BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


2 Dis 2012

Coret-coret Bicara Selebriti


 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Alhamdulilllah. Semalam berkesempatan hadir ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV menghadiri Bicara Selebriti. Asalnya hari ni nak tulis tentang hukum mengajar matematik, tapi kita dahulukan yang patut didahulukanlah.

Sesampai di sana, jemaah baru memulakan solat isya, lantas terus ke padang dan bersama-sama mengerjakan solat fardhu isya. Usai solat, masing-masing mengambil tempat berdekatan pentas utama. Apabila pengerusi menjemput panelis ke pentas bicara, yang datang adalah hujan. Bicara ditunda dan selebriti di bawa kembali ke bilik VIP. Hadirin ramai yang masih menunggu dikehujanan, walaupun ada segelintir yang lari ke bawah bumbung astaka. Hujan tidak lama, sekadar menyejukkan udara dan bicara bermula.

Bicara pada awalnya dikendalikan oleh Ustaz Azariza atau lebih dikenali dengan nama Ust Ja kerana Saudara Amin Idris tidak dapat sampai tepat pada masanya. Usai pusingan pertama bicara barulah Amin Idris tiba mengambil kembali tempat beliau di kerusi Moderator.

Rupanya Amin Idris lewat tiba kerana terlepas penerbangan. Beliau sebelum itu bertugas membuat liputan di perhimpunan agong sebuah parti politik di PWTC dan oleh kerana perhimpunan itu lambat habis, maka terlepaslah penerbangan beliau dan beliau menaiki pesawat seterusnya.

Berikut adalah sedikit ulasan yang dapat saya simpulkan dalam bicara semalam
Rasanya cukuplah sekeping gambar ini untuk tatapan di sini.
Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Tidak perlu dipertikaikan lagi tentang penyampaian Da'ie Sejuta Ummah ini. Walaupun berada di hujung pentas, namun apabila bercakap seolah pentas itu milik beliau seorang. Tidak puas rasanya mendengar isi bicara yang di sampaikan.

Ustaz bercerita tentang permulaan beliau di dalam penyampaian agama. Bermula seorang, dua orang, tiga orang dan selepas itu empat orang. Kemudian beralih ke surau sekitar, ke masjid dan seterusnya ke seluruh negara dan akhirnya ke kaca TV. Kini kuliah beliau dihadiri oleh ribuan malah mencecah puluhan ribu jika dibuat di tempat yang luas seperti stadium.

Menurut UAI, apa yang penting adalah keikhlasan dalam penyampaian. Ustaz bukan minta nak popular, tetapi popular itu datang sendiri selepas adanya keikhlasan dalam diri

Yang saya kagumi adalah cara pendekatan beliau terhadap anak muda. Kegilaan anak muda sekarang kepada kamera DSLR dan motor menyebabkan beliau turut terlibat di dalam bidang itu untuk menunjukkan kepada mereka Islam tidak menghalang hobi itu tapi perlu mengikut landasan yang ditetapkan.

Sebagai contoh, fotografi. Ramai beranggapan nak ambil gambar cantik mesti kena guna model perempuan dan perempuan mesti seksi tetapi beliau membuktikan sebaliknya. Gambar-gambar yang diambil beliau hanyalah binatang-binatang, pemandangan dan adakala turut menjadikan orang tua (Pok Mang) sebgai model. Jumlah komen yang diterima oleh beliau lebih dari sejuta. Boleh rujuk hasil kerja beliau di digitalmukmin

Heliza Helmi
Pada awal sebelum bermulanya bicara, saya beranggapan gadis ini pasti tenggelam dengan populariti panelis yang lain, namun ternyata Heliza mempunyai cara beliau sendiri. Walaupun kerap disakat oleh Amin Idris, namun beliau berjaya menyampaikan butir bicara dengannya dengan baik. Cuma lain kali, tak usah nyanyi la, hujan makin lebat pula :)

Heliza menekankan kepada remaja yang berminat untuk mencari populariti dalam industri supaya tidak mengejarnya sehingga lupa akan pelajaran. Ilmu yang paling utama. Populari akan datang bukan kita yang cari. Selain itu Heliza turut berkongsi beberapa tips dan panduan buat hadirin untuk masuk industri. Tak pasti cukup ke tak apa yang saya tulis ni.

# Niat kerana Allah                                #Mencari kawan yang betul 
#Kena ada Ilmu                   #Berdoa                    #Mujahadah          
   #Bersyukur. 

Beberapa sirah dan hadith turut diselitkan dalam perkongsian ini.

Meyda Safira
Kedatangan Meyda ke Malaysia amnya dan Kelantan khususnya adalah kali pertama. Bicara gadis kelahiran Bandung ini juga tidak kurang hebatnya walaupun ada jawapan beliau yang lari dari soalan yang ditanya. Mungkin juga kerana soalan yang kurang jelas dari Moderator bidang terjun. Butir-butir percakapan beliau boleh saya fahami walaupun beliau menggunakan bahasa Indonesia. Beliau turut cuba berbahasa Kelantan pada awal bicara walaupun agak nakal bunyinya. Beliau juga tenang saja membalas apabila diusik oleh moderator tentang Pasukan Timnas Indonesia ketinggalan 0-2 kepada Harimau Malaya.

Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau terlibat ke dalam industri perfileman. Umum mengetahui, pemilihan pelakon KCB amat ketat dan calon-calon yang datang ke ujibakat begitu ramai. Bahkan beliau tidak terpilih pada mulanya untuk top 24. Namun Allah mentakdirkan rezeki itu miliknya melalui doa yang beliau pohon apabila pihak juri pemilihan hanya menemukan 23 orang dan perlu mencari seorang lagi calon bagi mencukupkan 24 dan beliau terpilih.

Meyda menjelaskan dirinya adalah seorang yang pemalu dan turut bersetuju dengan pandangan Heliza tentang pentingnya memilih kawan. Mengenali sahabat-sahabat seperti Oki Setiana Dewi (Mbak Ana), Kholidi Asadil Alam (Mas Azam) dan Andi (Mas Furqan) amat disenangi beliau kerana akhlak mereka.

Meyda menjelaskan walaupun beliau nampak lembut, tapi sukakan aktiviti yang mencabar. Oleh sebab itu beliau memilih jurutera sebagai kerjaya di samping ayah beliau juga seorang jurutera. Meyda bercadang untuk menyambung kuliah kerana ingin menjadi seorang pensyarah.

Selain itu, Meyda turut mempromosikan filem ke-4 beliau Cinta Suci Zahrana yang sedang ditayangkan di pawagam Indonesia.

Ustaz Azariza aka Ustaz Ja
Ustaz ini mempunyai aura tersendiri dalam penyampaian. Mengusik adalah antara kepakaran beliau dan gaya penyampaian beliau di dalam ceramah-ceramah sebelum ini amat meyakinkan. Walaupun sebagai Moderator bidan terjun, namun beliau masih mampu mengendalikan bicara ini dengan baik sebelum terjun dari pentas bila moderator sebenar tiba.

Amin Idris
Sebenarnya beliau juga layak dipanggil ustaz namun merendah diri apabila tidak gemar digelar demikian. Lulusan undang-undang dari UIA ini mempunyai kepetahan bercakap sejak dibangku sekolah lagi. Beliau mengendalikan BIcara Selebriti ke-6 ini dengan baik sekali.

Beberapa kali mengusik panelis Heliza yang cuba berbahasa Kelantan, namun akhirnya beliau dikenakan pula oleh Ustaz Azhar. Saya sebenarnya agak kagum dengan susuk tubuh kecil ini kerana cara beliau menggunakan Magnet Diri untuk menguasi hadirin. Beliau berjaya mengimbangi kehebatan para panelis untuk meletakkan diri beliau sebaris dengan mereka.

Secara keseluruhannya, bicara selebriti ini berlangsung baik walaupun diawalnya hujan dan diakhirnya pun hujan. Bahkan hujan yang lebat turut pada akhir bicara tidak menghalang hadirin dari terpaku di hadapan pentas sehingga panelis terpaksa dipayungi oleh urusetia.

Majlis ini agak ringkas kerana permulaan yang tergendala dan pengakhiran yang secara tiba-tiba. Puisi yang dibaca walaupun dalam suasana kehujanan dan agak tergesa-gesa, namun tetap kelihatan sempurna jika ditonton melalui tayangan. Padahal kamera para hadirin berada di hadapan juru kamera profesional.

Tiada sesi soal jawab dibuka kerana suasana seperti semalam tidak memungkinkan untuk dibuka persoalan kepada para hadirin. Bahkan kedudukan para hadirin terlalu hampir pada saya boleh diperbaiki jika petugas unit amal lebih bersedia untuk mengawal  hadirin.

Sesi penyampaian hadiah kepada panelis juga tidak dapat dijalankan kerana kehujanan. Moga bertemu lagi di Bicara Selebriti yang akan datang. Apa mungkin pelakon yang bakal diterbangkan dari INdonesia akan datang adalah Pak Furqan? Nanti-nantikanlah.

Sekian dulu untuk kali ini. :)

Nampaknya ni bukan coret-coret dah ni, di dah macam karangan SPM dah ni. Moga bermanfaat. Salah silap harap dimaafkan.

Video penuh boleh ditonton di sini.

1 ulasan:

...iSyA Purple* berkata...

sedihnye tak dapat pegi..rase cam nak nangis malam tu. tapi dah takde rezki nak wat camne.bersyukurla sape2 yg dpat pegi tu...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails