BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


19 Okt 2010

Betapa liciknya syaitan

Satu hari, akibat keletihan yang teramat sangat, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani hampir terlewat bangun daripada tidurnya walaupun waktu Subuh hampir tiba. Melihat keadaan itu, syaitan telah menyamar menjadi seekor kucing dan menggigit jari kaki Syeikh Abdul Qadir. Maka, Syeikh Abdul Qadir pun terjaga. Mujurlah waktu Subuh baru sahaja masuk. Dalam pandangan mata hatinya, Syeikh dapat melihat syaitan yang menyamar seekor kucing itu.

“Mengapa kau kejutkan aku untuk solat Subuh, sedangkan kau amat membenci orang yang solat?”

“Aku bimbang sekiranya kau terlewat bangun Subuh,” jawab syaitan.

Syeikh Abdul Qadir kehairanan lalu bertanya lagi, ” Kenapa?”
Syaitan terpaksa menjawab kerana dia takut kepada orang yang takutkan Allah.

“Aku takut jika kau terlewat untuk solat Subuh, kau akan menampung kelewatan itu dengan amalan-amalan yang lain yang lebih banyak dan serius,” kata syaitan.

Syaitan meneruskan kata-katanya, ”Kau akan bersedekah, kau akan membantu orang lain, kau akan mengajar lebih lama, kau akan membaca al-Quran untuk menampung kesalahanmu yang sedikit. Kemudian nanti, aku dan kawan-kawanku pula bertambah susah. Kerja kami akan bertambah banyak dan sukar. Jadi, lebih baik kamu solat Subuh tepat pada waktunya dan kami tidak akan terpaksa menghadapi banyak kerja untuk menyekat amalan-amalan baikmu itu nanti!”

Begitulah kreatif dan inovatifnya syaitan dalam menyesatkan manusia. Syaitan bukan sahaja arif tentang amalan baik dan jahat tetapi juga arif tentang keutamaan amal. Bagaimana kita? Hehe, barangkali apabila terlewat solat syaitan akan mengadakan parti besar-besarandan tidak mempedulikan kita yang sedang tidur kerana kita tidak akan berasa apa-apa dengan kelewatan. Atau mungkin juga syaitan tidak terasa apa-apa pun sudah dah menjadi kebiasaan kita pun. Bahkan mereka tidak perlu bersusah payah menggoda kita kerana kita sendiri yang mencuaikan solat.


Godaan syaitan ini banyak caranya,tidak boleh cara kasar, digunakan cara halus. Contoh jika tidak berjaya mencegah kita melakukan perkara baik, diselitkan perasaan riak dan takabbur semasa kita melakukan perkara tersebut. Kadang-kadang kita merasakan sesuatu yang tidak enak (bimbang riak) semasa melakukan perbuatan baik, maka kita cuba mengelak melakukan perbuatan tersebut. itu sebenarnya adalah kejayaan syaitan menggoda kita kononnya ingin mengelakkan riak. Jika masih gagal, diselitkan pula perasaan ujub dalam diri iaitu berasa takjub atau kagum dengan diri sendiri kononnya berjaya mengatasi riak. Oleh itu, dalam apa-apa hal, istighfarlah dan jangan terpedaya dengan kelicikan syaitan. Mereka berpengalaman sejak zaman Nabi Allah Adam AS di syurga lagi.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails