BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


2 Dis 2012

Coret-coret Bicara Selebriti


 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Alhamdulilllah. Semalam berkesempatan hadir ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV menghadiri Bicara Selebriti. Asalnya hari ni nak tulis tentang hukum mengajar matematik, tapi kita dahulukan yang patut didahulukanlah.

Sesampai di sana, jemaah baru memulakan solat isya, lantas terus ke padang dan bersama-sama mengerjakan solat fardhu isya. Usai solat, masing-masing mengambil tempat berdekatan pentas utama. Apabila pengerusi menjemput panelis ke pentas bicara, yang datang adalah hujan. Bicara ditunda dan selebriti di bawa kembali ke bilik VIP. Hadirin ramai yang masih menunggu dikehujanan, walaupun ada segelintir yang lari ke bawah bumbung astaka. Hujan tidak lama, sekadar menyejukkan udara dan bicara bermula.

Bicara pada awalnya dikendalikan oleh Ustaz Azariza atau lebih dikenali dengan nama Ust Ja kerana Saudara Amin Idris tidak dapat sampai tepat pada masanya. Usai pusingan pertama bicara barulah Amin Idris tiba mengambil kembali tempat beliau di kerusi Moderator.

Rupanya Amin Idris lewat tiba kerana terlepas penerbangan. Beliau sebelum itu bertugas membuat liputan di perhimpunan agong sebuah parti politik di PWTC dan oleh kerana perhimpunan itu lambat habis, maka terlepaslah penerbangan beliau dan beliau menaiki pesawat seterusnya.

Berikut adalah sedikit ulasan yang dapat saya simpulkan dalam bicara semalam
Rasanya cukuplah sekeping gambar ini untuk tatapan di sini.
Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Tidak perlu dipertikaikan lagi tentang penyampaian Da'ie Sejuta Ummah ini. Walaupun berada di hujung pentas, namun apabila bercakap seolah pentas itu milik beliau seorang. Tidak puas rasanya mendengar isi bicara yang di sampaikan.

Ustaz bercerita tentang permulaan beliau di dalam penyampaian agama. Bermula seorang, dua orang, tiga orang dan selepas itu empat orang. Kemudian beralih ke surau sekitar, ke masjid dan seterusnya ke seluruh negara dan akhirnya ke kaca TV. Kini kuliah beliau dihadiri oleh ribuan malah mencecah puluhan ribu jika dibuat di tempat yang luas seperti stadium.

Menurut UAI, apa yang penting adalah keikhlasan dalam penyampaian. Ustaz bukan minta nak popular, tetapi popular itu datang sendiri selepas adanya keikhlasan dalam diri

Yang saya kagumi adalah cara pendekatan beliau terhadap anak muda. Kegilaan anak muda sekarang kepada kamera DSLR dan motor menyebabkan beliau turut terlibat di dalam bidang itu untuk menunjukkan kepada mereka Islam tidak menghalang hobi itu tapi perlu mengikut landasan yang ditetapkan.

Sebagai contoh, fotografi. Ramai beranggapan nak ambil gambar cantik mesti kena guna model perempuan dan perempuan mesti seksi tetapi beliau membuktikan sebaliknya. Gambar-gambar yang diambil beliau hanyalah binatang-binatang, pemandangan dan adakala turut menjadikan orang tua (Pok Mang) sebgai model. Jumlah komen yang diterima oleh beliau lebih dari sejuta. Boleh rujuk hasil kerja beliau di digitalmukmin

Heliza Helmi
Pada awal sebelum bermulanya bicara, saya beranggapan gadis ini pasti tenggelam dengan populariti panelis yang lain, namun ternyata Heliza mempunyai cara beliau sendiri. Walaupun kerap disakat oleh Amin Idris, namun beliau berjaya menyampaikan butir bicara dengannya dengan baik. Cuma lain kali, tak usah nyanyi la, hujan makin lebat pula :)

Heliza menekankan kepada remaja yang berminat untuk mencari populariti dalam industri supaya tidak mengejarnya sehingga lupa akan pelajaran. Ilmu yang paling utama. Populari akan datang bukan kita yang cari. Selain itu Heliza turut berkongsi beberapa tips dan panduan buat hadirin untuk masuk industri. Tak pasti cukup ke tak apa yang saya tulis ni.

# Niat kerana Allah                                #Mencari kawan yang betul 
#Kena ada Ilmu                   #Berdoa                    #Mujahadah          
   #Bersyukur. 

Beberapa sirah dan hadith turut diselitkan dalam perkongsian ini.

Meyda Safira
Kedatangan Meyda ke Malaysia amnya dan Kelantan khususnya adalah kali pertama. Bicara gadis kelahiran Bandung ini juga tidak kurang hebatnya walaupun ada jawapan beliau yang lari dari soalan yang ditanya. Mungkin juga kerana soalan yang kurang jelas dari Moderator bidang terjun. Butir-butir percakapan beliau boleh saya fahami walaupun beliau menggunakan bahasa Indonesia. Beliau turut cuba berbahasa Kelantan pada awal bicara walaupun agak nakal bunyinya. Beliau juga tenang saja membalas apabila diusik oleh moderator tentang Pasukan Timnas Indonesia ketinggalan 0-2 kepada Harimau Malaya.

Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau terlibat ke dalam industri perfileman. Umum mengetahui, pemilihan pelakon KCB amat ketat dan calon-calon yang datang ke ujibakat begitu ramai. Bahkan beliau tidak terpilih pada mulanya untuk top 24. Namun Allah mentakdirkan rezeki itu miliknya melalui doa yang beliau pohon apabila pihak juri pemilihan hanya menemukan 23 orang dan perlu mencari seorang lagi calon bagi mencukupkan 24 dan beliau terpilih.

Meyda menjelaskan dirinya adalah seorang yang pemalu dan turut bersetuju dengan pandangan Heliza tentang pentingnya memilih kawan. Mengenali sahabat-sahabat seperti Oki Setiana Dewi (Mbak Ana), Kholidi Asadil Alam (Mas Azam) dan Andi (Mas Furqan) amat disenangi beliau kerana akhlak mereka.

Meyda menjelaskan walaupun beliau nampak lembut, tapi sukakan aktiviti yang mencabar. Oleh sebab itu beliau memilih jurutera sebagai kerjaya di samping ayah beliau juga seorang jurutera. Meyda bercadang untuk menyambung kuliah kerana ingin menjadi seorang pensyarah.

Selain itu, Meyda turut mempromosikan filem ke-4 beliau Cinta Suci Zahrana yang sedang ditayangkan di pawagam Indonesia.

Ustaz Azariza aka Ustaz Ja
Ustaz ini mempunyai aura tersendiri dalam penyampaian. Mengusik adalah antara kepakaran beliau dan gaya penyampaian beliau di dalam ceramah-ceramah sebelum ini amat meyakinkan. Walaupun sebagai Moderator bidan terjun, namun beliau masih mampu mengendalikan bicara ini dengan baik sebelum terjun dari pentas bila moderator sebenar tiba.

Amin Idris
Sebenarnya beliau juga layak dipanggil ustaz namun merendah diri apabila tidak gemar digelar demikian. Lulusan undang-undang dari UIA ini mempunyai kepetahan bercakap sejak dibangku sekolah lagi. Beliau mengendalikan BIcara Selebriti ke-6 ini dengan baik sekali.

Beberapa kali mengusik panelis Heliza yang cuba berbahasa Kelantan, namun akhirnya beliau dikenakan pula oleh Ustaz Azhar. Saya sebenarnya agak kagum dengan susuk tubuh kecil ini kerana cara beliau menggunakan Magnet Diri untuk menguasi hadirin. Beliau berjaya mengimbangi kehebatan para panelis untuk meletakkan diri beliau sebaris dengan mereka.

Secara keseluruhannya, bicara selebriti ini berlangsung baik walaupun diawalnya hujan dan diakhirnya pun hujan. Bahkan hujan yang lebat turut pada akhir bicara tidak menghalang hadirin dari terpaku di hadapan pentas sehingga panelis terpaksa dipayungi oleh urusetia.

Majlis ini agak ringkas kerana permulaan yang tergendala dan pengakhiran yang secara tiba-tiba. Puisi yang dibaca walaupun dalam suasana kehujanan dan agak tergesa-gesa, namun tetap kelihatan sempurna jika ditonton melalui tayangan. Padahal kamera para hadirin berada di hadapan juru kamera profesional.

Tiada sesi soal jawab dibuka kerana suasana seperti semalam tidak memungkinkan untuk dibuka persoalan kepada para hadirin. Bahkan kedudukan para hadirin terlalu hampir pada saya boleh diperbaiki jika petugas unit amal lebih bersedia untuk mengawal  hadirin.

Sesi penyampaian hadiah kepada panelis juga tidak dapat dijalankan kerana kehujanan. Moga bertemu lagi di Bicara Selebriti yang akan datang. Apa mungkin pelakon yang bakal diterbangkan dari INdonesia akan datang adalah Pak Furqan? Nanti-nantikanlah.

Sekian dulu untuk kali ini. :)

Nampaknya ni bukan coret-coret dah ni, di dah macam karangan SPM dah ni. Moga bermanfaat. Salah silap harap dimaafkan.

Video penuh boleh ditonton di sini.

1 Dis 2012

alkisah Rumah Nabi dalam Istana Negeri

Pagi semalam tak sempat nak menulis di sini kerana menghadiri kuliah di Dataran Ilmu. Kebiasaannya pergi bersama bonda namun semalam keseorangan saja sebab bonda ada urusan di Balai Islam. So, lepas hantar bonda ke sana, saya terus ke Dataran Ilmu. OLeh kerana Tuan Guru tidak dapat hadir, kedua-dua slot kuliah diisi oleh Ust Mohd Amar. Biasanya Tokguru ambil slot kedua dan slot pertama di sini oleh penceramah yang berlainan.

Usai kuliah ilmu, bonda masih belum abis lagi kelas, jadi sambil menunggu saya ke Ekspo MAIK di Istana Negeri Kubang Kerian. Lama dah nak g tapi tidak berkesempatan kerana ada saja halangan yang datang. Alhamdulillah, orang tak ramai sangat dan dapat parking yang mudah dan dekat dengan tempat pameran. Almaklumlah, istana kan beso.
Pameran di dalam khemah pada saya agak biasa saja dan tiada apa yang menarik sangat untuk saya berlama-lamaan di sana. Ada Pameran 100 tahun MAIK, ada beberapa jualan, pemeriksaan kesihatan dan beberapa lagi yang tidak menarik minat saya. Dalam duk jalan-jalan, saya melangar seorang pemuda yang sengaja menghalang jalan saya. Hurm, rupanya sahabat lama yang cara dia nak tegur saya memang macam tu. Lama tak jumpa sahabat ni. Beliau adalah alhafiz yang memiliki suara seperti assudais.

Dia datang kali kedua bersama zaujah dan keluarga mertuanya. Menurut sahabat ini, minggu lepas dia sudah datang dengan membawa ibu dan ayahnya. Bagus betul. Kami mengambil kesempatan untuk berjalan bersama-sama sambil bersembang pelbagai isu serta bertanya sahabat2 lain yang lama sudah tidak bersua.

Bosan di bawah khemah, kami bergerak ke dalam istana. Baru nak melangkah kaki, kami dihulurkan beg plastik oleh seorang muslimah. Ingat ke nak suruh beli apa,

"nok wak gapo nih?", tanya sahabat tentang tujuan diberikan beg plastik.

"wak isi slipar", muslimat tadi menjelaskan kasut dan selipar tidak dibenarkan pakai di dalam. Jadi kena buka, nak letak kat luar takut hilang,  bila beri beg plastik, kita bawa la masuk dalam.

"Dalam syurga kena buka kasut juga tak?", tanya sahabat kepada saya selepas kami meninggalkan muslimat tadi yang sibuk menghulurkan beg plastik kepada pengunjung lain.

Masuk ke dalam, saya melihat beberapa bilah pedang di dalam bongkah kaca. Saya tercari-cari Pedang Zulfikar kepunyaan Rasulullah SAW yang memiliki dua mata. Walaupun hanya replika dan ini bukanlah kali pertama melihatnya, tapi tidak pernah rasa jemu untuk melihat. Kalau boleh nak pegang.

"kat sana ada replika rumah Rasulullah SAW", kata sahabat tadi menunjukkan satu bangunan kecil di sebelah.

"Meh g sano", ajak saya.

Dilabelkan beberapa tempat di dalam rumah kecil itu tempat tidur nabi, tempat nabi solat, tempat kunjungan tetamu dan tempat Sayyidatina Fatimah dilahirkan. Kecil saja rumah tersebut walaupun ada bahagian-bahagian tertentu. Orang yang lembut hatinya pasti menitiskan air mata kerinduan apabila memasuki rumah tersebut. Rumah kekasih Allah dalam istana umat baginda. Itu yang terlintas di fikiran saya. Lebih kecil dari rumah kita.

Geram mahu mengambil gambar bersama pedang dan replika rumah nabi namun beberapa kali diberi amaran  melalui pembesar suara bahawa tidak dibenarkan mengambil gambar. Siap dinyatakan lagi banyak CCTV yang merakam dan pegawai-pegawai berkeliaran di dalam istana itu. Amboi...Ada lagi artifak-artifak Islam di sana namun yang paling menarik bagi saya adalah replika rumah ini.

Sungguh, rumah nabi itulah yang merasakan saya akan ke sana lagi selepas ini sebelum ekspo ini berakhir 6 Disember nanti. Kami keluar dari dewan istana dan berehat sebentar di ruang menunggu sambil bersembang-sembang. DI sana dibenarkan diambil gambar tapi nak ambik gambar apa kat sana. huhu.

Bila saya cuba ambil gambar di pintu masuk dewan, seorang petugas datang minta dialihkan sedikit kedudukan saya supaya tidak kelihatan pemandangan dalam dewan tersebut. Aduii...

Bagi yang masih belum pergi, pergilah. Masih ada kesempatan.

Allahumma Solli 'ala Muhammad.




29 Nov 2012

Bicara Selebriti ; Ust Azhar vs Meyda Safira vs Heliza Helmi

Saya selaku warga Kelantan mewakili Kerajaan Negeri Kelantan menjemput para sahabat dan pengunjung Pena Cikgu ke Bicara Selebriti yang akan di adakan pada 17 Muharram 1434h di Stadium Sultan Muhammad ke-IV. Moga kehadiran sahabat-sahabat akan menjadikan Bicara ini lebih bermakna.

Berikut disertakan poster Bicara Selebriti.

Dan sedikit ulasan tentang selebriti pada malam tersebut.

 Azhar Idrus tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau merupakan ikon pendakwah muda atau lebih dikenali sebagai Ustaz Youtube. Terkenal dengan penyampaian kuliah bersahaja dan mampu menarik hadirin terutama anak muda dari pelbagai latar belakang.

Panel kedua, Meyda Safira bukanlah asing bagi rakyat Malaysia khususnya para peminat filem Ketika Cinta Bertasbih yang memegang watak Ayatul Husna. Selepas kemunculan Oki Setiana Dewi (Anna Althafunnisa) dan Kholidi Asadil Alam (Abdullah Khairul Azzam) di pentas Bicara Selebriti, kini didatangkan pula Meyda Safira.

Heliza Helmi sebagai panelis ketiga mula muncul di persada seni menerusi Akademi Fantasia yang saya pun tak tahu yang ke berapa. Seterusnya muncul dalam layar perak dan siri-siri drama TV dan host untuk satu program di kaca televisyen. Tidak banyak yang saya boleh ceritakan tentang selebriti ini.

Dan bicara ini dihostkan yang tidak kurang hebatnya iaitu Saudara Amin Idris. Moderator yang terkenal dengan celoteh bersahaja dan beliau juga sebenarnya adalah selebriti di stesen TV Alhijrah. Anak jati Sarawak yang membesar di Kelantan Darul Naim ini adalah pengasas dan CEO kepada Amin Idris Training Consultant (AITC). Lulusan undang-undang dari UIA ini juga adalah penulis buku Magnet Diri.

Jumpa di sana ye. INshaAllah.

#Video boleh ditonton di sini.

28 Nov 2012

Melayu dan bubur asyura

Hari Asyura telah berlalu agak lama iaitu sabtu yang lepas. Tak sempat nak menulis kerana kekangan masa dan line internet problem 2 hari. Nasib baik hari ni dah ok.

Nak kongsi cerita tentang bubur asyura atau orang kelantan panggil sugho. Kat dapur masih berlambak bubur tiada siapa nak makan. Bukan tak suka, tapi dah cemuih dah sebab banyak. Alkisah orang melayu bila tiba 10 muharram, sibuk nak buat bubur asyura.

Salah ke buat bubur asyura? Haramkah? Berdosa ke? BIdaah ke? Tu persoalan dan perbahasan yang timbul bila tiba 10 Muharram. Hurm, nak buat jamuan tak kan berdosa kot. kan?

Masa kuliah di dataran ilmu jumaat yang lepas, antara isi kandungan kuliah oleh TGNA ialah orang melayu ni pelik, bila tiba 10 muharram, sibuk nak buat jamuan bubur asyura, padahal 10 muharram sangat digalakkan kita untuk berpuasa. Tak boleh ke buat 9 muharram ke, 11 muharram ke? ni sibuk nak buat 10 muharram, padahal hari tersebut digalakkan kita berpuasa. Barangkali depa takut kalau buat 9 muharram, takut takleh panggil bubur asyura, kena panggil bubur tasu'a pula.

Saya ada mendengar rakaman khutbah jumaat oleh Dr Abdul Basith Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Abu Anas Madani pada 9 Muharram yang lalu. Sahabat boleh mencarinya di youtube kalau nak sebab saya tak dapat nak sertakannya di sini. Antara lainnya beliau menekankan tentang puasa pada 10muharram. Kalau yang terlepas, tunggu tahun depan kalau ada umur.
Puasa 10 Muharram dapat menghapuskan doa setahun yang lalu. Betapa besarnya ganjaran yang diberikan iaitu puasa sehari dapat hapus dosa setahun. Ruginya kalau kita terlepas. Cuma halangannya adalah musim ni adalah musim kenduri. Sebenarnya senang je nak setel masalah ni. Pergilah kenduri tersebut dan habaq kat depa kita puasa. INshaAllah, depa faham dan menghormati kita. Kalau rasa rugi, sebenarnya tak, berbanding dengan ganjaran yang kita dapat. Kalau rasa nak makan juga, g la masa maghrib.

Kita ni kadang-kadang banyak alasan (rujuk tafsiran alkahfi ayat 54). Macam puasa sunat syawal juga. Banyak sangat rumah terbuka sampai tak sempat nak puasa. Padahal kalau hadiri jemputan dan tak makan, tuan rumah ok je. Takdela menangis ke apa. Kdg2 siap tapau lagi untuk kita.

Orang yahudi pun puasa juga sebab bagi mereka hari ni hari besar kerana Allah menyelamatkan Nabi Musa dari tentera firaun. Bila nabi Musa selamat, baginda berpuasa kerana bersyukur atas kurniaan keselamatan oleh Allah. Nabi kita SAW banyak berpuasa hari Isnin kerana hari Isnin adalah hari kelahiran baginda. Kita pun kalau nak bersyukur pada Allah, boleh berpuasa pada hari lahir kita, kata nak cepat dapat jodoh. NI tak, bila hari lahir, buat pesta macam-macam. :)

Puasa Hari Asyura ni lebih dahulu dari puasa ramadhan. Bila tiba hari Ayura, nabi suruh para sahabat puasa sehinggalah difardhukan puasa ramadhan.

Orang yahudi puasa, orang jahiliah puasa, kalau kita mengaku sayang nabi, tapi tak puasa, hisablah diri betapa jauhnya kita di sisi Allah.

Ada juga yang timbulkan persoalan  puasa Asyura kerana 10 Muharram jatuh pada hari sabtu. Maka tak boleh puasa kecuali disertakan puasa sehari sebelumnya. Benda ni ulama dan selesai lama dah, jangan bergaduh. Kepada para pendakwah, jangan keras atau syadid sangat. Kita bukan puasa sempena hari sabtu. Begitu juga kalau jatuh hari jumaat, puasalah. Kita bukan puasa sempena hari tersebut tapi sempena hari Asyura. Jangan pula orang yang malas puasa ambil kesempatan tak nak puasa sebab kita.

Yang terbaik adalah puasa dulu 9 Muharram sebab tak nak sama dengan yahudi. Yahudi puasa 10 Muharram saja, jadi kalau kita puasa 9 dan 10, kita dah lari dari persamaan dengan yahudi. Kalau tak mampu buat 9 dan 10, buat lah 10 sahaja pun, jangan tak buat lansung. Kepada muslimat yang ABC, nak buat macamana, takde rezeki, tp kalau sebelum tu dah niat awal-awal nak puasa, dah dapat dah pahala.

Namun, bila tiba hari Asyura, timbul golongan rafidhoh iaitu golongan yang kononnya sayangkan keluarga nabi. Koyak baju, pukul tubuh kononnya sayangkan sayyidina Hussin. Ni lah golongan syiah yang sangat jahat terhadap tubuh sendiri. Ini golongan yang sangat bahaya.

Golongan kedua, nawasib iaitu kumpulan gembira dengan kematian Sayyidna Hussin, buat jamuan dan sebagainya. INilah yang dibimbangi dalam masyarakat kita yang kacau bubur. Sepatut puasa, tapi kita buat jamuan. Tepuk dada, tanya iman. Jangan pula kita kata orang yang buat bubur asyura tu puak2 nawasib. Check dulu.
Bubur Asyura.
#itu bukan kaki saya. gambar dari internet
Teringat masa kerja sebagai pegawai kerajaan di Putrajaya dulu. Kat surau area rumah, bila tiba Hari Asyura, pakat masak bubur asyura. 3 kawah semuanya, ada bubur asyura Kelantan, bubur asyura Pahang dan bubur asyura Johor. Bubur asyura Kelantan biasalah, sugho tu lah. Bubur Johor cam bubur nasi atau bubur lambuk sementara bubur Pahang saya pun tak pasti apa dia, tp memang tak kena dengan selera. Tak abis pun pada hari tu kawah bubur pahang. Tanya seorang dari pahang, dia cakap dia pun baru first time rasa bubur Pahang :)


26 Nov 2012

Doa

Akhir-akhir ini semua orang sibuk membicarakan isu doa. Tak kira lah doa kehancuran sebuah organisasi mahupun doa kepada individu. Pelbagai hadith dan dalil digali bagi mencari jawapannya. Ada yang kata boleh, ada yang kata tak boleh. Ada yang kata haram ada yang kata harus. Ada yang ikut-ikutan saja. Dia penyokong A, dia kata haram, dia penyokong B, kata harus. Lalu bagaimana?

gambar dari sini
Pada saya, kalau nak jawapan yang tepat, rujuklah asatizah yang neutral untuk mengelakkan bias. Kadang-kadang manusia ni, bila dia bertanya soalan, dia nak orang tu bagi jawapan macam yang dia nak. Mana boleh macam tu. Baik tak payah tanya. Bila jawapan berlawanan dengan apa yang dia nak, dia terus melabelkan politik. Nak tanya UAI, takut orang kata dia PAS, nak tanya UFB, dia orang UMNO, jadi yang paling baik, rujuk asatiah seperti Dr MAZA atau Dr UZAR atau Dr Zahazan. Kan senang.

Pandangan saya?

Nak juga bagi pandangan. Boleh diterima dan boleh juga ditolak. Pandangan tak semestinya betul. Doa yang diungkapkan adalah doa kehancuran pertubuhan bukan doa ke atas individu. Sedangkan doa untuk individu yang zalim pun dibolehkan, apa lagi kepada pertubuhan yang zalim pada pandangan pendoa. Bukanlah yang didoakan supaya diturunkan bala, kerana jika bala yang turun, seluruh umat Islam Malaysia termasuk pendoa akan merasai tetapi kehancuran itu lebih kepada kehancuran pertubuhan dalam pilihanraya. Sesuatu isu, kalau dipolitikan akan jadi polemik. Isu doa bukan isu politik, isu doa isu agama.
pic from here
Semalam sempat meluangkan masa di Masjid Ismaili, Bandar Tumpat. Walaupun agak jauh juga dari rumah, namun saya gagahkan diri untuk bersolat asar di sana kerana usai solat asar ada pengajian kitab al-hikam. Baru dapat tahu kat Masjid Ismaili ada pengajian kitab hikam. Sebenarnya lama dah duk cari tokguru nak belajar kitab hikam ni, sebab kitab tasawuf ini tidak semua orang boleh ajar. Al-fadhil ustaz mengajar kitab al-hikam dan tafsir jalalain. INshaAllah, akan terus istiqomah sepanjang cuti ini walaupun cuti ada sebulan je lagi.

Ustaz mengajar kitab asal dalam bahasa arab dan diterjemahkan dan kebetulan semalam ustaz membacakan tentang doa. InshaAllah saya akan kongsikan apa yang saya dapat untuk manfaat bersama.

#Jangan berputus asa dalam meminta kepada Allah walaupun doa tidak dimakbulkan. Allah memakbulkan doa mengikut kehendak Allah, bukan kehendak kita. Jangan ngaju (baca : merajuk) jika Allah belum makbulkan doa kita.

#Memakbulkan doa adalah hak Allah, bukan hak kita. Kita tak boleh paksa Allah makbulkan doa kita serta merta. Sama macam kita nak minta sesuatu dengan manusia, tapi dia taknak bagi. Kita tak boleh marah kat dia sebab tu hak dia. Allah lebih-lebih lagi la. Allah akan bagi juga tapi Allah nak kita bersabar.

#Kalau Allah makbul doa serta merta kat semua orang, habislah. Cth : Semua orang doa nak kereta besar dan Allah makbulkan semua doa tu. Abislah jalan jem. Siapa nak naik motor?Siapa nak naik basikal? Siapa nak naik kereta kecik?Siapa nak naik bas? Bankrupt abis. (Sekadar contoh dari saya)

#Allah makbulkan doa dalam 3 cara. Dimakbulkan apa yang kita minta, digantikan dengan yang lebih baik ataupun disimpan sebagai ganjaran di akhirat nanti. Saya teringat seorang ustaz pernah berkuliah katanya, kalau kita tahu betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan kepada doa yang tidak dimakbulkan didunia, kita akan harap apa yang kita minta di dunia ni, ALlah tak makbul dan disimpan sebagai ganjaran di akhirat.

#Kadang-kadang, bila kita suruh ulama berdoa untuk kita dan doa tidak dimakbulkan, kita tak boleh marah kat ulama tu sebab yang makbulkan doa bukan ulama tapi Allah, ulama tolong doa je. atau tidak boleh kata ulama itu tidak berkat kerana doa tidak dimakbul kerana hak untuk memakbulkan doa adalah hak Allah, bukan hak ulama.

#Jangan jemu untuk berdoa. Sentiasalah berdoa. Orang yang taknak berdoa adalah orang yang sombong, seolah-olah dia tak perlukan apa-apa dari Allah. Allah suka kepada orang yang minta kepadanya. Jangan berhenti berdoa.

Rasanya setakat ni dulu lah perkongsian ilmu pada hari ini. Moga berjumpa lagi dilain kali :)

25 Nov 2012

2013: Semua cikgu akan ada blog

Tengok tajuk ni macam pelik je. Betul ke? Macam mana pula semua cikgu boleh ada blog ni? Blog apa? Blogspot? Wordpress? ke blog dotcom dotmy? Bukan blogspot, bukan wordpress mahupun dotcom dotmy tapi blog katak.

Blog katak?
Mungkin ada yang tertaya-tanya tentang blog katak ini. Mungkin juga ada cikgu-cikgu sekolah sudah didedahkan tentang blog katak (baca :Frog Vle) ini. Atau mungkin juga ada yang sudah pakar menggunakan frog vle ini. Bagi sekolah saya, ianya masih baru dan cikgu-cikgu tiada lagi pendedahan khusus mengenainya.

Sebulan sebelum cuti sekolah hari tu, ada seorang cikgu kat sekolah diminta hadir satu kursus, Kursus ni kena bawa murid-murid dalam 4,5 orang yang akan ditugaskan untuk membantu cikgu tersebut memperkenalkan web katak ini kepada murid-murid.

Ringkas cerita, balik dari kursus, cikgu tersebut dibekalkan ID dan pasword email dotYes dotMy semua guru, semua murid dan semua ibu bapa. Maknanya hanya menggunakan emel id dan password yang digenerate ini saja, guru-guru, murid-murid dan ibu bapa boleh mengakses web katak ini. Semua guru, murid dan ibu bapa tidak perlu sign in, hanya perlu log in menggunakan ID dan password yang dibekalkan untuk mengakses web katak ini.

Susah juga nak terangkan. Namun, untuk lebih jelas, boleh menonton dan memahami melalui video di bawah. Ada banyak juga videonya kalau nak tengok semua.

Masa balik dari kursus, mudah saja arahan cikgu tersebut kat semua cikgu selepas melihat cikgu-cikgu duk sibuk dengan urusan lain

 ", Cikgu-cikgu, balik rumah, buka youtube, taip frog vle, tonton pastu belajar sendiri. Tahun depan saya buat LDP. Password dan email ID boleh ambik dekat saya".

Murid-murid yang mengikuti kursus diberi peluang berada di dalam makmal komputer bagi mempraktikkan ilmu yang mereka baru dapat. Bila saya ke makmal, saya melihat ada yang main games, ada yang main facebook dan ada yang buat benda lain. Haish, kata saya kepada mereka,

 "oo, orang suruh buka frog vle, hangpa duk main benda lain ek".

"kami dan terror dan cikgu. Senang je buat benda ni", ujar salah seorang dari mereka dengan perasaan bongkak. Ceh.

Takpe2, hang pa tengok nanti apa yang cikgu nak buat kat hangpa. Pulang ke rumah, saya mempelajari serba sedikit tentang web katak ini dan cuba mempraktikkan apa yang saya tonton iaitu cara memberi tugasan kepada murid.

Dengan web katak ini, kita boleh menghantar tugasan kepada murid melalui online dan menetapkan tarikh hantar. Keesokannya harinya murid-murid tersebut datang berjumpa saya.

"cikgu, camna nak buat tugasan yang cikgu bagi tu?", tanya seorang dari mereka.

"la, kamu kan dah terror, buatlah", balas saya kepada mereka sambil tersenyum.

"cikgu ni, main-main pula", ujar mereka.

"Tu la, cikgu bagi peluang duk makmal, hangpa duk main benda lain. Lain kali, belajar betul-betul sebab nanti kamu nak ajar murid-murid lain", nasihat saya kepada mereka.
Melihat kepada tutorial yang dibekalkan, nampak menarik, namun apakah ia berkesan?
Beginilah rupa bentuk katak ini sebelum dimasukkan password. Tekan Get started untuk masukkan emel ID dan password

Kata cikgu tersebut, tahun depan frog vle ini akan digunakan secara meluas namun beliau sendiri tidak yakin.

Saya positif tentang pembaharuan ini, namun terlalu banyak kekangannya terutama tidak semua murid ada kemudian komputer dan internet di rumah lebih-lebih lagi murid sekolah saya. Selain itu, tidak semua murid celik komputer, apakah mereka akan ketinggalan? Cikgu-cikgu sendiri bukan semuanya tahu menggunakannya. Sementara itu, ibu bapa juga dibekalkan emel ID dan password untuk memantau P&P anak-anak, namun apakah mereka ada masa atau tahu menggunakannya. Buku sekolah pun tak sempat nak cek.

Pada saya, ianya hanyalah satu tambahan saja untuk digunakan oleh guru tertentu kepada murid tertentu. Bimbang juga terdapat unsur-unsur pembaziran dalam projek ini. Sudah pasti bukan sedikit dibelanjakan untuk ini.

24 Nov 2012

Petua awet muda

Saya bukanlah cikgu yang terbaik. Bukan juga guru agama atau pun ustaz namun saya cuba sedaya upaya menerapkan ad-dien dalam pengajaran saja. Bukan agama, malah subjek-subjek lain turut saya masukkan dalam kelas saya sehingga ada pelajar yang bertanya "cikgu, sekarang ni waktu Bahasa Melayu ke?".

Selain mengajar matematik, saya juga dituagaskan mengajar subjek Pendidikan Sivik walaupun PSK itu bukan opsyen saya. Sedaya upaya menekankan aspek sivik dalam diri mereka. Menyentuh tajuk pengurusan diri dan masa, saya meminta mereka menulis aktiviti atau diari mereka pada hujung minggu bermula dari bangun tidur hingga waktu tidur mereka, lalu mereka bermasalah untuk menulisnya.

"cikgu, saya bangun pukul 9pagi, jadi kena mula tulis pukul 9 ke?", tanya seorang dari mereka.
"cikgu, kalau lepas subuh saya tidur balik dan bangun waktu tengah hari macam mana nak tulis?" soal seorang dari mereka.

Aduh, susah juga ye. Lalu saya menyuruh mereka menulis rutin yang baik untuk mereka ikut. Saya terfikir, jika mereka bangun lewat pada hujung minggu, apakah mereka tidak solat subuh? Nak tanyalah...

"Ok kelas. Siapa yang tak solat subuh pagi tadi?" saya bertanya. Lebih dari separuh mengangkat tangan.

"Kenapa tak solat subuh?", tanya saya kepada seorang murid perempuan.

"Saya tak tau baca doa qunut macam mana nak solat subuh, cikgu", jawabnya selamba.

"takpe. Solat je subuh. Tak payah baca doa qunut dulu", balas saya.

"Owh, xpe ke cikgu?", soalnya.

"Takpe, yang penting kamu solat subuh. Bila dah pandai doa qunut, baru baca.", jelas saya.

"Kalau tak pandai sampai bila-bila?", soalnya lagi. Hampeh betul budak ni.

"Lama-lama belajar pandai lah. Baca doa qunut tu sunat je", jawab saya.

Saya beralih kepada murid yang lain pula.

"Kenapa tak solat subuh?"

"Lupa cikgu", tersengih-sengih dia menjawab soalan saya.

"Makan sarapan tak tadi?", saya mengalihkan topik.

"Makan", jawabnya ringkas.

"Makan nasi tak lupa pulak", kata saya kepadanya yang masih tersengih-sengih. Saya menasihati dia supaya tidak mengabaikan solat subuh dan lain-lain solat. Kemudian beralih kepada murid yang lain.

"Kenapa tak solat subuh?"

"Bangun lambat, cikgu",katanya.

"Bangun pukul berapa?", tanya saya.

"6.45", jawabnya.

"Sempat lagi tu nk solat subuh",ujar saya.

"Nanti lambat nak g sekolah, cikgu", katanya lagi.

Aiseh, mai sekolah lambat, terasa 'berdosa'. Tak solat subuh, rileks je ye. Saya bertanya lagi kepada murid yang lain.

"Kenapa tak solat subuh?"

"Saya bangun lewat cikgu. 7.15 pagi saya bangkit.", jawabnya.

"Kenapa lewat sangat, lain kali suruh la mak ayah kejut awal", tegas saya kepadanya.

"Mak ayah saya pun bangun lambat,cikgu", jawabnya selamba. Speechless.

"Cikgu, saya solat subuh pagi tadi cikgu", tiba-tiba seorang murid lain mengangkat tangan dan bangun.

"Kalau saya tak solat, ayah saya akan rotan saya", sambungnya lagi.

"Bagus-bagus", saya memujinya.

Sebenarnya saya nak kongsikan satu petua awet muda yang sangat mudah untuk diamalkan iaitu mandi sebelum subuh. Cuba amalkan dan inshaAllah ianya berkesan. Mula-mula memang rasa susah bagi yang tidak pernah melakukannya, namun bila dah amalkan rasa mudah je. Bangun pagi dalam keadaan segar bugar dan ketenangan waktu dinihari dapat dinikmati. Cubalah, tak perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk melakukannya.

Tidak perlu berbelanja besar membeli produk kecantikan untuk kelihatan awet muda. Selamat tinggal Tia Amelia. :)

# tulisan ini sebenarnya saya tulis hampir 2 bulan lepas, tp terperuk di dalam draft. Baru hari ini saya siarkannya.

23 Nov 2012

Keputusan UPSR: Alhamdulillah, terima kasih pada semua

Umum mengetahui, keputusan UPSR telah diumumkan pada 19hb November yang lalu. Ada yang gembira, tidak kurang juga yang bersedih dengan keputusan tersebut. Berita yang disensasikan oleh Harian Metro adalah tentang seorang budak yang tercicir nama pelajar cemerlang yang dapat 5A melarikan diri dan bersembunyi kerana kecewa. Bukan hanya calon, bahkan ibu bapa mahuoun guru juga turut berdebar menunggu keputusan tersebut.

Begitulah berhantunya tekanan peperiksaan. Ini baru UPSR, belum lagi PMR, SPM mahupun STPM. Paling ngeri, pernah berlaku dalam sejarah pendidikan kita, murid bunuh diri kerana gagal UPSR. Sape nak jawab tuh?
Sekolah saya
Saya sendiri turut merasai debaran itu. Ini tahun pertama saya di sekolah ini dan saya telah diamanahkan untuk mengajar matematik untuk calon UPSR bagi kelas kedua dari belakang. Markah TOV mereka ada yang D, ada yang E. Dan paling merisaukan saya sepanjang peperiksaan yang diadakan samada UPTP, PKSR mahupun trial, tidak pernah lebih dari separuh dari pelajar kelas saya lulus.

Tahun ini, kali pertama keputusan UPSR diumumkan dalam cuti. Saya yang telah pulang ke kampung mengambil inisiatif untuk kembali ke Penang. Kebetulan ada kenduri di rumah seorang sahabat merangkap keluarga angkat di sana. Jadi serampang dua mata lah tujuan kembalinya saya ke sana.

Pagi itu, tiba di sekolah pukul 9.3- dan saya terus ke pejabat. Ibu bapa dan murid telah ramai yang menunggu. Dalam keadaan berdebar dan risau, saya hanya mampu mengangkat tangan kepada murid-murid yang memanggil saya. Tiba di sana, guru-guru kelas tahun 6 sibuk menyemak dan menyusun slip peperiksaan  murid.

Secara perlahan-lahan saya mengambil slip murid-murid kelas saya dan melihat satu persatu. Sehelai demi sehelai saya membelek, dup dup dup. Alhamdulillah, hampir kesemuanya lulus. Cuma ada 3 , 4 orang saja yang gagal. Yang tak pernah lulus pun boleh dapat C.Wlpun tiada antara mereka yang dapat A, tapi saya tetap bersyukur kerana mereka lulus.

"Camna result kelas awak?", tiba-tiba ketua panitia muncul di depan saya.

"alhamdulillah, kak. Ada 4 orang je yang tak lulus", jawab saya.

"Bagus-bagus... tahun depan ajar tahun 6 lagi ye", ujar beliau. Aduh...

Saya seboleh mungkin cuba sedaya upaya menolak untuk memikul beban mengajar tahun 6. Terasa sangat berat namun apakan daya. Amanah yang diberi tidak boleh disia-siakan. Sebelum pulang, saya ke bilik PK HEm.

"kak, agak-agak saya guru kelas lagi tak tahun depan?", tanya saya.

"Eh, mestilah.", jawabnya. Aduh...

"Mai sat, nak bincang tentang pengawas tahun depan", sambung beliau.

Namun kata beliau, pada tahun hadapan bebanan untuk saya dalam ko-kurikulum mungkin sedikit kurang kerana pengagihan tugas tahun depan dibahagikan seadil mungkin. Walau bagaimana pun jawatan Ketua Panitia tetap saya kena pegang.

Moga tahun hadapan keputusan peperiksaan murid saya lebih cemerlang pada tahun ini. Ketua Panitia Matematik sekali lagi mencadangkan saya mengajar murid kelas ke dua dari belakang... huhu.

Terima kasih atas doa sahabat-sahabat kepada murid-murid saya. Teruskan berdoa.



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails