BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


29 Dis 2012

Cikgu janganlah berkira sangat

Saya rasa hampir semua rakan-rakan guru sudah selesai bermesyuarat bagi persediaan untuk sesi persekolahan 2013. Kalau pun belum, mungkin hanya guru-guru di Malaysia Timur kerana kebiasaan mereka bermeyuarat agak lewat. Di semenanjung, ada yang bermula 24, ada yang bermula 26 dan ada juga bermula 27. Ianya dikira hari bekerja dan sebarang ketidakhadiran perlu disertakan sijil sakit (MC) atau gunakan peruntukan Cuti Rehat Khas (CRK) yang masih ada. Oleh sebab itulah, biasanya tarikh selepas krismas, cikgu-cikgu tidak lagi dibenarkan ke luar negara atas urusan lawatan sosial dan sebagainya.

Usai mesyuarat guru, pasti ianya disusuli pula dengan mesyuarat j/kuasa induk Kurikulum, j/k induk Hem, j/k koko dan sesetengahnya terus menyambung dengan mesyuarat panitia, mahupun mengadakan LDP dan juga hari orientasi pelajar-pelajar baru. Alhamdulillah, saya sudah selesai semuanya. Pada mulanya rasa nak kembali ke kampung, rasa nak mmukat dan makan ikan darat, namun setelah menimbang banyak perkara, ku pendamkan rasa hati ini.
SmartStudy
gambar dari sini
Sudah pasti apabila usai semuanya, cikgu-cikgu sudah mengetahui tugasan-tugasan untuk tahun hadapan. Agak mustahil untuk semua cikgu mendapat tugasan yang sama rata dengan rakan-rakan guru yang lain. Pasti ada cikgu yang dapat kerja lebih atau yang dapat bebanan kerja yang kurang. Nasihat saya, usahlah berkira sangat, cikgu.

Kadang-kadang kita kurang beban tugas tahun ini, tapi tahun hadapan kita akan lebih pula atau kita lebih tahun ini, tahun lepas kita dah kurang dah. Hidup ini berputar-putar dan tidak statik. Saya teringat kisah di sekolah lama, seorang cikgu kecoh kerana mendapat jawatan lebih satu dari cikgu lain. Padahal ada lagi cikgu yang jawatannya lebih banyak dari beliau, namun kecoh satu sekolah kerana beliau tidak berpuas hati. Saya amat tidak senang dengan situasi ini, sepatutnya beliau bersyukur kerana jawatan yang diberikan bukan berat mana pun. Padahal sebelum ni, beliau lah yang paling sedikit beban tugas kerana baik dengan pentadbir.

Hurm, sesi 2013 sebenarnya tugasan saya lebih banyak dari tahun 2012. Ada jawatan yang ditarik balik, namun diganti dengan jawatan lain dan ada juga beberapa pertambahan jawatan baru. INshaAllah cikgu, cuba ikhlaskan diri untuk menerima jawatan tersebut dan cuba yang terbaik. Jika kita asyik merungut, dibimbangi hasil kerja ntah ke mana dan apa pun tak dapat melainkan keletihan.

Mungkin ada juga yang cakap 'cikgu 'baru' semangat dia lebih', sebab tu nak merungut.(cikgu lama adalah cikgu yang sudah berkhidmat belasan tahun). Sebenarnya tak juga.  Bila kita berkerja dengan rakan guru yang berkerjasama inshaAllah tidak akan timbul masalah bebanan kerja dan sifat berkira atau dengki sesama rakan guru.
"...janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman..." (AlHasyr ; 10)
Moga keikhlasan kita mengajar akan melahirkan murid yang bukan saja bijak dalam pelajaran tetapi juga mempunyai sahsiah dan akhlak yang baik. Ameen.

##Nasihat buat diri dan rakan-rakan guru dan bakal-bakal guru


28 Dis 2012

Korban ke-8 banjir

Posting sebelum ni korban pertama, sekarang dah ke-8. Ajal maut di tangan Allah, namun apakah tiada usaha di peringkat kita? Innalillah..



28 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Dua kamatian akibat banjir dicatatkan setakat pukul 10.30 malam tadi dengan masing-masing satu di Terengganu dan Negeri Sembilan menjadikan mangsa korban meningkat kepada lapan orang.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), seorang maut akibat lemas di Jelebu, Negeri Sembilan dan seorang lagi di Setiu, Terengganu.

Di Terengganu, setakat petang tadi telah meragut enam nyawa iaitu tiga di Kemaman, dua di Setiu dan seorang di Kuala Terengganu.

Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah buruk malam tadi apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di dua negeri

Pantai Timur itu meningkat kepada 22,609 orang berbanding 21,800 petang tadi.

Menurut portal itu, mangsa banjir di Pahang malam ini meningkat kepada 448 orang berbanding 435 petang tadi.

Mangsa banjir di Johor kini kekal seramai 13 orang.

Sementara itu di KELANTAN, keadaan banjir pada malam tadi tidak banyak berubah apabila jumlah mangsa banjir berkurangan sedikit kepada 6,809 orang.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu merangkumi 2,145 buah keluarga yang telah ditempatkan di 28 buah pusat pemindahan.

Jumlah yang dipindahkan di Pasir Mas adalah seramai 4,265 orang, Tumpat (2,329), Kota Baharu (197) dan Pasir Puteh (18).
Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya namun ia semakin menyusut termasuk sungai-sungai utama yang lain.

Keadaan cuaca pada malam tadi adalah baik.

Dalam pada itu, di TERENGGANU, mangsa banjir meningkat kepada 15,800 orang berbanding 14,894 petang tadi. - Bernama

26 Dis 2012

Korban pertama banjir

Lepas sudah mesyuarat pertama guru. Ada beberapa pertambahan jawatan lagi kali ini, tapi biarlah. Seronok berjumpa rakan-rakan guru yang lama tak jumpa, ada juga murid yang datang bersalaman.

Duk risau tentang korban banjir, akhirnya ada juga korban yang saya rasa ini korban pertama di Pantai Timur. Alah, risau sungguh la kalu main nge air banyok nih. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas allayarhamah. Hok mano nak g mmukat tuh, hati2 la deh.



26 Disember 2012
Banjir: Wanita lemas, korban pertama Terengganu
Anggota polis mengangkat mayat mangsa lemas akibat banjir di Kanpung Hulu Seladang Setiu Terengganu malam ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU -  Seorang wanita menjadi korban pertama banjir di Terengganu apabila ia ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam sungai Lanjut berdekatan Jambatan Permaisuri semalam.
Ketua Operasi Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Izani Zakaria ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya dengan bantuan penduduk kampung, menemui mayat mangsa pada pukul 6.30 petang berdekatan tempat mangsa terjatuh.  
Samhanim Ramli, 36, dikatakan tergelincir ketika sedang menahan pukat jaring bersama suaminya, Wan Amran Wan Sudin di sungai tersebut kira-kira pukul 3 petang.  
Mayat dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada  6,100 orang sehingga 8.30 malam ini berbanding 5,297 orang petang tadi. Mereka kini tempatkan dipindahkan di 106 pusat pemindahan banjir.
Menurut portal banjir negeri, jumlah terbesar mangsa banjir yang dipindahkan adalah di Dungun iaitu seramai 1,221 orang diikuti Besut (1,096), Hulu Terengganu (1,046), Kemaman (979), Kuala Terengganu (807), Setiu (707) dan Marang (244).
Air di beberapa batang sungai termasuk sungai Besut di Kampung La; sungai Dungun iaitu di Pasir Raja dan Kuala Jengai; sungai Nerus, di kampung Langkap di sini; sungai Setiu di Permaisuri; dan sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu kekal berada di paras bahaya.  
Namun, setakat ini tiada jalan utama yang menghubungi negeri ini ditutup kepada kenderaan.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di Kampung Tasik dan Kampung Buluh di Setiu mendapati perbuatan beberapa penduduk yang bermain air di jalan raya dilihat boleh mengancam nyawa mereka memandangkan air yang mengalir amat deras di situ.
Seorang penduduk ketika ditemui Ibrahim Yahya, 56 berkata banjir ini disifatkan sebagai yang terburuk melanda daerah ini sejak tujuh tahun lepas.
"Daerah ini sering dilanda banjir namun tidaklah seteruk ini dimana air begitu cepat naik ke dalam rumah dan menyukarkan kami untuk bergerak dengan arus yang deras," katanya.

Ubi rebus + cekmek

Rasa tak puas lagi menulis pasal banjir. Musim banjir ni, paling laku adalah ubi rebus. Ubi kayu, ubi stelo dan ubi badak antara yang terfemes. Dulu-dulu, rajin juga gi gali ubi, namun sekarang lebih selesa membeli kerana harganya yang murah. 'Tigo amah' sekilo atau kadang-kadang 4kilo 5rial. Beli sekilo pun tak habis nak makan.
cekmek jadi gini sebab ubi stelo warno lain

Ubi kayu

Ubi badok

Nak balik semalam, nampak banyak ubi stelo dan ubi kayu di dapur, lalu timbul rasa nak makan cekmek. Tak tahu la apa nama bakunya. Hari tu dah buat dah skali, mendapat sambutan yang menggalakkan jadi kali ni rasa nak buat bertambah-tambah lebih-lebih hari terakhir sebelum bertolak.

Senang je nk buat cekmek ni. Ambik ubi stelo dan rebus. Bila dah empuk, kupas kulit dan  lenyek atau tumbuk dengan lesung. Kemudian campur gandum secukup rasa dan buat macam doh. Kemudian ambik sedikit doh tadi dan bulatkan kemudian leperkan, isi gula dan bujurkan.

Dah siap, saya suruh adik bongsu goreng. Best juga ada adik perempuan ramai ni, cuma sebab 2 orang je adik perempuan kat rumah, so suruh je la adik bongsu.

Malam tadi telefon bonda bertanyakan keadaan banjir. Kata bonda, hujan tidak lagi lebat seperti sebelumnya, namun air dilihat semakin meningkat kerana Thailand melepaskan air dari empangan mereka. Memang inilah keadaannya setiap kali musim banjir. Jika air empangan melepasi satu tahap, mereka akan melepaskan airnya untuk mengelakkan empangan itu pecah dan mengakibatkan banjir lebih teruk. Penduduk memang sudah sedia maklum dan bersedia. Tambahan pula, pelepasan air dilakukan secara beransur-ansur.

Masa untuk ke sekolah. Jumpa lagi




25 Dis 2012

Banjir

Alhamdulillah. Selamat tiba di Pulau Pinang selepas mengharungi hujan yang sangat lebat di Kelantan. Rupanya di Pulau Pinang ini sang mentari begitu galak memancar sinarnya. Tidak sempat untuk merasai suasana banjir pada tahun ini kerana 'puye bah' lambat kali ni.
oreng pun sodap...

Apabila teringat banjir, pasti yang akan berada dalam ingatan adalah ikan darat. Asam pedas haruan dan puyu goreng sudah cukup untuk mengecurkan liur dibibir. atau mungkin juga keli masak lemak. Berpagi-pagian memasang pukat, berpetang-petangan melihat hasil tangkapan dan berterusan setiap pagi dan petang di baruh hinggalah air surut.

Tika di bangku sekolah rendah, musim sebegini kadang-kadang mengikut pakcik mencerut rumput untuk santapan lembu atuk dan lembunya. Sekadar suka-suka, sambil menunggu, sambil mengintai peluang untuk menangkap ikan. Pada waktu kecil juga, kerap kali musim begini ops belalang dilancarkan. Lama sungguh tak makan belalang goreng. Ini merupakan hidangan kegemaran tika kecil dulu. Kenalkah generasi sekarang akan belalang goreng? Atau hanya di kampungku saja hidangan ini 'pupus'.

Banjir juga dilihat sebagai proses tapisan untuk tamu-tamu rumah Allah. Mana taknya, untuk ke surau perlu mengharungi air paras peha. Namun ada juga yang diberi hidayah oleh Allah untuk ke Masjid, ada juga yang memilih untuk ke masjid yang lebih jauh, malah ada juga yang hanya bersolat di rumah atas alasan dhorurat. Ada juga yang mengupah bocah-bocah untuk menolak perahu ke tempat solat.

Paling kasihan adalah mangsa banjir dari kalangan orang tua, pemilik kenderaan dan pemilik rumah itu sendiri. Itu semasa banjir, selepas banjir, kena membersihkan rumah pula. Moga Allah memberi kemudahan kepada mereka untuk menghadapi dugaan ini. Pada masa ini wakil rakyat yang bertanggungjawab merupakan golongan yang paling sibuk. Apa taknya, anak buah di segenap tempat memerlukan bantuan.

Moga banjir kali ini tidak meragut korban seperti tahun-tahun yang lepas. Kepada semua, awasi lah kanak-kanak. Bukan hanya yang ada pertalian dengan kita, sebaliknya kepada semua kanak-kanak yang kita lihat sedang membahayakan diri masing-masing. Mereka itu tidak sedar akan bahaya, justeru tugas yang dewasa inilah menegur mereka.

24 Dis 2012

Bersedia untuk ke sekolah

Nampaknya cuti sekolah kian sampai ke penghujung. Saya sedang meniti detik-detik terakhir di kampung halaman sebelum berlepas ke Pulau Pinang. Mesyuarat pertama guru bakal berlangsung pada 26 Disember. Sengaja diawalkan keberangkatan pada kali ini untuk mendapatkan rehat secukupnya di sana supaya minda betul-betul bersedia untuk menghadapi Mesyuarat yang akan berterusan sehingga sesi persekolahan dibuka.

Lagipun masih perlu menyinggah di rumah keluarga angkat di seberang prai bagi menghulurkan titipan dari bonda buat mereka di samping kasihan kepada housemate yang keseorangan di sana kerana sudah tiba sejak 14 Disember yang lalu. Awal sungguh beliau datang.

Seminggu ini hujan turun tidak henti-henti di kampung halaman. Adakalanya lebat adakalanya renyai. Sangat jarang kelihatan sang mentari. Apakah ini petanda musim banjir bakal tiba? Hurm, alhamdulilah, banjir tidak pernah sampai ke halaman rumah walaupun tinggal bersebelahan tali air. Banjir semacam satu rezeki kerana dapat menahan pukat di baruh, kerana itu saya suka akan situasi ini. Namun, apa guna kita gembira tetapi di kawasan lain rumah-rumah mereka ditenggelami air banjir. Kesian mereka, pasti susah apalagi jika ada anak kecil atau orang tua lebih-lebih lagi terpaksa berpindah.

Rasa sedih pun ada nak tinggalkan kampung halaman ini, namun perjuangan mesti diteruskan. Tak sempat pula nak merasa hasil tanaman sepanjang cuti sekolah ini. Mudah-mudahan tanaman kacang botol yang diusahakan ini dapat dinikmati hasilnya nanti. Seronok juga melihat tanaman-tanaman ni membesar, kalau tahu nak je tanam tanaman-tanaman lain lagi. Setakat kacang botol dan lada, apalah sangat. Namun kita perlu bersyukur dengan apa yang ada.
gambar dari sini
Rasa semangat nak mengajar pun ada dah ni apalagi terkenangkan keputusan peperiksaan yang lepas. Moga tahun hadapan keputusannya lebih bagus dari tahun ini. Mohon doa sahabat-sahabat ya. Tahun depan nak jadi cikgu yang lebih baik dari tahun ini. Alhamdulillah, sedikit sebanyak pembacaan yang dibuat moga mampu membenihkan hasil yang lebih baik.

Berharap juga tiada lagi kes-kes disiplin yang teruk berlaku pada tahun hadapan. Sedih mengenangkan beberapa kes yang berlaku di luar jangkaan pada tahun ini. Pada tahun hadapan, bilangan pengawas dikurangkan, moga kualiti mereka lebih baik dari kuantiti pada tahun ini dan dapat memberi kerjasama yang baik.

Paling sedih, sekolah kehilangan seorang ustaz yang sangat berdedikasi kerana perpindahan beliau ke sekolah berdekatan rumah. Moga mendapat pengganti yang lebih baik. Memang benar yang patah pasti kan tumbuh dan yang hilang akan berganti namun yang tumbuh tidak semestinya sama dengan yang patah dan yang berganti tidak semestinya lebih baik dari yang hilang. Apapun, perjuangan mesti diteruskan.

Akhirul kalam, mohon doa dari sahabat-sahabat untuk kebaikan kita bersama. Allahumma Ameen.

20 Dis 2012

Saya dan rokok : episode 2

Sepatutnya ni dah masuk episode ke-5 selepas lama saya tulis episode 1, namun saya letakkannya di episode ke 2 kerana masih belum di publishkan episode yg lain. Takkan nak langkau episode. Ada kisah di sebalik episode ini,  baru sekarang saya berkesempatan untuk menulisnya.

Sebenarnya tulisan ini berada di dalam draft sejak setahun lalu, entah kenapa tidak terbuka hati untuk menyiapkannya dengan sempurna. Kadang-kadang terlalu banyak alasan menyebabkan saya malu kepada diri saya sendiri. Lagipun saya telah berjanji untuk menyambung tulisan tersebut.

Namun, kali ini sebelum saya menyambung tentang apa yang saya tulis pada ayat terakhir di dalam tulisan episode 1, saya ingin menyentuh satu lagi tajuk tentang rokok yang tidak kurang pentingnya dalam kita cuba untuk mendidik masyarakat iaitu tentang cikgu yang merokok.
gambar dari wikipedia
CIKGU MEROKOK

Menjadi seorang cikgu bukan saja kita mengajar dengan kata-kata, bahkan dengan perbuatan kerana apa yang kita lakukan akan dilihat dan cuba ditiru oleh murid. Bahkan cikgu sebenarnya lebih dipercayai oleh murid berbanding dengan ibu bapa mereka. Benarlah kata pepatah cikgu kencing berdiri, murid kencing berlari.

Saya teringat ketika mengajar murid tentang tajuk bahaya merokok. Pelbagai penerangan dan huraian panjang lebar tentang bahaya merokok saya berikan kepada mereka sehingga habis masa saya di dalam kelas tersebut. Di akhir kelas, seperti biasa saya membuka soalan kepada mereka jika ada sebarang kemusykilan.

Tiba-tiba seorang murid mengangkat tangan.

"Ya, silakan,".

"Cikgu, cikgu Azmi(bukan nama sebenar) merokok tu. tak bahaya ke?", tanya Amirul

"Ya, cikgu. Saya nampak Cikgu Azmi merokok kat tepi padang sana," tambah Joseph.

"Kadang-kadang dia buat asap bulat-bulat cikgu," sampuk Jhonny.

"Err..Err..," susah juga saya nak menjawab. Mengenangkan Cikgu Azmi adalah kawan saya, juga seorang cikgu tetapi saya berfikir murid-murid di hadapan saya ini lebih utama untuk saya didik.

"Ha..Macam mana tu, cikgu?," Khaleel dan Tajudeen bertanya serentak.

"Tak kira sesiapa. Kalau merokok, ianya tetap bahaya walaupun orang yang merokok itu cikgu,", jawab saya.

"Jadi, cikgu Azmi pun akan mati ke sebab hisap rokok?," tanya Cheong pula memandangkan ada gambar mayat berbungkus kesan akibat rokok. Dushh..

"Macam cikgu cakap tadi, merokok ni memberi bahaya kepada jantung kita sepeti mana dalam gambar... bla bla bla," Saya menghurai kembali apa yang saya terangkan dengan ringkas tetapi penuh yakin.

Saya sangat bersyukur kerana tidak menjadi seorang perokok. Walaupun ada antara rakan-rakan yang merokok, alhamdulillah saya tidak langsung teringin. Mungkin kesan dari cuba-cuba dulu :)

Tapi tu lah. Amat sukar untuk mendidik murid jika cikgu sendiri yang melakukan kesalahan yang nyata di hadapan murid. Kita ingin mendidik murid tidak merokok tetapi kita merokok dihadapan mereka. Bahkan merokok pula di hadapan mereka.

Usai kelas, saya ke bilik guru dan berjumpa cikgu Azmi.

"Tadi aku masuk topik rokok. Duk terang-terang kat depa, depa cakap duk nampak hang hisap rokok tepi padang. Letih juga nak menjawab," jelas saya.

"Owh, hang terang je kat depa. Cakap bahaya hisap rokok ni dan jangan jadi cam aku", jawab cikgu Azmi ringkas.

Merokok adalah bahaya kepada kesihatan kita bahkan Majlis Fatwa telah mengemukakan mengeluarkan fatwa HARAM MEROKOK berdasarkan hujah-hujah yang diberikan. Amat tidak patut ianya diamalkan oleh seorang muslim, apalagi seorang cikgu lebih-lebih lagi dilakukan dihadapan murid.

Kepada yang belum mencuba, usah cuba melakukan sesuatu yang haram walaupun sekali.

Mohon maaf jika ada yang tersinggung. Wallahu a'lam

17 Dis 2012

Alkisah tentang jodoh

gambar dari sini
Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah.  Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintah-Nya agar berusaha. Carilah jodoh yang baik, rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga.

Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan ALlah. Milik kita hanya usaha. Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita.

"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.

"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"

"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya.

"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada facebook dan twitter?," gurau saya.

"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain...."


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails