BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


22 Okt 2010

Mahu anak menjadi soleh, tapi... (kemaskini)

Tanyalah ibu bapa mana sekalipun pasti menginginkan anak mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Walaupun hidup mereka bebas dan tidak berpegang kepada ajaran agama, namun apabila bercakap soal anak pasti mereka mahu kan yang terbaik untuk anak mereka.

Lihat saja perokok, mereka pasti tidak mahu anak mereka menjadi perokok seperti mereka. Hancur lunyai rotan digunakan untuk memukul anak mereka yang merokok. Apabila ditanya sebab, pasti alasan membahayakan kesihatan, membazir, tak elok dan sebagainya namun tidak pula digunakan alasan itu untuk diri mereka sendiri.

Saya teringat kisah sewaktu mengajar seorang murid mengaji al-quran di rumahnya.
Asalnya dia anak murid kepada rakan saya, namun kerana rakan saya ini ingin berpindah, ingin diserahkan semua anak murid mengaji kepada saya. Pada mulanya saya keberatan, namun selepas didesak, saya menerima seorang saja berbnding 3 yang dimintanya. Oleh kerana rakan ini agak lama meninggalkan murid ini, saya terpaksa berpatah balik kepada iqra' 2 padahal sebelum ini sudah di iqra' 3.

Pada mulanya saya beranggapan mengajar seorang murid ini lebih mudah, namun hakikatnya tidak semudah yang disangka. Barangkali kerana dibesarkan dalam keluarga kaya menyebabkan dia agak manja. Ayahnya memiliki syarikat sendiri manakala ibunya bekerja dengan syarikat besar. Amat jarang saya melihat ibunya di rumah kerana menurut pembantu rumah, ibunya kebiasaan pulang jam 2 ke 3 pagi. Kadang-kadang kesian melihat dia yang hanya ditemani oleh pembantu rumah atau kadang-kadang ayahnya.

Selalunya apabila saya sampai di rumahnya, dia sedang bermain Play Station di ruang tamu bersama si ayah. Menyedari kehadiran saya, ayahnya secara bersahaja hanya mengarahkan dia ke bilik mengaji sambil meneruskan permainan. Untuk memulakan pengajian, adalah sesuatu yang amat sukar kerana pelbagai alasan diberikan. Ingin ke tandas, ingin ke dapur, ingin mencari al-quran. Lantaran ayah yang kurang tegas menyebabkan dia sambil lewa.

Berbeza apabila ibunya ada di rumah. Dia amat takut kepada ibunya yang garang, namun amat jarang ibunya di rumah.Namun saya agak terkilan dengan pemakaian ibunya di rumah. Hanya memakai short dan t-shirt dan kadang-kadang berpakaian begitu di halaman rumah sambil berbual dengan saya selepas habis mengajar. MashaAllah, apakah tiada langsung perasan malu berpakaian begitu di hadapan guru mengaji anaknya?

Kadang-kadang saya terfikir, seorang ibu bapa itu begitu mahu kan anak mereka menjadi baik, pandai mengaji dan sebagainya namun akhlak yang ditunjukkan kepada anak tidak menampakkan keinginan baik mereka itu. Saya tidak mahu berlebihan dalam menghukum manusia kerana bimbang suatu masa akan menimpa diri sendiri (na'uzubillah), namun bersyukur juga kerana masih sedar kepentingan al-quran kepada anak. Saya berdoa moga dia dan ibu bapanya diberikan hidayah untuk ke arah yang lebih baik.

Barangkali saya juga bukan guru yang baik sehingga hanya mampu mengajar dia mengaji namun kurang berjaya dalam membentuk akhlaknya.

Tidak lama kemudian, pembantu rumah tersebut meminta saya untuk mengajar adiknya di rumah ibunya. Pembantu rumah ini warganegara indonesia dan mempunyai keluarga yang tinggal tidak jauh dari rumah itu. Saya menolak dengan baik kerana kekangan masa tetapi beliau berkeras dan mendesak saya untuk mengajar di rumahnya. Setelah beberapa lama, akhirnya beliau mengalah tetapi meminta saya mencarikan seorang ustaz lain sebagai ganti.

Kebetulan seorang rakan saya sedang mencari kerja sampingan lalu saya menawarkan untuk menjadi guru mengaji kepada adik pembantu rumah itu. Lalu saya membawa rakan tadi ke rumah keluarga pembantu rumah mengikut peta yang telah diberikan. Apabila tiba di sana, kami diperkenalkan dengan ahli keluarga dan adiknya yang dikatakan ingin belajar mengaji.

Biasalah adat bertandang ke rumah orang, kita dihidangkan dengan minuman. Namun kami agak terkejut kerana minuman dihidang menggunakan gelas yang tertera CARLSBERG. Wah, arak kah yang dihidangkan kepada kami? Tidak, minuman biasa iaitu teh panas. Namun jika difikirkan secara waras, wajarkah kita menghidangkan minuman kepada guru yang ingin mengajarkan keluarga kita AL-QURAN menggunakan gelas CARLSBERG? Apakah tiada sedikit pun rasa malu kepada guru tersebut. Mungkin air di dalamnya halal, namun tegakah anda meminumnya. Umpama anda diberikan sekeping gambar babi, lalu diminta anda menciumnya. Sanggupkah?

Saya tidak menuduh mereka sekeluarga meminum minuman tersebut kerana saya tidak nampak perlakuan tersebut. Isunya ini bukan soal minum atau tidak. Apapun, pada saya soal pendidikan agama bermula dari ibu bapa dan keluarga terdekat. Persekitaran itulah yang akan mempengaruhi anak.

Wallahu 'alam

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails