BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


1 Dis 2010

Kenapa saya menangis?

Dalam artikel saya sebelum ini saya bercakap tentang tangisan seorang lelaki di mana lelaki itu adalah saya. Saya menerima beberapa respon menarik samada dari emel, komen di post itu sendiri mahupun di iluvislam. Malah artikel itu mencatatkan kedudukan ke-2 paling diminati dalam sebulan selepas artikel Muslimat jangan jadi bimbo walaupun hanya beberapa hari disiarkan. Ada yang bertanya kenapa saya menangis, di samping ada juga yang berhasrat untuk membeli buku tersebut. Saya tidak dapat menjamin anda menangis membaca buku ini tetapi inshaAllah anda berpuas hati memilikinya. Kini saya difahamkan buku ini mempunyai cetakan terbaru yang disertakan dengan CD.

Penulisan Muhd Kamil Ibrahim di dalam 'Travelog Haji : Mengubah sempadan Iman' hanya bersahaja tetapi sangat menusuk ke dalam hati saya. Saya menangis saat beliau menceritakan bagaimana pada mulanya beliau 'melarang' isteri beliau untuk mengucup Hajaral Aswad kerana keadaan manusia yang ramai dan kuat-kuat. Biar hanya beliau seorang yang mengucup, tambahan pula mengucup batu itu hanya sunat. Beliau seolah 'lupa' bahawa beliau dapat mengucup bukan kerana beliau lelaki, beliau dapat mengucup bukan kerana beliau kuat tetapi kerana kuasa dan izin Allah. Beliau sedar akan 'kekhilafan' itu semasa beliau berpuasa dan dalam keadaan tidak kuat dan lemah beliau berjalan-jalan 'tanpa sedar' ke arah Hajaral Aswad lalu berjaya mengucupnya. Barulah beliau sedar betapa dalam keadaan lemah begitu pun beliau mampu dengan izin Allah lalu beliau membawa isteri beliau mengucup batu hitam itu. Akhirnya isteri beliau juga mampu mengucup batu hitam itu.

Apa yang sedihnya?



Saya berasa sebak dan menangis kerana betapa kita manusia kadang-kadang lupa bahawa Allah lah yang berkuasa ke atas sesuatu. Kadang-kadang kita rasa kita berjaya melakukan sesuatu kerana kemampuan kita sendiri. Apabila kita tidak berjaya melakukan sesuatu perkara itu, kita lupa memohon kepada Allah. Mintalah kepada Allah nescaya Allah akan perkenankan tetapi kita perlu yakin dengan apa yang kita minta. Kadang-kadang kita berdoa tetapi kita tidak yakin dengan apa yang kita doa. Kita juga lupa bahawa kekuasaan Allah itu mampu menjadikan sesuatu yang mustahil itu menjadi kenyataan. Sebelum ke bahagian itu, beberapa kali saya menahan sebak di dada dengan kisah penceritaan beliau. Cuma hingga ke bahagian hajaral aswad itu saya tidak mampu menahan diri.

Cerita Bonda

Pengalaman bonda yang berpeluang menjadi tetamu Allah juga mengujakan saya untuk segera ke sana. Banyak pengalaman yang bonda kongsikan. Ternyata bonda masih merindu Masjidil Haram kerana saat slot Lambaian Kaabah, salam dari baitullah atau mana-mana dokumentari haji di TV sebelum 'iduladha lalu, bonda tidak ketinggalan menonton. Sambil menonton, kadang-kadang diceritakan lagi serba sedikit tentangnya dan kadang kala diulas kembali apa yang disiarkan.

Pesan bonda, bersangka baiklah dengan Allah dan jagalah hati kita semasa di sana. Salah satu dari pengalaman bonda yang ingin saya kongsikan adalah tentang minyak gamat. Alkisah bonda membawa minyak gamat ke Makkah dan sewaktu berkemas untuk pulang ke tanah air, bonda terlihat botol minyak gamat yang masih belum digunakan dan terlintas di dalam hati "bawa saja je minyak gamat ini, tapi tak guna pun". Hanya lintasan hati bukan ucapan di bibir. Ketika sedang mengemas tiba-tiba tangan bonda terkena pisau nipis lalu berdarah. Secara tidak langsung, berguna jugalah minyak gamat tersebut.

Begitu juga dengan cerita kawan bonda yang membawa ubat sakit perut, juga mempunyai detik hati yang sama dan akhirnya beliau sakit perut dan terpaksa menggunakan ubat yang dibawanya. Bila diceritakan kepada bonda, bonda hanya tersenyum dan menceritakan kisah minyak gamat dan pisau nipis itu. Lihat kisah bonda dan kawannya ini, mereka bukan sengaja tapi hanya terlintas dihati. Oleh itu bila terdetik yang bukan-bukan, cepat-cepatlah beristighfar kepada Allah.

Daftar Haji

Saya juga ingin berpesan kepada diri saya dan sahabat-sahabat yang belum ke sana, segeralah berdaftar dengan Tabung Haji untuk ke sana. Anda tidak pergi sekarang kerana jika anda berdaftar pada hari ini, giliran anda adalah pada tahun 2035. Hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al Hakim daripada Saidina Ali yang bermaksud :



" Sesiapa yang memiliki perbelanjaan yang melebihi dari keperluannya dan mencukupi untuk perbelanjaan menunaikan ibadah Haji serta mempunyai kenderaan yang boleh membawanya ke Baitullah dan tidak mengerjakan Haji, maka tidak ada apa yang menghalangnya dari mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani "
Sungguh, saya risau tentang hadith ini kerana bimbang akan ancaman Rasulullah lalu saya bertanya kepada Ustaz Abu Anas Madani dalam Program Tanyalah Ustaz di TV 9 tentang perkara ini dan alhamdulillah ia telah direspon oleh al-fadhil ustaz seperti yang saya ceritakan sebelum ini. Sebelum mendaftar, saya ragu-ragu sebenarnya kerana  saya belum berkahwin dan jika saya berkahwin, bagaimana jika isteri belum berdaftar? Sudah pasti gilirannya lebih lewat jika beliau baru ingin mendaftar ketika itu dan sudah pasti gilirannya tidak sama dengan saya. Kata pegawai Tabung Haji kepada saya ketika mendaftar baru-baru ini, benar apa yang saya fikirkan tetapi selepas berkahwin, datanglah ke Tabung Haji dan berunding. 
Jadi, kepada sesiapa yang belum mendaftar, segeralah mendaftar. Bagi wanita, usah tunggu bersuami, begitu juga lelaki, mendaftarlah untuk mendapat giliran lebih awal seterusnya menunjukkan komitmen kita untuk ke sana. saya sendiri tidak dapat menjangka apakah saya dapat hidup sehingga tahun 2035. Bagaimana dengan anda? Tiba-tiba saja jeles dengan pelajar yang berpeluang belajar di sana. Beruntungnya mereka.

** saya tidak mendapat apa-apa royalti dari promosi buku Travelog Haji ini. Bahkan saya tidak mengenali penulis buku dan tidak pernah bersua dengannya. Namun saya mencadangkan buku kerana ia amat menarik dan menusuk ke dalam jiwa saya. Membaca buku ini merindukan saya kepada Makkah dan Madinah. Buku ini sesuai dibaca untuk semua golongan samada sudah ke Makkah, belum ke Makkah, akan ke Makkah, sudah mendaftar mahupun belum mendaftar. InshaAllah ada sesuatu yang menarik untuk anda

6 ulasan:

cik as berkata...

assalamualaikum warahmatullah..
syukran jazilan ustaz atas saranan,insyaallah sy pun rancang nak mendaftar juga dan dah minta cadangan parent.niat dan persediaan awal utk ke tanah suci itu bagus sgt,langkah awal.(^^,
ibu saya juga ada pesan, IF nak buat haji or umrah kena ada ketahanan dalaman dan luaran.di sana,byk mujahadah.kena byk sbr.. kena ikhlas niat dlm ibadat..jd kna bersihkn rohani dan jiwa dsini dlu baru allah akn prmudahkn urusan dsana..insyaallah..sekadar selitan..(^^) jazakallah ats perkongsian ustaz..

Admin P@P berkata...

Assalamualaikum.
Semoga niat yang baik akan dibantu oleh Allah, cuma kadangkala kita tidak merasakan apa yang berlaku dan apa yang memudahkan itu adalah bantuan Ilahi.

Perkongsian yang baik dan diharapkan akan membuka minda kita sabagai umat Islam, agar segera menunaikan kewajiban. Jika mahu maka akan ada seribu usaha, begitu juga sebaliknya.

Teringat juga pada rakan-rakan yang sering bertukar kereta mahal, tapi kewajipan belum samapai seru... Mudahan terbuka hati dan sampai seru...

TQ

aisyahHumaira berkata...

Salam Al-Muallim..

Setuju dgn kata2 Admin P@P..

ALLAH Maha Berkuasa, makhluk tak berkuasa, segala yang berlaku adalah dengan izinNya ALLAH...hatta kita menggerakkan satu jari atau mengelipkan mata semuanya hanya dengan izin ALLAH..hidup kita semua mutlak dalam kekuasaanNya..yakin dan pasti, Allahu Akbar!
Suka saya baca kisah ni, terima kasih ya muallim..

p/s: rasa teruja nak dapatkan buku Travelog haji tu, insyaALLAH akan cari buku tu bila balik mlysia nanti, tak rugi sebenarnya dapatkan buku2 ilmiah spt ni..
Jazakallah atas segala perkongsian

Al - Mu'allim berkata...

Waalaikumussalam warahbatullah cik as.

Benar pesan ibu, utk menunaikan haji, persiapan perlu dilakukan lebih awal sebelum pergi. Bukan semasa bertolak baru nak bersedia.

Mendaftarlah sekarang untuk mendapat giliran yang awal. Jika tidak dapat berurusan di pejabat, boleh mandaftar melalui web tabung haji

InshaAllah, moga kita mendapat kad jemputan menjadi tetamu Allah yang paling istimewa lebih awal.

Afwan

Al - Mu'allim berkata...

waalaikumussalam Admin P@P

InshaAllah, sama-sama saling ingat mengingati antara satu zaman lain.

Amin, mudah-mudahan Allah membuka pintu hati mereka untuk menunaikan kewajipan. Semoga Allah memilih kita untuk menjadi tetamu-Nya.

Al - Mu'allim berkata...

Wassalamu 'alaik.

Alhamdulillah, moga beroleh manfaat dari coretan ini.

Saya suka membaca pengalaman haji kerana pengalaman mereka bukan pengalaman kosong, banyak ibrah yang dapat diambil.

InshaAllah, ustazah akan beroleh manfaat dari buku tersebut.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails