BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


26 Feb 2010

Kisah dulu

Seingat saya, sewaktu di bangku sekolah rendah dulu, saya tidak pernah dirotan oleh cikgu kerana saya jarang menimbulkan masalah lebih-lebih lagi ada cikgu sekolah yang dikenali bonda. Sebarang masalah yang saya timbulkan akan diadukan kepada bonda sehingga saya tidak berani melakukan masalah. Pernah saya tidak menghantar kerja rumah kerana tidak siap lalu cikgu tersebut memberitahu bonda saya. Akibatnya pada malam itu saya dimarahi bonda dengan teruk dan disuruh membuat kerja tersebut sampai siap walaupun waktu sudah melepasi tengah malam.

Untuk menangani kes-kes disiplin, rotan jarang digunakan berbanding penampar dan cubitan perut. Amat sakit sehingga boleh mengeluarkan air mata. walaupun saya tidak pernah kena tetapi saya lihat pelajar-pelajar yang kena tidak pernah membawa kes ini ke rumah, apalagi ke balai polis mahupun mahkamah. Ada sekali, seorang ustazah 'memukul' murid dengan pembaris kuning yang panjang kerana mengganggu murid perempuan, pukulan tersebut terkena di bisul sehingga basah bajunya dengan darah yang keluar. Namun tiada ibu bapa yang datang menyerang cikgu. Murid-murid sendiri tidak berani untuk memberitahu ibu bapa kerana sudah pasti mereka akan mendapat 'hadiah' dari ibu bapa mereka pula jika diberitahu.

Walaupun senakal mana murid dahulu, mereka tidak pernah sampai kurang ajar dengan guru atau menyimpan dendam kepada guru yang menghukumnya. Bahkan mereka tetap menghormati guru tersebut. Nakal mereka hanyalah nakal seorang budak berbanding sekarang yang nakal mereka boleh ditakrifkan sebagai jahat. Apakah sebabnya? Apakah kerana didikan awal yang diterima dari ibubapa ataupun ia berkait dengan keikhlasan seorang guru dalam mendidik mereka. Minggu ini ada budak bergaduh di dalam kelas dan apabila seorang guru pelatih cuba meleraikannya, guru tersebut pula cuba ditolak oleh murid itu.

Saya amat kagum dengan guru kelas saya sewaktu sekolah dulu. Selepas 'pukulan' ustazah itu menyebabkan bardarah baju kawan saya, beliau dengan rasa tanggungjawab yang menganggap murid sebagai anak mengambil baju tersebut dan membasuh dan menjemurnya tanpa rasa berat.

Sewaktu rehat, kami suka bermain bola di padang atau bermain Police Sentry. Teringat kisah seluar saya terkoyak (tertetas benang ) dari paha sampai ke bawah. Apabila masuk kelas, cikgu yang mengajar subjek ketika itu meminta kawan saya mengambil kain pelikat di musolla untuk saya gunakan. Selepas tamat kelas beliau, beliau menjahit seluar saya tanpa disuruh sehingga saya amat terharu dengan tindakan beliau. apakah keikhlasan melakukan tanggungjawab yang tidak berkait dengan aktiviti P&P ini yang menyerlahkan keizzahan mereka sebagai guru sekaligus membuahkan rasa hormat murid kepada mereka?

Sebenarnya banyak lagi kisah yang apabila mengingatkannya membuatkan saya kagum dengan mereka. InshaAllah jika berkesempatan saya akan kongsikan untuk posting yang akan datang.


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails