Kali ini saya ingin berkongsi kisah murid-murid yang saya kasihi. Walaupun saya adalah cikgu matematik, tetapi seboleh mungkin saya cuba memasukkan suntikan agama di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran saya di kelas. Saya cuba memastikan mereka tidak hanya mendapat ilmu malah sering dengan itu akhlak mereka juga dapat dibentuk. Ini juga merupakan pembelajaran merentasi subjek yang mesti dilakukan oleh guru-guru. Ya, memasukkan unsur-unsur subjek lain ke dalam subjek yang diajar.
Tidak banyak yang boleh saya masukkan tetapi saya cuba seboleh mungkin mengaitkan dengan agama kerana semua murid kelas saya adalah muslim. Namun saya sedikit terkejut dengan teguran seorang murid darjah 4 kepada saya ketika saya cuba menasihati mereka dalam kelas saya.
"cikgu!!" dia memanggil saya sambil mengangkat tangan.
"ya, ada apa?" saya bertanya.
"sekarang masa matematik, bukan masa agama", tegurnya.
Saya terdiam seketika kerana terkejut dengan kata-katanya. Sedikit sebanyak saya terkejut dan agak terasa dengan kata-katanya.
"cikgu, dia memang tak suka pelajaran agama pun", tiba-tiba rakan sekelas yang lain mencelah.
"tak apa, jawab saya. Sebenarnnya apa yang saya cakap ini ada kaitan dengan matematik. apalagi di dalam agama juga ada matematik. Kalau tidak mana mungkin kamu boleh mengetahui bilangan rakaat dalam solat".
Saya meneruskan pelajaran seperti biasa apabila kelas kembali tenang. Saya cuba menasihatinya dan memberi mutiara nasihat supaya menjadi seorang yang di samping berjaya di dalam pelajaran, turut memiliki akhlak yang mulia. Kejayaan seseorang itu bukan terletak pada berapa banyak A's yang diperolehi tetapi pada kemuliaan akhlaknya kerana berapa ramai yang berjaya di dalam akademik tetapi gagal membentuk akhlak yang terpuji.




