BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


1 Nov 2010

Saya dan buku

Sewaktu belajar dulu, saya agak berkira terutama dari segi duit kerana yuran dan kos sara hidup di Lembah Klang amat tinggi. Jika ingin makan, pasti sasarannya adalah kedai yang paling murah. Penggunaan kredit juga amat berhati-hati terutama ketika mula-mula memiliki handphone.

Kewangan yang terhad menyebabkan saya sering 'makan hati' apabila ke kedai buku. Saya suka membeli buku tetapi bagaimana ingin membeli buku kalau tidak berduit. Saya jarang meminta dari bonda untuk membeli buku kerana itu sewaktu di sekolah menengah saya hanya memiliki 2 atau 3 buah buku rujukan sahaja. Bonda kadang-kadang hairan dengan saya sehingga terpaksa menawarkan duit untuk membeli buku rujukan kerana pelik melihat saya tidak meminta.

Saya tidak tahu kenapa saya tidak suka meminta duit dari ayahanda dan bonda sejak zaman sekolah lagi. Duit belanja adalah apa yang diberikan sahaja bahkan kadang-kadang saya menolak. Ini menimbulkan satu lagi kehairanan kepada bonda kerana jumlah yang diberikan bukan banyak bahkan lebih rendah dari yang diberikan oleh rakan-rakan pejabatnya kepada anak mereka. Kata bonda kepada saya, anak-anak rakan-rakannya sering mengadu tidak cukup wang walaupun diberi wang yang banyak sedangkan aku tidak meminta pun bahkan kerap menolak walaupun perbelanjaan yang diberi lebih rendah dari yang diterima oleh anak rakan-rakan bonda dari ibubapa mereka.

Namun sejak bekerja saya perasan diri saya berubah dari segi membeli. Mungkin kerana apabila berasa duit sentiasa masuk setiap bulan menyebabkan saya agak kuat berbelanja terutama buku. Saya melempiaskan keinginan membeli buku yang saya tahan sejak zaman belajar. Apabila masuk ke kedai buku, pasti ada yang dibeli terutama buku-buku agama. Karangan Tok Guru Menteri Besar Kelantan paling saya minati bahkan koleksinya hampir semua saya ada. Buku-buku fikrah lain tidak ketinggalan seperti tulisan Ust Fathi Yakan, TGHH, Sheikh Ramadhan albuti, Assyahid Imam Hassan albanna dan lain-lain. Ada yang habis dibaca dan ada yang tidak. Buku-buku ilmiah seperti karangan Ustaz Zaharuddin, Al-Qarni, Qaradhawi dan lain-lain turut menjadi pilihan.

Gila buku?

Rekod pembelian paling tinggi dicatat pada Pesta Buku Antarabangsa tahun lepas apabila hampir RM1 000 saya belanja di sana. Sekali ganda dari tahun sebelumnya. Bukan sekaligus tetapi 3 hari yang berlainan. Ada saja yang ingin dibeli termasuk juga langganan majalah-majalah. Ada juga sahabat-sahabat yang menasihati supaya berhenti dari membeli buku dan menghabiskan buku-buku yang sedia ada. Katanya membazir, Saya tidak menafikan nasihat mereka untuk kebaikan, namun saya terfikir mungkin sekarang saya mempunyai kewangan yang agak baik namun kesempatan masa kurang. Siapa tahu suatu ketika nanti saya mempunyai masa yang banyak tetapi kekurangan kewangan untuk membeli buku.

Mujur juga Pesta Buku Antarabangsa tahun ini saya tidak berada di Kuala Lumpur, jika tidak pasti berganda lagi belanjanya. Saya berharap agar saya mampu menghabiskan buku-buku yang dibeli ini supaya mendapat berkat dan manfaat ilmu daripadanya. Barangkali sifat saya yang tidak fokus kepada satu-satu buku menyebabkan jarang ianya habis.

Novel

Saya bukanlah hantu novel namun tetap membaca novel yang ditulis oleh Ramlee Awang Murshid. Saya tidak tahu kenapa saya suka novel RAM tetapi tidak bagi novel yang lain. RAM adalah satu-satunya penulis novel yang saya beli novelnya dan menunggu novel-novel terbarunya.

Novel Ayat-ayat Cinta pun hanya saya pinjam dari seorang sahabat. Menarik cerita tersebut namun tidak membuka hati saya untuk membelinya sebagai koleksi. Begitu juga novel Faisal Tehrani yang sangat diminati terutama oleh seorang sahabat saya. Saya cuba meminati novelnya namun gagal. Barangkali kerana saya tidak nampak keindahan sastera FT. Pernah saya cuba membacanya namun kesudahannya saya akan tertidur sehingga jika tidak boleh tidur pasti saya mencari buku FT untuk men'dodoi'kan saya.

Percubaan saya akhirnya berjaya menerusi novel Tunggu Teduh Dulu. Ternyata ceritanya menarik dan seakan-akan Ayat-ayat Cinta. Cumanya terbalik, TTD mengisahkan wanita yang diminati oleh ramai lelaki. Mungkin saya boleh mencadangkan kepada muslimah novel ini. Kalau anda meminati AAC, pasti anda akan menyukai TTD. Novel TTD ini sebenarnya novel lama dan diterbitkan secara bersiri di dalam akhbar suatu masa dahulu sebelum dibukukan sebagai novel. Bahkan lebih lama dari AAC. Argh, barangkali semua sudah mengetahui kerana peminat FT itu ramai. Hanya saya seorang saja yang sukar membaca tulisannya.

Boroskah?

Kadang-kadang terfikir juga, boroskah saya? Rasanya tidak. ini kerana saya melihat ada lagi seorang sahabat yang gila buku. Itulah, sepatutnya ingin membandingkan keborosan, lihatlah orang yang kurang boros dari kita. :-) Hakikatnya hanya kita yang mengetahui diri kita sendiri. Walaupun saya dilihat boros oleh rakan-rakan, suka beli buku, suka belanja makan, suka beli itu ini namun hakikatnya saya sendiri mempunyai plan perancangan kewangan sendiri (pada pandangan peribadi saya saja) . Orang yang tidak suka berbelanja tidak semestinya mempunyai perancangan kewangan yang baik. Ntahla.

Nasihat saya kepada sesiapa yang suka membeli buku, belilah dengan syarat akan berusaha untuk membacanya. Jangan hanya menjadikan ia sebagai koleksi kerana rugi tidak dapat mengambil manfaat darinya.

2 ulasan:

alFaratisyah berkata...

~Sangat setuju dgn pernyataan org yg tdj berbelanja tdk semestinya mempunyai pengurusan kewangan yg baik~

Memang sangat sukar sebenarnya utk menyekat keinginan utk membeli buku, apatah lagi kalau dari penulis yg diminati. Namun, apa yg penting sbnrnya bagaimana kita memperuntukkan masa kita kemudiannya utk membaca buku2 dlm koleksi.

Sehinggga sekarang, buku2 yg dibeli bbrp bulan lepas belum sempat dibaca sepenuhnya walaupun keinginann utk membaca kesemuanya membuak2. Moga Allah mudahkan & lapangkan masa, insyaAllah.
Novel tulisan RAM juga menarik, ia bukan novel picisan biasa, tetapi terkandung pengajaran yg boleh dikutip.

Tidak pernah membaca TTD,kerana jarang membaca novel karangan Faisal, insyaAllah cuba mencari & mengkaji hikmah di sebalik novel TTD.

Jazakallah atas perkongsian.

Al - Mu'allim berkata...

Terima kasih atas pandangan ukhti.

Itulah yang saya alami bila ke kedai buku. InshaAllah akan terus istiqamah dlm menghabiskan buku2 itu.

InshaAllah kita cuba memanfaatkan buku tersebut. Membaca amat digalakkan dalam Islam sehingga wahyu pertama adalah tentang iqra'

Berkenaan novel RAM, mmg sgt lain dari yang lain. Benar, banyak ilmu yang dapat dikutip darinya.

Saya pun jarang membaca novel Faisal. Hanya 1515Kombat yang dibaca sewaktu dulu2 dan TTD bulan lepas. kalau boleh, kongsikan pengajaran dan hikmah dari buku2 yang dibaca.

InshaAllah dalam artikel akan datang saya akan cuba menulis tentang buku-buku menarik dari koleksi saya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails