BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan

8 Okt 2011

Intipati bajet 2012

Saya masih bergelut untuk menyiapkan soalan peperiksaan, jadi banyak artikel tersekat di draft, untuk sementara waktu, layanlah bajet ini dulu =). Kalau nak pandangan, boleh dilontarkan di ruangan komen, mungkin dibincangkn. Saya tidak sempat untuk mengulasnya.


INTIPATI BAJET 2012
azlanJumlah bajet - RM232.8 bilion
Perbelanjaan Operasi - RM181.6 bilion
Perbelanjaan Pembangunan - RM51.2 bilion

  • Tahun lalu, perkembangan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia paling kukuh di Asia bagi enam bulan pertama tahun ini dan mencecah RM21.2 bilion.
  • Kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi terus mantap antara 5 dan 5.5 peratus bagi tahun ini. Pertumbuhan bagi 2012 dijangkakan antara 5 dan 6 peratus, meskipun ekonomi global diramalkan perlahan.
  • Defisit bajet buat kali ke-15 akan diturunkan kepada 4.7 peratus daripada GDP 2012.
  • Ini lebih kecil daripada 5.4% bagi  2011. Defisit berjaya dikurangkan daripada 7.4 peratus pada  2009 kepada 5.6 peratus pada  2010.

7 Feb 2011

Krisis di Mesir : Jangan tonjolkan kebodohan diri sendiri

Terlebih dahulu saya memohon maaf andai tajuk yang saya gunakan agak kasar, namun saya tidak dapat membendung lagi kesedihan saya mendengar ulasan-ulasan yang tidak masuk akal rakyat Malaysia yang suka tunjukkan pandai sehingga menyingkap kebodohan diri sendiri. Bukan bermaksud saya ingin katakan kononnya pandangan saya saja betul dan saya tidak boleh menerima pandangan lain, namun bagi saya kalau kita tidak tahu sesuatu isu, lebih baik kita diam dari memberi ulasan. Usah tonjolkan kebodohan kita yang orang lain tidak tahu.

Saya sebenarnya tidak ingin mengulas isu umat ini di blog kerana sudah ramai yang berbuat demikian, namun mendengar ulasan-ulasan tidak masuk akal dari rakyat Malaysia samada di blog, fb mahupun di kaca tv, saya berasa terpanggil untuk menasihati sahabat-sahabat yang sering ke sini supaya tidak terlibat dalam membuat ulasan yang menonjolkan kebodohan diri kita. Walaupun saya agak sibuk sejak seminggu yang lalu, namun saya meluangkan masa juga untuk mengulas tentang perkara ini.

Siapa kita sebenarnya untuk menyalahkan dan mengatakan patut atau tidak patut rakyat Mesir turun ke jalan raya mendesak Presiden mereka supaya berundur? Walaupun di negara kita segala-galanya semakin mahal, tapi ramai dari kalangan kita yang masih mampu makan, tidur di rumah mahupun berkenderaan. Kalau pun ada yang susah, fakir dan miskin, bilangan mereka masih dapat dikaburi dengan bangunan-bangunan yang tersergam indah, gedung-gedung membeli belah dan istana-istana golongan atasan. Namun tidak di Mesir, kekayaan Presiden mencecah 70billion dolar sedangkan ramai rakyatnya mempunyai pendapatan hanya 3ringgit sehari.

Pembunuhan berpuluh ribu ulama-ulama, berpuluh ribu masih di penjara bawah tanah dengan penuh penyeksaan yang tidak tergambar oleh fikiran, kezaliman ke atas rakyat yang dilakukan sejak dulu lagi serta rendition antara kejahatan Presiden Mesir kepada rakyatnya. Jadi, anda yang boleh makan dengan kenyang sambil menonton tv, usahlah keluarkan kenyataan mempersoalkan tindakan rakyat Mesir.

Sikap bodoh anda lebih terserlah jika anda menyatakan Malaysia mempunyai pelbagai agama, kaum dan etnik tidak mengalami kejadian seperti di Mesir sedangkan di Mesir hanya mempunyai majoriti Muslim dan Kristian pun boleh terjadi rusuhan seperti itu. Sedarlah, isu di Mesir ketika ini bukan isu agama, bahkan pihak kristian koptik juga turut bersama muslim mesir untuk menjatuhkan Presiden Maha Zalim yang menjadi boneka Amerika dan Israel itu. Jangan mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan anda baru lahir ke dunia semalam.

Isu Mesir tiada kaitan dengan kita. Ini kenyataan yang paling sedih apabila saya dengar. Sahabat, isu Mesir boleh merubah geografi politik bukan sahaja di Asia Barat malah seluruh dunia. Andai kata boneka Amerika di Mesir jatuh, dan diganti oleh kerajaan yang lebih baik, saudara kita di Palestin juga terbebas dari kepungan dan halangan untuk mendapat bantuan. Itulah yang paling ditakuti oleh Amerika dan Israel sehingga tercari-cari calon pengganti Husni, kerana itulah keluarnya nama-nama seperti Omar Suleiman dan Ahmed Syafiq untuk dijadikan kuda tunggangan seterusnya.

InshaAllah jika ada kesempatan, saya akan cuba sambung pandangan dan pendapat saya tentang krisis di Mesir. Apakah wajar kita membawa balik rakyat kita dan benarkah apa yang berlaku begitu teruk? Saya yakin dan percaya, sahabat-sahabat juga turut mengikuti krisis ini. Mohon kongsikan apa yang sahabat-sahabat tahu yang saya tidak tahu. Maaf kerana tidak berkesempatan untuk lebih lama di sini.

Jumpa lagi!!!

1 Jan 2011

2011 : Ahli maksiat vs ahli ibadah

Belum pun sampai sebulan kita menyambut tahun baru Hijrah, datang pula tahun baru Masehi. Ternyata tahun ini lebih diingati oleh umat berbanding tahun Hijrah. Masing-masing mula melakukan persediaan dan memasang azam tahun baru. Sudahkah azam tahun lepas dilaksanakan dengan jayanya?

Moga kehadiran tahun baru ini memberi perangsang atau menjadi titik tolak kepada kita untuk menjadi yang lebih baik. Sebenarnya tidak perlu menunggu tahun baru untuk berubah, bila-bila masa pun boleh berubah, tetapi bolehlah kalau ingin menjadikan permulaan tahun sebagai titik tolak perubahan. Itu lebih baik dari tidak berubah langsung.

Moga malam ini tidak berlaku aktiviti yang tidak berakhlak seperti tahun-tahun lepas. Kebiasaan tahun-tahun lepas, pagi tahun baru pasti botol arak bertaburan, sisa-sisa kondom bersepah di jalanan dan juga kaki-kaki botol terbaring di tepi-tepi jalan. Anak-anak muda leka berkumpul kononnya menunggu detik 12 malam. Pada kali ini saya hanya menyambut detik itu di rumah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Maklumlah, saya di Kelatan pada tahun ini berbanding sebelumnya saya di Lembah Klang.

Rindu pula aktiviti menyambut tahun baru di Lembah Klang. Pada malam tahun baru atau malam merdeka, saya biasanya berada di dataran Merdeka atau KLCC. Bersama sahabat-sahabat kami turun sebagai duta penyelamat untuk mengedarkan risalah mahupun menyertai gerakan 'amal makruf nahi mungkar' bagi menangkap pasangan couple untuk dibawa ke Masjid bagi sesi kaunseling.

Bagi merasai 'kegilaan' remaja ibu kota, saya lebih suka menaiki LRT untuk ke sana. Terasa kaget juga melihat anak-anak muda dengan pakaian yang pelbagai. Sudahlah saya menjadi perhatian mereka kerana berbaju melayu untuk ke sana. Ternyata pengalaman itu mahal harganya. Moga sahabat-sahabat yang meneruskan agenda ini akan terus thabat dan sabar menghadapi kerenah remaja ini. Mereka jahil, pimpinlah mereka ke jalan Ilahi.

Pelbagai ragam dan kerenah manusia. Ada yang menghalau, ada yang melawan namun ada juga yang menangis. Entah menyesal, entah takut. Untung juga bergerak berkumpulan, tidaklah kita takut dengan mereka yang cuba bertindak melawan. Konon hak asasi peribadi. Bagaimana nasib negara di masa hadapan jika begini sikap anak muda bakal pelapis kepimpinannya.

Moga akan ada perubahan dalam sambutan tahun baru mahupun sambutan hari kemerdekaan. Benar kata pak ustaz. Tahun baru : Ada ahli maksiat memanggil bala, ada ahli ibadat memohon keampunan. Kita dalam kategori mana?

16 Dis 2010

Blog aku, suka hati aku la!!!!


Pernah dengar tak ungkapan ini. Banyak ditulis di blog-blog yang saya kira mereka lupa siapa sebenarnya mereka. Barangkali mereka belum pernah terbaca artikel ini sehingga mendakwa boleh menulis sesuka hati. Saya baru terjumpa blog yang mempertikaikan kewajipan menutup aurat ke atas muslimat, katanya suka hati orang tu la nak tutup ke tak sebab rambut dia. Siap mendabik dada mengatakan dia mampu menulis apa yang dia suka sebab itu blog dia. Saya tidak bercadang untuk mengiklankan blog dia di sini. Lagi kasihan bila membaca komen dari yang menyokongnya dengan memberi menafsiran yang salah tentang ayat al-quran. Moga Allah memberi hidayah kepada mereka.

Benarkah kita bebas melakukan apa saja di rumah kita? Menganjurkan pesta-pesta maksiat, mengadakan pertandingan judi, menggalakkan penzinaan, menjadikannya sebagai markas pencuri. Bolehkah? Tidak!! Tentu sekali tidak. Begitu juga di blog, kita tidak boleh melakukan sesuka hati. Kecuali jika melibatkan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan hukum hakam agama seperti menyusun atur gadjet sebagaimana kita bebas meletakkan almari dan rak buku di rumah kita.

14 Dis 2010

Promosi Maksiat di Facebook & Blog

Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.
Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.
Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

6 Dis 2010

Tips temuduga KPLI

Bismillah.

InshaAllah kali ini saya cuba berkongsi sedikit tips untuk temuduga KPLI bagi calon-calon yang telah lulus ujian M-Test baru-baru ini. Sebenarnya bukan tips sangat pun tetapi lebih kepada pengalaman saya semasa mengikuti temuduga tersebut. Mungkin ada antara pembaca yang akan menghadapinya atau juga mungkin sahabat handai, rakan taulan atau saudara mara. Jika berguna alhamdulillah, jika tidak anggap sajalah ianya sebagai perkongsian pengalaman.


Sebenarnya soal dapat KPLI atau tidak lebih kepada rezeki. Memang kita berusaha tetapi usaha kita bukan segala-galanya. Sungguh, ramai rakan-rakan saya yang mengeluh kerana berkali-kali memohon tetapi belum berjaya, bukan hanya gagal temuduga bahkan M-test pun belum lepas, sedangkan saya kali pertama memohon terus lulus M-Test dan temuduga. Justeru, jika anda betul-betul berminat, mintalah dengan Allah sesungguh hati dan selalulah bangun malam dan berbaik sangka dengan Allah.

Pada hari temuduga, saya dalam dilema samada ingin mengikuti temuduga tersebut atau tidak. Fikiran saya berbelah bagi samada untuk ke temuduga atau ke tempat kerja kerana hari itu adalah hari bekerja dan ketika itu saya masih pegawai kerajaan. Saya tidak dapat bertanyakan pendapat sesiapa kerana tiada sesiapa pun yang tahu saya memohon menjadi seorang cikgu termasuk keluarga. Ini untuk mengelakkan saya dipaksa terima tawaran KPLI jika saya berjaya kelak. Biarlah saya memilih laluan ini kerana diri saya sendiri, bukan kerana paksaan orang lain. Selain itu, ia juga untuk mengelakkan tekanan dari mereka yang suka bertanya tentang itu.

4 Dis 2010

Aduhai wanita

Saya ingin berkongsi pengalaman menarik sewaktu bermusafir ke Lembah Klang. Sepatutnya dah tak dikira musafir kerana saya di sana melebihi 3 hari, tapi takpe lah sebab sebelum ke sana saya tidak berhajat untuk tinggal lama. Namun kerana kerinduan kepada sahabat-sahabat, saya panjang tempoh tinggal di sana kepada 10 hari walaupun niat asal hanya untuk ke sana dalam 3 hari sahaja.

Tinggal lebih lama di sana menyebabkan saya lebih masa untuk mengunjungi sahabat-sahabat. Saya memilih untuk menaiki pengangkutan awam walaupun ada motosikal kerana ingin merasai kesusahan rakyat marhein. Paling saya teruja adalah sewaktu menaiki komuter. Bukan saya tidak menaikinya namun inilah kali pertama saya menaikinya selepas pihak KTMB menyediakan koc merah jambu untuk wanita.

Saya memuji langkah KTMB yang begitu prihatin untuk menjaga kehormatan wanita dari dikotori oleh tangan-tangan gatal dan jahat. Saya amat bersetuju untuk diperkenalkan koc ini walaupun pada mulanya ada pihak yang memandang sinis terhadap cadangan yang baik ini. Koc tengah yang ditetapkan untuk wanita memudahkan mereka menunggu di ruangan wanita. Saya pada mulanya menunggu di ruangan itu juga namun baru saya sedar adanya papan tanda yang meyatakan tempat menunggu wanita. Nasib baik ketika itu orang masih tidak ramai.

1 Dis 2010

Kenapa saya menangis?

Dalam artikel saya sebelum ini saya bercakap tentang tangisan seorang lelaki di mana lelaki itu adalah saya. Saya menerima beberapa respon menarik samada dari emel, komen di post itu sendiri mahupun di iluvislam. Malah artikel itu mencatatkan kedudukan ke-2 paling diminati dalam sebulan selepas artikel Muslimat jangan jadi bimbo walaupun hanya beberapa hari disiarkan. Ada yang bertanya kenapa saya menangis, di samping ada juga yang berhasrat untuk membeli buku tersebut. Saya tidak dapat menjamin anda menangis membaca buku ini tetapi inshaAllah anda berpuas hati memilikinya. Kini saya difahamkan buku ini mempunyai cetakan terbaru yang disertakan dengan CD.

Penulisan Muhd Kamil Ibrahim di dalam 'Travelog Haji : Mengubah sempadan Iman' hanya bersahaja tetapi sangat menusuk ke dalam hati saya. Saya menangis saat beliau menceritakan bagaimana pada mulanya beliau 'melarang' isteri beliau untuk mengucup Hajaral Aswad kerana keadaan manusia yang ramai dan kuat-kuat. Biar hanya beliau seorang yang mengucup, tambahan pula mengucup batu itu hanya sunat. Beliau seolah 'lupa' bahawa beliau dapat mengucup bukan kerana beliau lelaki, beliau dapat mengucup bukan kerana beliau kuat tetapi kerana kuasa dan izin Allah. Beliau sedar akan 'kekhilafan' itu semasa beliau berpuasa dan dalam keadaan tidak kuat dan lemah beliau berjalan-jalan 'tanpa sedar' ke arah Hajaral Aswad lalu berjaya mengucupnya. Barulah beliau sedar betapa dalam keadaan lemah begitu pun beliau mampu dengan izin Allah lalu beliau membawa isteri beliau mengucup batu hitam itu. Akhirnya isteri beliau juga mampu mengucup batu hitam itu.

Apa yang sedihnya?

22 Nov 2010

Jom ke Cheng Ho Expo 2010

Saya dengan rendah diri menjemput sahabat-sahabat datang berkunjung ke Expo Cheng Ho yang diadakan di Kota Bharu. InshaAllah saya yakin dan percaya sahabat-sahabat semua pasti berpuas hati dengan expo yang bertaraf antarabangsa ini. Ianya pasti jauh lebih baik jika ingin dibandingkan dengan Jom Heboh mahupun mana-mana expo.


Untuk keterangan dan maklumat lanjut, sahabat-sahabat semua boleh melayari laman web rasmi Expo Cheng Ho 2010. Jika anda penggemar aksi lagak ngeri, pasti menyukai pertunjukan akrobatik pemegang rekod dunia pejalan atas tali. InshaAllah pasti menghiburkan.

Untuk gambaran lebih jelas, boleh melayari Facebook Cheng Ho atau untuk jadual event, boleh merujuk di Brochure Cheng Ho

Kita jumpa di sana.

4 Nov 2010

Muslimat jangan jadi Bimbo

Apa itu bimbo? Mungkin ada yang biasa mendengarnya. Kenapa saya menasihati muslimat supaya tidak menjadi bimbo? Ini kerana saya melihat semakin ramai mereka menjadi bimbo tanpa mereka sedari. Ini bahaya kerana jika tidak diperingati pasti mereka akan terus hanyut dan lupa diri.

Bimbo merujuk kepada perempuan yang cantik dan menarik tetapi rendah tahap kebijakan atau pendidikan. Sebenarnya ia adalah istilah Bahasa Inggeris dan untuk kefahaman yang lebih jelas, mungkin boleh bertanya kepada encik wikipedia di sini. Ya, ia sebenarnya adalah istilah untuk lelaki namun sekarang lebih meluas digunakan untuk perempuan sehingga jika ingin ditujukan kepada lelaki ia disebut male bimbo. Jika hanya menyebut bimbo, maka ia adalah merujuk kepada perempuan kerana mudahnya perempuan menjadi bimbo.

25 Okt 2010

Pesananku buat Muslimah

Hari ini saya kaku, beku, tidak dapat bergerak, buntu dan kejang seketika. Fikiran saya bercampur baur tidak tahu apa yang difikirkan sebelum tiba-tiba tersenyum tawar membaca sebuah blog seorang perempuan yang menceritakan kisah silam dirinya yang masih mentah tentang erti sebuah kehidupan.

Kebetulan hari ini saya mempunyai masa terluang, jadi saya cuba mencari maklumat di sebalik Teori Konspirasi bagi mencari siapa di sebalik tabirnya dan berapa ramai pengikutnya. Sebenarnya saya bukanlah berminat dengan teori ini namun hanya meneliti sejauh mana pengaruhnya dalam masyarakat umat Islam di negara ini.


30 Ogo 2010

Saya malu

Isu ini hangat diperkatakan di media sekarang. Seluruh media arus perdana mencanangkan berita ini terutama Utusan Malaysia sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di jiwa rakyat 1Malaysia. Sebenarnya isu ini hanyalah isu kecil yang tidak menjadi salah pun namun kerana politik semuanya menjadi heboh.

Kunjungan seorang YB bukan Islam ke Surau baru-baru ini mencetuskan kegemparan di media arus perdana kerana YB tersebut bukan beragama Islam lalu dengan cepat lalu beberapa orang ustaz lantas menghukumkan haram bukan Islam memasuki Masjid. Aduh, cepatnya mereka berhukum. Apakah hukuman ini untuk semua orang termasuk nabi yang menjadikan Masjid Nabawi sebagai pusat pemerintahan dan pernah menerima delegasi bukan Islam di dalam masjid? Apa ada wahyu baru?

Saya agak bernasib baik kerana sudah tidak tinggal bersama rakan-rakan non-Muslim sebilik, jika tidak apakah pandangan mereka terhadap isu ini dan Islam. Ini kerana pernah saya mengajak mereka mengikuti saya berbuka puasa di Surau bagi mendekatkan mereka dengan Islam. walau berkali-kali saya mengajak, namun mereka agak keberatan kerana malu. Pada mulanya mereka ragu apakah dibenarkan ke rumah ibadah orang Islam, namun apabila saya menjelaskan keharusan tersebut barulah mereka faham. Selain malu, mereka juga keberatan kerana tidak wajar mereka yang tidak berpuasa bersama berbuka dengan orang yang berpuasa.

Saya tidak pasti apakah reaksi mereka tentang isu ini? Mohon agar mereka tidak tertipu dan masih ingat akan jawapan saya kepada mereka itu. Pada saya, jika tidak di Masjid, di mana lagi mereka ingin berkenalan dengan Islam? Di media yang sering menayangkan hiburan? atau di stesen bas yang menempatkan bayi orang Islam yang dibuang? atau di pasaraya yang menjadi tempat lepak Muslim liar itu?
Saya tidak dapat menerima jika alasan yang diberikan adalah kerana bukan Islam tersebut tidak menutup aurat. Jika persoalan ini dijadikan alasan, mereka tidak menutup aurat kerana mereka tidak Islam tetapi orang Islam itu wajib menutup aurat samada di Masjid atau di luar masjid. Masjid itu rumah Allah tetapi di lluar masjid itu bumi Allah.

Saya jadi teringat kisah azan ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails