BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


Memaparkan catatan dengan label Diari hatiku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diari hatiku. Papar semua catatan

2 Jun 2013

Bahagianya merayakan cinta

Artikel kedua berturut-turut tentang cinta.
Cuba menyelami hati sendiri.
Apa perasaanku ketika ini?

Artikel yang lepas adalah bait kata di muka depan buku tajuk kali ini.
Bahagianya merayakan cinta.
 
Buku karya Ustaz Salim A.Fillah ini cuba saya selami. 
Saya tidak mengenal penulis buku ini,
namun saranan seorang sahabat untuk saya baca buku ini saya turuti.
Jarang beliau memuji sebuah buku, katanya buku ini lain dari yang lain.

Lalu saya memilikinya dan jatuh cinta kepadanya. 
Atau mungkin bangun cinta?

Dan ingin saya cadangkan buku ini buat sahabat-sahabat Pena Cikgu (PC)
Yang sedang menghitung hari menuju ke hari bahagia,
Mahupun yang sedang berbahagia bersama yang tersayang.

Sesuai untuk dibaca sebagai bekalan dalam bahtera baitul muslim
Atau mungkin juga sebagai barangan hantaran

Moga bermanfaat. :-)

31 Mei 2013

Jatuh Cinta vs Bangun Cinta

Ada dua pilihan ketika bertemu cinta.

"Jatuh Cinta" dan "Bangun Cinta".
UNtuk dirimu, daku memilih cinta yang kedua,
Supaya cinta kita menjadi istana, tinggi menggapai syurga.

...bersambung

16 Jan 2013

Hadiah buat murid ponteng

Alhamdulillah, berkesempatan menulis setelah agak lama tidak muncul di sini. Banyak sekali perkongsian yang ingin dikongsi dengan semua. Saya bukanlah guru yang terbaik, bukan juga guru yang sempurna, namun sedaya upaya berusaha untuk menjadi terbaik.
gambar ihsan google
Pelbagai teori yang dipelajari oleh bakal guru sebelum dicampak ke sekolah. Ada yang boleh pakai, ada juga yang tidak sesuai. Masakan tidak, teori itu bukanlah sesuatu yang muktamad untuk kita terima tanpa bantahan. Hanyasanya Alquran dan Hadith yang bersifat qat'ie dan tiada keraguan dan bantahan pada keduanya.

Saya suka mencuba sesuatu yang lain dari yang pernah saya cuba. Ianya untuk melihat sesuatu itu dari perspektif yang berbeza. Kadang-kadang apa yang saya cuba buat adalah berlawanan dari apa yang kebiasaannya dibuat oleh orang lain, namun saya cuba juga untuk melihat keberkesanannya. Sebenarnya sudah banyak kali saya juga dan kali ini saya ingin berkongsi salah satu darinya.

Seorang murid telah saya kesan tiada di dalam kelas saya sejak minggu lalu. Tidak hadir ke sekolah. Lalu saya bertanya kepada murid-murid lain.

"Mana Daniel? Lama dah tak datang ke sekolah ni. Sejak minggu lepas lagi." tanya saya.

"Dia ponteng, cikgu. Saya nampak dia selalu naik basikal petang-petang p ronda." jawab Siti.

"Betul cikgu. Dia malas mai sekolah." sampuk murid lain pula.

"Pesan kat dia, cikgu suruh mai sekolah. Nanti kita bagi hadiah kat dia", pesan saya kepada mereka.

Hari ini, usai saya mengajar dan memberikan latihan, saya terlihat seorang murid yang sudah lama saya tidak lihat. Dari tempat duduk guru, saya bertanya kepadanya.

"Kamu Daniel ke?" saya bertanya. Teragak-agak dia menganggukkan kepala.

"Kenapa lama tak datang sekolah?", tanya saya.

"S...saya... demam, cikgu", jawabnya perlahan.

"Dia bohong, cikgu. Saya duk nampak dia asyik duk main basikal petang-petang", potong Siti. Dia memandang kepada Siti sebelum menundukkan kepala. Perlahan-lahan saya menuju kepadanya.

"Cikgu ada janji nak bagi hadiah kat dia kan?", saya bertanya kepada kelas.

"Ha... betul cikgu. cepat cikgu, bagi dia hadiah," Intan pula menjawab.

Saya kembali ke meja guru. Di atas meja ada pembaris panjang warna kuning. Semua mata tertumpu kepada saya sementara Daniel masih menundukkan kepala. Ketakutan mungkin.

Saya mencapai beg galas, kemudian mengeluarkan sebatang pensil dari kotak.

"Ini hadiah cikgu buat Daniel", saya memberikan pensil kepada Daniel. Kelihatan dia terkejut dan teragak-agak menerimanya.

"Aaaaaaa.....", kelas menjadi riuh.

"Mana adil cikgu. Cikgu kata nak bagi 'hadiah' kat dia,"Asyraf mula bersuara.

"Betullah, kan cikgu dah bagi hadiah tu. Pensil tu la hadiah," balas saya.

"Mana boleh macam ni. Kami ingat cikgu nak rotan. Kami pun nak pensil juga", Siti tidak berpuas hati.

"Kalau dapat A matematik, cikgu bagi pensil", saya tersenyum padanya.

"Saya pun tak nak datang sekolah lah. Nanti cikgu bagi pensil kat saya", kata Farah.

"Ha? Farah nak ponteng ke?" tanya saya.

"Tak la cikgu. Gurau je. Kalau tak mai sekolah nanti mak ayah saya marah", jawab Farah.

Saya melihat Daniel begitu bersemangat menyiapkan kerja kelas yang saya berikan dengan pensil tersebut.

"Kelas, esok ada masa cikgu tak?", tanya saya.

"Ada cikgu, masa lepas rehat macam hari ini juga", Daniel menjawab degan pantas ketika rakan-rakan yang lain sibuk mencari jadual. Saya tersenyum kepadanya.

"Nanti datang ye Daniel", kata saya kepadanya.

Tiba-tiba saya teringat kepada Mohd Danish. Apa khabar kamu.


4 Jan 2013

Tuisyen dan Mek Tam


Alhamdulillah, minggu pertama persekolahan sudah sampai ke penghujung. Boleh la merehatkan otak sebentar walaupun ditemani oleh buku-buku latihan murid untuk disemak. Tidak mahu lagi bertangguh seperti tahun lepas supaya kesibukan di sekolah tidak berganda.

Tak lama lagi, bermula lah kelas tambahan. Ini satu lagi 'bonus' untuk cikgu yang mengajar kelas peperiksaan. Moga murid-murid dapat hadir seperti mana mereka hadir ke sekolah. barulah semangat nak mengajar. Ni kalau separuh je hadir, nak mengajar pun rasa tak semangat.

Ada juga tawaran mengajar tuisyen di luar. Aduhai, saya sangat tidak berminat untuk mengajar tuisyen. Terasa bagai menggangu kosentrasi saya untuk dan mengganggu masa saya. Banyak perkara lagi boleh dibuat pada waktu itu. Hurm, namun ada juga yang tidak dapat dielak.
Tak dapat elak tu apabila rakan-rakan guru sekolah kita yang meminta kita mengajar anak mereka. Sangat sukar menolak kerana setiap hari kita akan bertemu mereka di sekolah. Rasa malu mata pula kalau mereka bersungguh-sungguh meminta dan kita bersungguh-sungguh menolak.

Tahun lepas seorang guru yang minta, tahun ni beliau ingin menyambung lagi. Katanya keputusan matematik anaknya ada peningkatan. Erm, budak tu yang cerdik sebenarnya. Kita 'jong' push je.

Tahun ni ada seorang cikgu yang lain pula minta ajar anaknya Mek Tam. Ingat kan anaknya nama Mek Tam, rupanya ajar Add math. Tak tahu pula orang panggil Mek Tam kat subjek yang saya duk sebut 'ek mek' sejak dari zaman sekolah dulu lagi. Aduhai, bila tolak. Beliau meminta lagi. katanya beliau tak meletakkan harapan tinggi pun pada subjek tu sebab beliau tahu anak beliau macam mana. Memang la tapi kita yang mengajar ni mestila kita nak yang terbaik kan. So, setakat ini terpaksa la bersetuju dulu. Moga akan timbulnya keikhlasan bila waktu nak mula mengajar nanti.

Percayalah ibu-ibu dan bapa-bapa. Sebenarnya tuisyen ni tak perlu pun. Cukup dengan apa yang cikgu ajar kat sekolah dan kelas tambahan yang cikgu buat.

25 Dis 2012

Banjir

Alhamdulillah. Selamat tiba di Pulau Pinang selepas mengharungi hujan yang sangat lebat di Kelantan. Rupanya di Pulau Pinang ini sang mentari begitu galak memancar sinarnya. Tidak sempat untuk merasai suasana banjir pada tahun ini kerana 'puye bah' lambat kali ni.
oreng pun sodap...

Apabila teringat banjir, pasti yang akan berada dalam ingatan adalah ikan darat. Asam pedas haruan dan puyu goreng sudah cukup untuk mengecurkan liur dibibir. atau mungkin juga keli masak lemak. Berpagi-pagian memasang pukat, berpetang-petangan melihat hasil tangkapan dan berterusan setiap pagi dan petang di baruh hinggalah air surut.

Tika di bangku sekolah rendah, musim sebegini kadang-kadang mengikut pakcik mencerut rumput untuk santapan lembu atuk dan lembunya. Sekadar suka-suka, sambil menunggu, sambil mengintai peluang untuk menangkap ikan. Pada waktu kecil juga, kerap kali musim begini ops belalang dilancarkan. Lama sungguh tak makan belalang goreng. Ini merupakan hidangan kegemaran tika kecil dulu. Kenalkah generasi sekarang akan belalang goreng? Atau hanya di kampungku saja hidangan ini 'pupus'.

Banjir juga dilihat sebagai proses tapisan untuk tamu-tamu rumah Allah. Mana taknya, untuk ke surau perlu mengharungi air paras peha. Namun ada juga yang diberi hidayah oleh Allah untuk ke Masjid, ada juga yang memilih untuk ke masjid yang lebih jauh, malah ada juga yang hanya bersolat di rumah atas alasan dhorurat. Ada juga yang mengupah bocah-bocah untuk menolak perahu ke tempat solat.

Paling kasihan adalah mangsa banjir dari kalangan orang tua, pemilik kenderaan dan pemilik rumah itu sendiri. Itu semasa banjir, selepas banjir, kena membersihkan rumah pula. Moga Allah memberi kemudahan kepada mereka untuk menghadapi dugaan ini. Pada masa ini wakil rakyat yang bertanggungjawab merupakan golongan yang paling sibuk. Apa taknya, anak buah di segenap tempat memerlukan bantuan.

Moga banjir kali ini tidak meragut korban seperti tahun-tahun yang lepas. Kepada semua, awasi lah kanak-kanak. Bukan hanya yang ada pertalian dengan kita, sebaliknya kepada semua kanak-kanak yang kita lihat sedang membahayakan diri masing-masing. Mereka itu tidak sedar akan bahaya, justeru tugas yang dewasa inilah menegur mereka.

23 Apr 2012

"Saya ikut sunnah nabi, cikgu"

Anak didik saya ramai yang mempunyai facebook dan sering bertanya fb saya untuk mereka add as friend. Sebagai seorang cikgu, saya tidak mahu mempunyai gap yang jauh dengan mereka, jadi saya tidak bermasalah untuk menerima mereka sebagai kawan.

Semakin hari semakin ramai yang menambah saya sebgai kawan fb mereka. Apabila melihat post-post dan komen mereka di fb, hati saya risau tentang apa akan jadi kepada mereka dalam tempoh 5 atau 10 tahun akan datang. Bagaimanakah akhlak mereka di masa akan datang?

Sesuatu yang tidak terduga oleh saya adalah tentang budaya couple di kalangan mereka yang saya tidak pasti apakah ini sebenarnya budaya biasa bagi sahabat-sahabat. Anak-anak didik saya masing-masing berbangga dengan meletakkan in a relationship with .... pada status hubungan mereka di fb. Ada juga yang meletakkan married with ... selain berbahasa mama dan papa dengan pasangan mereka. Ada yang dengan rakan sekelas, ada juga dengan rakan berlainan kelas malah ada juga dengan kakak senior yang lebih tua dari mereka.

Apabila ditanya, dengan senyum dan bangga mereka menjawab "sunnah nabi, cikgu".

"sunnah nabi apa?"kapel sunnah nabi ke?". tanya saya.

"sunnah nabi la macam dengan Siti Khadijah. Nabi lebih muda", jawabnya. Aduh, rupanya umur yang dimaksudkannya, bukan hubungan kapel itu sendiri. Apabila saya bertanya lebih tentang beberapa status dan komen mereka di fb, dia diam dan kemudian dijawabnya kepada saya.

"uii, bahaya betullah cikgu ni. Kena unfriend cikgu nampaknya. Terlalu bahaya cikgu jadi friend kat fb saya". alahai.

Clash dan bertukar ganti pasangan juga perkara biasa. Hari ini dengan bangga memberitahu mereka ada pasangan, esoknya sumpah seranah apabila berkelahi,

"semua lelaki sama je. tak boleh dipercayai", Minggu depan in a relationship dengan orang lain pula. Aduh.

Apabila diteliti, saya mendapati mereka sebenarnya kurang kasih sayang ibu bapa. Ada banyak masalah lain tetapi yang paling ketara adalah masalah keluarga. Saya sayangkan mereka, mereka ibarat adik saya sendiri kerana umur adik bongsu saya adalah sama dengan mereka.

Hujung minggu keluar dating berdua-duaan ke shopping mall. Mungkin mereka tidak melakukan apa-apa namun di usia sementah itu sudah pandai keluar dating, bagaimana agaknya bila sudah remaja nanti?

Surat cinta tidak usah dicerita. Dah banyak kali tertangkap. Dari murid biasa sampailah kepada pengawas biasa dan 'ustaz' pembaca doa pagi. Apakah yang patut saya lakukan?

15 Apr 2012

Tsunami + saman polis

Agak terlambat untuk mengulas isu gempa bumi yang berlaku di Acheh pada hari pertabalan Agong yang lalu. Lagipun masa tu semua irang tulis pasal ini, jadi biarlah keadaan reda dulu sebelum saya menulis.

Ketika itu baru usai solat asar dan saya sedang menyiapkan 'presentation' untuk murid-murid. Kepala saya tiba-tiba pening seolah-olah mahu pitam. Saya cuba menenangkan diri namun rasa pusing itu makin terasa, lantas saya keluar dari bilik dan melihat housemate bergegas ke luar rumah. Saya ke sana dan melihat suasana kecoh. jiran-jiran panik kerana bangunan bergegar agak kuat.

Mana tak nya, rumah kami berada di tingkat paling atas dan tapak apartment ini asalnya adalah laut yang ditambak. Selepas memastikan semuanya ok, kami turun ke bawah. Asalnya menaiki lift, namun gegaran di dalam lift lebih kuat menyebabkan kami tiada pilihan selain menggunakan tangga. Berpusu-pusu manusia menuruni tangga. Sampai di bawah, sudah ramai yang memenuhi kawasan laman. Ada yang muka bangun tidur, ada yang hanya bertuala dan bermacam kerenah lagi.

Selepas keadaan agak reda, kami kembali ke rumah dan bersiap untuk keluar kerana dijangka amaran tsunami telah dikeluarkan dan dijangka sampai ke Penang jam 9.10 malam. Housemate mencadangkan kami ke tanah besar sebelum jambatan ditutup, namun saya kurang bersetuju dan mencadangkan tinggal di pulau saja, tetapi berada di tempat yang jauh sedikit dari pantai. Selepas arahan tsunami ditarik balik, barulah kami kembali ke rumah.

Ramai sebenarnya yang lari ke Tanah Besar apabila amaran tsunami dikeluarkan. Lihat kan, baru sedikit peringatan Allah berikan kepada manusia, masing-masing sudah menunjukkan rasa takut yang tidak berbelah bagi. Gegaran ini hanyalah sedikit berbanding kegoncangan pada hari kiamat. Namun, apakah manusia itu berfikir tentangnya?

Apabila kesekolah keesokan harinya, pelajar-pelajar sibuk bertanya dan isu ini riuh di sekolah. Bermacam soalan yang ditanya.
"cikgu rasa tak gegaran semalam?", tanya seorang murid.
"cikgu, betulkah hari jumaat ini kiamat?", tanya seorang murid lagi.
"cikgu, semalam saya rasa bergegar", jelas seorang murid.
"cikgu, best la gempa bumi semalam. saya suka", seorang murid lagi mencelah. Aiseh, best kamu cakap.

Saya tertarik dengan soalan seorang pelajar ini,

"cikgu, semalam tu bala kan? sebab manusia lupa Allah", tanya seornag murid yang lain.

Apapun moga kita sentiasa beringat akan Allah.


SAMAN POLIS 

Keesokan harinya juga sewaktu saya ingin ke rumah rakan guru, saya ditahan oleh seorang polis. Kesalahan yang dilakukan amat besar pada pandangan undang-undang jalan raya Malaysia iaitu melanggar isyarat lampu merah. Aduh, sebenarnya silap timing. Sewaktu melihat  lampu isyarat di sebelah kanan berubah dari hijau ke kuning dan seterusnya merah, saya terus memecut tanpa menunggu lampu hijau. Rupanya giliran hijau adalah di sebalah depan. Kebetulan ada roadblock yang memang saya tidak sedar, dan diminta ke tepi.

"minta lesen", ujarnya. saya mengeluarkan lesen.
"minta road tax", saya keluarkan road tax.
"minta 'ic" saya keluarkan ic.

Aduh, abislah kali ni.

"kerja apa?", tnya dia.

"cikgu", jawab saya perlahan.

"cikgu???? awak nak pelajar awak ikut peraturan, awak langgar peraturan", bebelnya.

"maaf. cik saya tak perasan. silap timing. Lagipun saya nak cepat", jawab saya takut-takut.

"Itu alasan awak? Sekarang lagi cepat ke lagi lambat?", tanya dia.

"Lambat", jawab saya dengan sepatah kata.

"tau pun. dah dah cepat sangat, tunggu sini lama skit". Aduh... dah la nak cepat. Jadi makin lambat. Bukan lampu isyarat besar pun, lampu isyarat kat lorong ni je. takpelah. asalkan tak kena saman.

Sebentar kemudian, dia bertanya sekolah saya.

"Owh, anak saya belajar kat air itam", jelasnya tanpa ditanya.

Kemudian menyuruh saya berjanji tidak akan langgar lampu isyarat lagi sebelum melepaskan saya pergi. Huh, nasib baik terlepas.

8 Apr 2012

Kembali...

Bismillah.

Alhamdulillah. Dapat meluangkan masa untuk kembali menulis di dalam pena ini walaupun sudah lama tidak ke sini. Terima kasih atas kunjungan sahabat. Rupanya sudah 2 bulan saya meninggalkan lapangan ini. Moga selepas ini tidak akan ada lagi 'gap' yang lama antara post.

Memang diakui, saya agak sibuk dengan urusan persekolahan. Jarang dapat balik sekolah on time, selalunya hampir pukul 4 petang baru boleh pulang. Macam-macam perkara, mesyuarat, unit uniform, sukan, kelab/persatuan dan kelas tambahan lebih-lebih lagi bila mengajar kelas peperiksaan. Hari sabtu tidak terkecuali apabila hampir setiap sabtu ke sekolah untuk pelbagai aktiviti dan yang paling utama adalah kelas tambahan. Begitu juga dengan cuti sekolah baru-baru ini, hanya dapat separuh saja, juga kerana kelas tambahan.

Setiap hari tidak sah kalau tidak membuat balik buku tulis murid untuk disemak dan buku RPH untuk ditulis kerana tiada kesempatan waktu di sekolah. Hanya ditugaskan mengajar 28 waktu namun jawatan-jawatan lain yang mengganggu urusan pengajaran. Ketua Panita, guru pengawas, guru kelas, ketua unit uniform, jurulatih bola tampar, guru rumah HIJAU dan tugas-tugas adhoc lain merencatkan masa untuk melakukan urusan tersebut di sekolah.

Namun, saya seronok. Sehingga artikel ini ditulis, saya masih seronok dengan kesibukan ini. Saya tahu, tugasan ini tidak seberapa berbanding dengah cikgu-cikgu lain dan cikgu-cikgu di sekolah lain. Saya mendapat tahu ada cikgu yang tidak dapat cuti sekolah langsung kerana kelas tambahan sedangkan saya ada juga separuh dari cuti tersebut.

Moga selepas ini masih ada kesempatan untuk saya menulis di sini. Sebenarnya bukan soal cukup atau tidak masa yang diberi, tetapi lebih kepada soal keberkatan masa itu sendiri. Setiap orang diberi 24 jam sehari. Kadang-kadang kesibukan ini juga dirasakan kerana tidak memiliki keberkatan masa itu sendiri. Kuliah agama sekarang pun lebih bergantung kepada kuliah online.

Pernah juga beberapa kali sebelum ini menulis di sini namun hanya terperuk di draft sahaja. Tiada kekuatan untuk menyiarkan di blog.
Sahabat, doakan daku istiqamah dalam jalan dakwah dan sentiasa berada dalam redha Allah.

Moga kita semua sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah. Ameen.

31 Jan 2012

Tips menangani murid nakal

Saya tidak pasti samada cara ini berkesan untuk anda atau tidak, tetapi ianya berkesan untuk saya. Sebagai seorang cikgu, sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk anak didik saya. Namun situasi sekolah saya ketika itu tidak membantu saya menjadi seorang cikgu yang terbaik buat mereka. Saya tiada masalah jika ada pelajar yang bercakap2 di dalam kelas asalkan tidak berlebihan dan kerja saya tidak mereka abaikan. Namun tidak bagi pentadbir sekolah, bagi beliau kelas perlu diam dan jika ada murid yang bercakap, cikgu akan dimarahi dan murid itu akan dirotan.

Situasi ini amat merimaskan cikgu-cikgu. Saya sebenarnya tiada masalah jika ingin memarahi saya tetapi merotan pelajar yang membuat kesalahan bercakap adalah sesuatu yang tidak patut. Bagi mengelak mereka dirotan, saya terlebih dahulu memarahi mereka supaya tidak membuat bising dan menyiapkan kerja.

Suatu hari, kelas saya bising seperti biasa, almaklumlah masa-masa terakhir sebelum balik ni mereka lebih agresif. Dari jauh kelihatan pentadbir sekolah berjalan dari kelas ke kelas. Alamak, apa aku nak buat ni.

"Boys. Quite and do your work", saya meminta mereka duduk sambil mengetuk rotan ke meja cikgu. Suasana kelas berubah seketika dan masing-masing menyambung kerja, tetapi ada seorang murid saya tidak mengendahkan arahan saya untuk duduk di tempatnya dan menyiapkan kerjanya.

"You, come here boy", saya memanggilnya ke depan. Kelas menjadi sepi dan seluruh mata memandangnya. Perlahan-lahan dia datang ke depan sambil tersengih-sengih. Saya menarik tangannya ke tepi meja guru, lalu saya pun duduk di kerusi guru.

"Kenapa kamu tak dengar cakap cikgu? Cikgu suruh buat kerja, satu kerja pun kamu tak mula lagi ni", tanya saya. Dia diam saja, senyumannya mula kendur walaupun saya tidak marah pun padanya.

"Kamu tak suka cikgu ke? kamu tak suka cikgu ajar kelas kamu?", saya bertanya. Diam lagi.

"takpelah, if u dont like me, i'll ask other teacher to replace me to teach u. Next class, cikgu minta cikgu lain ganti cikgu ye. Kamu kan tak suka cikgu, biarlah cikgu lain yang ajar kamu", saya terus bermain kata-kata. Dia menggeleng-geleng kan kepala. Seperti mahu berkata sesuatu tetapi tidak keluar dari mulutnya.

"Kamu jangan risau. Cikgu tak marah pun. dah kamu tak suka, takpelah. cikgu lain yang ganti cikgu nanti", jelas saya kepadanya. Kelihatan cecair nipis keluar dari mata kirinya.

"eh, menangis ke? betul ke ni? Sikit je air mata, dahla sebelah je. Ni nangis betu-betul ke olok2.", getus hati saya. Nak bagi dia lebih terharu, saya menyeka air mata itu dengan menggunakan tangan saya

"huushhhh!!! jangan nangis, orang laki tak boleh nangis", saya 'memujuk'. Air matanya terus berlinangan. Kali ini dari kedua belah mata. Alamak, dah nangis betul2 ni.

"dah2, pergi masuk tempat", saya memujuknya lagi. Dia tidak berganjak, lalu saya memimpin je ke tempat duduk untuk mengelaknya menangis teresak-esak.

Elok je dia duduk, dia mengambil pensil dan memulakan tugasannya. Walaupun kawan-kawannya datang mengusik, mengacau, mengajaknya bermain, tidak dipedulikannya. Padahal sebelum ini, dialah yang selalu mengacau kawannya. Saya memerhatikannya dari jauh. Sekejap2 dia memanggil saya sambil mengangkat hasil kerjanya.

"cantik tak cikgu?", dia bertanya.

"wah, sangat cantik. bagus2", puji saya.

Sebenarnya, itulah hari terakhir saya di sana. Ya, memang betul-betul ada cikgu lain yang masuk menggantikan saya. Namun, nama itu tetap akan saya ingat. Mohd Danish.

Sebenarnya sahabat-sahabat, kadang-kadang pelajar-pelajar ni kita kena jentik perasan mereka. walaupun seganas dan sebrutal mana pun mereka, di dalam hati mereka tetap ada taman.

5 Jan 2012

Apabila ibu bapa lebih ramai dari murid

Bismillah.

Ambil sedikit kesempatan untuk menukilkan kehidupan pada hari pertama persekolahan tahun 2012. Mohon maaf tidak sempat berziarah dan memberi respon kepada komen. Hari in sangat sibuk sehingga hampir jam 12 sekarang ni, masih berusaha menyiapkan perancangan p&p utuk esok. Erm, siapa kata tugas guru hanya separuh hari, try this at home. huhu. Dah macam budak praktikal dah ni.

Sukarnya menjadi guru kelas untuk kelas paling hadapan ni. Pagi tadi hampir semua murid ada ibu bapa yang berkampung di luar kelas saya. Bayangkanlah jika ada 35 orang murid, maka jumlah ibu bapa adalah 2 kali ganda dari jumlah tersebut. Sudah pasti tidak semua begitu tetapi majoriti ibu bapa ada di luar kelas. Itu kelas saya, kelas lain pun sama juga.

Ditambah lagi dengan pembahagian buku teks pada hari ini kerana buku tersebut baru saja sampai, ditambah lagi dengan ibu bapa yang berkeras ingin membayar yuran PIBG, ditambah lagi dengan rayuan untuk meletakkan anak mereka di hadapan kelas. Yang ini paling sukar untuk dilayan kerana semua ibu bapa ingin anak mereka diletakkan di hadapan + tengah. Sudah pasti hanya ada 1 atau 2 tempat. Ada yang membawa surat doktor, ada yang menunjukkan pelbagai alatan bantu penglihatan dan bermacam lagi untuk mengukuhkan dakwaan.
gambar hiasan : ihsan dari google
Itu belum masuk lagi yang jumpa personali dan meminta memerhatikan anak mereka seolah-olah jika tidak berbuat begitu saya akan mengabaikan anak mereka. Saya cikgu kelas kepada 35 orang murid, sudah pasti mereka semua tidak akan saya abaikan. Nasib baik ada 35 sahaja berbanding ada cikgu yang mendapat 40 dan sebagainya.

Sudah berbuih mulut meminta mereka tidak berada di koridor. Seolah tidak mepercayai cikgu, masing-masing setia menunggu di luar kelas. mati kutu cikgu dibuatnya. Lepas sejam, bilangan mereka berkurangan dan saya meneruskan tugasan di kelas. Usai tugasan guru kelas, saya menuju ke kantin bagi mengalas perut yang minta di isi. Tu dia, kantin pula penuh dengan ibu bapa yang tadinya berada di koridor. Ingatkan dah balik, rupanya menunggu anak mereka yang bakal rehat setengah jam lagi. huhu, dah macam sekolah orang tua dah.

Apapun harapnya esok keadaan menjadi lebih baik. Pihak sekolah memberi kebenaran sehingga selasa depan untuk ibu bapa masuk ke kawasan sekolah, selepas itu sekolah akan menjadi kawasan larangan mereka pada waktu p&p. Harapnya begitulah dan tidak menjadi seperti tahun lepas di mana ibu bapa bebas masuk menunggu anak di dalam kawasan sekolah.

Akhir sekali selamat bertugas buat cikgu-cikgu samada lama atau baru untuk sesi persekolahan 2012. Juga buat adik-adik bakal guru mahupun mahasiswa-mahasiswi sekalian.

21 Dis 2011

Apabila harga baju 1 dirham sehelai

Alhamdulillah, jumaat  lepas saya berkesempatan mengikuti kuliah dhuha di Medan Ilmu selepas tidak sempat untuk pergi pada minggu sebelumnya kerana masih di Bandung. Sesampai di sana, saya terlihat sehelai baju yang menarik perhatian saya. Namun kerana kuliah sudah bermula, saya tinggalkan dulu baju tersebut bagi mengambil kesempatan mendengar kuliah.

Kuliah diadakan dua sesi oleh 2 pengkuliah.
Sesi 1 : jam 8.30-9.30 pagi, pengkuliah tidak tetap dan selalu bertukar setiap minggu.

Sesi 2 : jam 9.30-10.30 pagi, kuliah tafsir oleh Tok Guru MB Kelate.

Oleh kerana kesihatan tok guru tidak mengizinkan, maka pengkuliah 1, Ust Mohd Amar mengambil alih sesi tok guru menjadikan kuliah beliau pada pagi itu 2 jam.

Saya tidak bercadang untuk berkongsi isi kandungan kuliah kali ini, namun jika berminat boleh menonton kembali rakaman di Kelantan TV. Untuk pengetahuan sahabat, kuliah dhuha boleh ditonton secara live di web tersebut. Namun, saya tidak menggalakkan pengguna broadband menontonnya kerana pasti melibatkan bandwith yang besar. Namun terpulang kepada sahabat2. Bagi pengguna seperti stremyx, amatlah dialu-alukan.

Usai kuliah, saya kembali ke gerai tersebut dan baju yang dijual semakin sedikit.

Lalu saya bertanya, "bang, brapo rial selai ni?".

"bukan rial, harganya 1 dirham", jawabnya.

"ha, 1 dirham?", padahal dah jelas dah, tp tanya lagi. memang tabiat pelik saya kot. hehe. Teringat ada beberapa dirham di rumah, namun tak pula saya bawa.

"ye, 1 dirham saja. Kalau takde dirham, boleh tukar dgn kami" ulang beliau.

Lalu saya menukar 1 dirham Kelantan dengan RM 25. Kemudian membeli baju tersebut dengan wang 1 dirham tersebut.
Inilah rupa design baju yang menarik minat saya
Entah mengapa, rasa sangat gembira dan seronok berurus niaga dengan wang dirham ini kali pertama ini. Saya berharap agar suatu hari nanti dapat berurus niaga menggunakan dinar pula. Pada hari tersebut, 1 dinar emas = RM 771. Penurunan harga dinar menyebabkan hati saya meronta-ronta untuk menambah koleksi sedia ada, namun memikirkan gaji ketika itu belum masuk, saya terpaksa memujuk hati supaya bersabar.

Apabila gaji + bonus masuk 19hb yang lepas, tanpa berlengah saya terus mendapatkan dinar walaupun harga ketika itu sudah naik kepada RM 777. Lepas beli beberapa keping, baru sedar perbelanjaan bulan ini sepatutnya dikawal kerana laptop perlu dirawat dan beberapa perkara lain yang perlu diberi perhatian. Hasil pengiraan kasar selepas tolak perbelanjaan sewa rumah, takaful, saguhati buat ayahanda dan bonda yang dilebihkan kerana sebulan menghabiskan beras di rumah dan belanja untuk adik-adik, saya hanya tinggal RM 7++ untuk belanja sehingga gaji bulan hadapan. Itu belum ditolak perbelanjaan untuk ke KL bagi sambutan Tahun Baru kerana tahun ini berkira-kira untuk menyambung kembali tugas yang lama ditinggalkan dulu.Moga ada rezeki dari langit.

(utk makluman : Hari ini, 21/12/2011 harga dinar Kelantan meningkat kepada RM 791)

Apapun, sekurang-kurangnya saya sudah tidak perlu memikirkan lagi tentang perbelanjaan azam 1 ini. Rasanya sudah cukup dinar yang dikumpulkan untuk dijadikan maharnya nanti. Mudah-mudahan keluarga bonda kepada anakanda saya nanti sudi menerima dalam bentuk dinar ini walaupun berlainan dengan kebiasaan.

Untuk sahabat-sahabat, saya mencadangkan supaya ambil sebahagian simpanan sahabat-sahabat dan tukarkan kepada emas. Biar kita simpan dalam bentuk emas supaya tidak berlaku susut nilai. Seekor kambing pada hari ini tidak sama nilainya dengan seekor kambing pada 10 tahun yang lepas jika dinilai dalam bentuk wang kertas kerana nilai wang itu telah susut, tetapi seekor kambing pada hari ini sama nilainya hatta dengan zaman Nabi SAW. Jika dulu 1 dinar boleh membeli seekor kambing, dengan dinar itu jugalah boleh dibeli kambing pada hari ini.

Lepas ni nak kumpul perak la pula. Dengan gaji seorang cikgu biasa, tak mampu nak beli dinar selalu. Untuk makluman sahabat-sahabat, jika dinar dan dirham kelantan, harga semasa boleh dirujuk di sini.

Jom guna dinar dan dirham!!!

11 Dis 2011

From Bandung with Love

Alhamdulillah.

Penerbangan QZ 7695 dari Bandara Husein Sastranegara, Bandung jam 4.00 petang (5 petang waktu Msia) selamat tiba di LCCT jam 7.00 malam selepas 2 jam berada di udara. Usai menjama'kan solat, kami terus ke KL Sentral menaiki SkyBus dan seterusnya menaiki LRT dan STAR ke Plaza Rakyat dan menyambung perjalanan ke Kuala Perlis.

Saya tinggalkan dulu kisah perjalanan di Langkawi bagi memfokuskan sedikit pengalaman di Kota Bandung. Ini mungkin boleh jadi panduan percutian ke Bandung atau tips bercuti ke Bandung. atau mungkin juga tidak :)

BANDUNG. Ada sebab mengapa kami tidak memilih pakej travel agency. Hanya berbekalkan Rp 3 juta, Kota Bandung kami takluki. Ada beberapa perkara menarik yang mengubah persepsi kami kepada warga Indonesia. Walaupun tidak adil untuk mengulas tentang sesuatu tempat dengan hanya 4 malam 4 hari di sana, tetapi inilah antara hasil yang kami dapat.

Betapa sebelum pergi kami risau dengan situasi kemarahan warga Indonesia kepada Malaysia selepas Timnas Garuda tumpas di kaki Harimau Muda pada Sukan Sea yang lepas, namun di sana kami dilayan dengan baik sekali hatta oleh gelandangan di tepi-tepi jalan. Walhal di bandung itu terkenal dengan Tim sepak bola yang hebat iaitu Persib.

Kota Bandung selamat untuk para backpacker walaupun menjelang tengah malam. Dalam kegelapan malam, kami berdua berjalan dengan aman tanpa diganggu oleh pemain skateboard di bahu jalan mahupun remaja-remaja yang lepak. Membuka peta di khalayak juga tidak menjadi masalah bahkan kami dibantu bila memerlukan. (Kami lebih risau untuk berjalan kaki dari Stesen LRT Pasar Seni ke Plaza Rakyat kerana banyak kes samun di situ. Oleh sebab itu kami menggunakan perkhidmatan Star di Masjid Jamek)

Jalanraya di Bandung sangat sesak dan kelihatan tidak sesuai untuk para pejalan kaki. Namun sesiapa boleh melintas jalan tanpa rasa takut kerana para pemandu mobil atau motor tidak akan melanggar bahkan akan sentiasa alert dengan pejalan kaki yang akan melintas jalan.(Tiba di KL Sentral, saya cuba melintas jalan seperti di Bandung apalagi kereta dilihat agak jauh, namun dilajukan lagi keretanya)

Hon merupakan perkara biasa di Bandung. Ianya seperti sapaan sesama pengguna jalan raya. Sesuatu yang agak pelik  kerana tidak sedikit pun rasa marah atau kedengaran pekikan kemarahan para pengguna jalan raya apabila di hon. Berbeza dengan negara kita. Hon adalah petanda marah atau pengganti laungan "woi, buta ke?!!!". Hon juga kadang kala mengundang perbalahan besar. (pernah berlaku di hadapan mata saya)

Kehidupan rakyat mereka susah di mata saya. Mereka berjualan di mana-mana saja dengan pelbagai cara yang tidak pernah saya terfikir. Lampu Isyarat merah merupakan rezeki bagi mereka. Ada yang bermain gitar menghiburkan para penumpang angkutan atau kereta persendirian (sejujurnya suara mereka lebih sedap dari penyanyi mee segera negara kita), ada yang memakai kostum badut dan menggerakkan kepala atau berjoget di celah-celah kesibukan jalan. Ada yang berjualan kueh, kad isi ulang (top-up), tisu, makanan, air minuman, peta dan pelbagai lagi. Dari orang tua hinggalah bocah yang masih di bangku sekolah rendah tidak kira lelaki atau perempuan. Semuanya kerana uang. Argh, sungguh sulit menceritakan di sini. Namun tidak pernah mereka mengeluh tidak diberikan uang. Diberi diambil, tidak diberi, mereka beralih kepada kenderaan lain. Tidak pernah terdengar ada yang menjerkah atau mengherdik mereka walaupun mereka ada yang menghalang lalu lintas.

Tip merupakan sesuatu yang sangat biasa di Bandung. Anehnya tidak pernah mereka memaksa apalagi meminta tetapi ianya diberi tanpa rasa beban. Di jalanan yang tiada polis, kadang kala terdapat yang sukarela mengawal lalu lintas untuk memudahkan kereta memasuki atau keluar dari simpang yang sibuk. Dibuat secara sukarela walaupun di tengah panas. Diberi tip diambil, tidak diberi diteruskan juga tugasan itu. Saya memerhatikan tindak tanduk mereka dengan rasa pelik. Jalan menjadi lebih lancar.

Oleh kerana pengangkutan utama kami adalah jalan kaki (kadang-kadang naik juga angkutan kota dan sehari menggunakan supir), adakalanya kami tersasar ke perkampungan setinggan di sana (sewaktu berjalan dari Jln Cihampelas- Jln Dago). Jalan yang sempit di celah-celah rumah atau kadang-kadang ada kedai kecil di sana meyebabkan kami tersesat, namun dengan senang hati saja mereka menunjukkan kami jalan keluar. Walaupun agak takut, namun alhamdulillah, mungkin juga berkat dari doa sahabat-sahabat yang tidak putus-putus mendoakan kami.

Sebelum pergi, ada saya terbacakan nasihat supaya tidak menanyakan harga Angkutan Kota dari suatu tempat ke suatu tempat kerana mereka akan 'sembelih' kita, ada juga nasihat supaya apabila ingin berhenti, sebut saja "kiri, pak" dan jika menyebut "stop" atau "berhenti", mereka tidak akan mengendahkannya. Mungkin itu yang dialami oleh mereka tetapi tidak pada kami. Mudah mereka mengesan kita adalah warga Malaysia. Hanya melalui percakapan walaupun saya cuba berbahasa Indonesia. Apabila kami bertanyakan arah tuju kami, mereka memberitahu angkutan yang patut kami naiki jika angkutan mereka tidak melalui jalan tersebut. Apabila sampai, mereka sendiri akan berhenti dan memberitahu kami bahawa telah sampai. Mereka amat menghormati kami sebagai pelancong ke tempat mereka. Jarak yang jauh  kami bayar Rp3000, jika dekat Rp 2000 saja namun banyak kali kami berikan Rp3000 sebagai sedekah :) Jika  memberi not lebih spt Rp10000, mereka akan memberi wang bakinya.

Di mana saja ada yang berjualan cenderahati spt keychain atau baju. Kebiasaanya di tempat makan kesukaan rakyat Malaysia ataupun di depan Factory Outlet. Mereka menawarkan harga yang sangat tinggi berkali ganda dari harga sebenar namun apabila kita tidak mahu membeli, diturunkan harga sehingga kadang kala di luar pemikiran kita. Sejujurnya, ada yang saya beli bukan kerana mahukannya tetapi atas dasar kasihan. Barangkali kota bandung ini tidak sesuai untuk orang lembut hati seperti saya. hehe.

Untuk pusingan pertama, biarlah saya berhenti di sini dahulu. Bukan maksudnya saya ingin menganggungkan negara luar dari negara sendiri namun itulah hakikat yang terjadi. Saya lebih cintakan negara saya dari Bandung, sehingga t-shirt bandung yang mempunyai tulisan 'i love Bandung' tidak mendapat tempat di hati saya walaupun designnya lawa. Namun, tidak salah jika kita belajar sesuatu yang baik dari mereka.

*Semasa memandu di Langkawi, saya cuba bersikap seperti pemandu Bandung. Melihat orang ingin melintas, saya perlahankan kenderaan sehingga kadang kala serba salah pejalan kaki untuk melintas. Barangkali tidak percaya ada yang sanggup memberi jalan kepada mereka. Sungguh, musafir di Bandung banyak mengajar saya erti kehidupan.

** Apa yang saya tulis ini merupakan antara pengalaman saya sendiri di Bandung. Ianya mungkin berlainan dengan apa yang anda baca di tempat lain atau berlainan dengan pengalaman anda sendiri. Justeru, mungkin lain juga pengajaran yang anda dapat. Moga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua.

Wallahu a'lam

28 Nov 2011

Cuti-cuti cikgu sekolah,

Lamanya saya tak berkongsi ilmu di sini, asyik cerita pasal diri sendiri je. Mesti sahabat-sahabat yang berkunjung ke Pena Cikgu menyampah kan. hehe. Bukan apa, menggunakan desktop ni menyebabkan sukar untuk mencari maklumat, kalau laptop tu semua dah sedia ada, cuma tinggal nak hurai je.

Air banjir semakin surut, ikan-ikan semakin kurang dapat namun alhamdulillah sudah dapat ikan keli yang agak besar dan sudah selamat landing di dalam perut. Juga , baru tadi dapat haruan yang agak besar di mana haruan itu sedang berehat di dalam gulai lemak di dapur. Sungguh, rasa ikan yang kita tangkap dan siang sendiri lebih sedap. Mungkin memakan hasil susah payah sendiri ditambahkan rempah kasih sayang bonda menyebabkan ianya lebih sedap. Bukan semua orang sanggup menyiang ikan darat kerana ianya lebih hanyir dari ikan laut.

Kesurutan (ada ke perkataan ini dalam BM) air di baruh menyebabkan saya terpaksa mencari alternatif baru bagi mengisi masa cuti. Aktiviti mengecat baru separuh setel di dapur. Itupun adik gegurl bongsu yang buat dengan bonda. Saya tolong gitu-gitu je. Nak kena beli cat warna dulu sebab yang di cat tu baru cat alas. Lepas tu nak cat di bilik lagi. Sementara semua itu berlaku ada baiknya saya pergi bercuti.
InshaAllah hujung minggu ini saya akan bercuti ke Bandoeng. Satu tempat yang dikatakan syurga membeli belah. Saya sendiri tidak tahu bahawa itulah tempat shopping kegemaran rakyat Malaysia sewaktu seorang sahabat mengajaknya baru-baru ini. Apa yang ada di fikiran saya ketika itu adalah untuk mengisi masa cuti dengan hobi saya iaitu melancong dan jalan-jalan. Alkisah seorang sahabat mengajak saya bercuti dan mengajak saya menemaninya. Bagaikan orang dahaga diberikan air, saya menerima tanpa banyak soal. Tanpa mengikut mana-mana agen, tanpa menempah mana-mana hotel, kami ke sana secara backpacking walaupun ini adalah adalah pengalaman pertama kami ke sana. Kasi adventure skit :D
Ikut perancangan awal, inshaAllah pulang dari Bandung, kami akan terus ke Langkawi. Apa yang menyebabkan saya tertarik ke sana adalah pada tarikh tersebut, kebetulan ada pertunjukan LIMA di sana di samping sahabat saya ini tidak pernah ke sana. Tambahan pula, pada hari terakhir sekolah baru-baru ini, seorang cikgu mengajak saya melawat kampungnya di Langkawi sambil diberikan penginapan dan kenderaan percuma sepanjang saya di sana. Penginapan dan pengangkutanlah yang paling mahal di sana lebih-lebih lagi sewaktu LIMA berlangsung, jadi bagaikan orang lapar diberikan nasi, sudah banyak dapat cut cost tu. Bolehlah bajet untuk penginapan dan pengakutan digunakan untuk shoping. (mengalahkan orang pompuan kan?).

Passport sudah siap, tiket sudah dicetak, hanya menunggu masa untuk berangkat. Apapun, kita merancang Allah jua merancang namun perancangan Allah adalah yang terbaik. Moga selamat pergi dan balik. INshaAllah.

Ikutkan cuti ini ingin bercuti secara lone ranger ke Sabah lebih-lebih lagi Sabah lah satu-satunya negeri di Malaysia yang belum saya jejaki. Sahabat di sana berkali-kali menjemput saya ke sana dengan dijanjikan penginapan, pengakutan dan makanan di sana akan ditanggung. Namun, memandangkan ajakan sahabat ini lebih menarik, percutian ke Sabah ditangguhkan ke tarikh yang akan ditentukan kemudian. Negeri-negeri lain sudah selamat dijajah sewaktu menjadi pengawai kerajaan dulu. Banyak outstation yang memerlukan saya ke terbang ke seluruh negara, jadi kesempatan itu digunakan untuk berjalan-jalan.

**timbul juga rasa risau untuk ke Indon buat masa ini kerana rakyat mereka pasti masih terluka dengan kekalahan sang Garuda kepada Harimau Malaya pada Sukan Sea yang lepas. InshaAllah, berkat doa sahabat-sahabat, segalanya akan selamat. (^_^)

27 Nov 2011

Azam terbesarku tahun 1433h

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah. Kita masih diberi kesempatan untuk hidup di dalam tahun baru 1433h. Samada sedar atau tidak, suka atau tidak, usia kita sudah meningkat setahun dan kita semakin menghampiri kematian. Namun, itu tidak boleh menjadi penghalang untuk kita hidup sambil lewa di dunia ini, seharusnya ia menjadi benteng kepada diri kita dari terpedaya dengan tipu daya syaitan.

Bila tiba tahun baru, perkataan yang paling femes adalah 'azam' hinggakan orang yang bernama Azam jadi perasan atau berlagak macho kononnya beliau menjadi sebutan ramai (hehe, sori zam, gurau2 je). Macam-macam azam yang kita dengar, antaranya azam nak jadi baik, azam nak berubah, azam nak tinggal rokok bagi perokok, azam nak tutup aurat bagi yang buka aurat, azam nak solat bagi yang tak solat dan macam2 lagi.

Pada saya, azam seperti bagus, namun alangkah lebih manis dan indah jika azam perubahan akhlak ini tidak ditunggu semasa tahun baru. Bahkan jika ingin berubah, berubah sekarang tidak kira bila 'sekarang' itu. Tidak perlu 'esok saya akan berubah' atau 'mulai hari ini saya akan berubah' tetapi katakan 'mulai SEKARANG saya akan berubah'.

Ibnu Umar pernah berkata, "Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit. 

Bagaimana azam tahun lepas? Dah tertunaikah? hehe. Saya pun dah lupa apa azam tahun lepas. Tak perlu malu bila azam tidak dapat ditunaikan kerana kita bukan Tuhan untuk mengatur segalanya seperti kehendak kita. Erm... untuk tahun ini saya tulis di sini supaya senang untuk diingati dan dirujuk kembali. Sebenarnya lebih kepada target. Banyak sebenarnya namun saya tulis yang paling utama buat diri saya untuk tahun ini.

Azam 1
Saya ingin menunaikan salah satu hak anak saya ke atas saya iaitu salah satunya mencari ibu yang baik. Masuknya tahun 1433h, umur saya sudah menginjak ke angka 28thn. Wah, tuanya walaupun rasa macam budak-budak lagi. Berapa umur sahabat-sahabat pada tahu 1433h ini? Umur di tahun hijrah lebih dari tahun Miladi.

Rasanya sudah sampai waktunya untuk saya mendirikan rumah tangga. Hukum berkahwin ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Rasanya saya sudah di peringkat sunat. hehe. Jadi harus segera melaksakan sunnah Rasulullah SAW.

InshaAllah, bermula sekarang, 1 Muharram, pencarian gadis melayu/ustazah pilihan/solehah akan bermula dengan lebih serius. Mohon doa sahabat-sahabat semoga Allah mengurniakan seorang isteri yang akan menjadi ibu yang baik buat anak saya kelak. INshaALlah.

Azam 2
Memiliki samada tanah atau rumah. Ya, jika azam 1 dicapai, di manakah saya ingin menempatkan ibu kepada si anak tadi. Jika tanah, saya memilih untuk membeli di negeri kelahiran saya, Kelantan. Namun, jika rumah, saya tertarik dengan pelawaan housemate untuk meninjau rumah di Kulim bila buka sekolah nanti. Kulim dengan Pulau Pinang tidaklah jauh mana, jadi tidaklah susah untuk berulang dari rumah ke tempat kerja.

Untuk membeli rumah di Pulau Pinang, rasanya agak sukar kerana kos yang tinggi untuk rumah di atas tanah. Lagipula, saya merasakan sukar untuk mendidik anak-anak menjadi soleh/solehah di Pulau ini. Mungkin ada sahabat-sahabat yang mempunyai info tentang rumah di Kulim boleh menghubungi saya di sini. Saya sedang menimbangkan 2 perkara ini secara serius.

Apapun,
"Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah". (3:159)

Siapa kita untuk mengarahkan Allah mengurniakan apa yang kita inginkan. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita, maka bersangka baiklah dengan Allah.

Kita merancang, Allah juga merancang dan sudah pastilah perancangan ALlah itulah yang terbaik kerana Allah sebaik-baik perancang. Apa yang penting, kerjasama. Eh, sempat lagi buat lawak. Serius beb!. Apa yang penting adalah usaha kita untuk mencapai apa yang kita rancang.

23 Nov 2011

Perjalanan yang jauh

Alhamdulillah. Selamat sampai ke kampung halaman jam 1pagi tadi. Awal pagi Rabu baru sampai ke kampung halaman sedangkan sekolah sudah mula bercuti sejak Sabtu yang lepas. Kelewatan pulang ke kampung halaman kerana hari Ahad ada kenduri sahabat di Balik Pulau. Boleh saja pulang pada Ahad malam, tetapi ditangguhkan kerana ingin mengikuti kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Masjid Negeri P.Pinang pada malam itu.

Berjaya mengajak 3 orang sahabat guru yang lain dan turut membawa seorang anak murid yang sangat konsisten dalam belajar mengaji Al-Quran.
(Sesungguhnya saya malu pada rakyat Negeri Pulau Pinang kerana UAI dibenarkan memberi kuliah di Masjid Negeri yang besar itu dinegeri mereka sedangkan di negeri Kelantan, UAI tidak dibenarkan berkuliah di masjid atas arahan MAIK. Oleh itu, kuliah yang sepatutnya diadakah di Masjid wakaf Bharu pada Khamis ini ditukarkan ke Gelanggang Futsal Arena di Pengkalan Chepa)

Hajat untuk pulang pada Hari Isnin terbantut apabila bonda dan ayahanda sahabat ini meminta saya bermalam di rumah mereka semalam dua. Saya hanya mampu bermalam semalaman sahaja sebelum pulang pada hari Selasa bersama 2 orang sahabat yang lain.

Kami bertolak usai solat asar kerana menunggu seorang daripada kami masih mempunyai urusan di sekolah. Perjalanan lancar sehinggalah sampai di Tasik Banding, beliau diSMS tentang satu tugasan yang belum disiapkan. Bayangkan dalam keadaan pulang ke kampung masih lagi diburu.huhu.
Perjalanan diteruskan hingga kami tiba ke puncak Banjaran Titiwangsa jam 8.15 malam. Suasana hujan lebat dan kabus yang tebal menyukarkan perjalanan kami. Kami mengambil keputusan untuk berehat di sana sambil membantu sahabat tadi menyiapkan tugasan yang diSMS tadi. Kedinginan malam di puncak banjaran Titiwangsa amat mencengkam jiwa. Sangat sejuk umpama di musim salji apalagi saya hanya memakai t-shirt dan lupa membawa pulang sweater.

Usai menyiapkan kerja, masalah lain timbul apabila tidak dapat membuat sambungan internet kerana beliau tidak menjelaskan bil Celcom. Saya sendiri tidak mempunyai broadband selepas menamatkan perkhidmatannya  awal tahun yang lalu kerana menggunakan streamyx di rumah. Kami melihat masalah ini sebagai masalah bersama apalagi kami sama-sama cikgu. Kami bergegas meneruskan perjalanan sehingga ke Tanah Merah untuk mencari kedai yang mempunyai wifi percuma. Alhamdulilah, restoran Ed'de Chicken Chop ada menyediakan wifi, sambil beliau emelkan kerja tersebut, kami mengalas perut. Kami di sana agak lama sehingga jam 11 malam.

Perjalanan diteruskan mengikut jalan short cut ke Tumpat dari Pasir Mas melalui Meranti. Kami resah apabila air sudah melintasi jalan di pertengahan jalan dan tiada kenderaan lain yang lalu, namun setelah diteliti, rupanya hanya air hujan yang bertakung, bukan air sungai atau bendang. Di pertengahan jalan, kami terpaksa berpatah balik ke bandar Pasir Mas keadaan minyak kereta yang tidak mengizinkan untuk terus melalui jalan tersebut. stesen minyak yang terletak di jalan itu sudah tutup.

Alhamdulillah, selepas beberapa stesyen yang kami temui tutup walaupun ada orang, ada satu stesyen minyak yang masih buka. Menjadi masalah apabila tiada pekerja yang kelihatan, kami hampir putus asa sehingga terlihat kelibat seorang manusia sedang tidur terbaring di luar stesyen minyak. Rupanya beliau adalah petugas yang kebosanan tiada pelanggan.

Ringkas cerita jam 1 pagi lebih, saya sampai di rumah. Sebaik membuka pintu, bonda dilihat tertidur di sofa ruang tamu bersama 2 orang adinda sementara ayahanda di bilik. Usai bersalaman dengan bonda, kami bersembang lama sehingga ayahanda keluar jam 3 pagi ke dapur. Tetiba banyak topik yang dibincangkan. Ayahanda turut serta dalam bicara awal pagi. Adinda bongsu terbangun apabila kami berbicara tentangnya. Rupanya sudah lama beliau memasang telinga mendengar perbualan kami. Jam 4 pagi saya sudah tidak berani untuk tidur walaupun bonda menyuruh berehat. Bimbang sukar untuk bangun subuh kerana keletihan.
Bonda dan ayahanda ke bilik solat sementara saya ke bilik untuk refresh diri.

Azan subuh saya longlai sebelum diingatkan oleh bonda, "tadi kata taknak tidur sb takut susah bangun, ni dah azan baru nk tidur". Alhamdulillah, menang pertarungan dengan syaitan untuk membawa ayahnda dan bonda ke surau dengan menaiki kereta walaupun hujan.

Usai solat subuh, keadaan lemah. Cuba hidupkan laptop untuk menulis namun laptop tetiba rosak. Alhamdulillah, sekarang dan boleh guna walaupun nampak tanda-tanda awal kerosakan motherboard. Mudah-mudahan  tidak berpanjangan supaya perkongsian dapat diteruskan sepanjang cuti sekolah.

Akhirulkalam. Selamat bercuti untuk semua guru dan adik2 yang bersekolah mahupun bermaktab :D

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails