BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


7 Feb 2011

Krisis di Mesir : Jangan tonjolkan kebodohan diri sendiri

Terlebih dahulu saya memohon maaf andai tajuk yang saya gunakan agak kasar, namun saya tidak dapat membendung lagi kesedihan saya mendengar ulasan-ulasan yang tidak masuk akal rakyat Malaysia yang suka tunjukkan pandai sehingga menyingkap kebodohan diri sendiri. Bukan bermaksud saya ingin katakan kononnya pandangan saya saja betul dan saya tidak boleh menerima pandangan lain, namun bagi saya kalau kita tidak tahu sesuatu isu, lebih baik kita diam dari memberi ulasan. Usah tonjolkan kebodohan kita yang orang lain tidak tahu.

Saya sebenarnya tidak ingin mengulas isu umat ini di blog kerana sudah ramai yang berbuat demikian, namun mendengar ulasan-ulasan tidak masuk akal dari rakyat Malaysia samada di blog, fb mahupun di kaca tv, saya berasa terpanggil untuk menasihati sahabat-sahabat yang sering ke sini supaya tidak terlibat dalam membuat ulasan yang menonjolkan kebodohan diri kita. Walaupun saya agak sibuk sejak seminggu yang lalu, namun saya meluangkan masa juga untuk mengulas tentang perkara ini.

Siapa kita sebenarnya untuk menyalahkan dan mengatakan patut atau tidak patut rakyat Mesir turun ke jalan raya mendesak Presiden mereka supaya berundur? Walaupun di negara kita segala-galanya semakin mahal, tapi ramai dari kalangan kita yang masih mampu makan, tidur di rumah mahupun berkenderaan. Kalau pun ada yang susah, fakir dan miskin, bilangan mereka masih dapat dikaburi dengan bangunan-bangunan yang tersergam indah, gedung-gedung membeli belah dan istana-istana golongan atasan. Namun tidak di Mesir, kekayaan Presiden mencecah 70billion dolar sedangkan ramai rakyatnya mempunyai pendapatan hanya 3ringgit sehari.

Pembunuhan berpuluh ribu ulama-ulama, berpuluh ribu masih di penjara bawah tanah dengan penuh penyeksaan yang tidak tergambar oleh fikiran, kezaliman ke atas rakyat yang dilakukan sejak dulu lagi serta rendition antara kejahatan Presiden Mesir kepada rakyatnya. Jadi, anda yang boleh makan dengan kenyang sambil menonton tv, usahlah keluarkan kenyataan mempersoalkan tindakan rakyat Mesir.

Sikap bodoh anda lebih terserlah jika anda menyatakan Malaysia mempunyai pelbagai agama, kaum dan etnik tidak mengalami kejadian seperti di Mesir sedangkan di Mesir hanya mempunyai majoriti Muslim dan Kristian pun boleh terjadi rusuhan seperti itu. Sedarlah, isu di Mesir ketika ini bukan isu agama, bahkan pihak kristian koptik juga turut bersama muslim mesir untuk menjatuhkan Presiden Maha Zalim yang menjadi boneka Amerika dan Israel itu. Jangan mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan anda baru lahir ke dunia semalam.

Isu Mesir tiada kaitan dengan kita. Ini kenyataan yang paling sedih apabila saya dengar. Sahabat, isu Mesir boleh merubah geografi politik bukan sahaja di Asia Barat malah seluruh dunia. Andai kata boneka Amerika di Mesir jatuh, dan diganti oleh kerajaan yang lebih baik, saudara kita di Palestin juga terbebas dari kepungan dan halangan untuk mendapat bantuan. Itulah yang paling ditakuti oleh Amerika dan Israel sehingga tercari-cari calon pengganti Husni, kerana itulah keluarnya nama-nama seperti Omar Suleiman dan Ahmed Syafiq untuk dijadikan kuda tunggangan seterusnya.

InshaAllah jika ada kesempatan, saya akan cuba sambung pandangan dan pendapat saya tentang krisis di Mesir. Apakah wajar kita membawa balik rakyat kita dan benarkah apa yang berlaku begitu teruk? Saya yakin dan percaya, sahabat-sahabat juga turut mengikuti krisis ini. Mohon kongsikan apa yang sahabat-sahabat tahu yang saya tidak tahu. Maaf kerana tidak berkesempatan untuk lebih lama di sini.

Jumpa lagi!!!

6 ulasan:

Tunduk Mengalah berkata...

Siapa yang bakal naik lepas ni, boneka juga? namun ada sesuatu yang tidak jelas, mereka ini bangkit atas dasar apa..atas dasar penindasan ekonomi, kezaliman pemerintah semata2 atau apa. Sekelompok kecil bangkit atas dasar Islam, sebahagian besar adalah atas dasar kesempitan ekonomi yg menghimpit. Namun, husnu zon mungkin mereka semua bangkit kerana memperjuangkan Islam. Tapi tidak banyak terpapar mengenai Ikhwan al-Muslimin dan mereka juga kurang popular. Macam mana Ikhwan ni hendak bentuk kerajaan baru Islam, revolusi Islam atau revolusi ekonomi sedang mereka tidak berapa popular? Banyaknya persoalan, hanya mereka yang berada di sana lebih mengetahui apa keadaan yang sebenarnya. Moga Allah bersama para pejuang. Amin.

- rusydee artz

LayyinuL Qalbie berkata...

salam alayk..terima kasih cikgu atas pencerahan yang saya kira sedikit membuka mata pada mereka yang belum faham... benar, setuju dengan cikgu, isu ini ramai antara kita tak nampak intinya..di fb, ada golongan yang kurang faham bercakap2, seakan mereka tidak kenal siapa Hosni Mubarak itu, seakan mereka tidak nampak dasar perjuangan islam itu bagaimana, mudah2an yg terbca artikel ini mendapat kefahaman sebaiknya.. teruskan berpena, cikgu!

Pemerhati Dunia berkata...

Salam, saudara.

Sepanjang berada di kampung, saya tidak sempat meneliti lebih mendalam punca sebenar Mesir bergolak cuma menoton dari tv dan surat khabar yang dibeli ayah sahaja.

Memang sepatutnya kepimpinan seperti itu ditumbangkan.

Mengumpulkan harta sendiri tanpa memikirkan rakyat dan amat mementingkan diri sendiri.

Sudah terlalu lama dia memegang Mesir, lebih 30 tahun.

Dan sudah sepatutnya melepaskan jawatan, beri pada yang lebih adil dan saksama dalam memimpin negara.

Bukan mengikut telunjuk orang luar.

Al - Mu'allim berkata...

~Tunduk Mengalah~

Terima kasih atas komentar membina dari akhi.

Saya memahami kebimbangan saudara tentang ikhwanul muslimin (IM) yang dilihat tidak menonjol dalam isu ini.

Yakin dan percayalah IM tidak selemah yang kita sangkakan. Apa yang dilakukan oleh mereka sekarang menunjukkan mereka belajar dari sejarah dan kematangan mereka dalam siyasah.

IM mengambil strategi untuk tidak menonjolkan diri kerana mahu semua pihak mengambil bahagian, matlamat utama adalah menjatuhkan Presiden zalim itu.

Strategi tunggu dan lihat IM adalah mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di Algeria di mana selepas kemenangan diisi, kemenangan dirampas dan banyak figur yang mati.

IM 'menerima' albaradei sebagai ketua kerajaan sementara dan tidak menonjolkan figur2 mereka untuk memastikan tidak berulang lagi apa yang berlaku ke atas parti Islam di Algeria itu.

IM mengambil pengajaran yang ditunjukkan oleh an-Nahdah di Tunisa yan tidak menjuarai perubahan yang berlaku di negara mereka.

mungkin kita di sini juga boleh belajar dari pendekatan yang digunakan oleh an-nahdah dan IM.

Wallahu a'lam

Al - Mu'allim berkata...

~LayyinuL Qalbie~

Wassalam ukhti.

InshaAllah, saya akan terus berpena semampu saya. Jangan terkejut kerana sebenarnya ramai yang tidak mengenali Husni Mubarak ini sehingga krisis ini berlaku.

bagaimana untuk mengetahui tentang kezalimannya jika tuan tubuh itu pun tidak dikenali.

Moga ianya dapat membuka mata masyarakt kita untuk lebih berminat mengetahui tentang isu sebenar di sebalik apa yang berlaku ini.

Al - Mu'allim berkata...

~Pemerhati Dunia~

Wassalam, saudari.

InshaAllah sama2 kita doakan agar Mesir dapat ditadbir oleh IM. Perubahan yang berlaku di Mesir juga akan merubah apa yang berlaku di Gaza dan seluruh dunia arab.

Namun ianya tidak mudah kerana US dan Zionis tidak akan semudah itu membiarkannya. Mesir adalah talian hayat mereka, namun Allah Maha Kuasa.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails