BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


16 Jan 2013

Hadiah buat murid ponteng

Alhamdulillah, berkesempatan menulis setelah agak lama tidak muncul di sini. Banyak sekali perkongsian yang ingin dikongsi dengan semua. Saya bukanlah guru yang terbaik, bukan juga guru yang sempurna, namun sedaya upaya berusaha untuk menjadi terbaik.
gambar ihsan google
Pelbagai teori yang dipelajari oleh bakal guru sebelum dicampak ke sekolah. Ada yang boleh pakai, ada juga yang tidak sesuai. Masakan tidak, teori itu bukanlah sesuatu yang muktamad untuk kita terima tanpa bantahan. Hanyasanya Alquran dan Hadith yang bersifat qat'ie dan tiada keraguan dan bantahan pada keduanya.

Saya suka mencuba sesuatu yang lain dari yang pernah saya cuba. Ianya untuk melihat sesuatu itu dari perspektif yang berbeza. Kadang-kadang apa yang saya cuba buat adalah berlawanan dari apa yang kebiasaannya dibuat oleh orang lain, namun saya cuba juga untuk melihat keberkesanannya. Sebenarnya sudah banyak kali saya juga dan kali ini saya ingin berkongsi salah satu darinya.

Seorang murid telah saya kesan tiada di dalam kelas saya sejak minggu lalu. Tidak hadir ke sekolah. Lalu saya bertanya kepada murid-murid lain.

"Mana Daniel? Lama dah tak datang ke sekolah ni. Sejak minggu lepas lagi." tanya saya.

"Dia ponteng, cikgu. Saya nampak dia selalu naik basikal petang-petang p ronda." jawab Siti.

"Betul cikgu. Dia malas mai sekolah." sampuk murid lain pula.

"Pesan kat dia, cikgu suruh mai sekolah. Nanti kita bagi hadiah kat dia", pesan saya kepada mereka.

Hari ini, usai saya mengajar dan memberikan latihan, saya terlihat seorang murid yang sudah lama saya tidak lihat. Dari tempat duduk guru, saya bertanya kepadanya.

"Kamu Daniel ke?" saya bertanya. Teragak-agak dia menganggukkan kepala.

"Kenapa lama tak datang sekolah?", tanya saya.

"S...saya... demam, cikgu", jawabnya perlahan.

"Dia bohong, cikgu. Saya duk nampak dia asyik duk main basikal petang-petang", potong Siti. Dia memandang kepada Siti sebelum menundukkan kepala. Perlahan-lahan saya menuju kepadanya.

"Cikgu ada janji nak bagi hadiah kat dia kan?", saya bertanya kepada kelas.

"Ha... betul cikgu. cepat cikgu, bagi dia hadiah," Intan pula menjawab.

Saya kembali ke meja guru. Di atas meja ada pembaris panjang warna kuning. Semua mata tertumpu kepada saya sementara Daniel masih menundukkan kepala. Ketakutan mungkin.

Saya mencapai beg galas, kemudian mengeluarkan sebatang pensil dari kotak.

"Ini hadiah cikgu buat Daniel", saya memberikan pensil kepada Daniel. Kelihatan dia terkejut dan teragak-agak menerimanya.

"Aaaaaaa.....", kelas menjadi riuh.

"Mana adil cikgu. Cikgu kata nak bagi 'hadiah' kat dia,"Asyraf mula bersuara.

"Betullah, kan cikgu dah bagi hadiah tu. Pensil tu la hadiah," balas saya.

"Mana boleh macam ni. Kami ingat cikgu nak rotan. Kami pun nak pensil juga", Siti tidak berpuas hati.

"Kalau dapat A matematik, cikgu bagi pensil", saya tersenyum padanya.

"Saya pun tak nak datang sekolah lah. Nanti cikgu bagi pensil kat saya", kata Farah.

"Ha? Farah nak ponteng ke?" tanya saya.

"Tak la cikgu. Gurau je. Kalau tak mai sekolah nanti mak ayah saya marah", jawab Farah.

Saya melihat Daniel begitu bersemangat menyiapkan kerja kelas yang saya berikan dengan pensil tersebut.

"Kelas, esok ada masa cikgu tak?", tanya saya.

"Ada cikgu, masa lepas rehat macam hari ini juga", Daniel menjawab degan pantas ketika rakan-rakan yang lain sibuk mencari jadual. Saya tersenyum kepadanya.

"Nanti datang ye Daniel", kata saya kepadanya.

Tiba-tiba saya teringat kepada Mohd Danish. Apa khabar kamu.


5 ulasan:

dee berkata...

uhuuuu... scarynya nak masuk sekolah -___-"

alFarafisyah berkata...

salam ziarah.

Perkongsian yang menarik.

Betul tu, tidak semua teori yang dipelajari boleh diaplikasi di sekolah. Seorang pendidik perlu bijak mencari jalan dan cara menarik minat anak didiknya.

Namun, pendekatan di sekolah rendah dan di sekolah menengah pastinya berbeza.

Semoga Allah mudahkan urusan cikgu dan kita semua yang bergelar pendidik. Amanah ini berat, namun kita harus berusaha sebaiknya dalam membentuk pemimpin generasi harapan, agar tidak hanya berkata 'listen, listen'listen' tanpa mempedulikan pandangan dan suara hati orang lain. =)

Al - Mu'allim berkata...

~dee~

takde yang scary nya. seronok jika kita enjoy dengannya.

Al - Mu'allim berkata...

~alFarafisyah~

Bukan hanya pendekatan sekolah rendah dan sekolah menengah saja berbeza, bahkan pendekatan sekolah rendah dengan sekolah rendah yang lain juga ada bezanya. Sekolah menengah dengan sekolah menengah lain juga ada bezanya.

Kadang-kadang ia bergantung kepada persekitaran murid, latar belakang keluarga mahupun jenis kediaman mereka.

Allahumma ameen.

Tugas kita sebagai guru untuk membebaskan masyarakat dari virus listen!listen!

Muslimah Optimis berkata...

suka dengan cara cikgu mengedalikan anak2 murid cikgu yang ponteng.. :-)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails