Bermula semalam, permohonan online untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah - Sekolah Rendah (KPLI-SR) j-QAF telah dibuka. Saya mengalu-alukan permohonan sahabat-sahabat yang berminat dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk memasuki bidang perguruan ini.
Iklan ini hanyalah untuk KPLI j-QAF mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) dan bukan untuk KPLI yang biasa. Jadi, hanya bidang Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan Pendidikan Khas j-QAF sahaja yang ditawarkan. Untuk bidang-bidang akademik yang lain, saya difahamkan iklan untuk ambilan pada tahun depan tiada bagi memberi peluang kepada guru-guru GSTT yang diberikan tempat baru-baru ini. Mereka akan memasuki IPG selama setahun setengah bagi melengkapkan kelayakan ikhtisas sebelum bergelar guru GST. Wallahu a'lam, saya tidak dapat mengesahkan perkara ini kerana banyak versi yang didengar tentang ini.
Ingin saya ulangi nasihat yang mungkin berguna mungkin tidak. Janganlah memohon jika tiada minat mahupun memohon hanya kerana tiada pekerjaan yang baik kerana ianya pasti akan menyusahkan anda nanti. Menjadi seorang guru lebih-lebih lagi guru j-qaf tidak mudah apalagi perangai murid sekarang tidak seperti dulu.
Jika anda benar-benar berminat, tunjukkan minat itu kepada Ilahi dengan berdoa sesungguhnya untuk mendapat tempat pada ambilan kali ini JIKA IANYA TERBAIK UNTUK ANDA. Tiada guna anda dapat, namun ia bukanlah terbaik untuk anda. Ada yang mengeluh, berkali2 minta tetapi tidak dapat dan bila diajukan pertanyaan, berapa kali bangun malam memohon doa kepadaNya, berapa kali solat dhuha bagi memperoleh rezeki ini, berapa kali anda berdoa dalam sujud memohon pertolongan Allah, berapa kali berdoa dalam sehari moga diberi tempat ini, tiada jawapan lain melainkan senyuman tawar. Ya, inilah yang perbezaan antara calon2 yang memohon. Semua yang mengisi borang mempunyai peluang yang sama, yang membezakan antara mereka adalah paling hampir dan kerap serta rajin memohon doa dari Ilahi.
Apapun, keistimewaan guru j-QAF adalah pahala yang sentiasa mengalir apabila seorang murid itu berjaya membaca al-quran hasil didikan ustaz/ah. Masih terlalu awal untuk saya berikan
tips mengikuti temuduga kpli atau lebih tepat lagi pengalaman saya dulu. Walaupun mode pengajian yang berbeza, namun pelaksanaannya tidak lari jauh. boleh juga dibaca untuk menambah pengetahuan.
wallahu a'lam.