BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


27 Jun 2010

Mansuh UPSR & PMR : Pro n Cons

Saya agak ketinggalan dalam mengulas isu ini kerana kesibukan urusan harian. Bukan saja isu ini bahkan isu-isu lain juga saya tertinggal untuk dikemaskini di blog ini. InshaAllah dalam masa cuti ini saya akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk terus menulis bagi berkongsi idea dan pengalaman bersama pembaca yang datang ke sini.

Cadangan pemansuhan UPSR dan PMR menimbulkan pelbagai reaksi oleh pelbagai pihak. Ada yang bersetuju namun bukan sedikit yang menentangnya. Namun dalam memperkatakan tentang dasar pendidikan negara, kita perlu cermat supaya tidak mendatangkan kerugian kepada generasi akan datang. Kajian menyeluruh perlu dilakukan supaya kita tidak membazir waktu, tenaga dan wang seperti yang berlaku dalam isu PPSMI.

Cadangan pemansuhan dua peperiksaan ini dikatakan untuk mengubah sistem pendidikan kita yang berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan ilmu. Ini adalah cadangan yang baik kerana jika hanya belajar kerana peperiksaan, sudah pasti ilmu yang didapati dari kelas tidak kekal lama diingatan. Buktinya banyak yang kita dapati disekeliling kita bahkan kita sendiri jika direnung kembali subjek-subjek sejarah yang dipelajari di bangku sekolah dulu, sudah pasti kita sudah melupakannya sekarang.

Pendidikan yang berorientasikan peperiksaan ini juga melahirkan pelajar yang hanya pandai teori tanpa tahu mengaplikasikannya. Berapa ramai pelajar yang cemerlang akademik tetapi gagal dalam akhlak bahkan gagal meneruskan kecermerlangan di peringkat yang lebih tinggi. Di mana rakan-rakan sekelas kita dulu yang cemerlang di sekolah sekarang?

Namun pemansuhan ini boleh menyebabkan pelajar hilang fokus dalam pelajaran. SIndrom pembelajaran saat akhir dikhuatiri menyebabkan hanya menumpukan pelajaran sewaktu tingkatan empat bagi menempuh SPM. Kesannya mereka tidak akan bersungguh-sungguh peringkat sekolah rendah mahupun menengah rendah. Akan kedapatan juga guru-guru yang tidak serius untuk mengajar kerana tiada lagi penilaian di peringkat nasional dan sudah pasti guru-guru tidak dapat menilai keberkesanan pengajaran mereka.

Perubahan mendadak ini pasti akan menimbulkan kejutan kepada sistem dan kesannya adalah kepada anak-anak. Berapa ramai yang terkesan dan menjadi mangsa PPSMI dulu? Justeru, penilaian dan kajian yang jujur perlu dilakukan supaya tiada lagi mangsa perubahan sistem pendidikan negara.

Penilaian yang dicadangkan dilakukan di peringkat sekolah ada baiknya namun sangat sukar untuk kita mengadili pencapaian pelajar. Sudah tentu guru-guru akan me'murah'kan markah anak didik mereka untuk menunjukkan kebolehan dan kehebatan mereka mengajar. Bersediakan kita dengan situasi ini?

Akhir sekali, mungkin cara mengelakkan orientasi peperiksaan di dalam sistem pendidikan dengan menguratkan merit untuk akademik semata-mata dalam menilai kejayaan pelajar. Kemahiran-kemahiran lain perlu diuji bagi memastikan mereka bukan saja cemerlang di dalam dewan peperiksaan bahkan juga di dalam kehidupan sebenar.

Apakah pemansuhan ini untuk mengurangkan bajet dalam penyediaan soalan, elaun penjaga peperiksaan, elaun pemeriksaan kertas peperiksaan? Kita harap bukan sebab itu.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails