BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


Memaparkan catatan dengan label banjir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label banjir. Papar semua catatan

28 Dis 2012

Korban ke-8 banjir

Posting sebelum ni korban pertama, sekarang dah ke-8. Ajal maut di tangan Allah, namun apakah tiada usaha di peringkat kita? Innalillah..



28 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Dua kamatian akibat banjir dicatatkan setakat pukul 10.30 malam tadi dengan masing-masing satu di Terengganu dan Negeri Sembilan menjadikan mangsa korban meningkat kepada lapan orang.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), seorang maut akibat lemas di Jelebu, Negeri Sembilan dan seorang lagi di Setiu, Terengganu.

Di Terengganu, setakat petang tadi telah meragut enam nyawa iaitu tiga di Kemaman, dua di Setiu dan seorang di Kuala Terengganu.

Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah buruk malam tadi apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di dua negeri

Pantai Timur itu meningkat kepada 22,609 orang berbanding 21,800 petang tadi.

Menurut portal itu, mangsa banjir di Pahang malam ini meningkat kepada 448 orang berbanding 435 petang tadi.

Mangsa banjir di Johor kini kekal seramai 13 orang.

Sementara itu di KELANTAN, keadaan banjir pada malam tadi tidak banyak berubah apabila jumlah mangsa banjir berkurangan sedikit kepada 6,809 orang.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu merangkumi 2,145 buah keluarga yang telah ditempatkan di 28 buah pusat pemindahan.

Jumlah yang dipindahkan di Pasir Mas adalah seramai 4,265 orang, Tumpat (2,329), Kota Baharu (197) dan Pasir Puteh (18).
Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya namun ia semakin menyusut termasuk sungai-sungai utama yang lain.

Keadaan cuaca pada malam tadi adalah baik.

Dalam pada itu, di TERENGGANU, mangsa banjir meningkat kepada 15,800 orang berbanding 14,894 petang tadi. - Bernama

26 Dis 2012

Korban pertama banjir

Lepas sudah mesyuarat pertama guru. Ada beberapa pertambahan jawatan lagi kali ini, tapi biarlah. Seronok berjumpa rakan-rakan guru yang lama tak jumpa, ada juga murid yang datang bersalaman.

Duk risau tentang korban banjir, akhirnya ada juga korban yang saya rasa ini korban pertama di Pantai Timur. Alah, risau sungguh la kalu main nge air banyok nih. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas allayarhamah. Hok mano nak g mmukat tuh, hati2 la deh.



26 Disember 2012
Banjir: Wanita lemas, korban pertama Terengganu
Anggota polis mengangkat mayat mangsa lemas akibat banjir di Kanpung Hulu Seladang Setiu Terengganu malam ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU -  Seorang wanita menjadi korban pertama banjir di Terengganu apabila ia ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam sungai Lanjut berdekatan Jambatan Permaisuri semalam.
Ketua Operasi Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Izani Zakaria ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya dengan bantuan penduduk kampung, menemui mayat mangsa pada pukul 6.30 petang berdekatan tempat mangsa terjatuh.  
Samhanim Ramli, 36, dikatakan tergelincir ketika sedang menahan pukat jaring bersama suaminya, Wan Amran Wan Sudin di sungai tersebut kira-kira pukul 3 petang.  
Mayat dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada  6,100 orang sehingga 8.30 malam ini berbanding 5,297 orang petang tadi. Mereka kini tempatkan dipindahkan di 106 pusat pemindahan banjir.
Menurut portal banjir negeri, jumlah terbesar mangsa banjir yang dipindahkan adalah di Dungun iaitu seramai 1,221 orang diikuti Besut (1,096), Hulu Terengganu (1,046), Kemaman (979), Kuala Terengganu (807), Setiu (707) dan Marang (244).
Air di beberapa batang sungai termasuk sungai Besut di Kampung La; sungai Dungun iaitu di Pasir Raja dan Kuala Jengai; sungai Nerus, di kampung Langkap di sini; sungai Setiu di Permaisuri; dan sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu kekal berada di paras bahaya.  
Namun, setakat ini tiada jalan utama yang menghubungi negeri ini ditutup kepada kenderaan.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di Kampung Tasik dan Kampung Buluh di Setiu mendapati perbuatan beberapa penduduk yang bermain air di jalan raya dilihat boleh mengancam nyawa mereka memandangkan air yang mengalir amat deras di situ.
Seorang penduduk ketika ditemui Ibrahim Yahya, 56 berkata banjir ini disifatkan sebagai yang terburuk melanda daerah ini sejak tujuh tahun lepas.
"Daerah ini sering dilanda banjir namun tidaklah seteruk ini dimana air begitu cepat naik ke dalam rumah dan menyukarkan kami untuk bergerak dengan arus yang deras," katanya.

Ubi rebus + cekmek

Rasa tak puas lagi menulis pasal banjir. Musim banjir ni, paling laku adalah ubi rebus. Ubi kayu, ubi stelo dan ubi badak antara yang terfemes. Dulu-dulu, rajin juga gi gali ubi, namun sekarang lebih selesa membeli kerana harganya yang murah. 'Tigo amah' sekilo atau kadang-kadang 4kilo 5rial. Beli sekilo pun tak habis nak makan.
cekmek jadi gini sebab ubi stelo warno lain

Ubi kayu

Ubi badok

Nak balik semalam, nampak banyak ubi stelo dan ubi kayu di dapur, lalu timbul rasa nak makan cekmek. Tak tahu la apa nama bakunya. Hari tu dah buat dah skali, mendapat sambutan yang menggalakkan jadi kali ni rasa nak buat bertambah-tambah lebih-lebih hari terakhir sebelum bertolak.

Senang je nk buat cekmek ni. Ambik ubi stelo dan rebus. Bila dah empuk, kupas kulit dan  lenyek atau tumbuk dengan lesung. Kemudian campur gandum secukup rasa dan buat macam doh. Kemudian ambik sedikit doh tadi dan bulatkan kemudian leperkan, isi gula dan bujurkan.

Dah siap, saya suruh adik bongsu goreng. Best juga ada adik perempuan ramai ni, cuma sebab 2 orang je adik perempuan kat rumah, so suruh je la adik bongsu.

Malam tadi telefon bonda bertanyakan keadaan banjir. Kata bonda, hujan tidak lagi lebat seperti sebelumnya, namun air dilihat semakin meningkat kerana Thailand melepaskan air dari empangan mereka. Memang inilah keadaannya setiap kali musim banjir. Jika air empangan melepasi satu tahap, mereka akan melepaskan airnya untuk mengelakkan empangan itu pecah dan mengakibatkan banjir lebih teruk. Penduduk memang sudah sedia maklum dan bersedia. Tambahan pula, pelepasan air dilakukan secara beransur-ansur.

Masa untuk ke sekolah. Jumpa lagi




25 Dis 2012

Banjir

Alhamdulillah. Selamat tiba di Pulau Pinang selepas mengharungi hujan yang sangat lebat di Kelantan. Rupanya di Pulau Pinang ini sang mentari begitu galak memancar sinarnya. Tidak sempat untuk merasai suasana banjir pada tahun ini kerana 'puye bah' lambat kali ni.
oreng pun sodap...

Apabila teringat banjir, pasti yang akan berada dalam ingatan adalah ikan darat. Asam pedas haruan dan puyu goreng sudah cukup untuk mengecurkan liur dibibir. atau mungkin juga keli masak lemak. Berpagi-pagian memasang pukat, berpetang-petangan melihat hasil tangkapan dan berterusan setiap pagi dan petang di baruh hinggalah air surut.

Tika di bangku sekolah rendah, musim sebegini kadang-kadang mengikut pakcik mencerut rumput untuk santapan lembu atuk dan lembunya. Sekadar suka-suka, sambil menunggu, sambil mengintai peluang untuk menangkap ikan. Pada waktu kecil juga, kerap kali musim begini ops belalang dilancarkan. Lama sungguh tak makan belalang goreng. Ini merupakan hidangan kegemaran tika kecil dulu. Kenalkah generasi sekarang akan belalang goreng? Atau hanya di kampungku saja hidangan ini 'pupus'.

Banjir juga dilihat sebagai proses tapisan untuk tamu-tamu rumah Allah. Mana taknya, untuk ke surau perlu mengharungi air paras peha. Namun ada juga yang diberi hidayah oleh Allah untuk ke Masjid, ada juga yang memilih untuk ke masjid yang lebih jauh, malah ada juga yang hanya bersolat di rumah atas alasan dhorurat. Ada juga yang mengupah bocah-bocah untuk menolak perahu ke tempat solat.

Paling kasihan adalah mangsa banjir dari kalangan orang tua, pemilik kenderaan dan pemilik rumah itu sendiri. Itu semasa banjir, selepas banjir, kena membersihkan rumah pula. Moga Allah memberi kemudahan kepada mereka untuk menghadapi dugaan ini. Pada masa ini wakil rakyat yang bertanggungjawab merupakan golongan yang paling sibuk. Apa taknya, anak buah di segenap tempat memerlukan bantuan.

Moga banjir kali ini tidak meragut korban seperti tahun-tahun yang lepas. Kepada semua, awasi lah kanak-kanak. Bukan hanya yang ada pertalian dengan kita, sebaliknya kepada semua kanak-kanak yang kita lihat sedang membahayakan diri masing-masing. Mereka itu tidak sedar akan bahaya, justeru tugas yang dewasa inilah menegur mereka.

25 Nov 2011

Laptop rosak & cuti sekolah

Akhirnya laptop benar-benar rosak, disyaki masalah motherboard. Memang laptop Compaq selalu ada masalah begini. Risik-risik di kedai, kos pembaik pulih mencecah RM600. Satu jumlah yang lebih berbaloi jika membeli laptop baru. Huhu, rasanya di Penang lagi murah kos tukar motherboard baru menyebabkan saya menangguhkan operasi pembaikbulih sehingga buka sekolah nanti. Cuti tanpa laptop menjadi sesuatu yang pelik sejak 2 3 tahun kebelakangan ini.
Untuk hidup sebulan di rumah tanpa laptop adalah sesuatu yang sukar, lantas saya menghabiskan duit gaji yang baru diterima untuk membeli monitor LED yang baru untuk dipadankan dengan CPU di rumah. CPU ini saya gunakan sepanjang pengajian di kampus dulu dan saya tinggalkan di kampung halaman kerana lebih senang menggunakan laptop. Awal tahun yang lepas, monitor rosak tetapi saya membiarkan saja supaya adik-adik lebih menumpukan perhatian pada pelajaran mereka. Alhamdulillah, nasib baik CPU masih boleh digunakan walaupun hampir setahun tidak diguna.

Kalau ikutkan mahu saja membeli laptop baru, namun keinginan harus ditahan kerana ada kegunaan lain yang perlu diberi keutamaan pada bulan ini. InshaAllah akan dikongsikan pada post akan datang.

Cuti sekolah

Banjir mula melanda Kelantan. Alhamdulillah kawasan rumah saya tidak pernah terlibat dengan banjir walaupun kampung saya dinaiki air. Bahkan kawasan rumah digunakan oleh saudara mara untuk menyimpan kenderaan mereka apabila rumah mereka dinaiki air.

Cuti ini rutin kehidupan seminggu dua ini dijangka sama. Usai kuliah subuh (jika ada) atau mengulang hafalan yang semakin hilang, saya turun ke baruh untuk melihat hasil rezeki yang terlekat pada pukat yang dipasang. Bukan nak sangat, tapi sebab ayahanda selalu bertanya dan mengidam 'ikan darat', digagahkan juga untuk dimasukkan ke dalam rutin. Pulang dari baruh, menikmati sarapan di rumah atau menjengah ke kedai kopi atuk untuk membantu mana yang patut. Sepatutnya catata tentang kedai kopi ini sudah lama saya post kan namun masih terkurung di draft sejak 14/12/2010 yang lalu. Bayangkan betapa banyak artikel terperangkap dalam draft.

Pulang ke rumah, cari beberapa info di internet, atau ke luar berjumpa dengan sahabat-sahabat yang pulang ke Kelantan. Biasalah, sewaktu cuti sekolah, hanya rakan-rakan guru lah yang ada atau rakan-rakan yang bekerja di Kelantan.

Jika pulang sebelum asar, lepas asar kena bersiap untuk melihat hasil yang melekat di pukat. Jika menunggu keesokan harinya, pasti ikan-ikan akan mati dan rasanya tidak akan segar sangat. Setakat ini hanya ikan haruan, puyu, lampam, patung, sepat dan terbul. Ayahanda mengharapkan ikan keli namun belum rezeki. Sudah pastilah keli ini berlainan rasanya dari keli peliharaan yang selalu didapati di kedai makan. Gambar akan cuba saya usahakan kerana sukar membawa kamera ke sana, tak pasal-pasal masuk air :)

Malam, usai solat isya menghabiskan masa melayari internet. Ikutkan nak mengajar anak-anak jiran yang datang mengaji dengan bonda, namun mereka tidak mahu mengaji dengan saya. (^-^).

Mungkin esok atau lusa aktiviti mengecat rumah terpaksa dimasukkan ke dalam rutin harian. Nak bagi cantik sikit selepas lebih 10 tahun tidak berganti cat. Mana tau kot2 ada orang baru yang akan menjadi ahli keluarga kami. :D

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails