BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


6 Dis 2010

Tips temuduga KPLI

Bismillah.

InshaAllah kali ini saya cuba berkongsi sedikit tips untuk temuduga KPLI bagi calon-calon yang telah lulus ujian M-Test baru-baru ini. Sebenarnya bukan tips sangat pun tetapi lebih kepada pengalaman saya semasa mengikuti temuduga tersebut. Mungkin ada antara pembaca yang akan menghadapinya atau juga mungkin sahabat handai, rakan taulan atau saudara mara. Jika berguna alhamdulillah, jika tidak anggap sajalah ianya sebagai perkongsian pengalaman.


Sebenarnya soal dapat KPLI atau tidak lebih kepada rezeki. Memang kita berusaha tetapi usaha kita bukan segala-galanya. Sungguh, ramai rakan-rakan saya yang mengeluh kerana berkali-kali memohon tetapi belum berjaya, bukan hanya gagal temuduga bahkan M-test pun belum lepas, sedangkan saya kali pertama memohon terus lulus M-Test dan temuduga. Justeru, jika anda betul-betul berminat, mintalah dengan Allah sesungguh hati dan selalulah bangun malam dan berbaik sangka dengan Allah.

Pada hari temuduga, saya dalam dilema samada ingin mengikuti temuduga tersebut atau tidak. Fikiran saya berbelah bagi samada untuk ke temuduga atau ke tempat kerja kerana hari itu adalah hari bekerja dan ketika itu saya masih pegawai kerajaan. Saya tidak dapat bertanyakan pendapat sesiapa kerana tiada sesiapa pun yang tahu saya memohon menjadi seorang cikgu termasuk keluarga. Ini untuk mengelakkan saya dipaksa terima tawaran KPLI jika saya berjaya kelak. Biarlah saya memilih laluan ini kerana diri saya sendiri, bukan kerana paksaan orang lain. Selain itu, ia juga untuk mengelakkan tekanan dari mereka yang suka bertanya tentang itu.


Keputusan awal yang saya lakukan adalah SMS kepada bos untuk memohon EL. Alhamdulillah beliau faham kerana sebelum ini memang saya tidak pernah mengambil cuti rehat (kecuali raya). Sejam sebelum temuduga, barulah saya dapat membuat keputusan. Alang-alang dah cuti, biarlah cuti itu bermanfaat, saya membuat keputusan untuk merasai pengalaman temuduga yang dikatakan susah itu.

Timbul masalah kerana sijil belum di fotostat, belum disahkan dan 'clear holder' perlu diganti dan semua itu perlu diselesaikan dalam singkat. Dalam masa kurang sejam itu saya hanya mampu membuat salinan sijil dan mengemaskini sijil di dalam 'clear holder' sementara saya tidak sempat mencari seseorang yang boleh mengesahkan sijil. Dalam keadaan (termasuk pakaian) serba kekurangan saya ke tempat temuduga.

Temuduga diadakan beberapa sesi, setiap sesi dibahagikan pula kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 6 orang calon yang akan ditemuduga oleh 2 orang penemuduga. Kebetulan, di dalam kumpulan saya, hanya saya seorang yang berbangsa Melayu sementara 5 orang lagi berbangsa Cina dan yang lebih menarik 2 orang penemuduga itu juga berbangsa Cina. Timbul di dalam fikiran saya, "confirm aku tak dapat. Mesti mereka akan memilih dari kalangan mereka". Calon lain siap bertali leher, berbaju lengan panjang dan berkot sedangkan saya... malu saya nak cakap.

Temuduga berkumpulan

Kami semua dipanggil masuk dan duduk di atas kerusi yang disusun melengkung. Kami diberi tajuk untuk dikupas dan setiap orang bebas memberikan pendapat.

cadangan :
  • Saya mencadangkan jika anda mengikuti sesi ini, anda jadilah orang yang pertama memulakan sesi perbincangan ini (walaupun bukan saya yang mulakan ketika temuduga hari tu)
  • Jangan memotong cakap orang lain kerana ia menunjukkan etika yang kurang baik. Biarlah mereka memberi pandangan mereka sampai habis.
  • Jangan kondem orang lain walaupun kita tidak suka dengan pandangan yang diberikan. Gunakan bahasa yang baik untuk menyatakan ketidaksetujuan kita.
  • Jadilah orang yang banyak bercakap, jangan sampai ditegur oleh penemuduga kerana kurang bercakap (berlaku dalam sesi temuduga saya). Bercakap apa saja asal tidak lari dari tajuk yang diberikan.
  • Tiada pihak yang menang atau kalah, justeru tidak perlu takut untuk memberikan pandangan.
Kesimpulan : BEKERJASAMALAH

Mungkin cadangan ini berguna mungkin juga tidak. Namun itulah yang saya lakukan ketika itu (kecuali cadangan yang pertama). Saya tidak langsung takut kerana saya tidak meletakkan tekanan ke atas diri saya.  Untuk pengetahuan, saya bukanlah orang yang pandai bercakap lebih-lebih lagi untuk memberi pandangan kepada orang yang tidak dikenali, namun kerana tidak ada tekanan, alhamdulillah saya mampu melakukannya.

Temuduga individu

Usai temuduga kumpulan, kita akan dipanggil untuk temuduga individu pula. Saya akan cuba berkongsi pengalaman setakat mana yang saya ingat.
  •     Saya diminta memperkenalkan diri di dalam bahasa Inggeris. Cadangan saya, beritahu yang penting2 saja seperti nama, asal usul, bidang pengajian, universiti, pekerjaan. Usah bercakap tentang hobi atau makanan kegemaran kerana tidak penting. Pengenalan diri saya di dalam bahasa Inggeris agak ringkas. Kemudian penemuduga itu yang bertanya di dalam bahasa Melayu tentang maklumat tambahan yang mereka nak tahu.
  •     Soalan faveret : Kenapa ingin menjadi cikgu? Soalan ini senang tetapi jawapannya yang susah. Terlalu umum dan bersifat subjektif. Tiada jawapan betul dan salah namun perlu acceptable. Jika jawapan anda sebab minat, so kenapa tidak minta kos pendidikan? Kenapa perlu bekerja sebelum mohon KPLI? Jika pernah bekerja, kenapa nak berhenti? Perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan 
         (Penemuduga bijak bermain emosi, oleh itu kita perlu lebih bijak dari mereka. Banyakkan bercakap  supaya mereka tidak dapat bertanya banyak)
  •     Soalan Isu Semasa : Seorang yang berminat menjadi guru harus tahu isu semasa pendidikan. SBT, Sekolah Kluster, Sekolah wawasan, sekolah integrasi. Jangan bercakap apa yang tidak akan tahu kerana ia akan memerangkap anda (saya kena)
  •     Macro Teaching : seorang guru modalnya adalah air liur. Justeru anda diminta mengajar kepada mereka untuk menunjukkan kebolehan anda bertutur. Saya diminta mengajar cara mencari isipadu silinder. Oleh kerana pada masa itu zaman PPSMI, maka saya diminta menerangkan dalam bahasa Inggeris.
  •     Semasa saya mengajar, kelihatan mereka tidak mempedulikan saya tetapi apabila saya silap, mereka menegur. Hehe, ilmu apa mereka guna ini.

Sebelum saya keluar dari bilik temuduga, salah seorang penemuduga menyerahkan salinan sijil saya yang tidak disahkan. Kata beliau, salinan sijil ini tidak laku, saya terkejut. Apakah permohonan saya dibatalkan seawal ini? Kemudian beliau meminta saya mencari mana-mana pensyarah yang boleh mengesahkan sijil tersebut dan menyerahkan kembali kepada beliau sebelum selesai beliau menemuduga 2 orang calon kumpulan kami. Fuhh. Alhamdulillah saya berjaya melakukanya.

Usai proses temuduga, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana sebab yang saya jelaskan di atas. Walaupun saya berminat untuk menjadi seorang pendidik, namun saya sedar jika ini bukan rezeki saya, bumi Allah ini luas, banyak lagi cara lain yang boleh saya lakukan untuk menjadi seorang pendidik. Justeru, jangan kita berputus asa dan bersangka buruk dengan Allah hanya disebabkan tidak mendapat KPLI. Mungkin telah disediakan yang lebih baik untuk kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Apabila berjaya menjadi seorang pelajar KPLI, banyak mehnah dan tribulasi yang menanti kita. Adakalanya memancing emosi. Untuk menjadi seorang pelajar KPLI, anda harus kuat emosi. INshaAllah akan saya kongsikan dalam artikel akan datang. Hakikatnya menjadi guru bukan mudah

Wallahu a'lam

(jika ada sebarang pertanyaan boleh tanya di sini atau emailkan kepada saya di alkhawarizmi2102[at]gmail[dot]com. InshaAllah saya cuba jawab apa yang saya mampu)

**Apa yang disiarkan di dalam artikel ini adalah pandangan dan pengalaman yang dialami oleh saya sendiri dan tidak semestinya berguna untuk anda. Perbanyakkan doa dan munajat kepada Allah agar diberikan yang terbaik untuk anda.

4 ulasan:

Sidratul Muntaha berkata...

Sejak saya kecik,sangat berminat nak jadi cikgu.Tapi tak ada rezeki.Permohonan KPLI pernah ditolak.

P/S: Selamat memanusiakn manusia lain cikgu. :)

Al - Mu'allim berkata...

Terima kasih sidratul muntaha.

Jangan pernah putus asa jika sudah menetapkan cita-cita. Ada lagi cara lain untuk menjadi cikgu selain kpli.

Kalau pun sudah habis jalan utk menjadi cikgu sekolah, mungkin bukan rezeki. Namun ttp berpeluang menjadi cikgu sekurang2 nya cikgu kepada adik atau anak sendiri nanti. InshaAllah.

..::sutera::.. berkata...

tips yang berguna.. sy akan interview j-qaf 21.12 ini..

Al - Mu'allim berkata...

Tahniah, sutera.

Semoga berjaya. Barakallahu lak

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails