BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


13 Jun 2011

Tempat-tempat menarik di Kelantan

Sungguh! Jika ada sahabat-sahabat luar Kelantan yang datang ke melawat Kelantan dan meminta saya membawa mereka ke tempat menarik, saya tidak tahu ke mana hendak bawa mereka. Sama juga jika mereka bertanya tempat makan yang sedap, saya pasti termangu-mangu untuk memberi jawapan. Hanya satu tempat saja yang saya tahu iaitu Kedai Nasi Ulam Cikgu berdekatan masjid Muhammadi. Bukan kerana tiada tempat makan menarik, tetapi kerana saya amat jarang makan di luar bila berada di kampung. Pada saya tiada yang lebih istimewa melainkan masakan bonda, jadi mengapa saya harus makan di luar.

Tetamu istimewa

Cuti sekolah yang lalu saya menerima kunjungan tetamu istimewa yang datang melawat Kelantan. Beliau adalah sahabat saya sewaktu di kampus dahulu yang datang bersama isteri, anak, ibu dan bapa serta 2 orang adik perempuan beliau. Kebetulan saya amat mengenali keluarga beliau kerana pernah tinggal bersama sewaktu saya mula-mula menjejakkan kaki ke Pulau Pinang ini. Saya menawarkan rumah saya sebagai tempat penginapan mereka. Alhamdulillah, walaupun rumah saya tidaklah besar namun bolehlah dijadikan tempat istirehat buat mereka selama 3 hari 2 malam.

Sahabat ini amat rapat dengan saya sewaktu di kampus sehinggakan jodoh beliau diaturkan oleh Allah melalui perantaraan saya. Mereka tidak pernah mengenali namun beliau meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mencari pasangan hidup walaupun usia beliau beberapa tahun lebih tua dari saya.

Paling menjadi masalah adalah saya diminta menjadi pemandu pelancong untuk membawa mereka berjalan-jalan dan membeli belah serta menunjukkan tempat makan yang menarik. Saya tidak tahu manakah tempat yang orang luar ingin tuju jika datang ke Kelantan kerana pada saya semua tempat biasa saja kerana saya sudah biasa dengan tempat-tempat tersebut. Oleh kerana mereka tidak mencadangkan sebarang tempat dan menyerahkan semuanya kepada saya, terpaksalah saya membuat keputusan sendiri.

Pada hari pertama, kedatangan mereka di rumah saya disambut dengan hidangan makanan tengahari walaupun agak lewat dari kebiasaan. Ini kerana mereka sampai agak lewat dan belum makan tengahari. Usai solat asar, saya mencadangkan mereka agar berehat saja kerana sudah menempuh perjalanan yang jauh.

Pantai Cahaya Bulan (PCB)

Pada malam itu, ayah beliau mengidam untuk makan makanan laut dan meminta saya membawa mereka ke sana. Saya berbelah bagi samada ingin membawa mereka ke pantai Seri Tujoh mahupun Pantai Cahaya Bulan (PCB) atau dahulu dikenali dengan nama pantai Cinta Berahi (PCB) sebelum nama ditukar oleh Tuan Guru MB. Akhirnya kami memilih ke PCB. Hajat untuk terus menghala ke membeli belah pada malam itu tertangguh kerana cuaca tidak mengizinkan.

Pasar Siti Khadijah

Keesokannya harinya, usai sarapan di rumah, saya membawa mereka ke Pasar Siti Khadijah. Selain membawa mereka melawat pasar yang terkenal di Kelantan, saya juga membantu mereka mendapatkan barangan dengan harga yang murah. Alhamdulillah, harga menjadi lebih rendah dengan bantuan dialek kelantan semasa tawar menawar. Saya bercadang untuk membawa mereka shopping di Bazar Buluh Kubu, bazar MPKB dan Bazar Tengku Anis namun berada di satu-satu tempat sangat mengambil masa yang lama menyebabkan kami tidak dapat kesemua tempat. Perempuan memang sukakan aktiviti ini.

Nasi Ulam Cikgu


Makan tengah kami adalah di kedai nasi ulam. Tempat makan ini sangat sedap, murah dan terkenal di Kelantan. Kami makan secara hidangan dan mereka amat terkejut dengan harga yang amat murah walaupun banyak lauk yang diambil. Adik perempuan beliau yang saya kenali tidak suka makan juga begitu berselera dan meminta ibu beliau memasak makan seperti itu apabila pulang ke rumah nanti.

Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor

Saya berhajat untuk membawa mereka ke KBC Rantau Panjang kerana lebih luas dan banyak pilihan, namun oleh kerana masa amat suntuk kerana waktu banyak dihabiskan membeli belah di Kota Bharu, saya tiada pilihan selain membawa mereka ke Pengkalan Kubor. Ini kerana lebih dekat untuk kami ke destinasi seterusnya. Kami berada di sana sehingga kedai-kedai ditutup. Kami bernasib baik kerana pemeriksaan kastam tidak mengenakan sebarang caj tambahan kepada kami.


Tempat membuat Keropok

Dari KBC Pengkalan Kubur, saya terus menghalakan perjalanan ke tempat pemprosesan keropok lekor di Tumpat. Kami agak bernasib baik kerana masih ada kilang yang buka dan ada keropok untuk dibeli. Ini kerana kilang yang paling awal kami temui sudah tutup dan terdapat notis keropok sudah habis. Usai ke tempat itu, kami menuju ke tempat pemprosesan keropok keping. Saya tidak pasti berapa ratus mereka berhabis di sana.

Usai aktiviti ini, hari menjelang malam, saya membawa mereka yang kepenatan pulang ke rumah kerana bonda sudah menyiapkan makan malam untuk mereka. Saya memahami kepenatan mereka selepas seharian berjalan-jalan kerana saya sendiri kepenatan membawa mereka.


Pasar Malam Wakaf Che Yeh

Usai makan malam saya mengajak sahabat saya untuk ke Pasar Malam wakaf Che Yeh yang biasanya menjadi tumpuan orang luar yang datang ke Kelantan. Saya tidak bercadang membawa ayah dan bonda kerana beranggapan mereka masih penat namun semua tidak mahu melepas peluang untuk turut serta.

Pulang ke rumah, waktu sudah menginjak tengah malam, jadi aktivti seterusnya adalah rehat secukupnya kerana keesokan harinya mereka bercadang untuk bertolak pulang awal pagi.

Usai bersarapan nasi dagang keesokan harinya, bonda beliau mahu membeli toto Narita yang dikirimkan oleh saudara mereka. Sewaktu ke KBC Pengkalan Kubor semalam, tidak sempat untuk membelinya dan beliau bercadang untuk ke sana sekali lagi.


Selatan Thailand

Saya mencadangkan kepada beliau untuk terus ke selatan Thailand dengan menaiki bot enjin sangkut di sebuah pengkalan kecil. Kebetulan hari itu adalah Hari Nat tetapi agak lewat mereka mulakan kerana waktu di sana sejam lebih lewat dari kita. Jam 8.00pagi di tempat kita adalah jam 7.00 pagi di tempat mereka. Namun itu tidak jadi persoalan oleh mereka dan mereka meminda jadual pulang untuk ke sana.

Sesampai di sana, sekali lagi aktiviti jual beli dan tawar menawar berlaku dengan hebat. Sedikit sebanyak saya membantu mendapatkan harga yang murah menggunakan dialek Kelantan. Hasilnya, bukan hanya toto Narita, bahkan tudung, selipar, beg, pakaian dan makanan turut dibeli. Sebenarnya pergerakan saya semasa menemani mereka agak terbatas kerana anak beliau sentiasa didukungan saya. Kecomelan anak itu di samping tidak mahu mengganggu aktiviti mereka menyebabkan saya menawar diri untuk mendukung budak itu. 3 hari mereka datang, si kecil itu sering bersama saya, akibatnya, anak itu terbiasa bersama saya dan kadang kala tidak mahu kepada umi mahupun ayahnya kecuali ketika lapar dan mengantuk. Seronoknya mempunyai anak.

Usai membeli belah menjelang tengahari dan mereka bertolak pulang dengan muatan kenderaan yang sarat dengan barang-barang yang dibeli. Moga mereka berpuas hati dengan apa yang kami sekeluarga sediakan. Indahnya ukhuwwah.

27 Mei 2011

Allah merinduiku

Alhamdulillah. Masih diberi kesempatan untuk terus hidup dalam lindungan rahmat dan redha-Nya. Sungguh, manusia itu sering lalai dari mengingai Allah sehinggalah mereka ditimpa ujian dan dugaan yang megembalikan mereka kepada mengingati Allah.

Sejak saya berpindah ke Pulau dari tanah besar hampir 2 bulan lalu, saya dapat rasakan ada perubahan yang kurang baik berlaku pada diri saya. Di sebalik kelas-kelas agama yang saya sertai di Masjid Negeri seperti Kuliyah tafaqquh, kuliah aqidah atau kursus haji, amal-amal lain tidak serancak dulu samada ketika di kampung halaman mahupun di tanah besar bersama keluarga angkat.

Solat jemaah makin kurang lantaran tiadanya surau di penempatan saya. Saya terpaksa bergerak ke penempatan sebelah untuk bersolat jemaah dan makin jarang saya lakukan kerana alasan 'jauh'. Solat malam juga begitu. Jika dulu sewaktu di tanah besar, saya bangun awal kerana perlu mengharungi perjalanan jauh dan sempat mencuri waktu namun sekarang amat jarang sekali. Bangun pun usai waktu subuh kerana merasakan jarak sekolah sudah dekat dan tidak perlu lagi bangun awal.

Sungguh, saya merindui keadaan diri saya dulu namun saya sering kalah dengan godaan iblis. Barangkali Allah merindui saya lalu diberikan cubaan dan dugaan untuk saya kembali hampir kepada-Nya. Saya sedar akan kelalaian dan cuba untuk lebih kuat dan tidak menyalahkan syaitan dan iblis semata-mata.
Redha Takdirmu
Di sebalik ujian ini, timbul juga rasa syukur kerana Allah masih menyayangi saya dan saya cuba melihat rahmat di sebalik cubaan dan dugaan ini. Moga masalah yang saya hadapi ini akan berakhir dengan cara yang baik dan hubungan dengan Allah juga akan bertambah baik. InshaAllah.

Manusia ini sering lalai dan memerlukan cubaan dan dugaan untuk mereka kembali kepada Allah. Alangkah bahagianya jika kita dapat melihat rahmat dan kasih sayang Allah di balik musibah yang menimpa kita. Mudah-mudahan kita redha akan ketentuannya. Ameen.

17 Mei 2011

Hadiah paling berharga buat cikgu

Posting kali ini adalah tentang hadiah hari guru dari murid, bukan dari pengumuman TPM yang saya lihat hanya bermanfaat kepada golongan pentadbiran atasan. Sedikit pun saya tidak teruja dengan apa yang diumumkan tetapi biarlah. Malas ingin mengambil tahu lebih, bahkan apabila dikatakan ada berita baik untuk cikgu, saya tidak berharap lebih.

Seperti biasa, apabila hari guru, murid-murid akan memberi hadiah kepada cikgu. Itu normal sejak zaman saya menjadi murid sekolah lagi. Namun menjadi cikgu di sekolah yang majoriti murid adalah Cina dan India amat berbeza sedikit apalagi seminggu sebelum sambutan ini cikgu2 senior di sini berkata "hang jangan mimpi la nk raikan hari guru dengan meriah kt skolah ni. Murid-murid pun tak banyak yang bagi hadiah".

Sebagai guru baru di sekolah itu, saya hanya menelan kata-kata cikgu senior tersebut. Saya tidak kisah sangat tentang hadiah tersebut, tetapi lebih kepada berharap kepada sambutan yang lebih meriah. Saya mula terimbau sambutan hari guru sewaktu saya menjadi murid dulu.

Jumaat lepas, sebelum pulang ke rumah, saya sudah mendapat kad ucapan pelajar kelas saya. waktu itu bahang hari guru di sekolah belum terasa. Bahkan belum ada mana-mana murid memberi hadiah kepada cikgu. Barangkali kad ini dari ibunya kerana saya menyelesaikan masalah pelajar tersebut di dalam kelas. Dan 16 Mei yang lalu, walaupun sekolah belum menyambut perayaan ini, saya disambut oleh beberapa pelajar di pintu masuk pejabat sekolah dengan ucapan hari guru dan hadiah serta kad ucapan. Wah, tak sempat-sempat mereka ini dan seperti siilih berganti ada saya yang datang sehingga saya ke bilik guru.Tika ini, guru-guru lain turut menerima hadiah dari murid.

Kebetulan, waktu pertama pada hari itu adalah kelas saya sendiri. Sebelum usai kelas, saya mengucapkan terima kasih kepada yang memberi hadiah dan menjelaskan bahawa saya tidak mengharapkan hadiah ini dari mereka, cuma kata saya kepada mereka.

HADIAH PALING BERHARGA

16 Mei 2011

Selamat Hari Guru

Bismillah.

Selamat hari guru diucapkan kepada semua guru-guru di dunia ini terutama buat cikgu-cikgu yang telah mengajar saya bermula dari ibu bapa yang merupakan cikgu dari kecil, cikgu al-quran, cikgu sekolah rendah, cikgu sekolah menengah, cikgu matrikulasi, cikgu di Uni Malaya, cikgu di IPG, dan cikgu-cikgu aliran tidak formal.

Moga cikgu-cikgu sentiasa dalam lindungan dan redha Ilahi. Jasa dan ilmu yang cikgu curahkan pasti akan terus mengalir hingga ke akhirat. Sempena hari cikgu ini, saya dedikasikan lagu ini buat semua cikgu.

Lagu ini diajar kepada saya sejak bangku sekolah rendah dan kini saya perturunkan kepada murid-murid saya yang kebanyakan mereka adalah berbangsa cina dan india. Ternyata mereka sangat menyukai lagu ini dan sedikit sebak bila mereka menyanyi lagu ini semasa di dalam kelas tadi. =) Untuk menangis, jauh sekali kerana mana mungkin saya menangis di hadapan murid. =D

22 Apr 2011

Soalan Kuiz : Homework buat cikgu!

Saya kini cuba mencari masa untuk sentiasa menuntut ilmu seperti saranan seorang Ustaz kepada saya. Banyakkan masa menuntut ilmu supaya kita dijemput Allah nanti dalam keadaan kita sedang menuntut Ilmu. Alhamdulillah, saya berkesempatan mengikuti kuliah aqidah anjuran Masjid Negeri Pulau Pinang yang diadakan setiap hari khamis bermula jam 6.00ptg hingga 10.30mlm di Dewan Syarahan MNPP selama 8 minggu.

Kitab yang digunakan adalah faridatul faraid dan matan sanusiah yang disampaikan oleh Ustaz Rosli dan Ust Fuad. Malam tadi mula menadah kitab Matan Sanusiah selepas 2 minggu menelaah kita Faraidul Faraid. Kelas bermula jam 6 dan berakhir ketika azan maghrib berkumandang. Usai solat maghrib, bacaan yaasin di dewan tersebut diikuti makan malam dan kelas kembali bermula usai solat Isya. Sangat selesa dengan pendekataan yang dibawa. Sepatutnya malam tadi masih menggunakan kitab Faridatul faraid namun kerana Ust Rosli tidak dapat hadir, diawalkan kitab Matan sanusiah.

Ikutkan hati, malam tadi saya ingin bersolat maghrib di Dewan al-Qayyim berimamkan Asyeikh Abd rahman Sudais namun terpaksa memilih antara dua. Moga Allah memberi kesempatan untuk saya bersua muka dengan Imam Besar Masjidil Haram itu suatu ketika nanti. Ameen.

Sebelum berakhir kelas, ustaz Rosli sempat menitipkan homework kepada kami. Mungkin senang bagi sahabat-sahabat namun sungguh saya tidak pernah terfikir tentang soalan ini.

1. Kita tahu syurga memang sudah tersedia ada sekarang. (Dalil : Adam AS diturunkan kebumi dari syurga). Apabila ditiupkan sangkakala, semua makhluk akan binasa dan mati. apakah syurga neraka turut hancur? atau apakah ada beberapa makhluk yang tidak dimusnahkan dengan tiupan sangkakala ini?

2. Salah satu sifat 20 adalah Baqa' iaitu kekal. Allah bersikap baqa' iaitu tiada kesudahan. itu adalah sifat Allah yang wajib kita tahu dan imani. Usai dihisab di akhirat nanti, tempat kita adalah syurga atau neraka dan akan hidup selamanya di sana. Apakah kita juga baqa'? Begitu juga syurga yang tidak akan musnah, apakah syurga juga baqa'?

Jika ada sahabat-sahabat yang tahu dan sudi berkongsi ilmu, bolehlah menulis di ruangan komen. Alhamdulillah, gambaran jawapan untuk kedua soalan ini sudah saya perolehi.

17 Apr 2011

Seronoknya jadi cikgu

Sebelum ini saya asyik bercerita tentang kisah tidak enak seorang yang berlaku pada guru, sudah pasti ada juga yang menarik dan seronoknya menjadi cikgu berbanding kisah-kisah tersebut. Namun ianya lebih bergantung kepada sekolah mana yang kita mengajar dan jenis bagaimana ibu bapa seorang pelajar itu. Walaupun mengajar sekolah pelajar yang nakal namun jika ibu bapa mereka seorang yang 'open-minded', tidak akan timbul masalah kepada cikgu. INshaALlah, pada artikel akan datang saya akan berkongsi tentang ini.

Kali ini saya ingin seronoknya menjadi cikgu. Yela, 22hb ni kan akan keluar nama calon yang layak menduduki ujian MedSi untuk DPLI ambilan Jun 2011 ini. Jadi bagi meraikan mereka, saya berceritalah serba sedikit kesernokan menjadi cikgu.

Usai solat Zohor di Masjid pada hari sabtu yang lalu, saya ditegur oleh seorang wanita,


"assalamualaikum, cikgu", sapa beliau.


"err,waalaikumussalam", bagaimana dia tahu aku cikgu, getus hati saya.

"ni anak saya, dia cakap cikgu ni ajar dia di sekolah", katanya sambil menunjukkan ke arah anaknya. Mungkin menyedari kepelikan saya tadi.

ya, di mana-mana kita akan dikenali sebagai cikgu. Walaupun saya sendiri tidak mengenali anak beliau bahkan tidak perasaan pun walaupun diberitahu kelas anaknya itu, namun murid-murid tetap mengenali cikgu. Apabila ke sekolah, ada saja murid-murid yang berjumpa saya dan memberitahu ternampak saya pada hujung minggu atau selepas waktu sekolah.

"cikgu, sabtu lepas saya nampak cikgu kat tesco. Masa tu saya pergi cari barang dengan ayah saya", kata seorang pelajar sejurus saya sampai ke sekolah.

"la yeke. kenapa tak tegur?"tanya saya.

"saya malu",jawabnya ringkas.

Sewaktu sedang menanda buku di bilik guru pada hari yang lain, seorang lagi pelajar datang, "cikgu, semalam saya nampak cikgu, cikgu pakai... bla bla bla...". em, macam2 la budak ni.

Pulang dari sekolah, saya singgah di sebuah kedai makan, sambil menunggu 'waiter', saya melayan SMS, tiba-tiba...

"cikgu nak minum apa?", sapa 'waiter' itu.

eh, macamana 'waiter' ni tau aku cikgu, nametag dah buang dah rasanya. Bila berpaling, rupanya anak murid sedang menunggu untuk ambik pesanan.Ruapanya dia menolong ibunya selepas waktu sekolah.

"bagi cikgu ABC", pesan saya.

"nanti saya uat yang istimewa", katanya. Tu dia, bila di bawa, sangat tinggi ABC itu sehingga sukar untuk dinikmati. huhu. macam2 la budak ni.

Walaupun sesetengahnya sering diketuk kepala, namun bila di luar kelas, agak peramah juga di luar. Bahkan nampak baik je, kalaulah di kelas pun sebaik ini, alangkah amannya dunia ini. getus hati saya.

12 Apr 2011

Cikgu ambil nyawa murid. Apa cerita sebaliknya!!!

Kematian adik Saiful Syazani Saiful Sopfidee telah menggemparkan Negara. Pembawaan carita oleh media telah mengejutkan semua pihak termasuk saya yang menjadi mangsa kepada penceritaan media berkenaan isu tersebut. Peristiwa berlaku apabila seorang guru agama sebuah sekolah dikatakan telah mendera seorang pelajar berusia 7 tahun hingga menyebabkan kematian pelajar tersebut.(gambar sekolah Al-furqan, tempat kejadian )

Boleh kita baca bagaimana ‘jahat’nya guru tersebut dengan pendedahan media seperti,
“Selepas memukul kepala, suspek dikatakan `naik hantu’ dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung” – harian metro- (boleh baca lanjut dengan tajuk, cikgu ambil nyawa )

“Saiful Syazani meninggal dunia selepas tiga hari dilaporkan koma, akibat dibelasah guru yang juga seorang warden di sekolah agama persendirian selepas disyaki mencuri RM7 di asrama sekolah. Dalam kejadian Khamis lalu itu, mangsa diikat kedua-dua tangan pada tingkap dan dibelasah bertalu-talu sebelum dihempas ke dinding hingga menyebabkannya mengalami pendarahan organ dalaman” – JPM Malaysia -

Setelah kita mengikuti kes tersebut melalui media yagn membuat liputan, maka kita telah menghukum dengan rasminya bahawa sungguh jijik dan jahat perbuatan guru tersebut.

Namun disana, saya masih curiga akan kisah yang berlaku. Dengan izin dan kesempatan yang diberikan Allah, telah menggerakkan hati saya dan pimpinan GAMIS ( Akram dan Nazry ) melawat tempat kejadian dan rumah arwah di Jejawi, Perlis. Kami kesana atas kerja rasmi GAMIS dan berkesempatan menziarahi rumah arwah.

CERITA SEBENAR

11 Apr 2011

Saham Bank rakyat

Sejak Bank rakyat mengumumkan dividen yang menggiurkan  setahun dua ini, ia terus menarik minat warga Malaysia yang 'alert' tentangnya. Tahun lepas saja, dividen yang dibayar adalah 15% kepada anggotanya, jadi tidak hairanlah ramai yang menunggu masa untuk turut menyertai saham Bank Rakyat.

Bermula 6 april lalu, Bank rakyat membuka kembali peluang kepada rakyat untuk membeli saham mereka. Dikatakan RM 1b dibuka dan sebarang pembelian baru untuk saham ini, dihadkan hanya RM 500 sahaja. Peluang ini dibuka sehingga habis saham tersebut dan tidak pelik jika sejak minggu lepas, Bank Rakyat berpusu-pusu menerima pelanggan sehingga terpaksa mengunci pintu bank seawal sebelum jam 4 petang. Itupun urusan pelanggan hanya berakhir jam 6 petang.

Jadi, kepada pengunjung Pena cikgu, saya menggalakkan anda membeli saham ini sebelum habis. Sebelum pergi, bawa sekali salinan photostat IC.Jangan bimbang, ianya halal dan menepati shariah. Bahkan segala product di bank rakyat patuh shariah. Sempat saya berbual dengan staff mereka dan saya mendapati beberapa maklumat yang mungkin berguna kepada sahabat-sahabat di sini.

Kata beliau, jika berhajat untuk membuat pembiayaan kereta, lakukanlah di AMbank atau Public Bank, ianya lebih murah. Jika inginkan pembiayaan perumahan, Bank Islam adalah terbaik sementara untuk Personal Loan, lakukanlah di CIMB atau Bank rakyat. wallahu 'alam, ini diberitahu oleh staff mereka sendiri yang menyatakan 'agak rugi' jika membuat pembiayaan rumah dgn bank rakyat berbanding personal loan.

Sudah pasti Bank yang dicadangkan itu adalah melalui kaunter Islamiknya seperti Ambank Islamik dan Public Islamik. Apapun, terpulang kepada kajian dan penyelidikan yang dilakukan sebelum membuat pilihan, ianya penting supaya kita mendapat nilai yang terbaik. Akhir kata, selamat mencuba :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails