| gambar dari sini |
Berkumpul, bertemu dan bersembang di kedai kopi atuk bukanlah kaki lepak sembarangan. Usia sudah tua namun tidak nampak ketuaan pada kudrat mereka. Paling mengagumkan saya, kebanyakan mereka adalah kaki-kaki surau. Usai solat subuh berjemaah di masjid, mereka akan pulang ke rumah masing-masing menguruskan hal ehwal rumah tangga.
Kemudian, datang ke kedai kopi atuk untuk bersembang sambil menikmati sarapan pagi. Bukan secara serentak, tetapi seakan bergilir-gilir kerana jika semuanya datang pada masa yang sama pasti tidak muat kedai itu. Pelbagai isu yang dibincangkan dari sekecil-kecil perkara hingga lah sebesar-besar perkara dan paling digemari mereka adalah isu politik. Riuh kedai dengan bicara mereka.
Aneh sekali, nampak seperti kekampungan yang tidak tahu apa-apa melainkan sawah bendang, namun mereka amat up to date dengan isu semasa. Kadang-kadang isu yang dibincangkan belum pun keluar di dalam akhbar. Macam internet pun ada. Seorang mengeluarkan isu, masing-masing mengulas dan memberi pandangan. Sepanjang cuti ini, kerap juga saya ke sana menolong atuk membasuh cawan-cawan yang mereka minum sambil mendengar bual bicara mereka.
Paling menarik, apabila duduk saja mereka, atuk akan membancuh minuman mereka tanpa perlu mereka memesan. Teh, teh 0, kopi, nescafe mahupun minuman 3in1 seperti kopi janggut, susu kambing dan sebagainya, atuk sudah tahu apa yang mereka ingin minum. Barangkali kerana sudah lama bersama mereka dan hampir setiap pagi dan petang mereka datang.
Usai bersarapan dan bersembang merapatkan ukhuwwah antara mereka, masing-masing bergerak ke tempat mencari rezeki. Ada yang bertani, menternak binatang, tukang rumah, bawa teksi dan sebagainya. Ada juga yang merupakan golongan pencen yang terus pulang ke rumah. Namun begitulah, pergi seorang ada lagi yang lain datang mengambil tempat. Isu yang dibincangkan tidak pernah habis.
Menjelang tengahari tiada yang datang minum. Suasana menjadi sepi, cuma yang ada adalah budak-budak yang datang membeli barangan runcit pesanan para ibu. Kedai kelihatan lengang dan biasa atuk berehat sambil membaca kitab-kitab lama yang ditadah sewaktu usia muda.
Usai solat asar, kedai kopi atuk kembali meriah. Ada yang datang dari surau, ada juga datang dari rumah meyambung perbincangan pagi tadi yang belum selesai atau membuka topik baru. Keadaan menjadi riuh seketika dengan asap rokok bergelumbang sesama mereka. Kemudian, masing-masing akan diam dan menikmati video ceramah yang dipasang di kedai atuk. Atuk hanya menyediakan TV, namun mereka berinisiatif mengumpul duit membeli VCD Player untuk diletakkan dikedai atuk. Kadang-kadang saya yang membeli CD untuk mereka.
Dulu yang paling mereka suka adalah CD ceramah politik. Beli CD kuliah ilmu pasti mereka tidak berapa gemar. Dengar juga tapi jarang mereka minta. Apa boleh buat kerana yang datang bukan semuanya kaki masjid. Namun kini, fenomena Ustaz Azhar Idrus mengubah segalanya. Setiap hari minta CD ustaz azhar yang baru. Itulah kehebatan Ulama Muda itu, bukan saja mengubah orang muda malah orang tua juga turut berminat dengannya.
| gambar dari sini |
Amat unik sebenarnya kedai kopi bagi golongan veteran ini seolah-olah tempat itu sangat significant dengan mereka. Jika tidak ke sana pasti tidak lengkap kehidupan mereka pada hari itu. Kadang-kadang, bukan mereka lapar dan dahaga sangat pun tapi 'angin' je.
Kedai kopi inilah menjadi tempat menyatukan penduduk di kampung ini. Bahkan jika datangnya YB, inilah tempat yang ditujunya kerana mudah untuk bertemu dengan ramai penduduk. Menjelang maghrib, masing-masing kembali ke rumah, ada yang terus ke masjid kerana sewaktu datang, sudah memakai pakaian untuk ke masjid.
4 ulasan:
jika golongan veteren lepak mereka di kedai kopi.. kalau anak2 muda pula di shopping2 complex...
Assalamualaikum...
Banyak fungsi kedai kopi tu ye...
Kat tempat iqa, duk lama sikit mau ada yg menjeling agaknya... :-)
Moga Allah kasih.
~MO~
Apa nk buat, tu je hiburan yg ada di kampung. Alhamdulillah sgt jika solat tidak dilupai.
Anak muda skg krg dah melepak di mall, mereka beralih ke fb, tweeter, blog dsb =)
Waalaikumussalam
Yup, paling2 ia jadi tmpt bertautnya ukhuwwah. Kalau ada yg menjeling tu, faham2 saja lah.
Moga Allah kasih dirimu juga dan kita semua.
Catat Ulasan