BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


19 Jan 2013

Fenomena Listen! Listen!

Tak perlu dijelaskan lagi tentang isu ini. Namun saya tidak menyangka ianya menjadi satu fenomena di mana semua orang memperkatakannya. Pergi ke mana-mana saja, pasti terdengar orang menyebut "Listen! listen! listen! atau pun memperkatakan tentang haiwan ada masalah, kucing ada masalah, ikan jaws ada masalah. Hurm.
gambar dari internet
Semuanya melakonkan secara sinikal. Apabila saya melihat mereka, mereka pasti tersenyum dan mengulang-ulang lagi. Bahkan saya sendiri kadang-kadang terbawa-bawa semasa di dalam kelas. Bukan kelas bising sangat pun, tapi tersebut juga. Murid dah diam pun, masih duk ulang-ulang lagi sampai depa gelak-gelak. Ntah depa paham ke tidak. Memang fenomena lah.

Bukan orang-orang biasa, bahkan turut mendapat respon dari ahli akademik dan ahli politik. Yang paling menarik adalah respon dari Timbalan Menteri KPT. Memang Dato adalah seseorang yang saya kagum. Beliau seorang yang berprinsip walaupun kadang kala terpaksa melawan arus. Banyak juga isu-isu orang muda lebih-lebih mahasiswa yang dijuarai oleh beliau.

Apabila melihat kepada isu ini, sebenarnya agak sedih saya melihat segelintir mahasiswa. Tidak adil untuk menghukum semua, namun agak ramai yang bersifat begitu. Mengangguk dan terus mengangguk tanpa berfikir. Ingatlah rakan-rakan mahasiswa, grade yang baik bukan penentu kejayaaan anda. Penting tetapi ia bukan segalanya. Jadilah mahasiswa, bukan PELAJAR di universiti.

Jika anda melihat orang-orang hebat sekarang, anda selidiklah kehidupan mereka di kampus. Apakah mereka kaki studi? Saya bukanlah orang yang hebat mana, namun pengalaman di kampus amat manis untuk dikenang.


18 Jan 2013

Lain kali jangan cakap beso

Hari ini kecoh isu Ustaz Fathul Bari kahwin di Thailand. Ini perkahwinan kedua beliau, Tidak pasti bila isu ini tercetus namun saya baru je tahu. Bukan niat untuk mencampuri urusan beliau, namun ada sedikit pesanan dan pengajaran yang boleh diambil dari isu ini.
gambar dari sini
Soal beliau nak kahwin 2 atau 3 atau 4 sekalipun, saya tidak bermasalah dengannya. Ikutlah kemampuan anda. Menurut beliau, ada orang menyebarkan memfitnah beliau tentang isu ini. Bukanlah saya nak menyokong orang yang dikatakan memfitnah itu. Pada saya, tidak perlu lah kita mencampuri urusan rumah tangga beliau apalagi isteri pertama beliau pun bersetuju. Kenapa kita yang bukan isteri dia nak sibuk-sibuk.

Namun, saya tertarik dengan doa keburukan ke atas orang Islam yang didoakan oleh beliau. Beliau mendoakan keburukan ke atas umat Islam kerana merasakan diri beliau teraniaya dalam isu ini. Lalu dibawakan kisah sahabat Saad bin Abi Waqas. Saya tidak mampu mampu berkata-kata.

Cuma saya teringat tentang kata-kata beliau ketika isu doa di stadium tahun lepas. Beliau dengan lantang tidak bersetuju dengan doa keburukan ke atas Muslim lalu mencadangkan doa kebaikan supaya orang itu berubah ke arah lebih baik. Itu lebih hampir kepada sunnah. Doa di stadium dulu sebenarnya bukanlah doa ke atas individu, tapi doa kepada organisasi, namun kini beliau sendiri mendoakan keburukan dan doa yang lebih teruk ke atas individu. Apa sudah jadi ustaz?

Sebab itu lah, bila kita tidak berada di tempatnya, kita sedaplah bercakap. Kita tak kena zalim sedapla kata  "tak boleh doa keburukan", "kena doa baik-baik saja". Nah, sekarang apa sudah jadi? Bila kena atas dahi kita, bila kita terasa dizalimi baru kita gelabah cari hadith untuk justifikasikan tindakan kita. Lain kali jangan cakap beso. Pesanan ini untuk diri saya sendiri juga.

16 Jan 2013

Hadiah buat murid ponteng

Alhamdulillah, berkesempatan menulis setelah agak lama tidak muncul di sini. Banyak sekali perkongsian yang ingin dikongsi dengan semua. Saya bukanlah guru yang terbaik, bukan juga guru yang sempurna, namun sedaya upaya berusaha untuk menjadi terbaik.
gambar ihsan google
Pelbagai teori yang dipelajari oleh bakal guru sebelum dicampak ke sekolah. Ada yang boleh pakai, ada juga yang tidak sesuai. Masakan tidak, teori itu bukanlah sesuatu yang muktamad untuk kita terima tanpa bantahan. Hanyasanya Alquran dan Hadith yang bersifat qat'ie dan tiada keraguan dan bantahan pada keduanya.

Saya suka mencuba sesuatu yang lain dari yang pernah saya cuba. Ianya untuk melihat sesuatu itu dari perspektif yang berbeza. Kadang-kadang apa yang saya cuba buat adalah berlawanan dari apa yang kebiasaannya dibuat oleh orang lain, namun saya cuba juga untuk melihat keberkesanannya. Sebenarnya sudah banyak kali saya juga dan kali ini saya ingin berkongsi salah satu darinya.

Seorang murid telah saya kesan tiada di dalam kelas saya sejak minggu lalu. Tidak hadir ke sekolah. Lalu saya bertanya kepada murid-murid lain.

"Mana Daniel? Lama dah tak datang ke sekolah ni. Sejak minggu lepas lagi." tanya saya.

"Dia ponteng, cikgu. Saya nampak dia selalu naik basikal petang-petang p ronda." jawab Siti.

"Betul cikgu. Dia malas mai sekolah." sampuk murid lain pula.

"Pesan kat dia, cikgu suruh mai sekolah. Nanti kita bagi hadiah kat dia", pesan saya kepada mereka.

Hari ini, usai saya mengajar dan memberikan latihan, saya terlihat seorang murid yang sudah lama saya tidak lihat. Dari tempat duduk guru, saya bertanya kepadanya.

"Kamu Daniel ke?" saya bertanya. Teragak-agak dia menganggukkan kepala.

"Kenapa lama tak datang sekolah?", tanya saya.

"S...saya... demam, cikgu", jawabnya perlahan.

"Dia bohong, cikgu. Saya duk nampak dia asyik duk main basikal petang-petang", potong Siti. Dia memandang kepada Siti sebelum menundukkan kepala. Perlahan-lahan saya menuju kepadanya.

"Cikgu ada janji nak bagi hadiah kat dia kan?", saya bertanya kepada kelas.

"Ha... betul cikgu. cepat cikgu, bagi dia hadiah," Intan pula menjawab.

Saya kembali ke meja guru. Di atas meja ada pembaris panjang warna kuning. Semua mata tertumpu kepada saya sementara Daniel masih menundukkan kepala. Ketakutan mungkin.

Saya mencapai beg galas, kemudian mengeluarkan sebatang pensil dari kotak.

"Ini hadiah cikgu buat Daniel", saya memberikan pensil kepada Daniel. Kelihatan dia terkejut dan teragak-agak menerimanya.

"Aaaaaaa.....", kelas menjadi riuh.

"Mana adil cikgu. Cikgu kata nak bagi 'hadiah' kat dia,"Asyraf mula bersuara.

"Betullah, kan cikgu dah bagi hadiah tu. Pensil tu la hadiah," balas saya.

"Mana boleh macam ni. Kami ingat cikgu nak rotan. Kami pun nak pensil juga", Siti tidak berpuas hati.

"Kalau dapat A matematik, cikgu bagi pensil", saya tersenyum padanya.

"Saya pun tak nak datang sekolah lah. Nanti cikgu bagi pensil kat saya", kata Farah.

"Ha? Farah nak ponteng ke?" tanya saya.

"Tak la cikgu. Gurau je. Kalau tak mai sekolah nanti mak ayah saya marah", jawab Farah.

Saya melihat Daniel begitu bersemangat menyiapkan kerja kelas yang saya berikan dengan pensil tersebut.

"Kelas, esok ada masa cikgu tak?", tanya saya.

"Ada cikgu, masa lepas rehat macam hari ini juga", Daniel menjawab degan pantas ketika rakan-rakan yang lain sibuk mencari jadual. Saya tersenyum kepadanya.

"Nanti datang ye Daniel", kata saya kepadanya.

Tiba-tiba saya teringat kepada Mohd Danish. Apa khabar kamu.


9 Jan 2013

Bicara Selebriti kembali lagi

Bicara Selebriti siri ke 7 kembali lagi ke Kelantan. Berikut adalah maklumat tentang panelis yang saya dapati dari facebook. Moga bermanfaat.


Dari kanan,
Moderator tetap, Abang Amin Idris.

Panelis
1. Azizul Hasni Awang, pelumba basikal trek negara
2. Pierre Andre, Pelakon dan Pengarah Filem
3. Oki Setiana Dewi, Heroin KCB
4. Ustaz Zamri 'Mantop'

INshaAllah, bicara ini bakal diadakan pada 20 Januari 2013 jam 9malam bertempat di Balai Islam, Lundang. Moga bermanfaat.

Wallahu a'lam.

# Banyak benda nak tulis dan nak respon, tapi kekangan masa menghalang. Moga ALlah kasih kita semua,


4 Jan 2013

Tuisyen dan Mek Tam


Alhamdulillah, minggu pertama persekolahan sudah sampai ke penghujung. Boleh la merehatkan otak sebentar walaupun ditemani oleh buku-buku latihan murid untuk disemak. Tidak mahu lagi bertangguh seperti tahun lepas supaya kesibukan di sekolah tidak berganda.

Tak lama lagi, bermula lah kelas tambahan. Ini satu lagi 'bonus' untuk cikgu yang mengajar kelas peperiksaan. Moga murid-murid dapat hadir seperti mana mereka hadir ke sekolah. barulah semangat nak mengajar. Ni kalau separuh je hadir, nak mengajar pun rasa tak semangat.

Ada juga tawaran mengajar tuisyen di luar. Aduhai, saya sangat tidak berminat untuk mengajar tuisyen. Terasa bagai menggangu kosentrasi saya untuk dan mengganggu masa saya. Banyak perkara lagi boleh dibuat pada waktu itu. Hurm, namun ada juga yang tidak dapat dielak.
Tak dapat elak tu apabila rakan-rakan guru sekolah kita yang meminta kita mengajar anak mereka. Sangat sukar menolak kerana setiap hari kita akan bertemu mereka di sekolah. Rasa malu mata pula kalau mereka bersungguh-sungguh meminta dan kita bersungguh-sungguh menolak.

Tahun lepas seorang guru yang minta, tahun ni beliau ingin menyambung lagi. Katanya keputusan matematik anaknya ada peningkatan. Erm, budak tu yang cerdik sebenarnya. Kita 'jong' push je.

Tahun ni ada seorang cikgu yang lain pula minta ajar anaknya Mek Tam. Ingat kan anaknya nama Mek Tam, rupanya ajar Add math. Tak tahu pula orang panggil Mek Tam kat subjek yang saya duk sebut 'ek mek' sejak dari zaman sekolah dulu lagi. Aduhai, bila tolak. Beliau meminta lagi. katanya beliau tak meletakkan harapan tinggi pun pada subjek tu sebab beliau tahu anak beliau macam mana. Memang la tapi kita yang mengajar ni mestila kita nak yang terbaik kan. So, setakat ini terpaksa la bersetuju dulu. Moga akan timbulnya keikhlasan bila waktu nak mula mengajar nanti.

Percayalah ibu-ibu dan bapa-bapa. Sebenarnya tuisyen ni tak perlu pun. Cukup dengan apa yang cikgu ajar kat sekolah dan kelas tambahan yang cikgu buat.

29 Dis 2012

Cikgu janganlah berkira sangat

Saya rasa hampir semua rakan-rakan guru sudah selesai bermesyuarat bagi persediaan untuk sesi persekolahan 2013. Kalau pun belum, mungkin hanya guru-guru di Malaysia Timur kerana kebiasaan mereka bermeyuarat agak lewat. Di semenanjung, ada yang bermula 24, ada yang bermula 26 dan ada juga bermula 27. Ianya dikira hari bekerja dan sebarang ketidakhadiran perlu disertakan sijil sakit (MC) atau gunakan peruntukan Cuti Rehat Khas (CRK) yang masih ada. Oleh sebab itulah, biasanya tarikh selepas krismas, cikgu-cikgu tidak lagi dibenarkan ke luar negara atas urusan lawatan sosial dan sebagainya.

Usai mesyuarat guru, pasti ianya disusuli pula dengan mesyuarat j/kuasa induk Kurikulum, j/k induk Hem, j/k koko dan sesetengahnya terus menyambung dengan mesyuarat panitia, mahupun mengadakan LDP dan juga hari orientasi pelajar-pelajar baru. Alhamdulillah, saya sudah selesai semuanya. Pada mulanya rasa nak kembali ke kampung, rasa nak mmukat dan makan ikan darat, namun setelah menimbang banyak perkara, ku pendamkan rasa hati ini.
SmartStudy
gambar dari sini
Sudah pasti apabila usai semuanya, cikgu-cikgu sudah mengetahui tugasan-tugasan untuk tahun hadapan. Agak mustahil untuk semua cikgu mendapat tugasan yang sama rata dengan rakan-rakan guru yang lain. Pasti ada cikgu yang dapat kerja lebih atau yang dapat bebanan kerja yang kurang. Nasihat saya, usahlah berkira sangat, cikgu.

Kadang-kadang kita kurang beban tugas tahun ini, tapi tahun hadapan kita akan lebih pula atau kita lebih tahun ini, tahun lepas kita dah kurang dah. Hidup ini berputar-putar dan tidak statik. Saya teringat kisah di sekolah lama, seorang cikgu kecoh kerana mendapat jawatan lebih satu dari cikgu lain. Padahal ada lagi cikgu yang jawatannya lebih banyak dari beliau, namun kecoh satu sekolah kerana beliau tidak berpuas hati. Saya amat tidak senang dengan situasi ini, sepatutnya beliau bersyukur kerana jawatan yang diberikan bukan berat mana pun. Padahal sebelum ni, beliau lah yang paling sedikit beban tugas kerana baik dengan pentadbir.

Hurm, sesi 2013 sebenarnya tugasan saya lebih banyak dari tahun 2012. Ada jawatan yang ditarik balik, namun diganti dengan jawatan lain dan ada juga beberapa pertambahan jawatan baru. INshaAllah cikgu, cuba ikhlaskan diri untuk menerima jawatan tersebut dan cuba yang terbaik. Jika kita asyik merungut, dibimbangi hasil kerja ntah ke mana dan apa pun tak dapat melainkan keletihan.

Mungkin ada juga yang cakap 'cikgu 'baru' semangat dia lebih', sebab tu nak merungut.(cikgu lama adalah cikgu yang sudah berkhidmat belasan tahun). Sebenarnya tak juga.  Bila kita berkerja dengan rakan guru yang berkerjasama inshaAllah tidak akan timbul masalah bebanan kerja dan sifat berkira atau dengki sesama rakan guru.
"...janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman..." (AlHasyr ; 10)
Moga keikhlasan kita mengajar akan melahirkan murid yang bukan saja bijak dalam pelajaran tetapi juga mempunyai sahsiah dan akhlak yang baik. Ameen.

##Nasihat buat diri dan rakan-rakan guru dan bakal-bakal guru


28 Dis 2012

Korban ke-8 banjir

Posting sebelum ni korban pertama, sekarang dah ke-8. Ajal maut di tangan Allah, namun apakah tiada usaha di peringkat kita? Innalillah..



28 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Dua kamatian akibat banjir dicatatkan setakat pukul 10.30 malam tadi dengan masing-masing satu di Terengganu dan Negeri Sembilan menjadikan mangsa korban meningkat kepada lapan orang.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), seorang maut akibat lemas di Jelebu, Negeri Sembilan dan seorang lagi di Setiu, Terengganu.

Di Terengganu, setakat petang tadi telah meragut enam nyawa iaitu tiga di Kemaman, dua di Setiu dan seorang di Kuala Terengganu.

Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah buruk malam tadi apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di dua negeri

Pantai Timur itu meningkat kepada 22,609 orang berbanding 21,800 petang tadi.

Menurut portal itu, mangsa banjir di Pahang malam ini meningkat kepada 448 orang berbanding 435 petang tadi.

Mangsa banjir di Johor kini kekal seramai 13 orang.

Sementara itu di KELANTAN, keadaan banjir pada malam tadi tidak banyak berubah apabila jumlah mangsa banjir berkurangan sedikit kepada 6,809 orang.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu merangkumi 2,145 buah keluarga yang telah ditempatkan di 28 buah pusat pemindahan.

Jumlah yang dipindahkan di Pasir Mas adalah seramai 4,265 orang, Tumpat (2,329), Kota Baharu (197) dan Pasir Puteh (18).
Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya namun ia semakin menyusut termasuk sungai-sungai utama yang lain.

Keadaan cuaca pada malam tadi adalah baik.

Dalam pada itu, di TERENGGANU, mangsa banjir meningkat kepada 15,800 orang berbanding 14,894 petang tadi. - Bernama

26 Dis 2012

Korban pertama banjir

Lepas sudah mesyuarat pertama guru. Ada beberapa pertambahan jawatan lagi kali ini, tapi biarlah. Seronok berjumpa rakan-rakan guru yang lama tak jumpa, ada juga murid yang datang bersalaman.

Duk risau tentang korban banjir, akhirnya ada juga korban yang saya rasa ini korban pertama di Pantai Timur. Alah, risau sungguh la kalu main nge air banyok nih. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas allayarhamah. Hok mano nak g mmukat tuh, hati2 la deh.



26 Disember 2012
Banjir: Wanita lemas, korban pertama Terengganu
Anggota polis mengangkat mayat mangsa lemas akibat banjir di Kanpung Hulu Seladang Setiu Terengganu malam ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU -  Seorang wanita menjadi korban pertama banjir di Terengganu apabila ia ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam sungai Lanjut berdekatan Jambatan Permaisuri semalam.
Ketua Operasi Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Izani Zakaria ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya dengan bantuan penduduk kampung, menemui mayat mangsa pada pukul 6.30 petang berdekatan tempat mangsa terjatuh.  
Samhanim Ramli, 36, dikatakan tergelincir ketika sedang menahan pukat jaring bersama suaminya, Wan Amran Wan Sudin di sungai tersebut kira-kira pukul 3 petang.  
Mayat dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada  6,100 orang sehingga 8.30 malam ini berbanding 5,297 orang petang tadi. Mereka kini tempatkan dipindahkan di 106 pusat pemindahan banjir.
Menurut portal banjir negeri, jumlah terbesar mangsa banjir yang dipindahkan adalah di Dungun iaitu seramai 1,221 orang diikuti Besut (1,096), Hulu Terengganu (1,046), Kemaman (979), Kuala Terengganu (807), Setiu (707) dan Marang (244).
Air di beberapa batang sungai termasuk sungai Besut di Kampung La; sungai Dungun iaitu di Pasir Raja dan Kuala Jengai; sungai Nerus, di kampung Langkap di sini; sungai Setiu di Permaisuri; dan sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu kekal berada di paras bahaya.  
Namun, setakat ini tiada jalan utama yang menghubungi negeri ini ditutup kepada kenderaan.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di Kampung Tasik dan Kampung Buluh di Setiu mendapati perbuatan beberapa penduduk yang bermain air di jalan raya dilihat boleh mengancam nyawa mereka memandangkan air yang mengalir amat deras di situ.
Seorang penduduk ketika ditemui Ibrahim Yahya, 56 berkata banjir ini disifatkan sebagai yang terburuk melanda daerah ini sejak tujuh tahun lepas.
"Daerah ini sering dilanda banjir namun tidaklah seteruk ini dimana air begitu cepat naik ke dalam rumah dan menyukarkan kami untuk bergerak dengan arus yang deras," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails