BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


25 Feb 2013

Hakikatnya bukan seperti yang digambarkan

Alhamdulillah, transkrip jawapan murid sudah selesai di semak. Analisis item dan bedah siasat terhadap kertas jawapan sudah selesai dilakukan. Bolehlah nak bincang soalan dan jawapan dengan murid esok. InshaAllah saya cuba kongsikan pada masa akan datang tentang kaedah yang saya buat sebelum saya berbincang dengan murid bagi mengenalpasti kelemahan mereka.. Bukan yang terbaik, mungkin juga kurang berkesan namun saya selesa menggunakannya.

Menjadi seorang cikgu di zaman ini sememangnya bukan tugas yang mudah. Banyak dugaan dan rintangan yang perlu kita tempuhi. Cabaran dari murid, ibu bapa, masyarakat mahupun KPM sendiri. Kadang-kadang ia boleh menjadi tekanan kepada kita jika kita silap menanganinya.

Dalam tulisan-tulisan sebelum ini, banyak cerita manis dan pengalaman menarik sepanjang saya menjadi cikgu. Saya seperti memberi gambaran yang sangat indah tentang tugas mendidik anak bangsa. Ya, sudah pasti ianya bagus untuk memberi galakan dan semangat kepada guru-guru muda yang lain ataupun kepada bakal-bakal cikgu yang berkunjung ke sini.
gambar hiasan

Ada sisi tidak baik juga sebenarnya jika keindahan saja yang digambarkan. Nanti kurang persediaan dari untuk mereka menempuhi 'alam persekolahan'. Sebenarnya cikgu, hakikat di sekolah bukanlah indah seperti yang digambarkan. Banyak juga pengalaman pahit yang perlu saya telan dalam usaha untuk memandaikan dan mendidik anak bangsa ini.

Pernah anak didik saya ditangkap kerana berkhalwat dalam semak di luar kawasan sekolah ketika para muslimin sedang bersiap-siap untuk mengerjakan solat jumaat (cuba teka  umur anak didik saya ini?). Ada juga murid yang ditahan kerana.... arghh, tidak sanggup lagi menulis keburukan anak sendiri. Kadang-kadang terfikir untuk melepas jawatan  disiplin ini supaya tidak lagi tahu tentang salah laku anak murid.

Lagian saya rasa diri saya tidak sesuai untuk jawatan ini. saya lebih suka menyelesaikan masalah murid dengan kaedah psikologi berbanding kaedah disiplin. Sebab itu kadang-kadang usai melaksanakan SOP untuk salah laku murid, saya berjumpa mereka secara personal untuk mencungkil masalah mereka.

Ya Allah, jadikan murid-muridku murid-murid yang bertaqwa.




5 Feb 2013

Rumah oh rumah


Entah mengapa, jarang dapat menulis di sini. Bukan sibuk sangat. Bukan tidak menulis. Menulis juga tapi tidak habis dan akhirnya terperuk di dalam draft.

Cuti hujung minggu lepas saya habiskan di Tanah besar untuk mencari rumah yang sesuai untuk dibeli. Rasanya lama lagi saya terpaksa mengajar di Penang sebelum dapat pulang ke negeri asal. Menyewa rumah di sini agak mahal dan lebih berbaloi untuk membeli rumah terus. Sekurang-kurang duit yang kita laburkan setiap bulan menjadi milik kita berbanding kita menyewa. Tidak cukup hari sabtu, hari ahad kami datang lagi dan hasilnya ada 4 buah rumah yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Untuk membeli rumah yang baru, harga agak mahal sehingga melebihi had pinjaman yang layak. Memang rumah di Penang ini agak tinggi nilainya di sebelah tanah besar. Di sebelah pulau tak payah cerita la. Rumah di atas tanah, kalau takde 550k takyah buka mulut la. Lagian saya tidak berapa suka di sini. Sekurang-kurangnya beli di seberang, lebih banyak orang kita dan harga lebih sesuai walaupun makin lama makin naik harganya.

Untuk melepaskan 'bebanan' di kepala ini, saya campakkan ke dalam tulisan ini. Moga ada manfaatnya.

Rumah 1
Rumah teres setingkat corner lot. Halaman rumahnya agak cantik dengan rerumput dan sesuai jika ingin  bercucuk tanam. Surau dekat dan masjid juga tidaklah jauh sangat. Jiran-jiran juga baik sementara kondisi rumah juga ok. Harga rumah lebih kurang 280k

Rumah 2
Harga lebih murah. Kurang dari 180k tetapi ianya rumah teres setingkat ditengah. Diubah suai sehingga menjadi 4 bilik dan 3 bilik air. Rumah agak lama iaitu hampir 10 tahun tetapi kondisi masih lagi baik. Ada 3 surau berdekatan dan masjid juga tidaklah jauh sangat.

Rumah 3
Rumah tengah tetapi ianya teres 2 tingkat. Rumah ini harganya lebih kurang rumah 1, cuma ia sudah berusia belasan tahun tetapi ianya masih baik. Paling menarik kedudukannya dekat dengan masjid dan hanya boleh berjalan kaki jika ingin di sana. Lebih menarik lagi masjid tersebut sangat aktif dengan ceramah ustaz-ustaz yang osem.

Rumah 4
Harga lebih kurang rumah 1 cuma ianya teres setingkat end lot. Tiada halaman di tepi tetapi dalaman lebih cantik dan moden dari rumah 1 sesuai dengan usianya baru 3 tahun. Keadaan dalam rumah tersebut sangat menarik dengan hiasan dalaman yang unik. Tuan rumah sangat teliti dalam mengubahsuai rumah sehingga menggunakan khidmat pakar. Kali pertama masuk, pasti tertarik. Surau yang aktif amat dekat dan masjid juga tidak jauh. Dapur rumah memang terbaik.

Bila fikir-fikir pasal rumah ni, jadi 'ttekey' plak. Aduiii.. Rumah cantik dan menarik. Balik dari tengok rumah, terus saya hubungi bonda bertanya pendapat. Belum sempat saya bercakap tentang rumah, bonda terlebih dahulu memulakan bicara beliau.

"Tadi bonda jumpa kawan baik yang lama tak jumpa", ujar bonda. Saya mendiamkan diri, memberi peluang bonda bercakap. Kata bonda, kawan beliau ingin menjual tanah dusun. Harganya bawah 50k. Sebenarnya sebelum ini saya pernah meminta bonda mencarikan tanah yang sesuai untuk dibeli. Kebetulan kali ini ada yang bertanya kepada bonda terus. Bonda menjelaskan kepada kawan tersebut tentang saya dan kawannya mencadangkan saya melihatnya sendiri ketika balik cuti raya cina nanti.

Kemudian saya bercerita satu persatu tentang rumah kepada bonda. Bonda tidaklah menghalang jika ingin membeli rumah kerana menurut bonda, rumah tidak susut nilai. Cuma bonda menimbulkan isu 'orang rumah'. Kata bonda kalau kita dh tahu orang rumah kita tu kerja kat mana, senang sikit buat keputusan. Hurm...





19 Jan 2013

Fenomena Listen! Listen!

Tak perlu dijelaskan lagi tentang isu ini. Namun saya tidak menyangka ianya menjadi satu fenomena di mana semua orang memperkatakannya. Pergi ke mana-mana saja, pasti terdengar orang menyebut "Listen! listen! listen! atau pun memperkatakan tentang haiwan ada masalah, kucing ada masalah, ikan jaws ada masalah. Hurm.
gambar dari internet
Semuanya melakonkan secara sinikal. Apabila saya melihat mereka, mereka pasti tersenyum dan mengulang-ulang lagi. Bahkan saya sendiri kadang-kadang terbawa-bawa semasa di dalam kelas. Bukan kelas bising sangat pun, tapi tersebut juga. Murid dah diam pun, masih duk ulang-ulang lagi sampai depa gelak-gelak. Ntah depa paham ke tidak. Memang fenomena lah.

Bukan orang-orang biasa, bahkan turut mendapat respon dari ahli akademik dan ahli politik. Yang paling menarik adalah respon dari Timbalan Menteri KPT. Memang Dato adalah seseorang yang saya kagum. Beliau seorang yang berprinsip walaupun kadang kala terpaksa melawan arus. Banyak juga isu-isu orang muda lebih-lebih mahasiswa yang dijuarai oleh beliau.

Apabila melihat kepada isu ini, sebenarnya agak sedih saya melihat segelintir mahasiswa. Tidak adil untuk menghukum semua, namun agak ramai yang bersifat begitu. Mengangguk dan terus mengangguk tanpa berfikir. Ingatlah rakan-rakan mahasiswa, grade yang baik bukan penentu kejayaaan anda. Penting tetapi ia bukan segalanya. Jadilah mahasiswa, bukan PELAJAR di universiti.

Jika anda melihat orang-orang hebat sekarang, anda selidiklah kehidupan mereka di kampus. Apakah mereka kaki studi? Saya bukanlah orang yang hebat mana, namun pengalaman di kampus amat manis untuk dikenang.


18 Jan 2013

Lain kali jangan cakap beso

Hari ini kecoh isu Ustaz Fathul Bari kahwin di Thailand. Ini perkahwinan kedua beliau, Tidak pasti bila isu ini tercetus namun saya baru je tahu. Bukan niat untuk mencampuri urusan beliau, namun ada sedikit pesanan dan pengajaran yang boleh diambil dari isu ini.
gambar dari sini
Soal beliau nak kahwin 2 atau 3 atau 4 sekalipun, saya tidak bermasalah dengannya. Ikutlah kemampuan anda. Menurut beliau, ada orang menyebarkan memfitnah beliau tentang isu ini. Bukanlah saya nak menyokong orang yang dikatakan memfitnah itu. Pada saya, tidak perlu lah kita mencampuri urusan rumah tangga beliau apalagi isteri pertama beliau pun bersetuju. Kenapa kita yang bukan isteri dia nak sibuk-sibuk.

Namun, saya tertarik dengan doa keburukan ke atas orang Islam yang didoakan oleh beliau. Beliau mendoakan keburukan ke atas umat Islam kerana merasakan diri beliau teraniaya dalam isu ini. Lalu dibawakan kisah sahabat Saad bin Abi Waqas. Saya tidak mampu mampu berkata-kata.

Cuma saya teringat tentang kata-kata beliau ketika isu doa di stadium tahun lepas. Beliau dengan lantang tidak bersetuju dengan doa keburukan ke atas Muslim lalu mencadangkan doa kebaikan supaya orang itu berubah ke arah lebih baik. Itu lebih hampir kepada sunnah. Doa di stadium dulu sebenarnya bukanlah doa ke atas individu, tapi doa kepada organisasi, namun kini beliau sendiri mendoakan keburukan dan doa yang lebih teruk ke atas individu. Apa sudah jadi ustaz?

Sebab itu lah, bila kita tidak berada di tempatnya, kita sedaplah bercakap. Kita tak kena zalim sedapla kata  "tak boleh doa keburukan", "kena doa baik-baik saja". Nah, sekarang apa sudah jadi? Bila kena atas dahi kita, bila kita terasa dizalimi baru kita gelabah cari hadith untuk justifikasikan tindakan kita. Lain kali jangan cakap beso. Pesanan ini untuk diri saya sendiri juga.

16 Jan 2013

Hadiah buat murid ponteng

Alhamdulillah, berkesempatan menulis setelah agak lama tidak muncul di sini. Banyak sekali perkongsian yang ingin dikongsi dengan semua. Saya bukanlah guru yang terbaik, bukan juga guru yang sempurna, namun sedaya upaya berusaha untuk menjadi terbaik.
gambar ihsan google
Pelbagai teori yang dipelajari oleh bakal guru sebelum dicampak ke sekolah. Ada yang boleh pakai, ada juga yang tidak sesuai. Masakan tidak, teori itu bukanlah sesuatu yang muktamad untuk kita terima tanpa bantahan. Hanyasanya Alquran dan Hadith yang bersifat qat'ie dan tiada keraguan dan bantahan pada keduanya.

Saya suka mencuba sesuatu yang lain dari yang pernah saya cuba. Ianya untuk melihat sesuatu itu dari perspektif yang berbeza. Kadang-kadang apa yang saya cuba buat adalah berlawanan dari apa yang kebiasaannya dibuat oleh orang lain, namun saya cuba juga untuk melihat keberkesanannya. Sebenarnya sudah banyak kali saya juga dan kali ini saya ingin berkongsi salah satu darinya.

Seorang murid telah saya kesan tiada di dalam kelas saya sejak minggu lalu. Tidak hadir ke sekolah. Lalu saya bertanya kepada murid-murid lain.

"Mana Daniel? Lama dah tak datang ke sekolah ni. Sejak minggu lepas lagi." tanya saya.

"Dia ponteng, cikgu. Saya nampak dia selalu naik basikal petang-petang p ronda." jawab Siti.

"Betul cikgu. Dia malas mai sekolah." sampuk murid lain pula.

"Pesan kat dia, cikgu suruh mai sekolah. Nanti kita bagi hadiah kat dia", pesan saya kepada mereka.

Hari ini, usai saya mengajar dan memberikan latihan, saya terlihat seorang murid yang sudah lama saya tidak lihat. Dari tempat duduk guru, saya bertanya kepadanya.

"Kamu Daniel ke?" saya bertanya. Teragak-agak dia menganggukkan kepala.

"Kenapa lama tak datang sekolah?", tanya saya.

"S...saya... demam, cikgu", jawabnya perlahan.

"Dia bohong, cikgu. Saya duk nampak dia asyik duk main basikal petang-petang", potong Siti. Dia memandang kepada Siti sebelum menundukkan kepala. Perlahan-lahan saya menuju kepadanya.

"Cikgu ada janji nak bagi hadiah kat dia kan?", saya bertanya kepada kelas.

"Ha... betul cikgu. cepat cikgu, bagi dia hadiah," Intan pula menjawab.

Saya kembali ke meja guru. Di atas meja ada pembaris panjang warna kuning. Semua mata tertumpu kepada saya sementara Daniel masih menundukkan kepala. Ketakutan mungkin.

Saya mencapai beg galas, kemudian mengeluarkan sebatang pensil dari kotak.

"Ini hadiah cikgu buat Daniel", saya memberikan pensil kepada Daniel. Kelihatan dia terkejut dan teragak-agak menerimanya.

"Aaaaaaa.....", kelas menjadi riuh.

"Mana adil cikgu. Cikgu kata nak bagi 'hadiah' kat dia,"Asyraf mula bersuara.

"Betullah, kan cikgu dah bagi hadiah tu. Pensil tu la hadiah," balas saya.

"Mana boleh macam ni. Kami ingat cikgu nak rotan. Kami pun nak pensil juga", Siti tidak berpuas hati.

"Kalau dapat A matematik, cikgu bagi pensil", saya tersenyum padanya.

"Saya pun tak nak datang sekolah lah. Nanti cikgu bagi pensil kat saya", kata Farah.

"Ha? Farah nak ponteng ke?" tanya saya.

"Tak la cikgu. Gurau je. Kalau tak mai sekolah nanti mak ayah saya marah", jawab Farah.

Saya melihat Daniel begitu bersemangat menyiapkan kerja kelas yang saya berikan dengan pensil tersebut.

"Kelas, esok ada masa cikgu tak?", tanya saya.

"Ada cikgu, masa lepas rehat macam hari ini juga", Daniel menjawab degan pantas ketika rakan-rakan yang lain sibuk mencari jadual. Saya tersenyum kepadanya.

"Nanti datang ye Daniel", kata saya kepadanya.

Tiba-tiba saya teringat kepada Mohd Danish. Apa khabar kamu.


9 Jan 2013

Bicara Selebriti kembali lagi

Bicara Selebriti siri ke 7 kembali lagi ke Kelantan. Berikut adalah maklumat tentang panelis yang saya dapati dari facebook. Moga bermanfaat.


Dari kanan,
Moderator tetap, Abang Amin Idris.

Panelis
1. Azizul Hasni Awang, pelumba basikal trek negara
2. Pierre Andre, Pelakon dan Pengarah Filem
3. Oki Setiana Dewi, Heroin KCB
4. Ustaz Zamri 'Mantop'

INshaAllah, bicara ini bakal diadakan pada 20 Januari 2013 jam 9malam bertempat di Balai Islam, Lundang. Moga bermanfaat.

Wallahu a'lam.

# Banyak benda nak tulis dan nak respon, tapi kekangan masa menghalang. Moga ALlah kasih kita semua,


4 Jan 2013

Tuisyen dan Mek Tam


Alhamdulillah, minggu pertama persekolahan sudah sampai ke penghujung. Boleh la merehatkan otak sebentar walaupun ditemani oleh buku-buku latihan murid untuk disemak. Tidak mahu lagi bertangguh seperti tahun lepas supaya kesibukan di sekolah tidak berganda.

Tak lama lagi, bermula lah kelas tambahan. Ini satu lagi 'bonus' untuk cikgu yang mengajar kelas peperiksaan. Moga murid-murid dapat hadir seperti mana mereka hadir ke sekolah. barulah semangat nak mengajar. Ni kalau separuh je hadir, nak mengajar pun rasa tak semangat.

Ada juga tawaran mengajar tuisyen di luar. Aduhai, saya sangat tidak berminat untuk mengajar tuisyen. Terasa bagai menggangu kosentrasi saya untuk dan mengganggu masa saya. Banyak perkara lagi boleh dibuat pada waktu itu. Hurm, namun ada juga yang tidak dapat dielak.
Tak dapat elak tu apabila rakan-rakan guru sekolah kita yang meminta kita mengajar anak mereka. Sangat sukar menolak kerana setiap hari kita akan bertemu mereka di sekolah. Rasa malu mata pula kalau mereka bersungguh-sungguh meminta dan kita bersungguh-sungguh menolak.

Tahun lepas seorang guru yang minta, tahun ni beliau ingin menyambung lagi. Katanya keputusan matematik anaknya ada peningkatan. Erm, budak tu yang cerdik sebenarnya. Kita 'jong' push je.

Tahun ni ada seorang cikgu yang lain pula minta ajar anaknya Mek Tam. Ingat kan anaknya nama Mek Tam, rupanya ajar Add math. Tak tahu pula orang panggil Mek Tam kat subjek yang saya duk sebut 'ek mek' sejak dari zaman sekolah dulu lagi. Aduhai, bila tolak. Beliau meminta lagi. katanya beliau tak meletakkan harapan tinggi pun pada subjek tu sebab beliau tahu anak beliau macam mana. Memang la tapi kita yang mengajar ni mestila kita nak yang terbaik kan. So, setakat ini terpaksa la bersetuju dulu. Moga akan timbulnya keikhlasan bila waktu nak mula mengajar nanti.

Percayalah ibu-ibu dan bapa-bapa. Sebenarnya tuisyen ni tak perlu pun. Cukup dengan apa yang cikgu ajar kat sekolah dan kelas tambahan yang cikgu buat.

29 Dis 2012

Cikgu janganlah berkira sangat

Saya rasa hampir semua rakan-rakan guru sudah selesai bermesyuarat bagi persediaan untuk sesi persekolahan 2013. Kalau pun belum, mungkin hanya guru-guru di Malaysia Timur kerana kebiasaan mereka bermeyuarat agak lewat. Di semenanjung, ada yang bermula 24, ada yang bermula 26 dan ada juga bermula 27. Ianya dikira hari bekerja dan sebarang ketidakhadiran perlu disertakan sijil sakit (MC) atau gunakan peruntukan Cuti Rehat Khas (CRK) yang masih ada. Oleh sebab itulah, biasanya tarikh selepas krismas, cikgu-cikgu tidak lagi dibenarkan ke luar negara atas urusan lawatan sosial dan sebagainya.

Usai mesyuarat guru, pasti ianya disusuli pula dengan mesyuarat j/kuasa induk Kurikulum, j/k induk Hem, j/k koko dan sesetengahnya terus menyambung dengan mesyuarat panitia, mahupun mengadakan LDP dan juga hari orientasi pelajar-pelajar baru. Alhamdulillah, saya sudah selesai semuanya. Pada mulanya rasa nak kembali ke kampung, rasa nak mmukat dan makan ikan darat, namun setelah menimbang banyak perkara, ku pendamkan rasa hati ini.
SmartStudy
gambar dari sini
Sudah pasti apabila usai semuanya, cikgu-cikgu sudah mengetahui tugasan-tugasan untuk tahun hadapan. Agak mustahil untuk semua cikgu mendapat tugasan yang sama rata dengan rakan-rakan guru yang lain. Pasti ada cikgu yang dapat kerja lebih atau yang dapat bebanan kerja yang kurang. Nasihat saya, usahlah berkira sangat, cikgu.

Kadang-kadang kita kurang beban tugas tahun ini, tapi tahun hadapan kita akan lebih pula atau kita lebih tahun ini, tahun lepas kita dah kurang dah. Hidup ini berputar-putar dan tidak statik. Saya teringat kisah di sekolah lama, seorang cikgu kecoh kerana mendapat jawatan lebih satu dari cikgu lain. Padahal ada lagi cikgu yang jawatannya lebih banyak dari beliau, namun kecoh satu sekolah kerana beliau tidak berpuas hati. Saya amat tidak senang dengan situasi ini, sepatutnya beliau bersyukur kerana jawatan yang diberikan bukan berat mana pun. Padahal sebelum ni, beliau lah yang paling sedikit beban tugas kerana baik dengan pentadbir.

Hurm, sesi 2013 sebenarnya tugasan saya lebih banyak dari tahun 2012. Ada jawatan yang ditarik balik, namun diganti dengan jawatan lain dan ada juga beberapa pertambahan jawatan baru. INshaAllah cikgu, cuba ikhlaskan diri untuk menerima jawatan tersebut dan cuba yang terbaik. Jika kita asyik merungut, dibimbangi hasil kerja ntah ke mana dan apa pun tak dapat melainkan keletihan.

Mungkin ada juga yang cakap 'cikgu 'baru' semangat dia lebih', sebab tu nak merungut.(cikgu lama adalah cikgu yang sudah berkhidmat belasan tahun). Sebenarnya tak juga.  Bila kita berkerja dengan rakan guru yang berkerjasama inshaAllah tidak akan timbul masalah bebanan kerja dan sifat berkira atau dengki sesama rakan guru.
"...janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman..." (AlHasyr ; 10)
Moga keikhlasan kita mengajar akan melahirkan murid yang bukan saja bijak dalam pelajaran tetapi juga mempunyai sahsiah dan akhlak yang baik. Ameen.

##Nasihat buat diri dan rakan-rakan guru dan bakal-bakal guru


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails