cuba berbahasa Indonesia. Apabila kami bertanyakan arah tuju kami, mereka memberitahu angkutan yang patut kami naiki jika angkutan mereka tidak melalui jalan tersebut. Apabila sampai, mereka sendiri akan berhenti dan memberitahu kami bahawa telah sampai. Mereka amat menghormati kami sebagai pelancong ke tempat mereka. Jarak yang jauh  kami bayar Rp3000, jika dekat Rp 2000 saja namun banyak kali kami berikan Rp3000 sebagai sedekah :) Jika  memberi not lebih spt Rp10000, mereka akan memberi wang bakinya.

Di mana saja ada yang berjualan cenderahati spt keychain atau baju. Kebiasaanya di tempat makan kesukaan rakyat Malaysia ataupun di depan Factory Outlet. Mereka menawarkan harga yang sangat tinggi berkali ganda dari harga sebenar namun apabila kita tidak mahu membeli, diturunkan harga sehingga kadang kala di luar pemikiran kita. Sejujurnya, ada yang saya beli bukan kerana mahukannya tetapi atas dasar kasihan. Barangkali kota bandung ini tidak sesuai untuk orang lembut hati seperti saya. hehe.

Untuk pusingan pertama, biarlah saya berhenti di sini dahulu. Bukan maksudnya saya ingin menganggungkan negara luar dari negara sendiri namun itulah hakikat yang terjadi. Saya lebih cintakan negara saya dari Bandung, sehingga t-shirt bandung yang mempunyai tulisan 'i love Bandung' tidak mendapat tempat di hati saya walaupun designnya lawa. Namun, tidak salah jika kita belajar sesuatu yang baik dari mereka.

*Semasa memandu di Langkawi, saya cuba bersikap seperti pemandu Bandung. Melihat orang ingin melintas, saya perlahankan kenderaan sehingga kadang kala serba salah pejalan kaki untuk melintas. Barangkali tidak percaya ada yang sanggup memberi jalan kepada mereka. Sungguh, musafir di Bandung banyak mengajar saya erti kehidupan.

** Apa yang saya tulis ini merupakan antara pengalaman saya sendiri di Bandung. Ianya mungkin berlainan dengan apa yang anda baca di tempat lain atau berlainan dengan pengalaman anda sendiri. Justeru, mungkin lain juga pengajaran yang anda dapat. Moga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua.

Wallahu a'lam

4 Dis 2011

Merebut Kelebihan Bulan Muharram

ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)
Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.
Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.
Hikmah bulan haram
Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.
Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)
Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.
Amalan sunnah Muharam
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.
‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.
” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.
Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”
Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

sumber : ustazazhar.net

25 Okt 2011

Aku, Isabella dan Tok Kenali

Ini adalah salah satu buku yang saya beli seperti yang saya ceritakan dalam artikel sebelum ini.


Buku 1
TRAVELOG HIDAYAH: Aku, Isabella dan Tok Kenali karya Bob Lokman dan Riduan Mohamad Nor
Buku ini saya beli kerana sudah lama saya ingin membacanya ianya sejak awal keluarannya, namun kini baru berkesempatan. Alhamdulillah buku ini telah berjaya saya khatamkan lantaran adinda bongsu bermurah hati menawarkan diri untuk menanda kertas peperiksaan pelajar saya. Dapatlah meluangkan masa untuk membaca buku sambil menunggu beliau menanda kertas.


Lahir di dalam keluarga ulama besar seperti Tok Kenali tidak menjamin tumpahnya kealiman dan kewarakan kepada seseorang itu kerana iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. ia tak dapat dijual beli, ia tiada ditepian pantai. walau apa pun caranya juga, engkau mendaki gunung yang tinggi, engkau merentas lautan api, namun tak dapat jua dimiliki jika tidak kembali pada ALlah.

10 Okt 2011

Tips Perkahwinan bahagia


TIP PERKAHWINAN


1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

1 Okt 2011

Pesanan buat bakal suri hati

Seorang isteri mengadu begini kepada saya, " Suami saya bukanlah seperti yg saya gambarkan sewaktu belum berkahwin. Dia amat berbeza daripada penampilannya dahulu. Sekarang dia bukan sahaja gagal membahagiakan saya malah sering menjadikan saya kesal mempersuamikannya.



Ingin sekali saya meninggalkannya, tapi tak berupaya kerana memikirkan anak2 dan masa depan saya sendiri, walaupun ada lelaki yang sedia mengambil saya di luar sana. Saya seperti terperangkap oleh kedunguan masa lalu. Kekal bersamanya bererti saya selamanyalah tidak akan berasa bahagia. Apa yang boleh saya lakukan sekarang?"

25 Sep 2011

4 kata-kata kunci ketenangan

Untuk perkongsian kali ini, saya ingin menyambung  sedutan khutbah jumaat yang saya kongsikan sebelum ini. Mudah-mudahan ianya menjadi peringatan yang berguna kepada kita inshaAllah.
 
Seorang ulama Sufi di zaman tabi'in, Al'Imam Hassan Al-Bashri menunjukkan kita jalan ketenangan dengan berpesan. Empat kata-kata yang merupakan kunci meraih ketenangan ialah :

1. Katanya "Aku tahu bahawa rezekiku tidak akan jatuh ke tangan orang lain, maka hatiku menjadi tenang".

Kata-kata ini membawa kefahaman kepada kita bahawa manusia yang faham benar konsep rezeki pasti tidak akan mengorbankan masa untuk persediaan akhiratnya demi kepentingan duniawinya. Mana mungkin ditinggalkan solatnya walau satu waktu, hanya kerana ribuan ringgit. Mana mungkin diabaikan pahala menjaga ibu yang tua kerana kepentingan lain. Mana mungkin ditinggalkan ibu tuanya yang memakai pampers dengan linangan air mata, semata-mata untuk menjadi si kaya dengan merantau ke bumi lain, sedangkan pendapatannya hari ini sudah lebih dari cukup.

18 Sep 2011

Effective Tips to Solved Daily Problem‏

Kali ni saya perkongsian saya adalah di dalam bahasa Inggeris untuk menunjukkan penting juga kita belajar bahasa Inggeris. Bahasa ini mudah saja dan saya rasa pengunjung Pena Cikgu tidak memerlukan terjemahan kerana semuanya bijak-bijak semua. Ini bukan tulisan saya tetapi perkongsian dari email jadi keberkesanannya tidak dapat saya jamin 100%. Namun beberapa tips pernah saya dengar dan lakukan sebelum ini dan alhamdulillah ianya berkesan. Selamat membaca.
Ants Problem:
Keep the skin of cucumbers near the place or ant hole.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails