BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


21 Jul 2010

Lelaki jahat...

Entah berapa kali sudah saya mendengar ungkapan ini dari mulut gadis melayu zaman sekarang. Biasanya ungkapan ini keluar dari mulut mereka selepas mereka ditinggalkan kekasih hati mahupun hubungan terputus.

Saya tidak tahu mengapa tetapi sejak dari zaman belajar sampailah sekarang apabila gadis melayu zaman sekarang mempunyai masalah 'clash' atau putus cinta pasti mengadu dan berkongsi masalah mahupun meminta pandangan saya. Ada yang hanya mengenali saya seminggu tetapi tanpa segan silu menceritakan masalahnya.
Teringat kisah seorang gadis yang mengikuti kursus komputer sewaktu belajar dulu. Kursus itu selama sebulan dan saya diberi tempat sebelah seorang gadis. Minggu kedua di sana gadis tersebut mencurahkan masalah kepada saya dan meminta pandangan. Padahal kami tidak pernah berbual kecuali hal-hal berkaitan komputer. Saya hanya memberi pandangan mengikut kemampuan saya sahaja.

Kata seorang sahabat, saya sesuai menjadi seorang kaunselor kerana suka selesaikan masalah orang lain. Menurut beliau, orang selesa menceritakan kepada saya masalah kerana saya memberi respon dan pandangan yang baik. Tidak juga sebenarnya kerana pernah juga saya di'marah'i kerana pandangan dan pendapat yang dikemukakan tidak sama dengan apa yang diharapkan oleh penanya itu. Emm...

Jujur saya katakan, walaupun saya menghargai kepercayaan yang diberikan, namun kadang kala saya rimas dengan permasalahan yang dikemukan. Ini kerana skrip mereka hampir sama iaitu berkapel bagai nak rak, terus bila bermasalah atau clash barulah sedar bahawa hidup ini tidaklah berkisar kepada kehidupan mereka berdua saja.

Semasa bercinta, bukan main lagi, call, sms, dating, ym, fb, web cam dan sebagainya. Bergayut 2-3 jam seperti 2-3 minit saja, lepas balik dating bercakap telefon, habis bergayut berSMS lagi dan apabila berlaku masalah dalam perhubungan, menyalahkan pasangan masing-masing dan melabelkan jahat dan sebagainya. Apakah benar pasangan mereka itu jahat atau dulu mata dan hati mereka telah dikelabui cinta atau tuduhan dan label ini hanya untuk melepaskan geram.

Ada juga yang bila dicurangi oleh pasangan masing-masing, mengharapkan Allah menggantikan dengan pasangan di syurga. Aduh, semasa bercinta tenggelam dalam syurga dunia, lupa amaran Allah, bila hubungan terputus baru sedar adanya syurga Allah.

Kisah-kisah pembuangan bayi dan jenayah rogol/zina yang berleluasa ini berpunca dari hubungan ini sebenarnya. Jika berkesempatan, suka ingin saya kongsikan kisah-kisah yang berlaku ini untuk panduan dan iktibar kepada para pembaca lebih-lebih lagi Muslimat. Juga tentang beberapa trick lelaki yang membuatkan pasangan muslimat tertipu.

Hati-hati dan peliharalah maruah anda. Jika belum berkapel dan tiada hasrat untuk berkahwin dalam tempoh terdekat, ELAKKANLAH dan jika sudah ada pasangan, percepatkanlah menjadi yang halal untuknya daripada terus terdedah kepada dosa.

'Arrijalu qowwaamu na 'alannisa'. Namun bukan semua lelaki itu qowwamu ke atas wanita. Ada syarat dan tuntutan yang perlu diikuti untuk membolehkan mereka termasuk dalam golongan qowwaamu ini

18 Jul 2010

Haram pakai baju Manchester united

Habis sudah episod Piala Dunia edisi 2010 sebaik saja wisel penamat ditiup oleh pengadil pada awal pagi 12 Julai yang lalu. Seluruh dunia sudah mengetahui bahawa juara pada edisi kali ini adalah Sepanyol iaitu pasukan yang baru pertama kali ke peringkat akhir dan menjadi juara.

Saya menjangka episod si sotong Paul sudah berakhir namun jangkaan saya silap. Terbaru tentang pemilihan Presiden Russia yang menggunakan khidmat si sotong yang dikatakan sudah 'bersara' ini. Saya tidaklah kisah sangat kerana ianya melibatkan orang-orang kafir yang tidak mendapat rahmat dan hidayah Allah. Wajarlah mereka dipesongkan sehingga menjadi dungu dengan bertuhankan binatang itu. Namun rupanya ia tidak hanya melibatkan mereka. Ada juga rakan-rakan yang masih merajakan si sotong ini apabila banyak kuiz-kuiz di facebook yang meramal menggunakan sotong ini. Aduhaii. Berbalik kepada tajuk post kali ini.

Jersi Bola

Jika kita bertanya kepada peminat bola, pasti mereka ada pasukan pilihan masing-masing dan memiliki jersi pasukan masing-masing. Tidak kiralah jersi pasukan kebangsaan mahupun pasukan kelab. Namun perkara yang tidak diambil endah oleh mereka adalah tentang lambang dan logo yang tertera pada baju tersebut.

Dulu saya pernah menasihatkan kawan saya supaya tidak memakai baju Manchester United yang jelas menggunakan gambar syaitan namun saya ditempelak dengan soalan "pernah tengok syaitan ke? Muka syaitan seperti kat logo tu ke?". Hehe. kalaulah nama pasukan dah Red Devil, maka takkan gambar malaikat di logo tu. Lagipun mereka sendiri yang mendaftarkan syaitan itu sebagai trade mark. Cubalah jadi peminat yang serba tahu dengan mengunjungi web mereka sendiri.

Namun saya pula dimarahi dan mereka menggunakan hujah hati. Ya, niat dihati bukan nak merajakan syaitan tapi sebab peminat kepada pasukan saja. Em, kalau hati dah keras cakap apa pun dah tak guna. Pengeluaran jersi baru Manchester United bakal menjadi koleksi baru mereka nanti.

Namun rakan saya yang menyokong Liverpool lain pula ceritanya. Kelab Liverpool adalah kelab yang terkenal dengan tulisan Carlsberg besar di baju. Walaupun meminati liverpool namun tidak pernah membeli produk liverpool kerana sebab tajaan itu. Beliau berharap agar liverpool menukar penaja lain supaya boleh membeli jersi liverpool. em, sekurang-kurangnya dia tidak menjadi pengiklan carlsberg.

Sama juga penyokong pasukan barcelona yang memaparkan logo salib di baju. Tidak ketinggalan jersi Portugal, Brazil dan Sweden. Apalagi Norway yang lambang salib merentangi baju. Aduh,begitu tega umat memakai baju-baju ini.

Boleh ingin menyokong pasukan ini kerana minat namun janganlah sampai menggadaikan aqidah. Saya berharap agar penjelasan mufti di akhbar hari ini membuka pintu hati mereka terutama kawan-kawan saya. Mungkin kata-kata saya mereka boleh sangkal walaupun saya memberi hujah yang kukuh namun kata-kata mufti ini lebih jelas dan nyata. Saya menunggu fatwa untuk menutup mulut mereka ini.

Apapun buat Muslimat, jika ada adik, abang, ayah mahupun suami anda meminati bola sepak, itu biasa. Jika mereka memiliki barangan pasukan kegemaran mereka itu juga biasa. Namun perhatikan logo dan lambang yang tertera itu. Apakah ada tanda salib, gambar syaitan mahupun tajaan syarikat arak.

12 Jul 2010

Saya dan hospital

Seingat saya, saya tidak pernah masuk wad. Bukan tidak pernah sakit, tetapi sakit yang diuji kepada saya tidak sampai terpaksa bermalam di wad. Bahkan sakit yang saya rasakan agak teruk 3 bulan yang lepas selama seminggu saya hanya habiskan di katil bilik. Itu pun sakit yang disebabkan diri saya sendiri yang cuai.

Tetapi pengalaman bermalam di hospital adalah perkara yang tidak asing lagi bagi saya kerana menemani ayahanda, bonda mahupun allaryarhamah adinda sewaktu hayat beliau. Banyak gelagat dan perangai manusia dapat saya lihat sewaktu di hospital dan tidak kurang juga pengalaman-pengalaman terutama sewaktu meneman ayahanda sewaktu disyaki pengidap demam denggim kira-kira 8 tahun yang lepas.

Pada waktu itu ayahanda ditempatkan di wad kelas 3 Hospital Besar Kota Bharu. Keadaan wad itu agak kurang selesa kerana ramai pesakit di dalam wad berkenaan dan ditambah lagi dengan pelawat yang ramai. Permintaan saya untuk memindahkan ayahanda ke wad kelas 2 tidak dilayan oleh pihak hospital kerana ayahanda dikatakan memerlukan perhatian yang lebih dari jururawat sedangkan di wad kelas 2, pesakit lebih memerlukan rehat dan kurang jagaan dari jururawat. Mereka meminta saya bersabar menunggu keadaan ayahanda lebih stabil.

Agak lama ayahanda di sana sehingga menghabiskan cuti saya ketika itu. Saya bergilir-gilir dengan ahli keluarga yang lain, jadi kehadiran saya adalah selang sehari. Pengalaman yang paling 'menakutkan' apabila melihat pesakit-pesakit yang meninggal di sana. Ada yang sebelah katil saja dan esoknya diganti dengan pesakit yang lain. Kemudian di katil yang lain pula berlaku kematian dan diganti pula dengan pesakit lain. Mati seolah-olah perkara biasa di sana. Kadang-kadang apabila sampai giliran saya menemani ayahanda, katil sudah berubah tuan kerana tuan asal telah kembali ke rahmatullah.

Bunyi mesin jantung adalah perkara biasa di sana bahkan kedengaran bacaan surah yasin adalah bukan sesuatu yang pelik kerana doktor sendiri yang berpesan "boleh dah panggil saudara2 terdekat dan ajar mengucap/ baca yasin). Keadaan ini amat menginsafkan saya kerana adakalanya suara pesakit yang hampir nazak itu agak 'seram'.

Bukan saja di hospital ini bahkan hospital-hospital lain ada juga pengalaman lain. Mungkin boleh dikongsi pada masa akan datang. Cumanya yang menghairankan saya tentang seorang pesakit yang di tepi katilnya terdapat poster cara menunaikan solat orang sakit tetapi saya tidak pernah melihat beliau bersolat. Moga Allah memberi hidayah kepadanya dan kita semua. ameen

11 Jul 2010

Edisi Piala Dunia : Ummat menghampiri kekufuran

Banyak isu yang berlegar disekeliling kita semenjak dua menjak ini. Dari isu 40 ulama muda sehinggalah isu Piala Dunia yang menjadi bualan setiap manusia apalagi bila memasuki saingan akhir pada awal pagi esok.

Jika dulu golongan lelaki saja yang meminati sukan ini namun kini golongan wanita tidak terkecuali untuk mengambil bahagian. Di dalam akaun facebook mahupun blog2 rakan-rakan perempuan tidak terkecuali menulis tentang Piala Dunia samada di posting mahupun di status. Semuanya giler bola bahkan sanggup bangun menonton pada awal pagi.

Keajaiban world cup adalah mampu membangunkan manusia seawal jam 2.30pagi yang sebelum ini tiada daya untuk umat mengangkat selimut untuk berqiamullai. Bahkan untuk bangun sebelum azan subuh pun tidak mampu sebelum ini tetapi kehadiran world cup mengubah segalanya.

Saya melihat perkara ini dari sudut positif. Mungkin boleh menjadi persediaan atau latihan untuk bangun qiamullai menjelang ramadhan yang tinggal sebulan lebih lagi. Saya juga merupakan peminat bola tetapi pelik kerana tidak begitu teruja untuk bangun seawal jam 2.30 pagi untuk menonton. Satu-satunya perlawanan yang saya tonton pada jam 2.30 pagi adalah Spain vs Germany. Itupun kerana saya terbangun kerana tertidur di hadapan tv dan saya tidak menonotn keseluruhan. Tidak pasti malam nanti kerana saya kini berada di hospital.

Bagi saya bangun qiamullai adalah sunat tetapi jika mereka ingin bangun menonton bola tetapi tidak dapat meluangkn masa bersolat sunat sekurang-kurangnya 2 rakaat sewaktu rehat, mereka itu adalah golingan yang rugi. Namun menonotn bola sehingga menyebabkan terlepas solat subuh adalah sesuatu yang bukan saja sesat bahkan bodoh. Muslim seperti ini harus diselar kerana sikap yang tidak memandang rendah kelebihan solat. Tontonlah Piala Dunia tetapi jangan mengabaikan kewajiban sebagai Muslim.

Satu lagi keajaiban Piala Dunia kali ini adalah kemunjulan sotong yang digelar Paul the Octopus. Sotong yang dikatakan memiliki kebolehan meramal keputusan yang tepat apabila berjaya meramal keputusan 6 perlawanan tanpa sasar. Sotong adalah seekor binatang tetapi berjaya mempengaruhi manusia yang dianugerahi aqal. Berhati-hatilah kaum Muslim kerana Nabi bersabda di dalam sebuah hadith yang bermaksud :
"Sesiapa yang mengunjungi tukang tilik dan bertanya
kepadanya sesuatu maka
tidak akan diterima solatnya
selama empat puluh malam."
[Sahih Muslim, 2230]


Itu jika mereka tidak mempercayai. Mendatangi untuk suka-suka sahaja tetapi jika percaya, mereka telah kufur kepada apa yang dibawa oleh Nabi SAW. Ini juga termasuk horoscope dan juga pelbagai aplikasi terutama di facebook seperti yang diulas oleh Ustaz Zaharuddin.

Ummat, bertaubatlah selagi ada nyawa. Jangan sampai hobi menjerumuskan kita kepada kekufuran. Berpada-padalah.

Go go go Spain =)

27 Jun 2010

Salah faham BUsh dan Condoleezzer Rice

Komunikasi itu berkesan apabila ada persefahaman antara mesej yang diberi dapat diterima dengan baik oleh penerima. Jika tidak, jadilah seperti ini

Mansuh UPSR & PMR : Pro n Cons

Saya agak ketinggalan dalam mengulas isu ini kerana kesibukan urusan harian. Bukan saja isu ini bahkan isu-isu lain juga saya tertinggal untuk dikemaskini di blog ini. InshaAllah dalam masa cuti ini saya akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk terus menulis bagi berkongsi idea dan pengalaman bersama pembaca yang datang ke sini.

Cadangan pemansuhan UPSR dan PMR menimbulkan pelbagai reaksi oleh pelbagai pihak. Ada yang bersetuju namun bukan sedikit yang menentangnya. Namun dalam memperkatakan tentang dasar pendidikan negara, kita perlu cermat supaya tidak mendatangkan kerugian kepada generasi akan datang. Kajian menyeluruh perlu dilakukan supaya kita tidak membazir waktu, tenaga dan wang seperti yang berlaku dalam isu PPSMI.

Cadangan pemansuhan dua peperiksaan ini dikatakan untuk mengubah sistem pendidikan kita yang berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan ilmu. Ini adalah cadangan yang baik kerana jika hanya belajar kerana peperiksaan, sudah pasti ilmu yang didapati dari kelas tidak kekal lama diingatan. Buktinya banyak yang kita dapati disekeliling kita bahkan kita sendiri jika direnung kembali subjek-subjek sejarah yang dipelajari di bangku sekolah dulu, sudah pasti kita sudah melupakannya sekarang.

Pendidikan yang berorientasikan peperiksaan ini juga melahirkan pelajar yang hanya pandai teori tanpa tahu mengaplikasikannya. Berapa ramai pelajar yang cemerlang akademik tetapi gagal dalam akhlak bahkan gagal meneruskan kecermerlangan di peringkat yang lebih tinggi. Di mana rakan-rakan sekelas kita dulu yang cemerlang di sekolah sekarang?

Namun pemansuhan ini boleh menyebabkan pelajar hilang fokus dalam pelajaran. SIndrom pembelajaran saat akhir dikhuatiri menyebabkan hanya menumpukan pelajaran sewaktu tingkatan empat bagi menempuh SPM. Kesannya mereka tidak akan bersungguh-sungguh peringkat sekolah rendah mahupun menengah rendah. Akan kedapatan juga guru-guru yang tidak serius untuk mengajar kerana tiada lagi penilaian di peringkat nasional dan sudah pasti guru-guru tidak dapat menilai keberkesanan pengajaran mereka.

Perubahan mendadak ini pasti akan menimbulkan kejutan kepada sistem dan kesannya adalah kepada anak-anak. Berapa ramai yang terkesan dan menjadi mangsa PPSMI dulu? Justeru, penilaian dan kajian yang jujur perlu dilakukan supaya tiada lagi mangsa perubahan sistem pendidikan negara.

Penilaian yang dicadangkan dilakukan di peringkat sekolah ada baiknya namun sangat sukar untuk kita mengadili pencapaian pelajar. Sudah tentu guru-guru akan me'murah'kan markah anak didik mereka untuk menunjukkan kebolehan dan kehebatan mereka mengajar. Bersediakan kita dengan situasi ini?

Akhir sekali, mungkin cara mengelakkan orientasi peperiksaan di dalam sistem pendidikan dengan menguratkan merit untuk akademik semata-mata dalam menilai kejayaan pelajar. Kemahiran-kemahiran lain perlu diuji bagi memastikan mereka bukan saja cemerlang di dalam dewan peperiksaan bahkan juga di dalam kehidupan sebenar.

Apakah pemansuhan ini untuk mengurangkan bajet dalam penyediaan soalan, elaun penjaga peperiksaan, elaun pemeriksaan kertas peperiksaan? Kita harap bukan sebab itu.

2 Jun 2010

PALESTIN DIHATIKU

BLOG INI MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA TINDAKAN BIADAP ISRAEL MENYERANG MISI BANTUAN KEMANUSIAAN KE ATAS GAZA DAN MENDESAK PIHAK KERAJAAN MEMANGGIL SIDANG PARLIMEN DAN MENYATAKAN PENDIRIAN KE ATAS SERANGAN INI.

TINDAKAN KERAJAAN YANG BERUSAHA UNTUK MEMBAWA BALIK RAKYAT MALAYSIA YANG DITAHAN HANYA MENGGAMBARKAN SIKAP MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI APALAGI MEREKA YANG KE SANA PASTINYA SEDAR AKAN RISIKO INI DAN MENGHARAPKAN SYAHID.

SAYA YAKIN DAN PERCAYA MEREKA LEBIH SENANG DITAHAN ASALKAN TUJUAN ASAL UNTUK MENGHANTAR BANTUAN KE GAZA DIREALISASIKAN. MEMBAWA PULANG MEREKA HANYA MENGGAMBARKAN KETUNDUKAN KITA KEPADA ISRAEL.

SAYA BERASA BANGGA MENDENGAR PESANAN SEORANG AHLI ROMBONGAN KEPADA ISTERI BELIAU ANDAI BELIAU GUGUR SYAHID, SELESAIKAN SEGALA HUTANG BELIAU. APAPUN KITA MENGHARAPKAN AGAR MISI INI BERJAYA.

BERJUANG ERTINYA TERKORBAN RELA TERHINA KERNA KEBENARAN. ANTARA DUA PASTI TERJADI TUNGGULAH SYAHID ATAU MENANG

Apabila diri diuji

Manusia itu sering leka tanpa ujian dari Allah. Apabila menerima dugaan yg sedikit barulah mula sedar akan kesilapan dan kelemahan diri. Dan apabila diri aman dari ujian, manusia kembali leka dan perlu diuji lagi bagi menyedarkannya.

Itulah yang saya alami pada hari ini. Saya diuji yang bagi saya amat berat tetapi bila saya merenung kembali ujian ini hanyalah umpama lalat yang hinggap dijari. Hanya sedikit saja berbanding manusia yang lain terutama rakan-rakan di Palestin mahupun pasukan misi Gaza yang sedang bertaarung nyawa di lautan sana. Terdetik dihati alangkah bagusnya jika diri ini menjadi sebahagian dari mereka, namun apakah layak untuk saya menjadi sebahagian bersama mereka. Teringat kisah angkatan perang yang tidak berqiamullai tidak dibenarkan mengikuti perang.

Barangkali ini adalah ujian dan peringatan dari Allah untuk saya. Baru saya sedar sejak pulang dari bercuti Ahad lalu, saya belum mencecahkan kaki ke surau. Kadang kala disebabkan saya keluar bersama kawan kadang kala juga disebabkan kelemahan iman sehinggakan saya ditanya oleh seorang pakcik "lama x nampak?". Pertemuan kami hanya di surau, bagaimana ingin nampak kalau saya tidak ke sana. Saya merenung dan muhasabah kembali diri ini. Sepatutnya selepas kembali dari bertemu sahabat-sahabat, saya menjadi semakin kuat, sepatutnya selepas bertemu ustazah dan ustaz hari tu saya semakin lebih bertambah iman tetapi saya merasakan ada sesuatu yang menghalang saya ke arah itu.

Semoga ujian Allah ini akan kembali meletakkan diri saya di landasan yang betul. Saya amat teringin untuk berteduh di bawah arasy Allah sewaktu tiada lagi perlindungan lain di bawah item "lelaki yang hatinya terikat dengan masjid". Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Moga ujian ini menjadikan diriku semakin kuat dan ada hikmah yang lebih besar di sebaliknya. Walaupun ianya disebabkan kelemahan diri saya sendiri namun saya tetap bersangka baik akan ada hikmah di sebaliknya. Mohon rakan-rakan di alam maya dan sahabat-sahabat bloggers sekalian mendoakan saya. Terima kasih

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails