Orang-orang tua dulu banyak menggunakan kiasan untuk menunjukkan sesuatu peristiwa. Adakalanya mereka menggunakan sindiran tertentu bagi menggambarkan sesuatu perkara. Ini menunjukkan betapa bahasa melayu sangat sopan dalam mengkritik atau menegur.
Namun saya melihat perkara ini lebih mendatangkan keburukan pada zaman sekarang. Apabila menggunakan istilah lembut bagi menggambarkan perbuatan yang keji, ia akan turut melembutkan perbuatan tersebut sehingga ia tidak lagi dilihat sebagai perbuatan yang keji.
Sebagai contoh ZINA. Amat jarang kita melihat perkataan zina digunakan terutama di dalam media bagi menggambarkan perbuatan ZINA yang dilakukan oleh umat terutama remaja. Kita lebih suka melembutkan perkataan tersebut dengan menggunakan terlanjur atau hubungan seks dan sebagainya. Padahal istilah tersebut adalah baik untuk situasi yang lain. Kesannya pelaku ZINA tidak merasa mereka sedang melakukan perbuatan yang keji.
Begitu juga RASUAH. Istilah duit kopi. duit bawah meja, duit poket, politik wang, advance dan sebagainya menyebabkan mereka tidak jijik melakukan perbuatan haram tersebut. Pelik mengapa kita suka melembutkan perbuatan keji itu sehingga mereka tidak lagi takut atau terhina melakukannya.
RIBA sangat berleluasa dalam masyarakat kita sehingga menjadi sumber keuntungan negara. Namun namanya ditukar kepada interest, dividen, wang pengurusan, kos pentadbiran dan sebagainya. Urusan di bank tertuamanya sering mengamalkannya dengan melembutkan bahasanya. Namun alhamdulillah semakin banyak bank-bank menawarkan sistem yang lebih islamic menggantikan sistem riba ini. Itu belum lagi kita melihat isu PTPTn yang digunakan oleh mahasiswa kita di kampus.
Banyak lagi istilah haram dan keji dilembutkan oleh kita jika ingin disenaraikan. Moga selepas ini kita lebih tegas dalam menggunakan istilah ini supaya perbuatan tersebut akan tetap dipandang keji oleh masyarakat dan pelakunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan