BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


Memaparkan catatan dengan label murid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label murid. Papar semua catatan

16 Jan 2013

Hadiah buat murid ponteng

Alhamdulillah, berkesempatan menulis setelah agak lama tidak muncul di sini. Banyak sekali perkongsian yang ingin dikongsi dengan semua. Saya bukanlah guru yang terbaik, bukan juga guru yang sempurna, namun sedaya upaya berusaha untuk menjadi terbaik.
gambar ihsan google
Pelbagai teori yang dipelajari oleh bakal guru sebelum dicampak ke sekolah. Ada yang boleh pakai, ada juga yang tidak sesuai. Masakan tidak, teori itu bukanlah sesuatu yang muktamad untuk kita terima tanpa bantahan. Hanyasanya Alquran dan Hadith yang bersifat qat'ie dan tiada keraguan dan bantahan pada keduanya.

Saya suka mencuba sesuatu yang lain dari yang pernah saya cuba. Ianya untuk melihat sesuatu itu dari perspektif yang berbeza. Kadang-kadang apa yang saya cuba buat adalah berlawanan dari apa yang kebiasaannya dibuat oleh orang lain, namun saya cuba juga untuk melihat keberkesanannya. Sebenarnya sudah banyak kali saya juga dan kali ini saya ingin berkongsi salah satu darinya.

Seorang murid telah saya kesan tiada di dalam kelas saya sejak minggu lalu. Tidak hadir ke sekolah. Lalu saya bertanya kepada murid-murid lain.

"Mana Daniel? Lama dah tak datang ke sekolah ni. Sejak minggu lepas lagi." tanya saya.

"Dia ponteng, cikgu. Saya nampak dia selalu naik basikal petang-petang p ronda." jawab Siti.

"Betul cikgu. Dia malas mai sekolah." sampuk murid lain pula.

"Pesan kat dia, cikgu suruh mai sekolah. Nanti kita bagi hadiah kat dia", pesan saya kepada mereka.

Hari ini, usai saya mengajar dan memberikan latihan, saya terlihat seorang murid yang sudah lama saya tidak lihat. Dari tempat duduk guru, saya bertanya kepadanya.

"Kamu Daniel ke?" saya bertanya. Teragak-agak dia menganggukkan kepala.

"Kenapa lama tak datang sekolah?", tanya saya.

"S...saya... demam, cikgu", jawabnya perlahan.

"Dia bohong, cikgu. Saya duk nampak dia asyik duk main basikal petang-petang", potong Siti. Dia memandang kepada Siti sebelum menundukkan kepala. Perlahan-lahan saya menuju kepadanya.

"Cikgu ada janji nak bagi hadiah kat dia kan?", saya bertanya kepada kelas.

"Ha... betul cikgu. cepat cikgu, bagi dia hadiah," Intan pula menjawab.

Saya kembali ke meja guru. Di atas meja ada pembaris panjang warna kuning. Semua mata tertumpu kepada saya sementara Daniel masih menundukkan kepala. Ketakutan mungkin.

Saya mencapai beg galas, kemudian mengeluarkan sebatang pensil dari kotak.

"Ini hadiah cikgu buat Daniel", saya memberikan pensil kepada Daniel. Kelihatan dia terkejut dan teragak-agak menerimanya.

"Aaaaaaa.....", kelas menjadi riuh.

"Mana adil cikgu. Cikgu kata nak bagi 'hadiah' kat dia,"Asyraf mula bersuara.

"Betullah, kan cikgu dah bagi hadiah tu. Pensil tu la hadiah," balas saya.

"Mana boleh macam ni. Kami ingat cikgu nak rotan. Kami pun nak pensil juga", Siti tidak berpuas hati.

"Kalau dapat A matematik, cikgu bagi pensil", saya tersenyum padanya.

"Saya pun tak nak datang sekolah lah. Nanti cikgu bagi pensil kat saya", kata Farah.

"Ha? Farah nak ponteng ke?" tanya saya.

"Tak la cikgu. Gurau je. Kalau tak mai sekolah nanti mak ayah saya marah", jawab Farah.

Saya melihat Daniel begitu bersemangat menyiapkan kerja kelas yang saya berikan dengan pensil tersebut.

"Kelas, esok ada masa cikgu tak?", tanya saya.

"Ada cikgu, masa lepas rehat macam hari ini juga", Daniel menjawab degan pantas ketika rakan-rakan yang lain sibuk mencari jadual. Saya tersenyum kepadanya.

"Nanti datang ye Daniel", kata saya kepadanya.

Tiba-tiba saya teringat kepada Mohd Danish. Apa khabar kamu.


23 Apr 2012

"Saya ikut sunnah nabi, cikgu"

Anak didik saya ramai yang mempunyai facebook dan sering bertanya fb saya untuk mereka add as friend. Sebagai seorang cikgu, saya tidak mahu mempunyai gap yang jauh dengan mereka, jadi saya tidak bermasalah untuk menerima mereka sebagai kawan.

Semakin hari semakin ramai yang menambah saya sebgai kawan fb mereka. Apabila melihat post-post dan komen mereka di fb, hati saya risau tentang apa akan jadi kepada mereka dalam tempoh 5 atau 10 tahun akan datang. Bagaimanakah akhlak mereka di masa akan datang?

Sesuatu yang tidak terduga oleh saya adalah tentang budaya couple di kalangan mereka yang saya tidak pasti apakah ini sebenarnya budaya biasa bagi sahabat-sahabat. Anak-anak didik saya masing-masing berbangga dengan meletakkan in a relationship with .... pada status hubungan mereka di fb. Ada juga yang meletakkan married with ... selain berbahasa mama dan papa dengan pasangan mereka. Ada yang dengan rakan sekelas, ada juga dengan rakan berlainan kelas malah ada juga dengan kakak senior yang lebih tua dari mereka.

Apabila ditanya, dengan senyum dan bangga mereka menjawab "sunnah nabi, cikgu".

"sunnah nabi apa?"kapel sunnah nabi ke?". tanya saya.

"sunnah nabi la macam dengan Siti Khadijah. Nabi lebih muda", jawabnya. Aduh, rupanya umur yang dimaksudkannya, bukan hubungan kapel itu sendiri. Apabila saya bertanya lebih tentang beberapa status dan komen mereka di fb, dia diam dan kemudian dijawabnya kepada saya.

"uii, bahaya betullah cikgu ni. Kena unfriend cikgu nampaknya. Terlalu bahaya cikgu jadi friend kat fb saya". alahai.

Clash dan bertukar ganti pasangan juga perkara biasa. Hari ini dengan bangga memberitahu mereka ada pasangan, esoknya sumpah seranah apabila berkelahi,

"semua lelaki sama je. tak boleh dipercayai", Minggu depan in a relationship dengan orang lain pula. Aduh.

Apabila diteliti, saya mendapati mereka sebenarnya kurang kasih sayang ibu bapa. Ada banyak masalah lain tetapi yang paling ketara adalah masalah keluarga. Saya sayangkan mereka, mereka ibarat adik saya sendiri kerana umur adik bongsu saya adalah sama dengan mereka.

Hujung minggu keluar dating berdua-duaan ke shopping mall. Mungkin mereka tidak melakukan apa-apa namun di usia sementah itu sudah pandai keluar dating, bagaimana agaknya bila sudah remaja nanti?

Surat cinta tidak usah dicerita. Dah banyak kali tertangkap. Dari murid biasa sampailah kepada pengawas biasa dan 'ustaz' pembaca doa pagi. Apakah yang patut saya lakukan?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails