BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


18 Sep 2010

Memperingati penyembelihan di Sabra, Shatila

Peristiwa pembunuhan dan penyembelihan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila dari 16 hingga 18 September 1982 tidak mungkin terpadam daripada sejarah kemanusiaan, walaupun media arus perdana seakan-akan tidak pernah tahu tentang hakikat peristiwa tragis itu. Serangan dan pembunuhan di Sabra dan Shatila itu merupakan salah satu daripada rentetan sikap keji yang dilakukan oleh rejim pengganas Zionis Israel atas arahan secara langsung oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Ariel Sharon. Sharon menggunakan taktik jahat dan hina dengan mengambil kesempatan daripada krisis militia Palangist Kristian di Lubnan bagi menghancurkan rakyat Palestin yang terpaksa menumpang hidup di kem-kem pelarian berkenaan.

Batalion Palangist ini menyerang, menyiksa dan membunuh secara kejam wanita, anak-anak dan warga tua sementara tentera Zionis yang mengawal perimiter kem-kem tersebut membiarkan sahaja keganasan itu berlaku dan menghalang pihak luar daripada memasuki kawasan.

Serangan brutal dan tragis selama 3 hari itu telah mengorbankan seramai 3,500 pelarian Palestin. Ramai lagi dilaporkan hilang dan terkubur di bawah runtuhan bangunan. Ratusan mangsa serangan yang masih hidup telah dibawa menaiki trak menuju ke tempat misteri, yang sehingga ke hari ini tidak diketahui nasib mereka.

Bukan sahaja tentera Zionis tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang serangan dan pembunuhan, malahan mereka membantu puak militia Palangist dengan tembakan-tembakan cahaya ke udara supaya pembunuhan dapat diteruskan pada waktu malam.

Siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Kahan di bawah arahan pemerintah rejim Zionis pada bulan Februari 1983 memutuskan bahawa Sharon telah bersalah secara langsung kerana membenarkan puak Palangist masuk ke kem-kem tersebut dan seterusnya gagal menghalang pembunuhan ribuan orang awam. Tentera Sharon juga membekalkan senjata dan peralatan kepada Palangist dan menyediakan pengangkutan untuk membawa masuk militia.

Walaupun sikap keji Zionis ini mendapat kutukan dunia, termasuk negara-negara Barat sendiri, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga Majlis Keselamatan PBB terus menunjukkan sikap dingin terhadap desakan supaya menghukum mereka yang ternyata bersalah.

PBB mengutuk tindakan zalim Zionis ini melalui Resolusi 521 (19 September 1982,) namun tidak pernah ada sebarang hukuman dikenakan terhadap Sharon, pemerintah mahupun tentera Zionis. Malahan ramai daripada keluarga mangsa-mangsa pembunuhan itu terpaksa membuat dakwaan secara sendirian ke atas Sharon.

Pada bulan Februari 2003, Mahkamah Tinggi Belgium memutuskan untuk membicara kes jenayah perang ke atas Sharon, tetapi Israel menuduh tindakan tersebut sebagai berbau politik. Pada bulan September 2003, memandangkan tidak seorangpun daripada mereka yang membuat dakwaan ke atas Sharon berbangsa Belgium, Mahkamah Tinggi Belgium terpaksa menggugurkan kes ini.

Mereka yang bersalah terus bebas dan merencana kezaliman demi kezaliman ke atas kemanusiaan, khususnya ke atas rakyat Palestin. (mn/Maan)


























sumber : Harakahdaily

15 Sep 2010

Tengku Faris Sultan baru Kelantan

Alhamdulillah.
Akhirnya Tengku Muhammad Faris Petra dimasyhurkan
sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan
ayahandanya Sultan Ismail Petra yang jatuh gering sejak tahun lalu.
Seluruh rakyat jelata menyambut baik pemasyhuran ini kerana
Tengku Faris ini adalah seorang yang berjiwa rakyat dan
mempunyai latar pendidikan agama yang baik dan
inshaAllah mampu menjalankan tugas dengan baik.

Walaupun pertabalan belum dibuat,
diharap ianya akan dapat dilakukan
tanpa sebarang masalah. Sudah pasti
setiap kebaikan akan ada kebatilan yang mengancamnya dan
moga perancangan jahat itu tidak akan berjaya.

11 Sep 2010

'idulfitri : Aku rindu padamu

Belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Salam 'idulfitri kepada seluruh umat Islam khasnya kepada pengunjung blog kecil ini. Moga kita sentiasa berada di dalam keredhaan Allah selalu dan ramadhan yang lalu berhasil menjadikan kita individu yang bertaqwa.

Sudah pasti umat yang cintakan syurga akan terus merindui ramadhan dan berharap sepanjang tahun adalah ramadhan, namun kemeriahan syawal tetap kita raikan kerana itulah aturan hidup yang perlu kita lalui. selepas ramadhan adalah syawal dan begitulah seterusnya sehingga kita berjumpa ramadhan lagi pada tahun hadapan jika panjang umur. sudah pasti ketika itu usia kita semakin bertambah dan kita semakin dekat dengan kematian.

'idulfitri pada tahun ini disambut seadanya. Walaupun berada dalam lingkungan keluarga dan sanak saudara, sambutan kali ini dalam suasana sedih memandang kali pertama beraya tanpa dia. Pemergian adinda ke hadrat Ilahi awal tahun yang lalu masih dirasai oleh diri ini. Sungguh, jika allayarhamah ada pasti suasana lebih meriah. Namun begitulah aturan hidup, setiap yang bernyawa pasti akan mati.

Terlintas juga di hati ini apakah ramadhan dan 'idulfitri yang baru selesai ini merupakan yang terakhir buat saya? Wallahu 'alam. Sudah pasti kita tidak mengetahui sebagaimana adinda saya tidak mengetahui ramadhan yang lepas adalah ramadhan terakhir untuk dirinya. Syarat mati bukan mesti tua dan syarat mati juga bukan sakit. Orang sihat boleh mati bahkan orang muda juga begitu. Jika ingin diikutkan usia, sudah pasti saya yang harus pergi dulu sebelum adinda. Namun bukan begitu aturannya.

Justeru, kita harus segera mempersiapkan diri kita untuk selalu bersedia menghadapi mati. mati sentiasa mengejarkan kita dan kita tidak boleh lari kepadanya. Jadi kita tiada pilihan melainkan bersedia menghadapinya. Adik, aku rindu padamu

30 Ogo 2010

Saya malu

Isu ini hangat diperkatakan di media sekarang. Seluruh media arus perdana mencanangkan berita ini terutama Utusan Malaysia sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di jiwa rakyat 1Malaysia. Sebenarnya isu ini hanyalah isu kecil yang tidak menjadi salah pun namun kerana politik semuanya menjadi heboh.

Kunjungan seorang YB bukan Islam ke Surau baru-baru ini mencetuskan kegemparan di media arus perdana kerana YB tersebut bukan beragama Islam lalu dengan cepat lalu beberapa orang ustaz lantas menghukumkan haram bukan Islam memasuki Masjid. Aduh, cepatnya mereka berhukum. Apakah hukuman ini untuk semua orang termasuk nabi yang menjadikan Masjid Nabawi sebagai pusat pemerintahan dan pernah menerima delegasi bukan Islam di dalam masjid? Apa ada wahyu baru?

Saya agak bernasib baik kerana sudah tidak tinggal bersama rakan-rakan non-Muslim sebilik, jika tidak apakah pandangan mereka terhadap isu ini dan Islam. Ini kerana pernah saya mengajak mereka mengikuti saya berbuka puasa di Surau bagi mendekatkan mereka dengan Islam. walau berkali-kali saya mengajak, namun mereka agak keberatan kerana malu. Pada mulanya mereka ragu apakah dibenarkan ke rumah ibadah orang Islam, namun apabila saya menjelaskan keharusan tersebut barulah mereka faham. Selain malu, mereka juga keberatan kerana tidak wajar mereka yang tidak berpuasa bersama berbuka dengan orang yang berpuasa.

Saya tidak pasti apakah reaksi mereka tentang isu ini? Mohon agar mereka tidak tertipu dan masih ingat akan jawapan saya kepada mereka itu. Pada saya, jika tidak di Masjid, di mana lagi mereka ingin berkenalan dengan Islam? Di media yang sering menayangkan hiburan? atau di stesen bas yang menempatkan bayi orang Islam yang dibuang? atau di pasaraya yang menjadi tempat lepak Muslim liar itu?
Saya tidak dapat menerima jika alasan yang diberikan adalah kerana bukan Islam tersebut tidak menutup aurat. Jika persoalan ini dijadikan alasan, mereka tidak menutup aurat kerana mereka tidak Islam tetapi orang Islam itu wajib menutup aurat samada di Masjid atau di luar masjid. Masjid itu rumah Allah tetapi di lluar masjid itu bumi Allah.

Saya jadi teringat kisah azan ini.

16 Ogo 2010

Terawih : 8 rakaat atau 20 rakaat?

Kira-kira, masih adakah perkelahian tentang bilangan solat terawih pada ramadhan kali ini? Sejujurnya saya tidak bertemu lagi perkelahian ini seperti tahun-tahun lepas di tempat saya. Mungkin masyarakat sudah semakin faham tetapi tidak diketahui pula di tempat-tempat lain.

Apakah sebenarnya bilangan rakaat terawih? Apapun pandangan yang kita pegang, jangan sampai menimbulkan perkelahian dan perbalahan. Saya ingin memetik kisah yang berlaku di zaman Imam Hassan albanna tentang perbezaan bilangan rakaat terawih ini.

Suatu ketika beliau menziarahi salah satu kampung bagai menyampai ceramah. Pada masa itu kebetulan bulan Ramadhan. Penduduk kampung pada masa itu berpecah kepada dua puak. Mereka berbalah mengenai solat terawih adakah 20 rakaat sebagaimana ditunaikan di zaman Umar RA dan diwarisi oleh umat Islam beberapa kurun selepas itu atau 8 rakaat sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh nabi SAW dan tidak lebih dari itu?

Setiap puak begitu taasub dengan pendapat masing-masing sehingga hampir-hampir mencetuskan pertumpahan darah. Setiap puak mendakwa mereka berada di atas jalan kebenaran dan Al-Sunnah, manakala pihak lawan berada di atas landasan yang salah dan bida'ah. Apabila mereka mengetahui Syeikh Mursyid datang ke kampung mereka, mereka bersetuju meminta pandangan dari Syeikh bagi menyelesaikan perselisihan mereka.

Setiap puak menjangkakan syeikh akan cenderung kepada pendapat mereka dan menentang pendapat lawan mereka, namun begitu syeikh Hasan Albanna telah menggunakan satu strategi lain yang langsung tidak diduga oleh mereka.

Syeikh bertanya kepada mereka : "Apakah hukum solat terawih?".

Mereka menjawab : Sunat di mana orang yang menunaikannya diberi pahala dan orang yang meninggalkannya tidak dikenakan balasan siksa.

"Apakah hukum mewujudkan perpaduan sesama orang Islam" tanya sheikh seterusnya.

"Satu kefardhuan yang ditetapkan oleh agama dan juga tonggak keimanan"jawab mereka.

"Adakah harus manurut syariah Allah, kita mensia-siakan perkara fardhu semata-mata kerana menjaga perkara sunat? Sebenarnya kalau tuan-tuan semua terus kekal berada dalam persaudaraan dan perpaduan Islam, kemudian tuan-tuan kembali ke rumah masing-masing untuk menunaikan solat terawih di rumahnya mengikut dalil yang disenangi oleh tuan-tuan baik 8 rakaat mahupun 20 rakaat, adalah lebih baik kepada tuan-tuan semua dari tuan-tuan bertengkar dan berbunuh-bunuhan antara satu sama lain", ujar sheikh seterusnya.
(dipetik dari buku "Fi Usul al-Da'wah, Muqtabasatun Min Kutub al-Doktor Yusuf al Qaradhawi" KEWAJIPAN MENGUASAI ENAM JENIS FIQH BAGI PENDAKWAH ISLAM DI ALAF BARU karangan Mustafa Malaikah)

Bagaimana dengan anda? Melakukan 8 rakaat atau 20 rakaat? Jika melakukan 8 rakaat, kerana apa ye? Bilangan yang sedikit atau qaul yang lebih sohih? Amatlah rugi kalau pilihan itu kerana bilangan semata-mata. Lipat gandakanlah amalan di bulan yang mulia ini sementara masih ada peluang kerana kita tidak tahu apakah kita masih sempat untuk bertemu ramadhan pada tahun hadapan.

Saya kagum dengan kesungguhan umat Islam yang bersunguh-sungguh beribadat di bulan mulia ini. Mereka berlumba-lumba mengerja ibadah dan berusaha untuk berada di saf pertama solat. Jemaah di Masjid Telipot, Kota Bharu yang paling saya kagumi. Jika anda ingin bersolat di saf pertama, lakukannya pada solat qobliyah Isya kerana anda tidak akan berpeluang lagi jika tidak berada saf pertama pada masa itu. Jemaah di sana merapatkan saf pada solat qobliyah isya dan hanya keluar selepas solat witir rakat ke-23. Saya hanya melihat seorang saja yang keluar selepas rakaat ke-10. Yang lain langsung tok degih walaupun mereka bukan jemaah yang muda. Mungkin juga berkaitan dengan keselesaan dan kemerduan suara imam.

Moga kita semua beroleh kejayaan di dalam madrasah ramadhan ini dan mencapai visi menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Ameen

14 Ogo 2010

Tragedi Bazar iftor dan alahai JAKIM

Tragedi Bazar Iftor

Sungguh menyayat hati. 3 maut sementara lagi kebanyakan cedera. Bala apakah ini? Harap-harap hanya ujian untuk memberi peringatan kepada kita yang masih hidup. Ramadhan bukan bulan pesta makanan. Berpada-padalah dalam melayan nafsu.
Tradegi Ramadhan ini moga menjadi pengiktibaran kepada kita. Bagaimana tanpa tanda-tanda awal, boleh berlaku ribut kuat sehingga menerbangkan khemah lebih dari lampu limpah stadium? Wallahu'alam

Alahai JAKIM

Sudah pasti kita berasa bangga dengan operasi JAKIM ke hotel-hotel yang menawarkan bufet ramadhan tanpa mendapat sijil yang halal. Namun walaupun sudah mempunyai bukti kukuh, hanya amaran saja yang diberikan. Senyum sajalah pemilik hotel itu. Mereka bukan anak kecik yang tunduk kepada amaran. Bahkan sudah banyak amaran dalam akhbar selama ini.

Amri berkata, berikutan itu dia berjumpa pihak pengurusan hotel terbabit dan memberi amaran terhadap kesalahan dilakukan dan meminta mereka memastikan ia tidak berulang. rujuk : di sini

Jika dulu ada sahabat-sahabat yang bekerja di bahagian Hab Halal JAKIM ini, jadi bolehlah saya terus menghubungi mereka. Sekarang sahabat-sahabat tersebut sudah berpindah ke bahagian lain.

Apapun harap JAKIM teruskan operasi ini dan AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG. Jangan biarkan mereka mengambil kesempatan sempena Ramadhan.

Yang peliknya kenapala si Muslim suka berbuka di Hotel. Ramadhan ni bulan makan ke? Jangan sampai terlepas maghrib pula.

13 Ogo 2010

Peringkat Penurunan al-Quran

Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk hidup di bulan ramdhan yang penuh keberkatan ini. Bulan yang menawarkan pelbagai ganjaran kepada hamba yang soleh. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba yang bertaqwa.

Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)...
(al-baqarah ;185)

Al-quran telah diturunkan melalui 2 peringkat ;

Peringkat pertama ;

Dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia pada malam lailatulqadr secara sekaligus.

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-quran) pada Malam Lailatul Qadr (surah al-qadr :1)

Peringkat kedua ;

Beransur-ansur dari Baitul izzah kepada nabi SAW melalui perantaraan Malaikat Jibrail beransur-ansur selama 23 tahun.

Firman Allah yang bermaksud

"dan al-quran itu telah kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacanya perlahan-lahan kepada manusia dan kami menurunkan bahagian demi bahagian."
(surah al-isra' ; 106)

Banyak hikmah al-quran diturunkan beransur-ansur. Ayat ini juga adalah untuk menjawab celaan yahudi dan musyrikin yang meencadangkan al-quran diturunkan sekaligus seperti Kitab taurat kepada nabi Musa AS.

Ramadhan adalah bulan diturunkan al-quran. Oleh itu marilah sama-sama kita meningkatkan amalan kita terutama amalan membaca al-quran ini selain digandakan pahala bacaannya.

Kalau dapat bertadarus lebih baik, namun jika tidak dapat, baca seorang diri pun ok cuma jangan terlalu mengejar untuk khatam sampai tersalah bacaan.

Kalau boleh khatam, Alhamdulillah. tetapi bacalah dengan tartil dan mengikut tajwid yang betul. Usahlah terlalu cepat sampai mengabaikan hak-hak huruf. Luangkan masa untuk al-quran supaya ia menjadi peneman kita di kubur kelak.

Kalau dapat diteliti terjemahan lagi baik namun kalau boleh, disertakan dengan tafsir sekali supaya kita tersilap mebuat tafsiran sendiri ayat-ayat mutasyabihat. Bacaan tafsir amat menyeronokkan kerana mengandungi asbab nuzul dan huraian lengkap. Saya mencadangkan Tafsir Al-Munir karangan Prof Dr wahbah Azzuhaily. Bahasanya mudah dan senang difahami. Namun tafsir-tafsir lain tidak kurang hebatnya seperti tafsir fi zilalil quran atau tafsir ibnu kathir.

Sama-sama kita meningkatkan amalan kita.Moga kita dapat mencapai visi utama puasa iaitu la'allakum tattaqun. Hamba yang bertaqwa. Ameen.

Wallahu 'alam

7 Ogo 2010

Ingat 2 perkara dan lupa 2 perkara

InshaAllah saya ingin berkongsi tentang 2 perkara yang perlu kita ingati dan 2 perkara yang perlu kita lupakan. Justeru, ia dapat menghindarkan sifat buruk seperti dengki, dendam, sakit hati dan akan sentiasa dicintai orang seterusnya menjamin kebahagian hidup

2 perkara yang perlu kita ingati adalah
- Jasa orang lain kepada kita. Apabila kita sentiasa mengingati jasa mereka kepada kita sudah pasti kita akan menghargai segala jasa tersebut dan berbuat baik kepada mereka.

- Keburukan dan kejahatan yang kita lakukan. Apabila kita mengingati kesalahan kita, ia akan mengundang rasa bersalah dan sentiasa bertaubat dan meminta ampun kepada Allah dan orang tersebut. Harus diingat, Ungkapan M A A F sangat senang dan ringkas namun amat berat untuk dilafazkan oleh manusia. Entah kenapa sebabnya.

2 perkara yang perlu kita lupakan adalah
- Kejahatan dan kesalahan orang lain kepada kita. Walaupun kita terluka dengan kesalahan orang kepada kita, namun jika kita melupakannya ia pasti akan mengelakkan diri kita dari membalas kesalahan tersebut dan ia akan berterusan.

- Kebaikan kita kepada orang lain. Justeru, dengan melupakannya ia akan mengelak diri kita dari mengungkit apa yang telah kita berikan.

InshaAllah dengan mengingati 2 perkara di atas dan melupakan 2 perkara di atas, kita akan dicintai oleh manusia lain. Ameen.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails