Terlebih dahulu saya memohon maaf andai tajuk yang saya gunakan agak kasar, namun saya tidak dapat membendung lagi kesedihan saya mendengar ulasan-ulasan yang tidak masuk akal rakyat Malaysia yang suka tunjukkan pandai sehingga menyingkap kebodohan diri sendiri. Bukan bermaksud saya ingin katakan kononnya pandangan saya saja betul dan saya tidak boleh menerima pandangan lain, namun bagi saya kalau kita tidak tahu sesuatu isu, lebih baik kita diam dari memberi ulasan. Usah tonjolkan kebodohan kita yang orang lain tidak tahu.
Saya sebenarnya tidak ingin mengulas isu umat ini di blog kerana sudah ramai yang berbuat demikian, namun mendengar ulasan-ulasan tidak masuk akal dari rakyat Malaysia samada di blog, fb mahupun di kaca tv, saya berasa terpanggil untuk menasihati sahabat-sahabat yang sering ke sini supaya tidak terlibat dalam membuat ulasan yang menonjolkan kebodohan diri kita. Walaupun saya agak sibuk sejak seminggu yang lalu, namun saya meluangkan masa juga untuk mengulas tentang perkara ini.
Siapa kita sebenarnya untuk menyalahkan dan mengatakan patut atau tidak patut rakyat Mesir turun ke jalan raya mendesak Presiden mereka supaya berundur? Walaupun di negara kita segala-galanya semakin mahal, tapi ramai dari kalangan kita yang masih mampu makan, tidur di rumah mahupun berkenderaan. Kalau pun ada yang susah, fakir dan miskin, bilangan mereka masih dapat dikaburi dengan bangunan-bangunan yang tersergam indah, gedung-gedung membeli belah dan istana-istana golongan atasan. Namun tidak di Mesir, kekayaan Presiden mencecah 70billion dolar sedangkan ramai rakyatnya mempunyai pendapatan hanya 3ringgit sehari.
Pembunuhan berpuluh ribu ulama-ulama, berpuluh ribu masih di penjara bawah tanah dengan penuh penyeksaan yang tidak tergambar oleh fikiran, kezaliman ke atas rakyat yang dilakukan sejak dulu lagi serta rendition antara kejahatan Presiden Mesir kepada rakyatnya. Jadi, anda yang boleh makan dengan kenyang sambil menonton tv, usahlah keluarkan kenyataan mempersoalkan tindakan rakyat Mesir.
Sikap bodoh anda lebih terserlah jika anda menyatakan Malaysia mempunyai pelbagai agama, kaum dan etnik tidak mengalami kejadian seperti di Mesir sedangkan di Mesir hanya mempunyai majoriti Muslim dan Kristian pun boleh terjadi rusuhan seperti itu. Sedarlah, isu di Mesir ketika ini bukan isu agama, bahkan pihak kristian koptik juga turut bersama muslim mesir untuk menjatuhkan Presiden Maha Zalim yang menjadi boneka Amerika dan Israel itu. Jangan mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan anda baru lahir ke dunia semalam.
Isu Mesir tiada kaitan dengan kita. Ini kenyataan yang paling sedih apabila saya dengar. Sahabat, isu Mesir boleh merubah geografi politik bukan sahaja di Asia Barat malah seluruh dunia. Andai kata boneka Amerika di Mesir jatuh, dan diganti oleh kerajaan yang lebih baik, saudara kita di Palestin juga terbebas dari kepungan dan halangan untuk mendapat bantuan. Itulah yang paling ditakuti oleh Amerika dan Israel sehingga tercari-cari calon pengganti Husni, kerana itulah keluarnya nama-nama seperti Omar Suleiman dan Ahmed Syafiq untuk dijadikan kuda tunggangan seterusnya.
InshaAllah jika ada kesempatan, saya akan cuba sambung pandangan dan pendapat saya tentang krisis di Mesir. Apakah wajar kita membawa balik rakyat kita dan benarkah apa yang berlaku begitu teruk? Saya yakin dan percaya, sahabat-sahabat juga turut mengikuti krisis ini. Mohon kongsikan apa yang sahabat-sahabat tahu yang saya tidak tahu. Maaf kerana tidak berkesempatan untuk lebih lama di sini.
Jumpa lagi!!!
Andai inginkan kebahagiaan setahun semailah benih, andai inginkan kebahagiaan sepuluh tahun tanamlah pokok, andai inginkan kebahagiaan seratus tahun didiklah manusia
Pages
BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH
Memaparkan catatan dengan label krisis mesir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label krisis mesir. Papar semua catatan
Langgan:
Catatan (Atom)
