BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


27 Dis 2010

Wanita Meminang, Berkapel Dan Pertunangan Menurut Islam

Berkapel & Displin Dalam Bertunang
 kapel
Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?

Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini


Jawapan
 
Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah Maha Bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.
Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-
1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :
Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ). 

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada cacatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ). 

Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :
Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).
Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan : 

Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).
Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam. 

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-
  1. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
  2. Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
  3. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
  4. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
  5. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
  6. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
  7. Awas daripada bertukar gambar.
  8. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.
 Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin. Baca lanjut di sini

Sekian, Wallahu a'lam.

Rujukan : UZAR 

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya pernah ditanya tentang pandangan terhadap wanita yang melamar saya. Secara ringkas saya menjawab saya kagum terhadap wanita yang melamar seorang lelaki. Namun kekaguman itu adalah jika mereka melamar seorang lelaki kerana kesolehan lelaki tersebut atau yang baik-baik, bukan kerana nafsu semata-mata. 

Sebaiknya, jika wanita itu berasa malu untuk melakukannya, undanglah lelaki tersebut ke rumahnya untuk bertemu ibu bapa. Itu lebih baik baginya, namun usah menjadikan undangan itu sesuatu yang kerap dilakukannya, bimbang akan timbul fitnah yang lain pula.

Walaupun dilihat jawapan ini seakan-akan skema, saya secara peribadi akan melakukannya bila situasi ini berlaku ada saya. Saya lebih suka berkenalan dengan keluarga wanita tersebut sebelum melanjutkan hubungan ke arah yang lebih serius.

Walau bagaimanapun, ini hanyalah pendangan dan tindakan yang mewakili diri saya sendiri sahaja. Ianya tidak menggambarkan berlaku pada orang lain dan pandangan saya juga tidak mewakili pandangan muslimin yang lain secara keseluruhan.

12 ulasan:

Abd Razak berkata...

Assalamualaikum...

Tak salah jika ada perempuan mahu meminang lelaki asalkan mengikut syariat yang telah ditetapkan...

aisyahHumaira berkata...

Assalamu'alaikum..

Setuju dengan akhi Abd Razak, tak salah sekiranya perempuan ingin meminang lelaki..solat istikharah mohon petunjuk dariNya, mudah-mudahan ALLAH tunjukkan jalan..

InsyaALLAH..

ansorullah berkata...

Assalamua'laikum.. Bukankah ada contoh terbaik, junjungan besar Muhammad s.a.w.. baginda juga dipinang Khadijah.. =).. membuktikan bahawa tiada salahnya meminang lelaki yang soleh untuk dijadikan suami.

Rebutlah peluang di dunia, untuk bekalan menuju Akhirat..

alFaratisyah berkata...

Setiap orang pasti menginginkan pasangan yg soleh/solehah, walaupun hakikatnya seseorang itu tidak/kurang soleh.

Pendapat peribadi, sepertimana kata Ustaz Pahroi, berusahalah menjadi yang soleh/solehah...bukan mencari...bila ramai yang berusaha menjadi soleh/solehah, maka ramailah calon...mudahlah jalan menuju rumahtangga yang sakinah lagi penuh berkah...baitul muslim, insyaAllah

wallahua'lam

Al - Mu'allim berkata...

Waalaikumussalam Ust Abd Razak.

Benar tidak salah, namun masyarakat dilihat 'masih tidak menerima' perempuan meminang lelaki.

Al - Mu'allim berkata...

Waalaikumussalam ustazah humaira.

InshaAllah, moga ALlah menunjukkan jalan dan memberi petunjuk kepada mereka untuk melakukan hal yang baik ini.

Soal malu tidak timbul jika dilakukan dengan cara yang betul.

Al - Mu'allim berkata...

Waalaikumussalam Ansorullah.

Contoh sirah yang sangat tepat. Namun berapa ramai perempuan yang sanggup melakukannya?

Moga kita dapat merebut segala kebaikan di dunia ini. Ameen.

Al - Mu'allim berkata...

Terima kasih atas pandangan ukhti alFaratisyah.

Benar. Setiap orang, pasti inginkan pasangan yang terbaik.

Jadi yang soleh/solehah, peluang mendapatkan yang solehah/soleh terbuka luas. Namun apakah tidak perlu mencari dan hanya menunggu?

Apakah ini adalah satu kepastian?
bagaimana dengan pasangan yang soleh/solehah tetapi mendapat pasangan yang sebaliknya?

Saya amat berbesar hati jika sahabat-sahabat dapat perkongsi mutiara berharga tentang ini.

Sidratul Muntaha berkata...

Assalamualaikum.

1.Wanita hebat seperti Khadijah pernah dan telah melamar lelaki mulia seperti Rasululullah kerana yakin dengan kesolehan baginda ketika itu.

2.Fatimah Az-Zahra pula menyimpan rasa hati kepada Saidina Ali dan perasaan itu tidak diluahkan kepada siapa-siapa.namun Allah mendengar doa dan isi hatinya sehingga Saidina Ali masuk meminangnya.

Ada 2 situasi. kedua-duanya perempuan hebat dalam sejarah. Sama ada memberanikan diri melamar lelaki idaman atau diam-diam doa dan bertawakal.

Secara jujur, saya adalah golongan yg ke-2.

P/S: sekadar pendapat peribadi.

Al - Mu'allim berkata...

Waalaikumussalam.

Jika itu pandangan yg dipegang oleh ukhti, tiada sesiapa pun boleh menidakkannya. saya hanya ingin menyatakan tidak cacatnya jika wanita yang menawarkan diri.

Apapun, sebelum tawakal, harus diadakan 'usaha' ke arah itu.

InshaAllah apa yang didapati adalah yang terbaik untuk kita. Banyakkan doa dan munajat kepada-Nya.

Moga mendapat jodoh yang terbaik

alFaratisyah berkata...

sememangnya memerlukan usaha utk mendapatkan yg soleh/solehah.

InsyaALLAH, ana yakin dgn firman Allah,

"...sedangkan perempuan-perempuan yg baik utk lelaki-lelaki yg baik, dan lelaki-lelaki yg baik utk perempuan-perempuan yg baik (pula)."(An-Nur: 26)

kalaupun tidak di dunia, di akhirat, insyaAllah.

apapun, kita pernah mendengar sejarah Asiah, wanita yg bersuamikan Firaun. Hebat ujian-Nya buat hamba-Nya yg hebat.

sekadar pendapat peribadi,

wallhua'lam

Al - Mu'allim berkata...

Terima kasih atas pandangan ukhti alFaratisyah.

Benar pandangan ukhti. Kita harus yakin akan firman Allah itu. Apapun asbab Nuzul ayat adalah berkenaan kisah Sayyidatina A'isyah dan Rasul SAW.

Ada juga kisah solehah berkahwin dengan penzalim seperti contoh yang ukhti kemukakan dan contoh-contoh lain di zaman ini.

Saya jadi bimbang jika ada yang sangat mengharapkan mendapat yang soleh/solehah sesuai dengan kesolehahah/kesolehah mereka.

Ia bukan semestinya diberikan di dunia ini, mungkin juga disimpan di akhirat kelak.

Wallahu a'lam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails