BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


26 Nov 2010

Maafkan ku kawan

Seorang sahabat menghubungi saya meminta alamat untuk diposkan kad jemputan perkahwinan beliau dengan pasangannya. Sudah lama kami tidak bersua. Beliau di Lembah Klang sementara saya di Lembah Sireh. Jarak perjalanan antara kami adalah 45 minit penerbangan atau 7 jam perjalanan darat.

Sempat juga beliau menyatakan kerinduan kerana sudah lama tidak bertemu dan bertanya bila mahu datang ke Lembah Klang. Saya memberitahu beliau bahawa saya baru saja ke sana sebelum 'iduladha tetapi tidak sempat bertemu beliau kerana kesibukan. Beliau meluahkan kekecewaan kerana tidak sempat bertemu. Sebenarnya jika saya mahu, boleh saja saya mencari waktu di sebalik kesibukan itu untuk bertemu beliau namun saya memilih tidak melakukannya.


Beliau adalah sahabat saya sewaktu di alam kampus. Walaupun kami berasal dari negeri yang berlainan tetapi itu tidak menghalang kami menjadi rapat. Selain menjadi tempat rujuk, saya juga sering menjadi tempat beliau berkongsi masalah. Kami juga berkongsi minat yang sama dan beriadhah bersama. Mengapa saya mengelak darinya?

Bukan kerana saya membencinya tetapi saya bimbang peristiwa ramadhan lepas berulang lagi. Ketika itu saya baru tiba di Lembang Klang dan sebelum bertolak kami berjanji untuk iftor bersama pada petang itu. Sejam sebelum iftor, beliau menghubungi saya membatalkan janji kerana kekasih hatinya mengajaknya berbuka bersama. Saya agak kecewa dengan keputusannya. Sudah lama kami tidak bertemu dan apabila berpeluang beliau memilih untuk mengelak. Padahal hari-hari yang lain beliau boleh berjumpa kekasih hatinya apalagi berbuka bersama sedangkan saya hanya mempunyai lawatan yang singkat ke Lembah Klang. Aduhai, saya tidak kisah jika dia membatalkan janji kerana isteri atau masalah-masalah lain. Namun saya agak terkesan kerana pembatalan adalah kerana ingin iftor dengan kekasih hati yang hanya dirancang on d spot. Lebih saya terasa kerana sebelum itu saya menolak ajakan sahabat yang lain kerananya.

Peristiwa itu bukan kali pertama bahkan berkali-kali berlaku namun saya cuba berfikir positif dan cuba memahami pasangan yang bercinta namun kali ini saya gagal lebih-lebih lagi beliau adalah sahabat yang faham agama. Jadi saya mengambil keputusan untuk tidak berjumpa dengan beliau sewaktu ke Lembah Klang yang lalu kerana bimbang peristiwa ini berulang lagi. Apalagi kerana ketika ini sudah pasti beliau sedang sibuk menguruskan urusan perkahwinan.

Saya berharap agar perkahwinan beliau dirahmati Allah dan berkekalan hingga ke syurga. Itu doa saya untuk sahabat-sahabat yang melangsungkan perkahwinan. Bukan sahaja kekal ke anak cucu, bukan saja hingga akhir hayat bahkan sampai ke syurga. Walaupun semasa perhubungan banyak masalah dan salah faham yang mereka hadapi sehingga kadang kala saya turut diheret untuk menyelesaikannya namun saya harap mereka belajar dari kesilapan. Juga semoga Allah mengampunkan kekhilafan mereka sewaktu berkapel dulu supaya rumah tangga yang dibina dirahmati Allah.

Mohon maaf setingginya kerana tidak dapat meluangkan masa untuk bertemu. Bukan niat untuk melupakan, apalagi untuk membenci kerana perasaan benci kepada sahabat tidak pernah ada dalam diri. Kadang kala saya khuatir apakah virus-virus ukhuwah telah menyerang ukhuwah kami? Mudah-mudahan tidak. 

"Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah yang seiring denganku & menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Ku hulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai sahabat, aku semakin percaya diri. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tak luntur baik dalam suka atau duka. Jika aku dapat, aku ingin setia padanya..."

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails