BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


26 Dis 2012

Ubi rebus + cekmek

Rasa tak puas lagi menulis pasal banjir. Musim banjir ni, paling laku adalah ubi rebus. Ubi kayu, ubi stelo dan ubi badak antara yang terfemes. Dulu-dulu, rajin juga gi gali ubi, namun sekarang lebih selesa membeli kerana harganya yang murah. 'Tigo amah' sekilo atau kadang-kadang 4kilo 5rial. Beli sekilo pun tak habis nak makan.
cekmek jadi gini sebab ubi stelo warno lain

Ubi kayu

Ubi badok

Nak balik semalam, nampak banyak ubi stelo dan ubi kayu di dapur, lalu timbul rasa nak makan cekmek. Tak tahu la apa nama bakunya. Hari tu dah buat dah skali, mendapat sambutan yang menggalakkan jadi kali ni rasa nak buat bertambah-tambah lebih-lebih hari terakhir sebelum bertolak.

Senang je nk buat cekmek ni. Ambik ubi stelo dan rebus. Bila dah empuk, kupas kulit dan  lenyek atau tumbuk dengan lesung. Kemudian campur gandum secukup rasa dan buat macam doh. Kemudian ambik sedikit doh tadi dan bulatkan kemudian leperkan, isi gula dan bujurkan.

Dah siap, saya suruh adik bongsu goreng. Best juga ada adik perempuan ramai ni, cuma sebab 2 orang je adik perempuan kat rumah, so suruh je la adik bongsu.

Malam tadi telefon bonda bertanyakan keadaan banjir. Kata bonda, hujan tidak lagi lebat seperti sebelumnya, namun air dilihat semakin meningkat kerana Thailand melepaskan air dari empangan mereka. Memang inilah keadaannya setiap kali musim banjir. Jika air empangan melepasi satu tahap, mereka akan melepaskan airnya untuk mengelakkan empangan itu pecah dan mengakibatkan banjir lebih teruk. Penduduk memang sudah sedia maklum dan bersedia. Tambahan pula, pelepasan air dilakukan secara beransur-ansur.

Masa untuk ke sekolah. Jumpa lagi




25 Dis 2012

Banjir

Alhamdulillah. Selamat tiba di Pulau Pinang selepas mengharungi hujan yang sangat lebat di Kelantan. Rupanya di Pulau Pinang ini sang mentari begitu galak memancar sinarnya. Tidak sempat untuk merasai suasana banjir pada tahun ini kerana 'puye bah' lambat kali ni.
oreng pun sodap...

Apabila teringat banjir, pasti yang akan berada dalam ingatan adalah ikan darat. Asam pedas haruan dan puyu goreng sudah cukup untuk mengecurkan liur dibibir. atau mungkin juga keli masak lemak. Berpagi-pagian memasang pukat, berpetang-petangan melihat hasil tangkapan dan berterusan setiap pagi dan petang di baruh hinggalah air surut.

Tika di bangku sekolah rendah, musim sebegini kadang-kadang mengikut pakcik mencerut rumput untuk santapan lembu atuk dan lembunya. Sekadar suka-suka, sambil menunggu, sambil mengintai peluang untuk menangkap ikan. Pada waktu kecil juga, kerap kali musim begini ops belalang dilancarkan. Lama sungguh tak makan belalang goreng. Ini merupakan hidangan kegemaran tika kecil dulu. Kenalkah generasi sekarang akan belalang goreng? Atau hanya di kampungku saja hidangan ini 'pupus'.

Banjir juga dilihat sebagai proses tapisan untuk tamu-tamu rumah Allah. Mana taknya, untuk ke surau perlu mengharungi air paras peha. Namun ada juga yang diberi hidayah oleh Allah untuk ke Masjid, ada juga yang memilih untuk ke masjid yang lebih jauh, malah ada juga yang hanya bersolat di rumah atas alasan dhorurat. Ada juga yang mengupah bocah-bocah untuk menolak perahu ke tempat solat.

Paling kasihan adalah mangsa banjir dari kalangan orang tua, pemilik kenderaan dan pemilik rumah itu sendiri. Itu semasa banjir, selepas banjir, kena membersihkan rumah pula. Moga Allah memberi kemudahan kepada mereka untuk menghadapi dugaan ini. Pada masa ini wakil rakyat yang bertanggungjawab merupakan golongan yang paling sibuk. Apa taknya, anak buah di segenap tempat memerlukan bantuan.

Moga banjir kali ini tidak meragut korban seperti tahun-tahun yang lepas. Kepada semua, awasi lah kanak-kanak. Bukan hanya yang ada pertalian dengan kita, sebaliknya kepada semua kanak-kanak yang kita lihat sedang membahayakan diri masing-masing. Mereka itu tidak sedar akan bahaya, justeru tugas yang dewasa inilah menegur mereka.

24 Dis 2012

Bersedia untuk ke sekolah

Nampaknya cuti sekolah kian sampai ke penghujung. Saya sedang meniti detik-detik terakhir di kampung halaman sebelum berlepas ke Pulau Pinang. Mesyuarat pertama guru bakal berlangsung pada 26 Disember. Sengaja diawalkan keberangkatan pada kali ini untuk mendapatkan rehat secukupnya di sana supaya minda betul-betul bersedia untuk menghadapi Mesyuarat yang akan berterusan sehingga sesi persekolahan dibuka.

Lagipun masih perlu menyinggah di rumah keluarga angkat di seberang prai bagi menghulurkan titipan dari bonda buat mereka di samping kasihan kepada housemate yang keseorangan di sana kerana sudah tiba sejak 14 Disember yang lalu. Awal sungguh beliau datang.

Seminggu ini hujan turun tidak henti-henti di kampung halaman. Adakalanya lebat adakalanya renyai. Sangat jarang kelihatan sang mentari. Apakah ini petanda musim banjir bakal tiba? Hurm, alhamdulilah, banjir tidak pernah sampai ke halaman rumah walaupun tinggal bersebelahan tali air. Banjir semacam satu rezeki kerana dapat menahan pukat di baruh, kerana itu saya suka akan situasi ini. Namun, apa guna kita gembira tetapi di kawasan lain rumah-rumah mereka ditenggelami air banjir. Kesian mereka, pasti susah apalagi jika ada anak kecil atau orang tua lebih-lebih lagi terpaksa berpindah.

Rasa sedih pun ada nak tinggalkan kampung halaman ini, namun perjuangan mesti diteruskan. Tak sempat pula nak merasa hasil tanaman sepanjang cuti sekolah ini. Mudah-mudahan tanaman kacang botol yang diusahakan ini dapat dinikmati hasilnya nanti. Seronok juga melihat tanaman-tanaman ni membesar, kalau tahu nak je tanam tanaman-tanaman lain lagi. Setakat kacang botol dan lada, apalah sangat. Namun kita perlu bersyukur dengan apa yang ada.
gambar dari sini
Rasa semangat nak mengajar pun ada dah ni apalagi terkenangkan keputusan peperiksaan yang lepas. Moga tahun hadapan keputusannya lebih bagus dari tahun ini. Mohon doa sahabat-sahabat ya. Tahun depan nak jadi cikgu yang lebih baik dari tahun ini. Alhamdulillah, sedikit sebanyak pembacaan yang dibuat moga mampu membenihkan hasil yang lebih baik.

Berharap juga tiada lagi kes-kes disiplin yang teruk berlaku pada tahun hadapan. Sedih mengenangkan beberapa kes yang berlaku di luar jangkaan pada tahun ini. Pada tahun hadapan, bilangan pengawas dikurangkan, moga kualiti mereka lebih baik dari kuantiti pada tahun ini dan dapat memberi kerjasama yang baik.

Paling sedih, sekolah kehilangan seorang ustaz yang sangat berdedikasi kerana perpindahan beliau ke sekolah berdekatan rumah. Moga mendapat pengganti yang lebih baik. Memang benar yang patah pasti kan tumbuh dan yang hilang akan berganti namun yang tumbuh tidak semestinya sama dengan yang patah dan yang berganti tidak semestinya lebih baik dari yang hilang. Apapun, perjuangan mesti diteruskan.

Akhirul kalam, mohon doa dari sahabat-sahabat untuk kebaikan kita bersama. Allahumma Ameen.

20 Dis 2012

Saya dan rokok : episode 2

Sepatutnya ni dah masuk episode ke-5 selepas lama saya tulis episode 1, namun saya letakkannya di episode ke 2 kerana masih belum di publishkan episode yg lain. Takkan nak langkau episode. Ada kisah di sebalik episode ini,  baru sekarang saya berkesempatan untuk menulisnya.

Sebenarnya tulisan ini berada di dalam draft sejak setahun lalu, entah kenapa tidak terbuka hati untuk menyiapkannya dengan sempurna. Kadang-kadang terlalu banyak alasan menyebabkan saya malu kepada diri saya sendiri. Lagipun saya telah berjanji untuk menyambung tulisan tersebut.

Namun, kali ini sebelum saya menyambung tentang apa yang saya tulis pada ayat terakhir di dalam tulisan episode 1, saya ingin menyentuh satu lagi tajuk tentang rokok yang tidak kurang pentingnya dalam kita cuba untuk mendidik masyarakat iaitu tentang cikgu yang merokok.
gambar dari wikipedia
CIKGU MEROKOK

Menjadi seorang cikgu bukan saja kita mengajar dengan kata-kata, bahkan dengan perbuatan kerana apa yang kita lakukan akan dilihat dan cuba ditiru oleh murid. Bahkan cikgu sebenarnya lebih dipercayai oleh murid berbanding dengan ibu bapa mereka. Benarlah kata pepatah cikgu kencing berdiri, murid kencing berlari.

Saya teringat ketika mengajar murid tentang tajuk bahaya merokok. Pelbagai penerangan dan huraian panjang lebar tentang bahaya merokok saya berikan kepada mereka sehingga habis masa saya di dalam kelas tersebut. Di akhir kelas, seperti biasa saya membuka soalan kepada mereka jika ada sebarang kemusykilan.

Tiba-tiba seorang murid mengangkat tangan.

"Ya, silakan,".

"Cikgu, cikgu Azmi(bukan nama sebenar) merokok tu. tak bahaya ke?", tanya Amirul

"Ya, cikgu. Saya nampak Cikgu Azmi merokok kat tepi padang sana," tambah Joseph.

"Kadang-kadang dia buat asap bulat-bulat cikgu," sampuk Jhonny.

"Err..Err..," susah juga saya nak menjawab. Mengenangkan Cikgu Azmi adalah kawan saya, juga seorang cikgu tetapi saya berfikir murid-murid di hadapan saya ini lebih utama untuk saya didik.

"Ha..Macam mana tu, cikgu?," Khaleel dan Tajudeen bertanya serentak.

"Tak kira sesiapa. Kalau merokok, ianya tetap bahaya walaupun orang yang merokok itu cikgu,", jawab saya.

"Jadi, cikgu Azmi pun akan mati ke sebab hisap rokok?," tanya Cheong pula memandangkan ada gambar mayat berbungkus kesan akibat rokok. Dushh..

"Macam cikgu cakap tadi, merokok ni memberi bahaya kepada jantung kita sepeti mana dalam gambar... bla bla bla," Saya menghurai kembali apa yang saya terangkan dengan ringkas tetapi penuh yakin.

Saya sangat bersyukur kerana tidak menjadi seorang perokok. Walaupun ada antara rakan-rakan yang merokok, alhamdulillah saya tidak langsung teringin. Mungkin kesan dari cuba-cuba dulu :)

Tapi tu lah. Amat sukar untuk mendidik murid jika cikgu sendiri yang melakukan kesalahan yang nyata di hadapan murid. Kita ingin mendidik murid tidak merokok tetapi kita merokok dihadapan mereka. Bahkan merokok pula di hadapan mereka.

Usai kelas, saya ke bilik guru dan berjumpa cikgu Azmi.

"Tadi aku masuk topik rokok. Duk terang-terang kat depa, depa cakap duk nampak hang hisap rokok tepi padang. Letih juga nak menjawab," jelas saya.

"Owh, hang terang je kat depa. Cakap bahaya hisap rokok ni dan jangan jadi cam aku", jawab cikgu Azmi ringkas.

Merokok adalah bahaya kepada kesihatan kita bahkan Majlis Fatwa telah mengemukakan mengeluarkan fatwa HARAM MEROKOK berdasarkan hujah-hujah yang diberikan. Amat tidak patut ianya diamalkan oleh seorang muslim, apalagi seorang cikgu lebih-lebih lagi dilakukan dihadapan murid.

Kepada yang belum mencuba, usah cuba melakukan sesuatu yang haram walaupun sekali.

Mohon maaf jika ada yang tersinggung. Wallahu a'lam

17 Dis 2012

Alkisah tentang jodoh

gambar dari sini
Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah.  Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintah-Nya agar berusaha. Carilah jodoh yang baik, rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga.

Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan ALlah. Milik kita hanya usaha. Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita.

"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.

"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"

"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya.

"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada facebook dan twitter?," gurau saya.

"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain...."


13 Dis 2012

Aku mencari isteri yang sempurna

Tidak pasti samada saya pernah menulis tentang ini. Jika sudah, anggaplah ianya satu ulangan namun jika belum moga boleh diambil pengajaran darinya.
gambar ihsan google
Alkisah ada 2 orang pemuda yang sedang bersembang tentang jodoh. Kata seorang pemuda kepada sahabatnya.

"Mengapa belum berkahwin?", tanya beliau.

"Saya mencari yang solehah", jawab sahabatnya. 

"Dulu saya sudah bertemu yang bijak dan cantik, namun saya terpaksa melupakannya kerana meyedari akan kesombongannya", sambung sahabatnya lagi.

"Apakah sekarang kamu belum menemukannya lagi?", tanya beliau lagi.

"Aku teruskan pencarianku lagi namun ada saja kekurangan yang aku temui sehingga akhirnya aku temui seorang wanita yang sempurna pada pandanganku", jawab sahabatnya.

"Jadi? Mengapa tidak kamu kahwini saja muslimah itu?", soal beliau kebingungan.

"Wanita itu juga sedang mencari yang sempurna untuk dijadikan suami", jawab sahabatnya.

Pengajaran ; Semua yang berkunjung ke sini, bijak-bijak semua dah kan. So, pandai-pandai lah menilai dan membuat kesimpulan sendiri ye :-D

11 Dis 2012

coretan Santai : Kedai kopi atuk

Sebenarnya artikel ini sudah saya tulis setahun yang lalu, entah mengapa ia terperuk di dalam draft bersama 50 lagi tulisan lain,hurm.
gambar dari sini
Atuk saya seorang pengusaha kedai kopi. Setiap pagi dan petang, pasti ramai sekali penduduk kampung berkumpul di sana seolah-olah menjadi 'port' untuk mereka bertemu dan bersembang. Sewaktu allayarhamah nenek ada dulu, nenek menjual nasi berlauk manakala atuk menebar roti canai. Selepas pemergian nenek, atuk berhenti dari menebar roti canai dan hanya menyediakan minuman saja sementara nasi-nasi ada orang datang bawa untuk dijual.

Berkumpul, bertemu dan bersembang di kedai kopi atuk bukanlah kaki lepak sembarangan. Usia sudah tua namun tidak nampak ketuaan pada kudrat mereka. Paling mengagumkan saya, kebanyakan mereka adalah kaki-kaki surau. Usai solat subuh berjemaah di masjid, mereka akan pulang ke rumah masing-masing menguruskan hal ehwal rumah tangga.

Kemudian, datang ke kedai kopi atuk untuk bersembang sambil menikmati sarapan pagi. Bukan secara serentak, tetapi seakan bergilir-gilir kerana jika semuanya datang pada masa yang sama pasti tidak muat kedai itu. Pelbagai isu yang dibincangkan dari sekecil-kecil perkara hingga lah sebesar-besar perkara dan paling digemari mereka adalah isu politik. Riuh kedai dengan bicara mereka.

Aneh sekali, nampak seperti kekampungan yang tidak tahu apa-apa melainkan sawah bendang, namun mereka amat up to date dengan isu semasa. Kadang-kadang isu yang dibincangkan belum pun keluar di dalam akhbar. Macam internet pun ada. Seorang mengeluarkan isu, masing-masing mengulas dan memberi pandangan. Sepanjang cuti ini, kerap juga saya ke sana menolong atuk membasuh cawan-cawan yang mereka minum sambil mendengar bual bicara mereka.

Paling menarik, apabila duduk saja mereka, atuk akan membancuh minuman mereka tanpa perlu mereka memesan. Teh, teh 0, kopi, nescafe mahupun minuman 3in1 seperti kopi janggut, susu kambing dan sebagainya, atuk sudah tahu apa yang mereka ingin minum. Barangkali kerana sudah lama bersama mereka dan hampir setiap pagi dan petang mereka datang.

Usai bersarapan dan bersembang merapatkan ukhuwwah antara mereka, masing-masing bergerak ke tempat mencari rezeki. Ada yang bertani, menternak binatang, tukang rumah, bawa teksi dan sebagainya. Ada juga yang merupakan golongan pencen yang terus pulang ke rumah. Namun begitulah, pergi seorang ada lagi yang lain datang mengambil tempat. Isu yang dibincangkan tidak pernah habis.

Menjelang tengahari tiada yang datang minum. Suasana menjadi sepi, cuma yang ada adalah budak-budak yang datang membeli barangan runcit pesanan para ibu. Kedai kelihatan lengang dan biasa atuk berehat sambil membaca kitab-kitab lama yang ditadah sewaktu usia muda.

Usai solat asar, kedai kopi atuk kembali meriah. Ada yang datang dari surau, ada juga datang dari rumah meyambung perbincangan pagi tadi yang belum selesai atau membuka topik baru. Keadaan menjadi riuh seketika dengan asap rokok bergelumbang sesama mereka. Kemudian, masing-masing akan diam dan menikmati video ceramah yang dipasang di kedai atuk. Atuk hanya menyediakan TV, namun mereka berinisiatif mengumpul duit membeli VCD Player untuk diletakkan dikedai atuk.  Kadang-kadang saya yang membeli CD untuk mereka.

Dulu yang paling mereka suka adalah CD ceramah politik. Beli CD kuliah ilmu pasti mereka tidak berapa gemar. Dengar juga tapi jarang mereka minta. Apa boleh buat kerana yang datang bukan semuanya kaki masjid. Namun kini, fenomena Ustaz Azhar Idrus mengubah segalanya. Setiap hari minta CD ustaz azhar yang baru. Itulah kehebatan Ulama Muda itu, bukan saja mengubah orang muda malah orang tua juga turut berminat dengannya.
gambar dari sini
Hanya ceramah saja yang menjadi hiburan di kedai atuk. Tiada papan dam aji mahupun papan carrom yang biasanya ada dikedai-kedai kopi yang lain. Atuk tidak ingin kedai beliau dijadikan tempat lepak kaki dam aji kerana biasanya melibatkan perjudian kecil. Bersubahat dengan judi juga adalah judi.

Amat unik sebenarnya kedai kopi bagi golongan veteran ini seolah-olah tempat itu sangat significant dengan mereka. Jika tidak ke sana pasti tidak lengkap kehidupan mereka pada hari itu. Kadang-kadang, bukan mereka lapar dan dahaga sangat pun tapi 'angin' je.

Kedai kopi inilah menjadi tempat menyatukan penduduk di kampung ini. Bahkan jika datangnya YB, inilah tempat yang ditujunya kerana mudah untuk bertemu dengan ramai penduduk. Menjelang maghrib, masing-masing kembali ke rumah, ada yang terus ke masjid kerana sewaktu datang, sudah memakai pakaian untuk ke masjid.

8 Dis 2012

Ubat hati ada 5 perkara

Salam 'alaik.

INshaAllah malam ni nak kongsi pengisian yang diberi oleh seorang ustaz iaitu tentang ubat hati. Kita ni kalau sakit jasmani, risau sangat. Sakit sikit, telan panadol dah, atau ubat-ubat lain. Lepas tu makan pulak supplement2 untuk elak sakit. Bukan tak boleh, bagus juga jaga kesihatan tu namun hati kita juga perlu diubati sebab kalau hati kita sakit, payah nak masuk ilmu dan nak merasai kemanisan ibadat kepada Allah.
Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawwas ;

UBAT HATI ADA 5 PERKARA:

1. Baca Al=Quran dan maknanya (betul tajwidnya dan hayati maksudnya)
Cuba cek diri kita, berapa hari sekali kita baca al-quran? atau bila kali terakhir kita baca al-quran dan maksudnya? Adakah betul tajwid kita? Betulkah bacaan al-quran kita? Al-quran ini adalah ayat-ayat cinta dari Allah. Kalau setiap hari kita boleh baca akhbat huruf demi huruf, tapi quran kita tak baca, memang berat nanang la:)

2. Solat malam dirikanlah (Qiyamullail)
Sentiasalah berniat untuk bangun qiamullail, dan berusahalah untuk bangun, jika tak bangun, sekurang-kurangnya dapat juga satu pahala. JIka tersedar dan rasa malas sangat nak bangun, sekurang-kurangnya beristighfarlah memohon ampun dari Allah. Payah sangat nak bangun, saya pernah kongsi tips untuk bangun pagi. Moga bermanfaat.

3. Berjumpullah dengan orang yang soleh (Majlis ilmu)
Hadirilah majlis ilmu kerana ianya salah satu dari taman-taman syurga. Majlis yang turut digemari oleh para malaikat ini kalaupun kita tidak dapat hadiri sebagai pelajar, jadilah pendengar. Malaikat amat suka kepada Majlis ilmu sebab itu pada hari jumaat, ada malaikat yang ditugaskan mengambil kehadiran para jemaah ke masjid, apabila imam naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah, malaikat akan tutup buku kehadiran tu dan duduk sama-sama mendengar khutbah. Bukan maksudnya orang yang datang selepas itu tak dapat pahala, tapi namanya tiada dalam buku kehadiran awal para malaikat. Wallahu a'lam.

4.Perbanyakkan berpuasa (yang sunat)
Puasa wajib memang wajib kita tunaikan tapi ni adalah puasa sunat. Sebenarnya puasa sunat lebih sukar untuk ditunaikan berbanding puasa wajib. Puasa adalah perisai. Syurga ada satu pintu yang dinamakan arRayyan dikhaskan untuk orang yang rajin berpuasa.

DARIPADA Sahl bin Sa'ad berkata bersabda Nabi Muhammad SAW: "Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: "Di manakah orang yang telah berpuasa?" Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

5.Zikir malam berpanjanglah (dari malam sehingga waktu sahur)
Cara zikir mengingati Allah ini banyak. Sentiasalah kita mengamalkannya. InshaAllah kita termasuk di dalam kalangan hamba yang sentiasa dekat dengan Allah.

Salah satunya siapa mengamalkannya, semoga Allah sentiasa mencukupkannya.

#Kata-kata Ibrahim al-Khawwas adalah yang behuruf gelap sementara huraiannya adalah dari saya sendiri. Moga bermanfaat untuk semua. Duk cerita pasal diri sendiri saja, kadang-kadang tidak memberi manfaat pun kepada sahabat-sahabat yang berkunjung ke sini. Moga perkongsian ini dapat dimanfatkan oleh diri saya dan kita semua. Wallahu a'lam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails