BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


16 Ogo 2010

Terawih : 8 rakaat atau 20 rakaat?

Kira-kira, masih adakah perkelahian tentang bilangan solat terawih pada ramadhan kali ini? Sejujurnya saya tidak bertemu lagi perkelahian ini seperti tahun-tahun lepas di tempat saya. Mungkin masyarakat sudah semakin faham tetapi tidak diketahui pula di tempat-tempat lain.

Apakah sebenarnya bilangan rakaat terawih? Apapun pandangan yang kita pegang, jangan sampai menimbulkan perkelahian dan perbalahan. Saya ingin memetik kisah yang berlaku di zaman Imam Hassan albanna tentang perbezaan bilangan rakaat terawih ini.

Suatu ketika beliau menziarahi salah satu kampung bagai menyampai ceramah. Pada masa itu kebetulan bulan Ramadhan. Penduduk kampung pada masa itu berpecah kepada dua puak. Mereka berbalah mengenai solat terawih adakah 20 rakaat sebagaimana ditunaikan di zaman Umar RA dan diwarisi oleh umat Islam beberapa kurun selepas itu atau 8 rakaat sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh nabi SAW dan tidak lebih dari itu?

Setiap puak begitu taasub dengan pendapat masing-masing sehingga hampir-hampir mencetuskan pertumpahan darah. Setiap puak mendakwa mereka berada di atas jalan kebenaran dan Al-Sunnah, manakala pihak lawan berada di atas landasan yang salah dan bida'ah. Apabila mereka mengetahui Syeikh Mursyid datang ke kampung mereka, mereka bersetuju meminta pandangan dari Syeikh bagi menyelesaikan perselisihan mereka.

Setiap puak menjangkakan syeikh akan cenderung kepada pendapat mereka dan menentang pendapat lawan mereka, namun begitu syeikh Hasan Albanna telah menggunakan satu strategi lain yang langsung tidak diduga oleh mereka.

Syeikh bertanya kepada mereka : "Apakah hukum solat terawih?".

Mereka menjawab : Sunat di mana orang yang menunaikannya diberi pahala dan orang yang meninggalkannya tidak dikenakan balasan siksa.

"Apakah hukum mewujudkan perpaduan sesama orang Islam" tanya sheikh seterusnya.

"Satu kefardhuan yang ditetapkan oleh agama dan juga tonggak keimanan"jawab mereka.

"Adakah harus manurut syariah Allah, kita mensia-siakan perkara fardhu semata-mata kerana menjaga perkara sunat? Sebenarnya kalau tuan-tuan semua terus kekal berada dalam persaudaraan dan perpaduan Islam, kemudian tuan-tuan kembali ke rumah masing-masing untuk menunaikan solat terawih di rumahnya mengikut dalil yang disenangi oleh tuan-tuan baik 8 rakaat mahupun 20 rakaat, adalah lebih baik kepada tuan-tuan semua dari tuan-tuan bertengkar dan berbunuh-bunuhan antara satu sama lain", ujar sheikh seterusnya.
(dipetik dari buku "Fi Usul al-Da'wah, Muqtabasatun Min Kutub al-Doktor Yusuf al Qaradhawi" KEWAJIPAN MENGUASAI ENAM JENIS FIQH BAGI PENDAKWAH ISLAM DI ALAF BARU karangan Mustafa Malaikah)

Bagaimana dengan anda? Melakukan 8 rakaat atau 20 rakaat? Jika melakukan 8 rakaat, kerana apa ye? Bilangan yang sedikit atau qaul yang lebih sohih? Amatlah rugi kalau pilihan itu kerana bilangan semata-mata. Lipat gandakanlah amalan di bulan yang mulia ini sementara masih ada peluang kerana kita tidak tahu apakah kita masih sempat untuk bertemu ramadhan pada tahun hadapan.

Saya kagum dengan kesungguhan umat Islam yang bersunguh-sungguh beribadat di bulan mulia ini. Mereka berlumba-lumba mengerja ibadah dan berusaha untuk berada di saf pertama solat. Jemaah di Masjid Telipot, Kota Bharu yang paling saya kagumi. Jika anda ingin bersolat di saf pertama, lakukannya pada solat qobliyah Isya kerana anda tidak akan berpeluang lagi jika tidak berada saf pertama pada masa itu. Jemaah di sana merapatkan saf pada solat qobliyah isya dan hanya keluar selepas solat witir rakat ke-23. Saya hanya melihat seorang saja yang keluar selepas rakaat ke-10. Yang lain langsung tok degih walaupun mereka bukan jemaah yang muda. Mungkin juga berkaitan dengan keselesaan dan kemerduan suara imam.

Moga kita semua beroleh kejayaan di dalam madrasah ramadhan ini dan mencapai visi menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Ameen

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails