BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


31 Dis 2010

Haid : Bukan wanita saja perlu tahu

Apabila disebut tentang darah haid, wanita-wanita pasti berasa malu kerana beranggapan ianya hal peribadi mereka dan para lelaki pasti tidak berminat untuk mengendahkannya kerana beranggapan itu bukan masalah mereka. Ini mungkin disebabkan persekitaran masyarakat kita yang melihat perkara itu sebagai kotor semata-mata sehingga menimbulkan malu bagi wanita untuk membicarakannya.

( Hal ini sama dengan term 'seks'. Pada asasnya, seks adalah sesuatu yang terhormat, bahkan mereka sendiri lahir hasil hubungan seks namun ia dilihat sebagai sesuatu yang lucah kerana persekitaran masyarakat kita sendiri yang melucahkan seks itu tersebut )

Oleh kerana malu tidak bertempat ini menyebabkan mereka tidak mendapatkan ilmu secukupnya tentang haid dan kesannya amatlah besar terutama terhadap ibadah mereka. Sudah pasti sukar untuk menentukan mana darah istihadah, mana darah haid, bila dikatakan istihadah, bila dikatakan haid dan sebagainya. Soal solat, puasa dan haji pasti bermasalah jika tiada pengetahuan mengenainya. Itu belum lagi bab untuk mengajarkan kepada anak-anak mereka nanti apabila bergelar ibu. Bagaimana ingin mengajar anak jika diri sendiri tidak faham tentang masalah ini?

27 Dis 2010

Wanita Meminang, Berkapel Dan Pertunangan Menurut Islam

Berkapel & Displin Dalam Bertunang
 kapel
Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?

Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini


Jawapan
 
Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah Maha Bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.
Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-

22 Dis 2010

3 benda ikut mayat ke kubur

Tak tahu kenapa 2 3 hari ini banyak perkongsian yang saya lepaskan dari draft artikel saya. Barangkali sudah terlalu lama ianya disimpan di sini sehingga tidak tahu mana satu yang harus didahulukan. Lebih baik lepaskan saja apa yang ada sebelum bertambah serabut untuk siarkan artikel yang mana satu dulu.

Kali ini saya ingin berkongsi perkara yang akan mengikut kita ke kubur. Ianya merupakan kupasan dari hadith baginda Rasulullah SAW untuk peringatan kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian supaya kita lebih sedar dan ingat tentang mati. Maaf sebab saya lupa matan hadith ini. Mohon sesiapa yang tahu, share kt sini.

3 perkara yang akan ikut kita ke kubur, 2 darinya akan pulang semula dan satu daripadanya akan tinggal bersama-sama kita dan menemani kita.

Ajaibnya sedekah

Ni sambung dari artikel yang lepas. Pada mulanya saya ingin mencantumkannya namun kekangan masa menyebabkan saya terpaksa menulis secara berasingan. Apabila kita bercakap tentang sedekah atau pun hadiah, kita akan terbayang harta atau sesuatu milik kita akan berpindah ke tangan orang lain dan kita rugi. Ini kerana harta kita dilihat semakin berkurangan. Ya, sudah pasti kita akan mendapat ganjaran di akhirat nanti, tapi sebelum itu, di dunia lagi kita mendapat berkat darinya.

Jika kita bersedekah, harta yang kita keluarkan itu tidak hanya berhenti terhadap penerimanya sahaja, bahkan dari penerimanya akan berpindah kepada orang lain, seterusnya kepada orang-orang lain dan akhirnya akan kembali kepada kita semula. Ianya seperti satu kitaran bahkan mungkin kita akan mendapat lebih lagi. Harta yang hanya ada pada kita tanpa sedekah, tidak akan bertambah dan bergerak dalam kitaran itu pasti statik saja sifatnya.
Rezeki yang diberikan oleh Allah kepada kita bukan milik kita keseluruhannya. Ianya juga rezeki orang lain yang Allah berikan melalui kita untuk menambahkan pahala kita. Allah boleh berikan rezeki itu terus kepada orang itu, namun Allah memberinya melalui kita untuk memberi manfaat kepada kita. Contohnya apabila kita belanja kawan kita makan, usah kita terlalu bangga dengannya kerana itu memang rezekinya yang Allah berikan kepada kita untuk menambah pahala kita. Begitu juga jika orang belanja kita makan atau beri sesuatu hadiah, jangan cepat ucap terima kasih tetapi dahulukan ucapan itu dengan Alhamdulillah sebelum terima kasih. Allah yang memberi rezeki, namun melalui rakan kita. Saya ada beberapa kisah menarik mengenainya. Mari sama-sama kita hayati :)

21 Dis 2010

Tahniah adindaku

Alhamdulillah. Puja dan puja hanya pada Allah. Setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, adik saya dipilih untuk belajar di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman (MTSNA) selepas berjaya dalam temuduga yang dihadiri beliau tempoh hari. Moga beliau berjaya menjadi saintis atau ulama yang hafiz al-quran.

Sebenarnya agak bimbang kerana sewaktu ujian lisan, beliau tidak dapat menghafal dengan sempurna dan beberapa kali ditegur oleh sang ustaz. Namun alhamdulillah mungkin markah temuduga dan ujian bertulis banyak membantu. Walaupun sewaktu melawat Maahad tersebut sewaktu ujian hari itu, saya melihat bangunannya masih belum siap sempurna namun inshaAllah semua itu tidak menjadi halangan.

Beliau adalah yang pertama dalam keluarga kami yang akan belajar di Maahad Tahfiz selepas saya gagal melakukannya dulu kerana 'halangan'. Ketika itu Maahad Tahfiz Sains belum ada, yang ada hanyalah Maahad Tahfiz wal Qiraat. Walaupun saya mendapat sokongan dan galakan penuh dari sahabat saya yang merupakan senior di sana, namun ada 'halangan' yang menjadi penghalang. Beliau agak kecewa kerana saya tidak hadir temuduga walaupun berkeyakinan saya mampu melepasinya, namun apa boleh buat saya tiada daya untuk menentang 'halangan' itu. Saya hanyalah anak kecil yang usai UPSR dan belum mengerti apa-apa. Mungkin ada sebab yang menyebabkan saya tidak dipilih untuk mengisi dada saya dengan ayat-ayat cinta-Nya. Bila diingat kembali 'halangan' itu, saya jadi sedih sendiri.

Apabila usai tingkatan 5, saya cuba berdikari dan melepaskan diri dari 'halangan' itu. Saya mencari ruang dan peluang untuk menjadi seorang al-hafiz namun tidak berjaya. Ada satu peluang untuk mengikuti Pensijilan Tahfiz di Darul Quran namun ketika itu tempatnya sangat terhad. Saya difahamkan ketika itu mereka hanya menyediakan 3 tempat untuk setiap negeri sedangkan yang hadir untuk ujian adalah lebih 50 orang semuanya dari sekolah yang hebat seperti Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Muhammadi Perempuan, Naim lilbanat dan sebagainya. Pengetahuan Bahasa Arab mereka amat hebat sehingga mereka menghafal al-quran sekejap saja dengan menggunakan tafsir. Tiada daya untuk saya mengatasi mereka. Apa yang saya tahu mereka yang terpilih adalah dari Maahad Muhammadi.

Mengingati kisah ini menyebabkan saya senyum sendiri. Ada kisah suka dan dukanya. Moga adik saya akan berjaya menghabiskan hafalannya di sana.

20 Dis 2010

Harta kita bukan hak kita

Harta ni ada beberapa jenis, harta alih atau harta tak alih. Ada harta dalam bentuk wang tunai, aset, liabiliti mahupun kebendaan. Sebut pasal harta, semua mahukan harta sehingga ada yang sanggup mati kerana harta. Harta jika digunakan dengan baik akan menjadi bekalan di akhirat namun jika sebaliknya pasti menjadi bahan bakar api neraka.

Seorang sahabat pernah berkata kepada saya. "hidup di Malaysia ni susah. Yang miskin ditindas, yang kaya dibunuh. Macam kes allayarhamah Sosilawati". Saya hanya diam dan terfikir, mungkin ada benarnya pendapat beliau. Secara mudahnya harta terbahagi kepada 3.

Pertamanya harta yang kita kita makan atau minum. Semua orang makan dan minum dan akhirnya makanan yang dimakan itu akan masuk ke dalam tubuh dan diproses sebelum dikeluarkan menjadi najis. Walaupun sesedap mana pun makanan yang dimakan, tetap yang akan dikeluarkan adalah najis yang tiada sesiapa yang mahu mengaku miliknya atau ingin disimpannya. Jadi, kenapa terlalu ghairah berbangga dengan harta yang akhir kesudahannya, kita sendiri tidak sudi untuk melihatnya.

18 Dis 2010

Tips bangun pagi tanpa jam loceng

Waktu subuh adalah antara waktu solat yang paling sukar dilakukan pada awal waktu apalagi dilakukan di masjid. Ini kerana ketika itu kita masih dalam keadaan lemah dan mamai sementara peluang itu dipergunakan oleh syaitan untuk menggoda dan mengulit kita. Bagi yang lemah iman, pasti tersungkur.

Diriwayatkan dari Uthman bin Affan r.anhu bahawasanya nabi s.a.w bersabda:

“ Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah akan mendapat pahala seolah-olah bangun separuh malam dan sesiapa yang solat subuh berjemaah akan mendapat pahala bangun sepenuh malam. 
[ HR Imam Muslim]

Sebenarnya mudah saja untuk bangun pada waktu subuh. Kunci jam pada waktu yang kita ingin bangun dan bangun bila mana jam tersebut berbunyi. Namun jam loceng semakin tidak mendapat tempat apabila tugas membangunkan manusia diambil oleh telefon bimbit. Pelbagai rentak dan irama lagu boleh disetkan pada telefon bimbit sehingga kadang kala lagu yang dimainkan lebih sesuai untuk mengulit tidur dari membangunkan kita.

17 Dis 2010

Mencari kasih abadi

Malam itu aku denganMu,
Mencari Kasih abadi,
Yang dapat menyinariku sepanjang hidup,
Yang dapat menawar segala lara,
Yang bisa menggembira dan menenangkan hatiku,
Sekian lama ku lupakan diriMu,

Tapi aku juga lemah,
Tak layak rasanya untuk memilikiMu,
Namun, tanpa diriMu 
Aku tak mungkin dapat hidup
Kau yang beri cinta ini,
Kau yang kekalkannya,
Tiba-tiba aku yang robekkannya,

Cukup hanya sekali aku pernah berpaling dariMu,
Biarkan aku denganMu,
Biar aku selalu menemaniMu untuk berbicara,
Biar aku selalu bersamaMu,
Biar semua orang membenciMu,
Asalkan aku bahagia disampingMu,

Cinta..
Jangan pernah tinggalkanku lagi,
Aku tak terdaya tanpaMu,
Menagih kasih suci,
Aku tak ingin mencemarkannya kembali,

Biar cinta mekar di hati,
Biar aku rasai rindu itu,
Biar diriku tenang dengan adanya Kamu,
Kerana ku tahu Kamu merinduku jua, 
Abadikanlah cinta ini hingga hujung nyawa
di akhir sana...

Nukilan : Ijlal Hariri

Puisi ini saya ambil di blog penulisnya. Kelihatan seperti tiada tajuk, jadi saya tinggalkan puisi indah ini tanpa tajuk juga. Adapun tajuk entry ini hanyalah rekaan saya sahaja walaupun dilihat seperti tajuk puisi. Sungguh sayu dan sebak membacanya menyebabkan saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabt sekalian. Amat terasa sekali membaca puisi ini. Seperti saya katakan sebelum ini, saya minat puisi walaupun tidak pandai mengarang. mungkin kelebihan saya bukan di sini.

Membaca rangkap kedua benar-benar membuat saya malu pada Allah. Kita sentiasa mengaku mencintai Allah namun seringkali kita merosakkan cinta itu dengan dosa dan maksiat kepada-Nya.  Kalau pun tidak tahu malu kepada Allah, malulah kepada diri sendiri.

Tahniah dan terima kasih kepada penulis puisi. Moga kita semua mendapat pengajaran dari tulisan ini.

16 Dis 2010

Blog aku, suka hati aku la!!!!


Pernah dengar tak ungkapan ini. Banyak ditulis di blog-blog yang saya kira mereka lupa siapa sebenarnya mereka. Barangkali mereka belum pernah terbaca artikel ini sehingga mendakwa boleh menulis sesuka hati. Saya baru terjumpa blog yang mempertikaikan kewajipan menutup aurat ke atas muslimat, katanya suka hati orang tu la nak tutup ke tak sebab rambut dia. Siap mendabik dada mengatakan dia mampu menulis apa yang dia suka sebab itu blog dia. Saya tidak bercadang untuk mengiklankan blog dia di sini. Lagi kasihan bila membaca komen dari yang menyokongnya dengan memberi menafsiran yang salah tentang ayat al-quran. Moga Allah memberi hidayah kepada mereka.

Benarkah kita bebas melakukan apa saja di rumah kita? Menganjurkan pesta-pesta maksiat, mengadakan pertandingan judi, menggalakkan penzinaan, menjadikannya sebagai markas pencuri. Bolehkah? Tidak!! Tentu sekali tidak. Begitu juga di blog, kita tidak boleh melakukan sesuka hati. Kecuali jika melibatkan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan hukum hakam agama seperti menyusun atur gadjet sebagaimana kita bebas meletakkan almari dan rak buku di rumah kita.

14 Dis 2010

Promosi Maksiat di Facebook & Blog

Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.
Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.
Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

13 Dis 2010

Wallahu a'lam atau Wallahu 'alam?

Saya mendapat teguran dari seorang sahabat kerana menulis Wallahu 'alam kerana kata beliau menurut literasi bahasa Melayu ianya salah kerana sebetulnya adalah wallahu a'lam. Saya tercari-cari artikel sebelum ini dan mendapati ianya benar bahawa saya telah salah tulis tentang ini menurut ejaan yang betul.

Walaupun saya sangat pasti sahabat-sahabat yang membacanya pasti membaca dengan betul walaupun ejaannya adalah salah, namun saya tidak dapat lari dari perasan bimbang kalau ada yang membaca menurut ejaannya. Sudah pasti ianya membawa maksud yang lain.

Saya bukan cikgu bahasa Melayu, saya hanyalah seorang cikgu matematik yang sentiasa bergelumbang dengan nombor-nombor, justeru saya terlepas pandang tentang kesilapan saya ini. Apabila difikir sejenak, betul juga katanya ;

ejaan a'lam di dalam bahasa arab adalah - alif, ein, lam dan mim.
ejaan 'alam di dalam bahasa arab pula - ein, lam dan mim sementara
ejaan alam di dalam bahasa arab pula - alif, lam dan mim.

Mudah-mudahan sahabat-sahabat yang berkunjung di sini membaca mengikut bacaan yang betul dan tidak terikut-ikut dengan kesilapan yang tidak disengajakan ini. Maaf atas kelemahan saya ini.

12 Dis 2010

Tahniah sahabatku, tahniah juga kawanku

Terlebih dulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada kawan saya atas perkahwinan beliau yang akan dilangsungkan pada penghujung bulan ini. Maaf kerana kemungkinan besar tidak akan hadir kerana selain faktor jauh, ada sebab tertentu yang menghalang.

Entry ini sebenarnya adalah untuk mengucapkan tahniah kepada 2 orang sahabat saya atas perkahwinan mereka. Barakallahu lakuma wa baroka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khoir. Seorang darinya yang melangsungkan perkahwinan pada hari ini di Lembah Klang. Majlis beliau juga tidak dapat saya hadir kerana saya ingin hadir ke majis yang akan diadakan di rumahnya pada minggu hadapan. Sahabat ini saya kenali sejak di bangku sekolah menengah sebelum kami berpisah kerana beliau melanjutkan pelajaran ke MRSM dan seterusnya ke luar negara sementara saya setia di sekolah yang sama sebelum melanjutkan pelajaran ke Lembah Klang.

Sejak itu hubunngan kami terputus sebelum kami bertemu 10 tahun kemudian, tetapi anehnya kami boleh bersembang seperti kami baru sehari tidak berjumpa. Setiap minggu kami bertemu dan banyak isu yang kami bincangkan dari isu kecil hinggalah isu besar. Seronok berusrah dengan beliau kerana banyak ilmu yang dapat kami kongsi.

10 Dis 2010

Kau yang bernama lelaki


Kau yang bernama lelaki
Seandainya suatu hari nanti
Melayari bahtera kehidupan
Takdirnya kita bersama
Usahlah diimpikan selaut sutera keindahan
Juga usah kau harapkan
kasih menggunung tanpa puncak
Akuilah hakikat yang tersurat
Aku bukan Siti Khadijah
Bukan 'Aishah
Juga tidak mencapai taraf Sumaiyyah Hafsyah
Wanita suci lagi terpuji

Kau yang bernama lelaki
Mengertilah dan waras keislaman
Aku hanyalah wanita akhir zaman
Yang masih cuba bertahan
Dalam mengharungi dunia
yang palsu lagi menjijikan
Dan kemampuan diri yang tinggal sekurun cuma

Kau yang bernama lelaki
Demi keranaNya semata-mata
Tak kutagihkan apa-apa darimu
Cuma kupohon sebuah pengertian
Kesetiaan dan kasih sayang yang abadi
Bahawa aku adalah amanah buatmu
Seandainya tertulis di suratan azali
Yang kita akan bersama

8 Dis 2010

Tips diet paling berkesan

Kali ini saya ingin berkongsi tips untuk diet yang inshaAllah akan berkesan dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Tips ini lebih berkesan jika anda seorang yang tidak mementingkan diri. Bagi sesetengah orang, berat badan adalah sesuatu yang sangat sensitif lebih-lebih lagi wanita. Kalau boleh, berat badan mereka tidak mahu diketahui oleh sesiapa pun. Ianya dianggap sebagai hak eksklusif dan rahsia peribadi yang lebih sulit dari kertas peperiksaan SPM.
Namun kadang kala ia akan naik di luar kawalan kita. Ada orang yang makan lah seberapa banyak pun makanan, badan tidak juga naik. Ada orang, makan sedikit pun dah naik badan. Kalau lelaki, ia sering disinonimkan dengan berat naik mendadak selepas berkahwin. Adakalanya dipanggil sindrom suami menemani isteri mengandung atau merasai penderitaan isteri mengandung. Namun isteri kembali kempis selepas bersalin, berbanding suami terus membesar. Ada juga yang mengatakan suami 'mengandung' terlebih dahulu dari isteri kerana sentiasa memakan masakan isteri yang memasak dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang itulah yang 'membesarkan' suami. Wallahu a'lam kerana saya belum berkahwin.

7 Dis 2010

Salam 1432 Hijrah

Sempena kedatangan tahun 1432 Hijrah ini, marilah sama-sama kita meningkatkan amalan ketaqwaan kita kepada Allah. Bulan Muharram adalah bulan yang dianjurkan untuk kita berpuasa sunat. marilah kita menjadikan permulaan tahun Islam ini untuk kita mengislahkan diri kita ke arah yang lebih baik.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah bulan Allah,Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”.
(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)

Wanita Jangan Jadi Bimbo | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Wanita Jangan Jadi Bimbo | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Alhamdulillah. Artikel ini telah dipostkan di iluvislam dengan sedikit editan. Moga menjadi pengajaran berguna untuk semua. Terima kasih kepada ISYRAK atas bantuan. Moga kita semua sentiasa dalam jagaan Allah. Sempena tahun baru 1432 hijrah ini, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.

6 Dis 2010

Tips temuduga KPLI

Bismillah.

InshaAllah kali ini saya cuba berkongsi sedikit tips untuk temuduga KPLI bagi calon-calon yang telah lulus ujian M-Test baru-baru ini. Sebenarnya bukan tips sangat pun tetapi lebih kepada pengalaman saya semasa mengikuti temuduga tersebut. Mungkin ada antara pembaca yang akan menghadapinya atau juga mungkin sahabat handai, rakan taulan atau saudara mara. Jika berguna alhamdulillah, jika tidak anggap sajalah ianya sebagai perkongsian pengalaman.


Sebenarnya soal dapat KPLI atau tidak lebih kepada rezeki. Memang kita berusaha tetapi usaha kita bukan segala-galanya. Sungguh, ramai rakan-rakan saya yang mengeluh kerana berkali-kali memohon tetapi belum berjaya, bukan hanya gagal temuduga bahkan M-test pun belum lepas, sedangkan saya kali pertama memohon terus lulus M-Test dan temuduga. Justeru, jika anda betul-betul berminat, mintalah dengan Allah sesungguh hati dan selalulah bangun malam dan berbaik sangka dengan Allah.

Pada hari temuduga, saya dalam dilema samada ingin mengikuti temuduga tersebut atau tidak. Fikiran saya berbelah bagi samada untuk ke temuduga atau ke tempat kerja kerana hari itu adalah hari bekerja dan ketika itu saya masih pegawai kerajaan. Saya tidak dapat bertanyakan pendapat sesiapa kerana tiada sesiapa pun yang tahu saya memohon menjadi seorang cikgu termasuk keluarga. Ini untuk mengelakkan saya dipaksa terima tawaran KPLI jika saya berjaya kelak. Biarlah saya memilih laluan ini kerana diri saya sendiri, bukan kerana paksaan orang lain. Selain itu, ia juga untuk mengelakkan tekanan dari mereka yang suka bertanya tentang itu.

4 Dis 2010

Aduhai wanita

Saya ingin berkongsi pengalaman menarik sewaktu bermusafir ke Lembah Klang. Sepatutnya dah tak dikira musafir kerana saya di sana melebihi 3 hari, tapi takpe lah sebab sebelum ke sana saya tidak berhajat untuk tinggal lama. Namun kerana kerinduan kepada sahabat-sahabat, saya panjang tempoh tinggal di sana kepada 10 hari walaupun niat asal hanya untuk ke sana dalam 3 hari sahaja.

Tinggal lebih lama di sana menyebabkan saya lebih masa untuk mengunjungi sahabat-sahabat. Saya memilih untuk menaiki pengangkutan awam walaupun ada motosikal kerana ingin merasai kesusahan rakyat marhein. Paling saya teruja adalah sewaktu menaiki komuter. Bukan saya tidak menaikinya namun inilah kali pertama saya menaikinya selepas pihak KTMB menyediakan koc merah jambu untuk wanita.

Saya memuji langkah KTMB yang begitu prihatin untuk menjaga kehormatan wanita dari dikotori oleh tangan-tangan gatal dan jahat. Saya amat bersetuju untuk diperkenalkan koc ini walaupun pada mulanya ada pihak yang memandang sinis terhadap cadangan yang baik ini. Koc tengah yang ditetapkan untuk wanita memudahkan mereka menunggu di ruangan wanita. Saya pada mulanya menunggu di ruangan itu juga namun baru saya sedar adanya papan tanda yang meyatakan tempat menunggu wanita. Nasib baik ketika itu orang masih tidak ramai.

3 Dis 2010

Terima Kasih, cikgu & Maafkan saya, cikgu

Semalam saya menghabiskan separuh dari hari saya di Maahad Tahfiz Sains untuk menghantar adik mengikuti ujian lisan untuk kemasukan ke sekolah tersebut. Mudah-mudahan beliau berjaya kerana tempat yang disediakan sangat terhad sedangkan permohonan yang diterima sangatlah banyak.

Sambil menunggu beliau mengikuti ujian hafalan, saya meninjau sekitar kawasan sekolah. Keadaan cuaca yang  hujan menyebabkan pergerakan saya agak terhad. Tiba-tiba saya terlihat kelibat seorang wanita yang saya rasa sangat familiar. Tatkala beliau memandang saya, beliau tersenyum dan mendekati saya. Alamak, beliau masih mengenali saya. Sebelum sempat beliau bersuara, saya terlebih dahulu menyapa beliau.

"Assalamu'alaikum,cikgu. Kenal saya lagi?"

"wa'alaikumussalam. Kenal lagi, dah lama xjumpa. Cikgu dah lupa dah nama awak".

Yela, lebih kurang 10 tahun saya meninggalkan bangku sekolah, tidak pernah kami bertemu, tiba-tiba bertemu di sini. Selang temph tersebut, dah beribu pelajar menjadi anak didik beliau, saya tidak berkecil hati tetapi bangga dapat dikenali oleh seorang cikgu yang sudah 10 tahun tidak bersua. Banyak juga yang kami sembang. Ternyata cikgu masih di sekolah yang sama dan kekal dengan penampilan tudung labuh dan jubah seperti dulu walaupun bukan mengajar subjek Pendidikan Islam mahupun Bahasa Arab.

2 Dis 2010

Rama-rama dan Cinta lelaki

Wahai wanita, anda adalah perhiasan. Dunia ini menjadi indah kerana adanya anda yang bernama wanita. Tanpa anda dunia pasti diselubungi sugul. Para lelaki yang mendiami bumi ini akan ketandusan kasih. Dunia pasti tidak menarik untuk didiami. Rasanya dunia akan penuh dengan kekejaman dan perbuatan-perbuatan 'sampai hati' sesama sendiri

Wahai wanita, anda ibarat rama-rama yang mengindahkan lagi alam. Anda telah menyempurnakan keindahan bunga. Sempurnalah keindahan apabila bunga dikitari sang rama-rama. Namun anda yang bernama wanita, mengapa ramai sekali yang sengaja merosakkan diri di tengah-tengah kebuasan lelaki.

Memang keinginan untuk berteman fitrah insan, tapi tak usah mangsakan diri anda untuk lelaki yang kurang perasaan. Tamsilkanlah diri anda sebagaimana rama-rama. Keindahan anda mudah terlerai sebagaimana mudahnya rama-rama terlerai daripada keindahannya apabila ia disentuh.

Tatkala rama-rama sudah hilang keindahan, tiada siapa akan pedulikannya lagi. Memang ramai wanita berasa bangga apabila ia digilai ramai lelaki. Tapi wahai wanita, sayap anda yang indah itu pasti luntur sedikit demi sedikit, melekat dijari lelaki tatkala dia menyentuh anda, sebagaimana sayap rama-rama berpindah coraknya kejari anda tatkala anda menyentuh serangga yang kecil itu.

1 Dis 2010

Kenapa saya menangis?

Dalam artikel saya sebelum ini saya bercakap tentang tangisan seorang lelaki di mana lelaki itu adalah saya. Saya menerima beberapa respon menarik samada dari emel, komen di post itu sendiri mahupun di iluvislam. Malah artikel itu mencatatkan kedudukan ke-2 paling diminati dalam sebulan selepas artikel Muslimat jangan jadi bimbo walaupun hanya beberapa hari disiarkan. Ada yang bertanya kenapa saya menangis, di samping ada juga yang berhasrat untuk membeli buku tersebut. Saya tidak dapat menjamin anda menangis membaca buku ini tetapi inshaAllah anda berpuas hati memilikinya. Kini saya difahamkan buku ini mempunyai cetakan terbaru yang disertakan dengan CD.

Penulisan Muhd Kamil Ibrahim di dalam 'Travelog Haji : Mengubah sempadan Iman' hanya bersahaja tetapi sangat menusuk ke dalam hati saya. Saya menangis saat beliau menceritakan bagaimana pada mulanya beliau 'melarang' isteri beliau untuk mengucup Hajaral Aswad kerana keadaan manusia yang ramai dan kuat-kuat. Biar hanya beliau seorang yang mengucup, tambahan pula mengucup batu itu hanya sunat. Beliau seolah 'lupa' bahawa beliau dapat mengucup bukan kerana beliau lelaki, beliau dapat mengucup bukan kerana beliau kuat tetapi kerana kuasa dan izin Allah. Beliau sedar akan 'kekhilafan' itu semasa beliau berpuasa dan dalam keadaan tidak kuat dan lemah beliau berjalan-jalan 'tanpa sedar' ke arah Hajaral Aswad lalu berjaya mengucupnya. Barulah beliau sedar betapa dalam keadaan lemah begitu pun beliau mampu dengan izin Allah lalu beliau membawa isteri beliau mengucup batu hitam itu. Akhirnya isteri beliau juga mampu mengucup batu hitam itu.

Apa yang sedihnya?

28 Nov 2010

Tangisan seorang lelaki

Salahkah jika seorang lelaki itu menangis? Kata orang, kalau lelaki menangis, maka tak 'macho' kerana air mata dikatakan hanya sinonim dengan perempuan. Benarkah? "No woman no cry", kata Bob Marley. Air mata yang mengalir kerana takutkan Allah mampu memadamkan api neraka, namun air mata yang mengalir kerana kehilangan 'buayafren' atau 'gelifren' hanya sia-sia.

Saya tidak pernah menangis kerana membaca buku mahupun kerana menonton TV atau filem walau sesedih mana cerita yang dilakonkan. Kadang-kadang pelik mendengar orang yang menangis kerana menonton TV. Bagi saya, mereka semua tidak munasabah dan hanya membazirkan air mata.

26 Nov 2010

Maafkan ku kawan

Seorang sahabat menghubungi saya meminta alamat untuk diposkan kad jemputan perkahwinan beliau dengan pasangannya. Sudah lama kami tidak bersua. Beliau di Lembah Klang sementara saya di Lembah Sireh. Jarak perjalanan antara kami adalah 45 minit penerbangan atau 7 jam perjalanan darat.

Sempat juga beliau menyatakan kerinduan kerana sudah lama tidak bertemu dan bertanya bila mahu datang ke Lembah Klang. Saya memberitahu beliau bahawa saya baru saja ke sana sebelum 'iduladha tetapi tidak sempat bertemu beliau kerana kesibukan. Beliau meluahkan kekecewaan kerana tidak sempat bertemu. Sebenarnya jika saya mahu, boleh saja saya mencari waktu di sebalik kesibukan itu untuk bertemu beliau namun saya memilih tidak melakukannya.

25 Nov 2010

Virus-virus ukhuwwah

Apakah dalam ukhuwah juga ada virus? Virus juga menyerang ukhuwah? Bukankah virus itu hanya menyerang komputer atau laptop yang tidak mempunyai kawalan keselamatan anti virus? atau menyerang sistem pertahanan badan? Sewaktu di bangku sekolah menengah dulu, cikgu mengatakan virus merupakan mikroorganisma yang paling kecil. Em, patutlah virus-virus ini tidak dapat dilihat, bahkan adakalanya tidak disedari.

Saya menulis tentang virus-virus ukhuwah ini kerana tertarik dengan petikan-petikan yang diambil dari buku virus-virus ukhuwah karangan Abu 'Ashim Hisyam bin Abdul Qadir Uqdah.
Saya belum berkempatan membaca keseluruhan buku ini, namun elok dikongsikan sedikit petikan menarik tentang buku ini. Petikan buku adalah yang berhuruf condong (italic)

23 Nov 2010

Ayuh Wanita

SEMINAR ISLAM DAN HAK-HAK WANITA
14 DISEMBER 2010
DEWAN ANNEX, DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR


MENGAPA SEMINAR INI DIADAKAN?

Seringkali isu berkaitan wanita Islam dibahas dan dibicara dalam pelbagai bentuk perbincangan semasa. Isu yang sering dimainkan ialah mengenai hak dan status wanita dari perspektif Islam. Lebih jauh dari itu, ada juga perbahasan yang cuba untuk melihat apakah wanita itu ditindas atau menjadi golongan kelas kedua di sisi Islam. Ia adalah topik yang sensasi dan sering juga disensasikan oleh media. Ia juga suatu topik yang sering dibahaskan oleh para sarjana sama ada sarjana Muslim atau bukan Muslim, dari dalam atau luar negara. Malaysia pernah menjadi tuan rumah kepada program Musawah yang dianjurkan pertubuhan tempatan, tidak lain bertujuan untuk membela wanita tetapi ada yang meragui kaedah dan pendekatan yang digunakan.   

Oleh itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cuba mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar ini agar segala tanggapan negatif terhadap kedudukan wanita dalam Islam dapat dirungkai serta difahami secara tuntas. Dengan cara ini, pendekatan pendidikan dan perbincangan akan dilihat sebagai jalan terbaik untuk menangani sebarang konflik berkaitan wanita dan status mereka dalam syariat. 

APAKAH OBJEKTIF SEMINAR INI?

22 Nov 2010

Jom ke Cheng Ho Expo 2010

Saya dengan rendah diri menjemput sahabat-sahabat datang berkunjung ke Expo Cheng Ho yang diadakan di Kota Bharu. InshaAllah saya yakin dan percaya sahabat-sahabat semua pasti berpuas hati dengan expo yang bertaraf antarabangsa ini. Ianya pasti jauh lebih baik jika ingin dibandingkan dengan Jom Heboh mahupun mana-mana expo.


Untuk keterangan dan maklumat lanjut, sahabat-sahabat semua boleh melayari laman web rasmi Expo Cheng Ho 2010. Jika anda penggemar aksi lagak ngeri, pasti menyukai pertunjukan akrobatik pemegang rekod dunia pejalan atas tali. InshaAllah pasti menghiburkan.

Untuk gambaran lebih jelas, boleh melayari Facebook Cheng Ho atau untuk jadual event, boleh merujuk di Brochure Cheng Ho

Kita jumpa di sana.

20 Nov 2010

dari Lembah Sireh ke Lembah Klang

Sebelum 'iduladha, saya menghabiskan masa lebih kurang seminggu di Lembah Klang. Asalnya hanya untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat, namun akhirnya saya memutuskan untuk tinggal lebih lama sambil menziarahi sahabat-sahabat yang lain. Bukan senang untuk saya ke sana selepas lebih 7 tahun berkelana di sana sewaktu belajar dan bekerja di jabatan kerajaan di sana.

Sepeninggalan saya ke sana, blog ini terabai dan tidak dikemaskini seperti biasa. Sebelum ini saya menetapkan sekurang-kurangnya satu artikel satu hari, bergantung pada isu. Mudah-mudahan selepas ini tidak lagi tertinggal banyak hari.

Ternyata banyak perubahan yang terjadi di sana samada dari segi pembangunan mahupun kos sara hidup. Amat dirasai lebih-lebih lagi bab makanan. Jika setahun yang lalu, di kedai yang sama dengan makanan yang sama harganya RM 3 tetapi sekarang meningkat kepada Rm 6. Tidak dapat dibayangkan bagaimana nasib pekerja-pekerja bawahan. Apakah yang mereka makan di sana? Bagaimana bagi yang sudah berkeluarga. Lebih menguntungkan jika pandai memasak namun banyak lagi kos tambahan yang perlu jika memilih untuk memasak. Silap-silap lagi mahal dari makan di kedai.

Paling seronok adalah berkumpul dengan sahabat-sahabat kerana dapat mengimbau kenangan sewaktu di zaman belajar dulu dan seterusnya berkongsi ilmu. Namun, tidak dapat meluangkan masa yang lama kerana ada antaranya terpaksa pulang awal atas komitmen keluarga. Ya, apabila sudah beristeri semestinya keutamaan harus diberikan kepada isteri. Jadi tinggallah yang mana masih bujang.

Antara yang menarik dibincangkan adalah tentang Zulqarnain. Siapa Zulqarnain? Ia berikutan pertentangan 2 buah buku iaitu
Walaupun isu ini sudah meluas skoop perbincangan namun sesekali mengupas bersama sahabat agak menarik. Namun perbincangan agak terbatas kerana masih ada yang belum membaca atau hanya membaca sebuah buku sahaja dari 2 buku tersebut. Saya sendiri hanya membaca buku tulisan Afarezz Abd Razak sahaja dan belum membaca buku tulisan Muhammad Alexander itu. Jadi tidak adil untuk terus menghukum.

Saya cuba melakukan penyelidikan antara keduanya melalui perspektif agama lain iaitu kristian lantaran saya mempunyai kawan beragama kristain. Namun kristian sebenarnya agak jauh dari kisah ini. Apapun inshaAllah akan saya kupas secara umum tentang gambaran antara keduanya dalam artikel akan datang. Jika sahabat-sahabat mempunyai pandangan dan maklumat, boleh dikongsikan di sini. Mudah-mudahan bermanfaat untuk kita semua.

17 Nov 2010

Salam 'iduladha

Saya mengucapkan salam 'iduladha kepada seluruh umat Islam terutama pengunjung blog kecil ini. Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dari kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam dan anak baginda Nabi Ismail Alaihissalam.

Kepada yang berpeluang menjadi tetamu Allah di Makkah al-Mukarramah bagi menunaikan fardhu haji, ucapan setinggi-tinggi tahniah kerana terpilih menjadi tetamu-Nya. Anda memang bertuah di antara yang bertuah. Manfaatkan peluang ini dan jangan lupa berdoa untuk kami yang masih tidak berpeluang ke sana. Alangkah bahagianya jika dapat menjadi tetamu Allah.

Kepada yang berkorban, alhamdulillah rezeki Allah berikan kepada anda. Ingatlah darah dan daging korban tidak sampai kepada Allah, tetapi yang sampai adalah amalan ketaqwaanmu. Marilah kita mengikhlaskan diri dan segala amal kita kerana Allah Taala.


Kepada yang pulang ke kampung, selamat kembali ke kampung halaman. Alhamdulillah saya juga bersama keluarga tercinta. Walaupun agak kepenatan kerana sampai menjelang tengah malam 'iduladha namun itu tidak menghalang dari merasai kemeriahan dan kebesaran hari raya ini.

Moga kita semua sentiasa dalam redha Allah.

11 Nov 2010

Terima Kasih... Terima Kasih... Terima kasih

Lama saya tidak membuka blog ini. Terima kasih atas ziarah sahabat-sahabat yang datang berziarah dan memberi respon. Maaf kerana tidak dapat membalas respon yang diberikan dan tidak dapat melakukan kunjungan balas kerana agak sibuk di luar kota.

Saya dijangka pulang ke rumah menjelang 'iduladha. Banyak pengalaman menarik yang ingin dikongsikan bersama sahabat-sahabat semua. InshaAllah pulang nanti akan saya tuliskan. Kepada sahabat-sahabat semua, teruskan menulis dan istiqamahlah dalam menasihati ummah. 

Terima kasih kepada pemberi pinjam komputer+streamyx ini. .Gembira dapat melepaskan rindu di sini.
Terima kasih juga buat semua.

Terima Kasih... Terima Kasih... Terima Kasih

4 Nov 2010

Muslimat jangan jadi Bimbo

Apa itu bimbo? Mungkin ada yang biasa mendengarnya. Kenapa saya menasihati muslimat supaya tidak menjadi bimbo? Ini kerana saya melihat semakin ramai mereka menjadi bimbo tanpa mereka sedari. Ini bahaya kerana jika tidak diperingati pasti mereka akan terus hanyut dan lupa diri.

Bimbo merujuk kepada perempuan yang cantik dan menarik tetapi rendah tahap kebijakan atau pendidikan. Sebenarnya ia adalah istilah Bahasa Inggeris dan untuk kefahaman yang lebih jelas, mungkin boleh bertanya kepada encik wikipedia di sini. Ya, ia sebenarnya adalah istilah untuk lelaki namun sekarang lebih meluas digunakan untuk perempuan sehingga jika ingin ditujukan kepada lelaki ia disebut male bimbo. Jika hanya menyebut bimbo, maka ia adalah merujuk kepada perempuan kerana mudahnya perempuan menjadi bimbo.

3 Nov 2010

Keganasan Penyokong Bolasepak Kelantan

Kelantan sering dilabelkan sebagai pasukan yang mempunyai penyokong yang ganas, tidak berdisiplin dan pelbagai lagi yang buruk-buruk. Setiap perlawanan pasti lense kamera mencari kepelikan kelakuan penyokong bola sepak Kelantan untuk disensasikan. Walaupun ia turut dilakukan oleh penyokong pasukan lain, namun kes penyokong Kelantan berbeza.

Apa saja keburukan pasti ditonjolkan seolah-olah hanya yang buruk saja dilihat. Saya turut menyelar tindakan segelintir penyokong yang berlebih-lebihan namun tidak adil jika ingin menyalahkan semua yang lain. Kenapa tidak didedahkan juga tindakan liar penyokong lain jika ikhlas ingin mengekang tindakan ini?

Hakikatnya pemandangan dan gambar ini tidak selalu dapat dilihat di stadium menjelang perlawanan bola sepak.

2 Nov 2010

Ada apa dengan tidur?

Tidur. Jarang yang memperkatakan tentang tidur. Orang yang banyak tidur digambarkan sebagai orang yang malas. Begitu juga orang yang tidur siang, namun tidur siang atau dipanggil qoilulah (tidur sekejap sblm zuhur) adalah saranan Rasulullah SAW. Nabi saw bersabda:

"Berqailulahlah (tidurlah pada tengahhari) kerana sesungguhnya setan tidak berqailulah." Tayalisi dan Abu Nu'aim dalam Tabrani , dinilai hasan oleh al-Albani, sahihul Jaami' 4431


Bagaimana kita tidur?

Dalam surah al-kahfi, Allah SWT berfirman
A011
"Maka Allah menutup telinga mereka di dalam gua itu (menidurkan mereka), selama beberapa tahun"


Mengapa dikaitkan menutup telinga dengan tidur? Mengapa bukan mata? Bukankah kita tidur dengan memejamkan mata, bukan dengan kita menutup telinga?

1 Nov 2010

Saya dan buku

Sewaktu belajar dulu, saya agak berkira terutama dari segi duit kerana yuran dan kos sara hidup di Lembah Klang amat tinggi. Jika ingin makan, pasti sasarannya adalah kedai yang paling murah. Penggunaan kredit juga amat berhati-hati terutama ketika mula-mula memiliki handphone.

Kewangan yang terhad menyebabkan saya sering 'makan hati' apabila ke kedai buku. Saya suka membeli buku tetapi bagaimana ingin membeli buku kalau tidak berduit. Saya jarang meminta dari bonda untuk membeli buku kerana itu sewaktu di sekolah menengah saya hanya memiliki 2 atau 3 buah buku rujukan sahaja. Bonda kadang-kadang hairan dengan saya sehingga terpaksa menawarkan duit untuk membeli buku rujukan kerana pelik melihat saya tidak meminta.

Saya tidak tahu kenapa saya tidak suka meminta duit dari ayahanda dan bonda sejak zaman sekolah lagi. Duit belanja adalah apa yang diberikan sahaja bahkan kadang-kadang saya menolak. Ini menimbulkan satu lagi kehairanan kepada bonda kerana jumlah yang diberikan bukan banyak bahkan lebih rendah dari yang diberikan oleh rakan-rakan pejabatnya kepada anak mereka. Kata bonda kepada saya, anak-anak rakan-rakannya sering mengadu tidak cukup wang walaupun diberi wang yang banyak sedangkan aku tidak meminta pun bahkan kerap menolak walaupun perbelanjaan yang diberi lebih rendah dari yang diterima oleh anak rakan-rakan bonda dari ibubapa mereka.

Namun sejak bekerja saya perasan diri saya berubah dari segi membeli. Mungkin kerana apabila berasa duit sentiasa masuk setiap bulan menyebabkan saya agak kuat berbelanja terutama buku. Saya melempiaskan keinginan membeli buku yang saya tahan sejak zaman belajar. Apabila masuk ke kedai buku, pasti ada yang dibeli terutama buku-buku agama. Karangan Tok Guru Menteri Besar Kelantan paling saya minati bahkan koleksinya hampir semua saya ada. Buku-buku fikrah lain tidak ketinggalan seperti tulisan Ust Fathi Yakan, TGHH, Sheikh Ramadhan albuti, Assyahid Imam Hassan albanna dan lain-lain. Ada yang habis dibaca dan ada yang tidak. Buku-buku ilmiah seperti karangan Ustaz Zaharuddin, Al-Qarni, Qaradhawi dan lain-lain turut menjadi pilihan.

Gila buku?

Rekod pembelian paling tinggi dicatat pada Pesta Buku Antarabangsa tahun lepas apabila hampir RM1 000 saya belanja di sana. Sekali ganda dari tahun sebelumnya. Bukan sekaligus tetapi 3 hari yang berlainan. Ada saja yang ingin dibeli termasuk juga langganan majalah-majalah. Ada juga sahabat-sahabat yang menasihati supaya berhenti dari membeli buku dan menghabiskan buku-buku yang sedia ada. Katanya membazir, Saya tidak menafikan nasihat mereka untuk kebaikan, namun saya terfikir mungkin sekarang saya mempunyai kewangan yang agak baik namun kesempatan masa kurang. Siapa tahu suatu ketika nanti saya mempunyai masa yang banyak tetapi kekurangan kewangan untuk membeli buku.

Mujur juga Pesta Buku Antarabangsa tahun ini saya tidak berada di Kuala Lumpur, jika tidak pasti berganda lagi belanjanya. Saya berharap agar saya mampu menghabiskan buku-buku yang dibeli ini supaya mendapat berkat dan manfaat ilmu daripadanya. Barangkali sifat saya yang tidak fokus kepada satu-satu buku menyebabkan jarang ianya habis.

Novel

Saya bukanlah hantu novel namun tetap membaca novel yang ditulis oleh Ramlee Awang Murshid. Saya tidak tahu kenapa saya suka novel RAM tetapi tidak bagi novel yang lain. RAM adalah satu-satunya penulis novel yang saya beli novelnya dan menunggu novel-novel terbarunya.

Novel Ayat-ayat Cinta pun hanya saya pinjam dari seorang sahabat. Menarik cerita tersebut namun tidak membuka hati saya untuk membelinya sebagai koleksi. Begitu juga novel Faisal Tehrani yang sangat diminati terutama oleh seorang sahabat saya. Saya cuba meminati novelnya namun gagal. Barangkali kerana saya tidak nampak keindahan sastera FT. Pernah saya cuba membacanya namun kesudahannya saya akan tertidur sehingga jika tidak boleh tidur pasti saya mencari buku FT untuk men'dodoi'kan saya.

Percubaan saya akhirnya berjaya menerusi novel Tunggu Teduh Dulu. Ternyata ceritanya menarik dan seakan-akan Ayat-ayat Cinta. Cumanya terbalik, TTD mengisahkan wanita yang diminati oleh ramai lelaki. Mungkin saya boleh mencadangkan kepada muslimah novel ini. Kalau anda meminati AAC, pasti anda akan menyukai TTD. Novel TTD ini sebenarnya novel lama dan diterbitkan secara bersiri di dalam akhbar suatu masa dahulu sebelum dibukukan sebagai novel. Bahkan lebih lama dari AAC. Argh, barangkali semua sudah mengetahui kerana peminat FT itu ramai. Hanya saya seorang saja yang sukar membaca tulisannya.

Boroskah?

Kadang-kadang terfikir juga, boroskah saya? Rasanya tidak. ini kerana saya melihat ada lagi seorang sahabat yang gila buku. Itulah, sepatutnya ingin membandingkan keborosan, lihatlah orang yang kurang boros dari kita. :-) Hakikatnya hanya kita yang mengetahui diri kita sendiri. Walaupun saya dilihat boros oleh rakan-rakan, suka beli buku, suka belanja makan, suka beli itu ini namun hakikatnya saya sendiri mempunyai plan perancangan kewangan sendiri (pada pandangan peribadi saya saja) . Orang yang tidak suka berbelanja tidak semestinya mempunyai perancangan kewangan yang baik. Ntahla.

Nasihat saya kepada sesiapa yang suka membeli buku, belilah dengan syarat akan berusaha untuk membacanya. Jangan hanya menjadikan ia sebagai koleksi kerana rugi tidak dapat mengambil manfaat darinya.

31 Okt 2010

Hadiah untuk Sultan Muhammad ke-V







ALHAMDULILLAH

Tahniah!!! Tahniah!!! Tahniah!!!
Tahniah Pasukan Kelantan
Hadiah sempena Pertabalan KDYMM Sultan Muhammad ke-V

"ALLAHU AKBAR"  "ALLAHU AKBAR"  "ALLAHU AKBAR"
SEMOGA ALLAH MELINDUNGI TUANKU DUNIA DAN AKHIRAT



GOMO KELATE GOMO

30 Okt 2010

Beruntungnya rakyat Terengganu, tapi...

Apabila menulis tentang beruntungnya menjadi wanita islam, bukan bermaksud saya tidak bersyukur menjadi seorang lelaki Muslim tetapi untuk saling memberi peringatan bahawa wanita itu bejaya diselamatkan oleh Islam dari terus menjadi golongan kelas kedua. Lebih-lebih lagi terpilih menjadi wanita Islam dengan hidayah yang diberikan oleh, 2 kali beruntung mereka ini. Namun berapa ramai yang berfikir?

Lalu apabila saya menyatakan betapa beruntungnya rakyat Terengganu bukan bermaksud saya tidak gembira dengan negeri Kelantan bahkan saya bersyukur kerana menjadi rakyat Tok Guru dan Sultan Muhammad ke-V. Namun untungnya rakyat Terengganu adalah kerana Allah melahirkan seorang ulama hebat seperti Ustaz Azhar Idrus di negeri tersebut. Pada saya Ustaz Azhar ini adalah seorang yang cukup hebat dan terkenal di seluruh negara bukan kerana ceramahnya yang menarik tetapi juga ilmu yang dimilikinya.

Betapa Ustaz Azhar diminati oleh rakyat Malaysia sehingga untuk menjemputnya memerlukan temujanji yang  lama kerana senarai menunggu yang ramai. Kehadiran beliau ke Kelantan pasti akan menarik hadirin dari segenap tempat untuk mendengar secara life dan bersua muka walaupun sebenarnya ceramah tersebut boleh dibeli dalam bentuk cd. Inilah kelebihan yang ada pada beliau.

Beruntung rakyat Terengganu memiliki Ustaz Azhar Idrus kerana boleh mendengar ceramah beliau pada bila-bila masa kerana beliau mempunyai jadual kuliah mingguan dan bulanan di banyak Masjid atau Surau di sana. Berbanding rakyat di negeri lain yang terpaksa menunggu 29,30 dan 31 haribulan setiap bulan untuk mendengar ceramah beliau. Ini kerana 3 tarikh tersebut saja yang dikosongkan untuk kuliyah jemputan. Bayangkan dengan hanya 3 tarikh setiap bulan beliau ingin memenuhi semua jemputan, sudah pasti tidak mampu.

Saya mula mengenali penceramah ini menerusi klip video berikut yang dihantar ke telefon bimbit  oleh seorang rakan pada tahun 2008. Ketika itu saya masih bekerja sebagai seorang pegawai kerajaan.



Pada ketika itu hanya mengenali kerana lawaknya. Namun apabila suatu hari saya diarahkan untuk outstation ke Terengganu, barulah saya dapat menemui cd beliau dan timbul rasa kagum dengan ilmu yang dimiliki beliau. Dalam lawak, terselit ilmu yang begitu banyak dan setiap dalil yang diberikan akan dinyatakan kitab rujukan. Kadang-kadang saya terfikir kenapa ilmuan kita yang belajar dengan ulama'-ulama' hebat di timur tengah ataupun belajar secara formal di Universiti tidak dapat menghasilkan produk seperti Ustaz Azhar Idrus?

Tapi...


Tapi sayang, walaupun Terengganu dikurniakan Ustaz Azhar Idrus, tetapi gerakan Islam gagal untuk memerintah negeri tersebut. Setiap ceramah Ustaz Azhar dihadiri oleh ramai manusia sehingga sesak masjid atau surau tetapi Islam masih gagal memerintah di sana. Apa mungkin para hadirin hanya datang untuk mendengar 'lawak' bukan untuk mencedok sebanyak mungkin ilmu dari beliau. Wallahu'alam.

29 Okt 2010

Mengaku tetapi... Cinta tetapi‏...

*InshaAllah pengisian kali ini tentang kita yang mengaku, tetapi... dan  cinta, tetapi...
Pengisian ini diambil dari email, mudah-mudahan memberi pengajaran dan peringatan kepada kita

Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.

1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.

2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia.

3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.




Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima dan lupa kepada yang lima :

1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.

2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.

3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al- Khaliq.

4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.

5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."

Makan Bola, Tidur Bola

Bahang kehangatan bola sepak Malaysia sampai ke penghujung menjelang pertemuan Kelantan vs Negeri Sembilan pada hari sabtu ini di Stadium Bukit Jalil. Demam bola sepak dilihat melanda seluruh negara khususnya penyokong kedua-dua pasukan. Sebelum ini kecoh tentang kenaikan harga tiket yang dinaikkan kepada harga yang tidak pernah terfikir oleh para penyokong dan ia merupakan yang tertinggi dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Dalam kekecohan isu kenaikan harga tiket, timbul pula isu tiket 30 000 keping tiket habis terjual dalam temph satu jam. Para penyokong mempersoalkan bagaimana 30 000 keping boleh habis sebegitu cepat dan dari mana datangnya 30 000 orang itu? Mereka mendakwa ulat-ulat tiket mengambil kesempatan di atas kemeriahan perlawanan akhir ini.

Penyokong pasukan Kelantan yang terkenal dengan sifat kefanatikan bola sepak dikatakan sanggup untuk mendapatkan tiket walaupun dijual dengan harga yang mahal. Bahkan seorang pengulas bola sepak antarabangsa pernah berkata "jika ingin melihat suasana bola sepak sebenar, datanglah ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV". Stadium keramat pasukan Kelantan itu sentiasa penuh sepanjang musim ini menunjukkan betapa fanatiknya mereka.

Walaupun pelbagai tafsiran buruk dilabelkan kepada penyokong Kelantan, namun mereka tetap meneruskan sokongan mereka. Label-label yang diberikan media, tidak langusng menggugat kesungguhan mereka kerana mereka tahu hakikat sebenar tidak begitu. Bahkan isu mercun dan balingan objek ke padang adalah perbuatan segelintir penyokong sahaja dan ia bukan hanya ada dalam penyokong Kelantan bahkan hampir kesemua pasukan. Namun, pasukan Kelantanlah yang terus ditonjol dan dan dipersalahkan sehingga kisah penyokong yang mati pun masih disalahkan pasukan Kelantan.

Saya terfikir, alangkah bagusnya para penyokong yang menghabiskan duit menonton perlawanan bola sepak di stadium ini turut hadir beramai-ramai ke Kuliah Mingguan Tok Guru Menteri Besar di Kota Bharu setiap pagi jumaat. Kuliah yang percuma ini alangkah baiknya jika dimanfaat oleh mereka yang membanjiri stadium sehingga kadang-kadang mencecah 25 000 orang.

Tiket bola ramai yang sanggup beratur untuk membelinya bahkan sanggup membayar berapa saja dari ulat-ulat untuk mendapatkannya namun tiket ke syurga ramai yang tidak berminat. Kaunter tiket bola sepak dibuka hanya sejam tetapi sold out tetapi tiket syurga dibuka dari dulu tetapi tidak ada yang berminat.
Ayuh, kita buru tiket ke syurga.

Moga tidak terjadi insiden yang buruk dalam perlawanan akhir Piala Malaysia nanti.

28 Okt 2010

Beruntungnya menjadi wanita Islam!

ISLAM MENGANGKAT DARJAT WANITA

Mengutamakan ibu ke atas bapa.
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?”

Baginda menjawab, “Ibumu!”

Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Sekali lagi lelaki itu bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bapamu!” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anak perempuan menjadi penyelamat di akhirat.
“Barang siapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka.” (Riwayat Bukhari) Begitu juga bagi mereka yang mempunyai satu atau lebih anak perempuan.

Wanita bukan hamba lelaki tetapi setaraf dari segi nilai kemanusiaan bagaikan adik beradik.  
  
“Sebenarnya wanita itu adalah saudara kandung lelaki.” (Riwayat Abu Daud)

Amal soleh wanita diiktiraf oleh Allah sebagaimana amal soleh lelaki diiktiraf.
 “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.” (Surah al-Nisa’: 124)

Hak wanita diiktiraf.
Umar al-Khattab r.a. berkata, “Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikitpun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

sumber: Solusi25, mukasurat 70 dalam ruangan Info


“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

27 Okt 2010

Sketsa dua sahabat

Alkisah 2 orang sahabat yang sudah lama tidak bertemu kerana masing-masing dengan hal sendiri. Suatu hari mereka bertemu di dalam keadaan yang tidak disangka-sangka di dalam sebuah dompet.

RM 1 : Eh, lama xnampak hang. Pehabaq?

RM 50 : Sihat je. Aku sibuk skit la ni. Banyak jalan-jalan, outstation sana-sini.

RM 1 : Tu dia... Bukan main lagi hang sekarang. Aku pun jalan-jalan juga, tapi xjumpa lak hang. Hang jalan-jalan tang mana?

RM 50 : La, ya ka? Aku cam biasa la. Disco, fun fair, shopping mall, konsert, stadium. Hang p jalan-jalan mana?

RM 1 : Ooo, patutla xjumpa. Aku p masjid, rumah anak-anak yatim, surau. Ni hang lama x kat sini?

RM 50 : Kejap je kot. Jap g mungkin ke Stadium Bukit Jalil. Okla wei, aku p dulu no. Assalamualaikum!

RM 1 : Waalaikumussalam. Ok2. Jumpa lagi. Aku pun nak p tandas awam ni.

Loghat di dalam sketsa ini hanyalah sekadar hiasan dan tidak bermaksud apa-apa. Namun sketsa ini tidak lain adalah sebagai pemberi pengajaran kepada mereka yang berfikir :-D

25 Okt 2010

Pesananku buat Muslimah

Hari ini saya kaku, beku, tidak dapat bergerak, buntu dan kejang seketika. Fikiran saya bercampur baur tidak tahu apa yang difikirkan sebelum tiba-tiba tersenyum tawar membaca sebuah blog seorang perempuan yang menceritakan kisah silam dirinya yang masih mentah tentang erti sebuah kehidupan.

Kebetulan hari ini saya mempunyai masa terluang, jadi saya cuba mencari maklumat di sebalik Teori Konspirasi bagi mencari siapa di sebalik tabirnya dan berapa ramai pengikutnya. Sebenarnya saya bukanlah berminat dengan teori ini namun hanya meneliti sejauh mana pengaruhnya dalam masyarakat umat Islam di negara ini.


24 Okt 2010

7 golongan mendapat naungan arasy

“Tujuh golongan yg akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya di hari tdk ada naungan kecuali naungan-Nya.; Pemimpin yg adil, pemuda yg sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya,orang yg hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid,dua orang yg saling mengasihi karena Allah, keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah, seorang lelaki yg diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yg cantik utk melakukan kejahatan tetapi dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah!’,seorang yg memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kiri tidak tahu apa yg diberikan oleh tangan kananya, seseorang yg mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dari kedua matanya”
(HR. Bukhari Muslim)


Dari Hadith di atas, dapat kita ketahui bahawa ada 7 golongan yang akan mendapat naungan Arasy Allah pada hari kiamat. Sama-sama kita muhasabah diri kita apakah kita termasuk dalam 7 golongan ini.


23 Okt 2010

Kisah sebuah jam

Alkisah, seorang pembuat jam tangan berkata kepada jam yang sedang dibuatnya.

Hai jam, apakah kamu sanggup untuk berdetak paling tidak 31,104,000 kali selama setahun?”.

“Hah?,” kata jam terperanjat, “Isk beratnya, tak sanggupla saya?”.

“Bagaimana kalau 86,400 kali dalam sehari?”, tawar si pembuat.

“86,400 kali? Dengan jarum yang ramping-ramping seperti ini. Banyak sangat tu?” jawab jam penuh keraguan.

“Bagaimana kalau 3,600 kali dalam satu jam?”,tanya si tukang tadi

“Dalam satu jam harus berdetak 3,600 kali? Banyak lagi tu” Jam tetap ragu-ragu dengan kemampuan dirinya.

Tukang jam itu dengan penuh kesabaran kemudian berkata kepada si jam. “Kalau begitu, sanggupkah kamu berdetak satu kali setiap detik?”.

“Naaaah, kalau itu, aku sanggup!” kata jam dengan penuh antusias.

Maka, setelah selesai dibuat, jam itu berdetak satu kali setiap detik. Tanpa terasa, detik demi detik terus berlalu dan jam itu sungguh luar biasa kerana ternyata selama satu tahun penuh dia telah berdetak tanpa henti. Dan itu bererti ia telah berdetak sebanyak 31,104,000 kali.

Moral :
Ada kalanya kita ragu-ragu dengan segala tugas pekerjaan yang begitu terasa berat. Namun sebenarnya kalau kita sudah menjalankannya, kita ternyata mampu. Bahkan yang semula kita anggap mustahil untuk dilakukan sekalipun. Jangan berkata “tidak” sebelum Anda pernah mencubanya. Kisah ini saya petik dari email yang saya terima lama dulu namun rasanya berguna untuk kita mengambil ibrah darinya.

Jangan mudah mengalah dan jangan lekas berkata TIDAK, padahal kita mampu.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya,... "

22 Okt 2010

Kisah Imam Abu Hanifah memotong Epal (...samb)


Hampir terlupa untuk menyambung kisah ini. Terima kasih kepada 'as-syuhada, الشهداء' kerana mengingatkan cikgu.

Kisah ini adalah sambungan dari kisah di artikel ini.

Sebaik menerima epal yang telah dibelah tadi, perempuan itu terus pergi meninggalkan majlis ilmu tersebut.
Semua yang melihat kejadian tersebut tercegang tidak faham apa yang berlaku. Tidak berlaku komunikasi antara perempuan tersebut dan Imam Abu Hanifah namun masing-masing faham tindakan satu sama lain.

Lalu Imam Abu Hanifah bertanya "Kamu tahu kenapa dia datang ke mari?Kamu faham apa yang ditanya?"

"tak tahu", jawab si anak murid

"dia datang untuk bertanyakan masalah tentang hukum darah haid",jawab Imam Abu Hanifah lalu menyambung penjelasannya.



"Yang dia bawa tadi adalah epal yang kulitnya nampak  kuning2  dan dia bertanya aku apabila darah haid  kuning2 seperti ni, sudah suci kah dan boleh solat dah ke?"

"lalu aku belah epal itu untuk menjawab kepadanya bila putih seperti isi dalam itu baru boleh solat"

Wah, tinggi ilmu beliau firasat Imam Abu Hanifah. Kalau kita bagaimana? Huh, sudah pasti akan habis dimakan epal itu sambil di dalam hati berbangga dan terharu kerana ada murid yang bersimpati dan menghadiahkan epal kepada kita. :)

Begitu juga berkawan dengan orang jahil, perlu menjadi jahil lebih darinya. Untuk berkawan dengan si gila,kena menjadi gila seperti dia baru boleh ngam. Barangkali kisah si gila yang sering kita dengar ini boleh dijadikan contoh.

Kisah Orang Gila

Ada seorang gila yang ingin terjun dari menara tangki air. Habis bersusah payah polis dan bomba ingin menyelamatkannya. Apabila bomba ingin naik ke atas, dia mengugut bomba, "kalau kamu naik, aku terjun".

Turun balik bomba kerana bimbang si gila ini betul-betul terjun. Dalam keadaan kelam kabut itu, ada seorang mencadangkan supaya meminta bantuan seorang gila yang lain yang tinggal di tepi sungai.

Oleh kerana tiada pilihan, maka pergilah orang ke rumah si gila di tepi sungai dan beritahu "ada orang gila ingin terjun dari tangki air.Puas di pujuk tidak mahu turun,bagaimana nak buat?"

"Oh senang saja, belikan aku sebilah pisau lipat.", pinta si gila di tepi sungai itu.

Orang tidak mahu bertanya banyak kerana dia ni orang gila.

Apabila dapat saja pisau, terus dia menuju ke tangki air. sampai di sana dia melaungkan kepada orang gila di atas tangki air sambil mengacaukan pisau kecil di tangan "hoi, turun!! kalau tak,aku tebang tangki air ini dengan pisau ini."

Melihat pisau ditangan dan ugutan si gila di bawah, dia terus turun. Bila ditanya, "kenapa turun?", jawab si gila ini, "dia tu gila, nanti betul-betul dia tebang tangki air. 

Mana mungkin tangki air boleh ditebang dengan pisau itu, namun kerana masing-masing gila, hanya mereka yang boleh memahami bahasa mereka. Itulah, untuk berkawan dengan orang gila perlu jadi lebih gila dari dia.

Mahu anak menjadi soleh, tapi... (kemaskini)

Tanyalah ibu bapa mana sekalipun pasti menginginkan anak mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Walaupun hidup mereka bebas dan tidak berpegang kepada ajaran agama, namun apabila bercakap soal anak pasti mereka mahu kan yang terbaik untuk anak mereka.

Lihat saja perokok, mereka pasti tidak mahu anak mereka menjadi perokok seperti mereka. Hancur lunyai rotan digunakan untuk memukul anak mereka yang merokok. Apabila ditanya sebab, pasti alasan membahayakan kesihatan, membazir, tak elok dan sebagainya namun tidak pula digunakan alasan itu untuk diri mereka sendiri.

Saya teringat kisah sewaktu mengajar seorang murid mengaji al-quran di rumahnya.

21 Okt 2010

selepas 10 tahun

Minggu lepas saya berpeluang menjejak kasih 3 sahabat lama yang lebih kurang 10 tahun tidak berjumpa. Mereka adalah rakan sekolah menengah yang mempunyai kisah hidup yang berlainan antara satu sama lain.  Sebenarnya saya masih lagi berhubungan dengan sebilangan rakan-rakan sekolah menengah terutama yang sama-sama berada di jalan dakwah. Sungguh, perhubungan di jalan dakwah itu sangat kukuh sehingga susah untuk diuraikan tetapi menjejaki kawan-kawan yang bukan di jalan ini juga adalah perlu kerana mereka tetap kawan kita. Oleh kerana sekolah menengah saya dulu adalah abs (all boys school), jadi tidak susah untuk berhubung kembali dengan mereka walaupun mereka sudah berkeluarga. Pertemuan dengan mereka bertiga adalah secara berasingan kerana mereka saling tidak rapat antara satu sama lain.

KISAH 1
Pertemuaan terakhir kami adalah selepas keputusan SPM dikeluarkan, jadi saya begitu ingin berjumpa dengannya lalu janji dibuat iaitu bertemu di kawasan rumahnya. Namun, saya jadi pelik apabila dia ingin mempercepatkan pertemuan tersebut sehingga sanggup datang ke rumah saya. Saya jadi 'buruk sangka' kerana pengalaman sebelum ini, jika ada rakan yang bersungguh-sungguh ingin berjumpa, pasti ada niat tersembunyi. Samada ingin memperkenalkan bisnes baru atau meminjam wang. Saya tidak mahu peristiwa sedih itu berulang.

Nasihat Buat Pemilik Blog Serta Forum

Setiap pemilik blog sememangnya bebas untuk memuatkan apa jua coretan dan gambar yang mereka sukai, namun mereka juga WAJIB bertanggungjawab untuk meemastikan entrynya tidak menggalakan pembzairan waktu dan masa diri sendiri dan pembaca tanpa mesej jelas. Selain itu, WAJIB pula dijaga dari sebarang komen buruk dan negatif terhadap Islam.

 JAGA-JAGALAH PEMILIK FORUM
Sama seperti forum-forum yang begitu pelbagai di internet hari ini. Terdapat forum politik, forum perbincangan agama, forum remaja, forum pelbagai dan lain-lain.
Namun agak malang juga apabila melihat sebahagian forum TIDAK TERKAWAL kandungannya.  Benarlah,  ia memberikan sebahagian manfaat tetapi ia turut membarahkan masalah sosial, akhlak dan agama apabila melepas bebaskan pemberi komen, penghantar artikel untuk menulis apa sahaja.
Pemberi komen di forum dan blog hari ini ada yang bertukar watak syaitan ketika memberi komen, berselidung di sebalik nama palsu dan umum. Sama seperti manusia di jalan raya di Malaysia (bukan di UK), watak sebenar seseorang individu kerap terzahir ketika memandu, ramai tidak disangka ia seganas itu, tetapi itulah dia.

20 Okt 2010

Jangan Jadi Lilin

“Jadilah lilin… yang membakar diri untuk menerangi… berkorban diri demi kebaikan orang lain!” itulah ungkapan ‘indah’ yang sering disebut orang kita.

Guru umpama lilin.

Kekasih umpama lilin.

Dan pelbagai siri lilin yang lain, terbakar diri untuk memberi.

Simbol pengorbanan.

LIKU DAKWAH
Dakwah adalah jalan yang penuh liku. Dari ujian kesusahan, hinggalah kepada ujian kesenangan malah kejemuan. Dakwah adalah wasilah Tarbiyah yang ertinya pada seni membentuk manusia. Tatkala usaha itu bersabit dengan manusia, banyaklah sakitnya berurusan dengan manusia.


Jemaah Haji Malaysia Menggunakan Vaksin Haram ?



Tahniah kepada semua warga Malaysia yang terpilih untuk menunaikan Haji pada tahun ini. Kelihatan rombongan demi rombongan mula berlepas ke tanah suci Mekah. Namun terdapat satu isu yang ingin saya bangkitkan untuk perhatian semua, khususnya pihak berwajib JAKIM, panel pengkaji JAKIM dan Majlis Fatwa kebangsaan.

Telah diketahui bahawa Kerajaan Arab Saudi mewajibkan semua jemaah Haji untuk menerima suntikan vaksin meningitis sebelum berlepas bagi memastikan tahap kesihatan mereka terjamin, sewaktu menunaikan rukun Islam kelima tersebut. Sebelum ini telah kita dengari keraguan timbul berkenaan asal usul vaksin terbabit, yang dikatakan dibuat melalui proses yang bercampur dengan sama ada unsur babi atau binatang-binatang lain yang tidak disembelih. 
 
Pun begitu, Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2002, telah mengeluarkan fatwa berkenaannya seperti berikut:-


19 Okt 2010

Mengapa kita lambat bertemu jodoh?

Usaha sudah dibuat tapi mengapa masih ada yang tidak bertemu jodoh? Menurut Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, lambat bertemu jodoh ini mungkin disebabkan:

1. Usaha Belum Sempurna
“Usaha sudah dibuat tapi usaha yang sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai itu tidak dilakukan. Usahanya masih belum betul, masih belum sempurna. Kurang ‘munasib’.

Saya bertanya kepada seorang ulama, ‘Kenapa ustaz, orang ini sudah mandi bunga sampai 99 kali tapi masih tidak bertemu jodoh?

Di mana silapnya?’ Dia jawab begini, ‘Mungkin dalam perancangan Allah, usahanya ialah mandi air bunga 101 kali, tapi dia berhenti pada tahap 99 kali.’ Mesejnya ialah, mungkin kita patah semangat di tengah jalan. Jawapannya ialah, cuba dan cuba lagi.

2. Belum Benar-benar Bersedia“Pasangan sudah ada tetapi orang yang hendak mencari jodoh itu belum benar-benar bersedia. Orang yang bersedia adalah orang yang benar-benar merasakan dirinya macam nak jadi suami, macam jadi jadi isteri.


Qolbu : Hati atau Jantung?

Sebenarnya saya sendiri masih keliru dengan istilah Bahasa Melayu apabila kita ingin menterjemahkan perkataan bahasa arab, qolbu. Banyak hadith yang membicarakan tentang qolbu dan seringkali diterjemahkan sebagai hati dalam bahasa Melayu. Bahkan penterjemahan dari bahasa Inggeris juga kita sering tersasar apabila ramai yang menterjemah HEART sebagai HATI. Benarkah HEART itu hati? Kenapa penyakit serangan jantung disebut 'heart attack'?

Seorang sahabat doktor menjelaskan bahawa istilah HEART sebenarnya merujuk kepada jantung sementara HATI adalah liver. Mungkin benar kerana istilah itulah yang digunakan dalam perubatan. Ilmu perubatan dipelopori oleh Ibnu Sina dalam buku Qonun Fi-AtTibb adalah dalam bahasa Arab dan apabila kitab ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, tentulah terjemahannya mengikut bahasa yang betul. Jika tidak, pasti pakar jantung tersalah bedah hati.
gambar diambil tanpa kebenaran dari blog mencari-hati
Lalu kenapa tersasar HEART diterjemahkan kepada hati? Kalau berkaitan hati dan perasaan,pasti ramai yang mengaitkan dengan hati. Pepatah melayu banyak menyebut tentang 'sakit hati', 'patah hati', 'makan hati' dan sebagainya. Bahkan apabila berdepan dengan orang yang dicintai juga dikatakan hati berdebar-debar. Persoalannya adakah hati yang berdebar atau jantung yang berdebar? Jika kita berasa marah, hati kita kah yang mengalami perubahan atau jantung? Apala tenang, hati kita tau jantung kita yang tenang? Bahasa Inggeris menggunakan istilah deep in my heart untuk menggambarkan perasaan dan diterjemahkan kepada hati.

Salah satu hadith adamenyebut
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu.” – Maksud Hadis.

Ini menunjukkan peranan qolbu dalam diri kita. Namun jika dikaitkan dengan perubatan, jantung memainkan peranan mengepam darah ke seluruh badan dan kesihatan manusia kebiasaannya diukur pada jantung. Bahkan darah yang dialirkan dari jantung juga hasil dari sumber makanan kita yang menjadi darah daging. Namun kita tidak boleh melihat jantung fizikal saja, jantung spiritual juga perlu dilihat. wallahu 'alam. Saya bukan ahli tafsir hadith.

Barangkali para ustazah dan doktor kita boleh memperincikan lagi makna kedua organ ini. Kalau tidak salah, istilah hati di dalam bahasa arab disebut al-kabd ( الكبد )dan jantung barulah qolb(القلب). Sama-sama kita merenung kembali permasalahan ini.

Betapa liciknya syaitan

Satu hari, akibat keletihan yang teramat sangat, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani hampir terlewat bangun daripada tidurnya walaupun waktu Subuh hampir tiba. Melihat keadaan itu, syaitan telah menyamar menjadi seekor kucing dan menggigit jari kaki Syeikh Abdul Qadir. Maka, Syeikh Abdul Qadir pun terjaga. Mujurlah waktu Subuh baru sahaja masuk. Dalam pandangan mata hatinya, Syeikh dapat melihat syaitan yang menyamar seekor kucing itu.

“Mengapa kau kejutkan aku untuk solat Subuh, sedangkan kau amat membenci orang yang solat?”

“Aku bimbang sekiranya kau terlewat bangun Subuh,” jawab syaitan.

Syeikh Abdul Qadir kehairanan lalu bertanya lagi, ” Kenapa?”
Syaitan terpaksa menjawab kerana dia takut kepada orang yang takutkan Allah.

“Aku takut jika kau terlewat untuk solat Subuh, kau akan menampung kelewatan itu dengan amalan-amalan yang lain yang lebih banyak dan serius,” kata syaitan.

Syaitan meneruskan kata-katanya, ”Kau akan bersedekah, kau akan membantu orang lain, kau akan mengajar lebih lama, kau akan membaca al-Quran untuk menampung kesalahanmu yang sedikit. Kemudian nanti, aku dan kawan-kawanku pula bertambah susah. Kerja kami akan bertambah banyak dan sukar. Jadi, lebih baik kamu solat Subuh tepat pada waktunya dan kami tidak akan terpaksa menghadapi banyak kerja untuk menyekat amalan-amalan baikmu itu nanti!”

Begitulah kreatif dan inovatifnya syaitan dalam menyesatkan manusia. Syaitan bukan sahaja arif tentang amalan baik dan jahat tetapi juga arif tentang keutamaan amal. Bagaimana kita? Hehe, barangkali apabila terlewat solat syaitan akan mengadakan parti besar-besarandan tidak mempedulikan kita yang sedang tidur kerana kita tidak akan berasa apa-apa dengan kelewatan. Atau mungkin juga syaitan tidak terasa apa-apa pun sudah dah menjadi kebiasaan kita pun. Bahkan mereka tidak perlu bersusah payah menggoda kita kerana kita sendiri yang mencuaikan solat.


Godaan syaitan ini banyak caranya,tidak boleh cara kasar, digunakan cara halus. Contoh jika tidak berjaya mencegah kita melakukan perkara baik, diselitkan perasaan riak dan takabbur semasa kita melakukan perkara tersebut. Kadang-kadang kita merasakan sesuatu yang tidak enak (bimbang riak) semasa melakukan perbuatan baik, maka kita cuba mengelak melakukan perbuatan tersebut. itu sebenarnya adalah kejayaan syaitan menggoda kita kononnya ingin mengelakkan riak. Jika masih gagal, diselitkan pula perasaan ujub dalam diri iaitu berasa takjub atau kagum dengan diri sendiri kononnya berjaya mengatasi riak. Oleh itu, dalam apa-apa hal, istighfarlah dan jangan terpedaya dengan kelicikan syaitan. Mereka berpengalaman sejak zaman Nabi Allah Adam AS di syurga lagi.

18 Okt 2010

Bodoh atau kepandaian berbeza

Satu hari seorang profesor bijak pandai sedang menyeberang sebuah sungai yang luas dengan sampan yang didayung oleh seorang pakcik. Di tengah perjalanan, profesor itu bertanya kepada pakcik "Kamu pandai menulis dan membaca?"

"Tidak tuan, Saya buta huruf", jawab pendayung sampan.

"Oh, kamu sudah hilang separuh dari kehidupan kamu! Orang yang tidak pandai menulis dan membaca telah hilang separuh keupayaan untuk hidup dengan berjaya".

Sampan terus bergerak meredah sungai yang luas itu. Sejurus kemudian, profesor bertanya lagi,"Kamu ada membuat simpanan untuk masa depan?"

"Tidak,tuan. Pendapat saya cukup-cukup makan saja".

"Kalau begitu kamu hilang separuh lagi kehidupan kamu.  Mana mungkin orang yang tidak menyimpan boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti."

Sampan terus bergerak. Tiba-tiba sampan itu terlanggar bucu sebuah batu dan bocor. Air mula memasuki sampan. Mereka berdua bergegas mengambil apa jua bekas untuk mencedok air keluar dari sampan. Namun, usaha mereka tidak berhasil kerana air begitu deras masuk. Ternyata sampan itu akan tenggelam! Dalam keadaan cemas itu si pendayung bertanya kepada profesor, "Tuan,tuan pandai berenang?"

"Err, saya tidak tahu berenang!" jawab profesor panik. 

"kalau begitu, tuan akan hilang seluruh hidup tuan."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kisah ini saya ambil dari Majalah SOLUSI. Saya percaya kisah ini sudah kita dengar berulang kali dengan versi yang berbeza. Namun pengajarannya adalah sama untuk menunjukkan setiap orang mempunyai kepandaian yang berbeza. Kita tidak boleh mendakwa seseorang itu bodoh walaupun kita mempunyai pendidikan yang tinggi darinya kerana pada hakikatnya kita saling memerlukan. Sebagai contoh, seorang doktor pakar yang belajar sehingga ke luar negeri, apabila keretanya rosak, pomen yang berkelulusan darjah 6 juga yang dicari. 

Seorang Perdana Menteri sekalipun memerlukan driver untuk memandu keretanya, mempunyai pembantu untuk menguruskan jadualnya. Bahkan pekerja Majlis bandaran turut penting walaupun tugas mereka hanya memungut sampah.  Jika tiada mereka, pasti kita dikelilingi bau yang busuk. Tukang sapu dan 'cleaner' yang sering dipandang lekeh juga penting untuk keselesaan kita. Saya teringat sewaktu kerja di jabatan kerjaan suatu ketika dulu, apabila 'cleaner' datang untuk membersihkan meja dan mengambil sampah, ada staff yang terganggu dan tidak selesa kononnya menggangu tugas.Namun bila tidak ada, dirungut pula sampah banyak dan sebagainya. Itulah sebab kita tidak boleh sombong.
Manusia itu tidak bodoh, cuma kepandaian yang berbeza. Bayangkan kalau semuanya mempunyai kepandaian yang sama, alangkah bosannya dunia ini.Malah mungkin hancur binasa. Allah Maha Bijaksana

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails