BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


16 Okt 2011

Kisah cikgu

Kali ni saya ingin berkongsi beberapa kisah suka duka menjadi seorang cikgu. Kadang-kadang saya berasa jeles membaca ceritera cikgu di sekolah-sekolah lain yang sangat menarik. Antaranya kisah cikgu yang dipujuk oleh pelajar beliau dengan kek coklat selepas beliau merajuk dengan tingkah laku pelajar-pelajar tersebut.

Kalau saya merajuk dengan mereka, alamat merdeka lah mereka di dalam kelas nanti, tp tak apalah, setiap sekolah ada kelebihan dan kekurangannya.
Kisah 1

Ini kisah yang berlaku beberapa minggu lalu. Bukan berlaku kepada saya tetapi berlaku kepada cikgu lain di hadapan saya. Ketika sedang menanda buku murid sambil menunggu loceng pulang di bilik guru, saya dikejutkan dengan suara yang kuat dari pintu,

"ui, cikgu! kenapa cikgu buang beg anak saya?", sergah seorang bapa kepada cikgu yang berada di hujung bilik guru. Semua mata memandang kepada bapa terbabit.

"mana ada saya buang, beg dia ada di tempat saya ni", jawab cikgu tersebut. Bapa tersebut bergerak ke arah guru sambil mulut tidak henti-henti memarahi cikgu. Beberapa cikgu mententeramkan bapa tersebut yang kelihatan sangat marah.

Cikgu tersebut berkali-kali menafikan hal tersebut dan keadaan ini berlarutan ke pejabat. Saya melihat anaknya yang berada di tepi bapa tersebut tersenyum melihat bapanya memarahi cikgu tersebut sambil memakan ais krim. Huh, memang naik lemak la budak ni nanti.

Kebetulan ada beberapa classmate anaknya di situ, mereka menceritakan hal sebenar yang berlaku di dalam kelas kepada bapa tersebut. Dengan perlahan, bapa tersebut berkata,

"cikgu, nanti kalau anak saya buat salah, cikgu bagitau saya ye, nanti saya pukul dia", lembut bicara bapa tu kali ini sambil menahan malu. huh, selepas mengherdik cikgu tersebut tanpa mengetahui kisah sebenar, kini pandai mula berbicara lembut. Alangkah baiknya kalau di awal tadi berkata seperti ini.

cikgu tersebut dengan tenang menjawab, "tak apalah, lepas ni saya tak akan mempedulikan anak encik. Dia nak buat apa dalam kelas dia buatlah. Dia tak nak buat latihan, saya dah tak kisah..., dia buat, saya akan semak".

Sebenarnya anaknya berlaku kurang ajar kepada cikgu di dalam kelas. Anaknya berlari-lari di dalam kelas sambil menggalas beg, sekali sekala keluar dari kelas. Cikgu tersebut memintanya duduk kerana loceng belum berbunyi tetapi tidak diendahkan. Apabila cikgu meninggikan suara, dia membaling beg tersebut ke arah cikgu.

Marah dengan tindakan anaknya itu, cikgu meminta murid lain mengambil beg tersebut dan meletakkannya di bilik guru.

Sebenarnya siapa yang membaling beg tersebut?

Kisah 2

Kisah ini berlaku kepada saya. Ketika sedang mengajar, saya melihat seorang wanita di luar kelas. Saya meneruskan pengajaran seperti biasa selepas tiada tanda-tanda dia mahu masuk berjumpa saya dan ketika ingin ke meja guru, saya berpaling ke belakang dan terkejut melihat wanita tersebut ada betul-betul di belakang saya di dalam kelas itu.

Bila masa dia masuk? tak ketuk pintu pun. tak minta izin pun.

"cikgu, saya ibu kepada pelajar itu", katanya sambil menunjukkan tangan ke arah anaknya, sambungnya lagi "saya nak tanya, cikgu tak pernah tanda ke buku anak saya? Saya tak nampak pen merah pun dalam buku anak saya".

"Bawa mari buku tu ke sini"arah wanita tersebut kepada anaknya.

Saya membelek buku anaknya dan berkata "tengok ni, puan. Banyak tak siap! Dia tak pernah hantar buku pada saya kerana tak siap. Saya nak marah lebih-lebih nanti saya yang kena. Yang boleh saya lakukan hanya suruh dia buat, kalau dia tak nak buat apa saya nak buat?".

"Puan tengok buku budak ni", saya mengambil buku seorang murid yang berada berhampiran meja guru dan memberikan kepadanya sambil berkata "saya tanda setiap minggu bukunya kerana dia selalu hantar, kalau tak sempat tanda di kelas saya bawa ke bilik guru. Setiap latihan yang saya berikan, saya tidak minta mereka hantar pada hari yang sama kerana takut ada yang tak sempat siap. Saya minta mereka hantar minggu hadapan tetapi ada ramai juga yang hantar pada hari yang sama".

Saya menjelaskan dengan panjang lebar. Kelas semakin bising kerana saya sibuk melayannya. Kemudian dia berkata, "baiklah cikgu, esok saya akan pastikan dia hantar buku pada cikgu".

Tetapi keesokkannya tiada pula saya menerima buku dari anaknya. Kelas berikutnya, saya melihat anaknya menggunakan buku yang baru. Saya sudah penat untuk memarahinya dan membiarkan saja. Apa betul tindakan saya ini?

14 ulasan:

Cik Rama-Rama berkata...

salam, cikgu.
hmmm..hanya Allah dan cikgu2 saje yang tahu betapa banyak nya cabaran sebagai seorang cikgu ni. itu lah sebabnya bukan semua orang layak menjadi cikgu.. hanya insan2 pilihan saje. :D

pertamanya, kerana perlu 'deal' dengan manusia dan manusia ni memang macam2 ragam dan kerenah. susah nak puaskan hati manusia.kagum saya dengan seorang cikgu. sebab deal dengan manusia mmg susah! kerja lab yang tak perlu deal dengan manusia lebih mudah. huhu

pada pandangan saya yang takde langsung pengalaman seorang cikgu, saya rasa cikgu patut dekati pelajar yang guna buku baru tu (lelaki ke perempuan ye?)pelahan2.. mungkin dekati sebagai seorang yang dia senangi (bukan sebagai seorang guru).. atau pun membawa pelajar tersebut berjumpa kaunselor sekolah? mungkin kita boleh tahu apa masalah dy sehingga tak pernah hantar buku. tak faham apa yang diajar ke? ada masalah kat rumah sampai tak boleh buat kerja rumah. ex: adik2 ramai/ kene tolong mak/ terlalu sibuk tuisyen merata sampai takda masa nak buat kerja rumah ataupun dia mmg tak hantar unt subjek cikgu saja/ subjek2 lain juga? atau dia sememangnya pemalas dan dah tak berminat nak belajar lagi? pada saya, perlu tahu itu. ini lebih memudahkan cikgu untuk atasi masalah pelajar ni. cara mengatasi pun saya rasa cikgu sendiri boleh minta pendapat kaunselor sekolah.

menurut cikgu, cikgu adalah seorang guru yang ingin memanusiakan murid2 melalui pendidikan, bukan mengajar semata2.

hanya pandangan. abaikan saje kalau tak logik/rasional. sebab saya hanya boleh memberi pandangan, tak merasai secara realitinya. itu berbeza.

salam.

mujahadah berkata...

banyak cabaran jadi cikgu ni,Budak2 jatuh dari kerusi akibat nakal,berdarah..cikgu juga kena marah...sabar ye cikgu..semuanya itu ada ganjarannya.=)

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah..

saya pernah bekerja di sebuah sekolah swasta. Dan sememangnya ibu bapanya agak cerewet. Tambahan pula ibu dan ayahnya seorang guru. Buku latihan kalau tidak ikut landasan yang betul, ada sahaja laporan datang ke sekolah. Dan untuk pengetahuan cikgu, mereka amat berani dalam menyuarakan ketidapuasan mereka kerana mereka bayar gaji cikgu. :)

Oleh itu,cikgu2 disini kenalah berhati2 dalam membuat kertas periksa, malah setiap kertas periksa akan di semak oleh pengerusi sekolah itu. Setelah itu barulah di luluskan. Saya antara guru paling lewat hantar ini adalah kerana kesilapan yg berulang kali.

Sistem buku latihan sangat penting. Garis tepi, cara menulis, kekmasan budak - semua ini akan berkait dengan guru itu sendiri. Kalau comot tak teratur, cikgulah yang akan kena. So kena hati2..

dua bulan mengajar di sekolah swasta mmg mendidik menjadi guru berkarisma. Berdisiplin dan kena berkorban masa terutamanya. =)

Apa2pun ikhlaslah kerana ALLAH. Satu kata2 dari GB di sana adalah

" Jadilah jutawan Akhirat!"

sememangnya menjadi guru mengutip pahala hari2. Moga menjadi saham di sana.

Eyda berkata...

Bismillahirrahmanirrahim.

Apapun yang diperkatakan , seorang guru tu tetap manusia. Ada hati dan perasaan.
Memang selama ini guru-guru banyak bersabar. Dan kadang2 kesabaran mereka tercabar dan tercalar dek insiden yang seumpamanya.
Kalau pelajar dapat keputusan baik “itu sebab mak bapak dia la pandai mendidik dan mengasuh”
tapi kalau pelajar dapat keputusan yang tak baik “ cikgu tu buat apa?” hmmmmmmm.............
Dah lali dengan senario tu dalam dunia pendidikan.
Yang pasti guru adalah pekerjaan dan pengabdian yang paling mulia.

Kepada semua guru , agar kalian dibawah lembayung dan rahmat ILLAHI

Maafkan saya

RuMaH TuA berkata...

Insyaallah...
Moga Allah beri kekuatan pada al mu'allim.

Ibubapa belum cukup profesional menangani masalah anak - anak walaupun dari golongan profesional. Ambil peringatan, jangan kita jadi macam 'tu' pulak bila da jadi ibubapa nanti. Kan?


Kata Al-Mu'allim,
Seorang guru yang ingin memanusiakan murid-murid melalui pendidikan, bukan mengajar semata-mata... (^-^)y

Al-Mu'allim... Jangan jemu mendidik.

fatim M berkata...

moga kita terus berjuang mendidik anak bangsa..moga terus diberikan kekuatan oleh-Nya...

LadyBird berkata...

kisah 1 :

geram tul kat budak tu..
leh plak die senyum..
bapak budak tu pun satu..
knplah pcy sgt ckp budak2 zmn skrg..
kalu zmn dulu leh ckp budk2 x pandai menipu..
tp zmn skrg dh xleh gune..

kisah 2 :

bgs mak budak tu..
rajin semak buku anak nye..
tp x bgs cr die mrh cikgu..
sepatutnye selidiklah dulu..

Al - Mu'allim berkata...

~Cik Rama-rama~

Wsalam.

Pertamanya, terima kasih atas pandangan. Untuk pengetahuan cik, Saya tidak pernah mengabaikan atau meremehkn sebarang pandangan yang diberikan di blog ini.

Benar, berurusan dgn beratus manusia yg berlainan jenis mmg susah dan memerlukan kesabaran yg tinggi lebih-lebih lagi di sekolah seperti saya.

Pandangan cik untuk membawa kepada kaunselor amat bagus tetapi bukan di sekolah saya. Bukan ingin meremehkan kaunselor di sekolah saya, tetapi ... (susah saya nak tulis).

Cara yang diberikan oleh cik juga amat baik iaitu mendekati sbg org yang disenanginya, tetapi ianya tidak praktikal di skolah saya. Memang saya sendiri sebelum ke skolah ini, ingin menjadi seorang yang student-friendly tetapi bukan di sini.

Ini bukan sekolah pertama saya, sebelum ini saya pernah mengajar di sekolah lain yg muridnya hanya perlu gunakan psikologi untuk mengawalnya. Di sini, segalanya lain.

Apabila cik menulis tentang 'memanusiakan murid melalui pendidikan', saya jadi malu sendiri.

Apapun saya tidak akan pernah putus asa dan akan terus bertahan. Terima kasih atas pandangan, saya amat menghargainya.

Al - Mu'allim berkata...

~mujahadah~

Benar ukhti. InshaAllah, moga kita semua akan mendapat ganjaran yang baik dari Allah -)

Al - Mu'allim berkata...

~Tanpa Nama~

Seharusnya apabila ibu bapa seorang guru, mereka lebih faham. Dah tu, kenapa tidak mereka sendiri yang mengajarkan anak mereka itu?kn? =)

Menjadi cikgu di mana-mana pun perlu ada berdedikasi. Bukan hanya di sekolah swasta kerana kita turut mendapat gaji di sekolah kerajaan.

Yup, jika kita ikhlas, ganjaran dari Allah pasti kita dapat. InshaAllah.

Moga dengan ilmu yang diberikan, pahala akan mengalir terus ke akhirat.

Ameen

Al - Mu'allim berkata...

~Eyda~

Ameen.
Terima kasih atas doa dan komentar cikgu.

Ya, cikgu. Begitulah yang sering terjadi. Usaha cikgu sangat jarang diperkatakan apabila pelajar-pelajar berjaya tetapi jika sebaliknya, cikgu yang mendapat nama buruk.

Biarkan mereka cikgu. Kita buat kerja kita =)

Al - Mu'allim berkata...

~Rumah TuA~

Ameen.
Terima kasih atas doanya ya.

Terima kasih juga atas peringatan. Ya, mudah-mudahan kita tidak menjadi ibu bapa seperti itu.

INshaAllah saya akan terus berusaha tanpa jemu.

Al - Mu'allim berkata...

~fatim M~

InshaAllah, sama-sama kita doakan. Ameen.

Al - Mu'allim berkata...

~ladyBird~

Itulah yg menjadi masalahnya. Memang semua cikgu geram tengok budak tu. Keesokan harinya, kawan-kawannya sendiri memulaukannya.

Budak sekarang sangat advance, kadang-kadang di luar pemikiran kita. Nanti saya tulis pasal tu.

Kisah 2, Saya tidak bermasalah jika dia datang dengan cara yang baik. Saya sedang mengajar, sebaliknya ketuklah pintu dan minta izin. Bagaimana jika ada orang masuk ke rumah kita tanpa izin. hurm...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails