BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


27 Jun 2010

Salah faham BUsh dan Condoleezzer Rice

Komunikasi itu berkesan apabila ada persefahaman antara mesej yang diberi dapat diterima dengan baik oleh penerima. Jika tidak, jadilah seperti ini

Mansuh UPSR & PMR : Pro n Cons

Saya agak ketinggalan dalam mengulas isu ini kerana kesibukan urusan harian. Bukan saja isu ini bahkan isu-isu lain juga saya tertinggal untuk dikemaskini di blog ini. InshaAllah dalam masa cuti ini saya akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk terus menulis bagi berkongsi idea dan pengalaman bersama pembaca yang datang ke sini.

Cadangan pemansuhan UPSR dan PMR menimbulkan pelbagai reaksi oleh pelbagai pihak. Ada yang bersetuju namun bukan sedikit yang menentangnya. Namun dalam memperkatakan tentang dasar pendidikan negara, kita perlu cermat supaya tidak mendatangkan kerugian kepada generasi akan datang. Kajian menyeluruh perlu dilakukan supaya kita tidak membazir waktu, tenaga dan wang seperti yang berlaku dalam isu PPSMI.

Cadangan pemansuhan dua peperiksaan ini dikatakan untuk mengubah sistem pendidikan kita yang berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan ilmu. Ini adalah cadangan yang baik kerana jika hanya belajar kerana peperiksaan, sudah pasti ilmu yang didapati dari kelas tidak kekal lama diingatan. Buktinya banyak yang kita dapati disekeliling kita bahkan kita sendiri jika direnung kembali subjek-subjek sejarah yang dipelajari di bangku sekolah dulu, sudah pasti kita sudah melupakannya sekarang.

Pendidikan yang berorientasikan peperiksaan ini juga melahirkan pelajar yang hanya pandai teori tanpa tahu mengaplikasikannya. Berapa ramai pelajar yang cemerlang akademik tetapi gagal dalam akhlak bahkan gagal meneruskan kecermerlangan di peringkat yang lebih tinggi. Di mana rakan-rakan sekelas kita dulu yang cemerlang di sekolah sekarang?

Namun pemansuhan ini boleh menyebabkan pelajar hilang fokus dalam pelajaran. SIndrom pembelajaran saat akhir dikhuatiri menyebabkan hanya menumpukan pelajaran sewaktu tingkatan empat bagi menempuh SPM. Kesannya mereka tidak akan bersungguh-sungguh peringkat sekolah rendah mahupun menengah rendah. Akan kedapatan juga guru-guru yang tidak serius untuk mengajar kerana tiada lagi penilaian di peringkat nasional dan sudah pasti guru-guru tidak dapat menilai keberkesanan pengajaran mereka.

Perubahan mendadak ini pasti akan menimbulkan kejutan kepada sistem dan kesannya adalah kepada anak-anak. Berapa ramai yang terkesan dan menjadi mangsa PPSMI dulu? Justeru, penilaian dan kajian yang jujur perlu dilakukan supaya tiada lagi mangsa perubahan sistem pendidikan negara.

Penilaian yang dicadangkan dilakukan di peringkat sekolah ada baiknya namun sangat sukar untuk kita mengadili pencapaian pelajar. Sudah tentu guru-guru akan me'murah'kan markah anak didik mereka untuk menunjukkan kebolehan dan kehebatan mereka mengajar. Bersediakan kita dengan situasi ini?

Akhir sekali, mungkin cara mengelakkan orientasi peperiksaan di dalam sistem pendidikan dengan menguratkan merit untuk akademik semata-mata dalam menilai kejayaan pelajar. Kemahiran-kemahiran lain perlu diuji bagi memastikan mereka bukan saja cemerlang di dalam dewan peperiksaan bahkan juga di dalam kehidupan sebenar.

Apakah pemansuhan ini untuk mengurangkan bajet dalam penyediaan soalan, elaun penjaga peperiksaan, elaun pemeriksaan kertas peperiksaan? Kita harap bukan sebab itu.

2 Jun 2010

PALESTIN DIHATIKU

BLOG INI MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA TINDAKAN BIADAP ISRAEL MENYERANG MISI BANTUAN KEMANUSIAAN KE ATAS GAZA DAN MENDESAK PIHAK KERAJAAN MEMANGGIL SIDANG PARLIMEN DAN MENYATAKAN PENDIRIAN KE ATAS SERANGAN INI.

TINDAKAN KERAJAAN YANG BERUSAHA UNTUK MEMBAWA BALIK RAKYAT MALAYSIA YANG DITAHAN HANYA MENGGAMBARKAN SIKAP MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI APALAGI MEREKA YANG KE SANA PASTINYA SEDAR AKAN RISIKO INI DAN MENGHARAPKAN SYAHID.

SAYA YAKIN DAN PERCAYA MEREKA LEBIH SENANG DITAHAN ASALKAN TUJUAN ASAL UNTUK MENGHANTAR BANTUAN KE GAZA DIREALISASIKAN. MEMBAWA PULANG MEREKA HANYA MENGGAMBARKAN KETUNDUKAN KITA KEPADA ISRAEL.

SAYA BERASA BANGGA MENDENGAR PESANAN SEORANG AHLI ROMBONGAN KEPADA ISTERI BELIAU ANDAI BELIAU GUGUR SYAHID, SELESAIKAN SEGALA HUTANG BELIAU. APAPUN KITA MENGHARAPKAN AGAR MISI INI BERJAYA.

BERJUANG ERTINYA TERKORBAN RELA TERHINA KERNA KEBENARAN. ANTARA DUA PASTI TERJADI TUNGGULAH SYAHID ATAU MENANG

Apabila diri diuji

Manusia itu sering leka tanpa ujian dari Allah. Apabila menerima dugaan yg sedikit barulah mula sedar akan kesilapan dan kelemahan diri. Dan apabila diri aman dari ujian, manusia kembali leka dan perlu diuji lagi bagi menyedarkannya.

Itulah yang saya alami pada hari ini. Saya diuji yang bagi saya amat berat tetapi bila saya merenung kembali ujian ini hanyalah umpama lalat yang hinggap dijari. Hanya sedikit saja berbanding manusia yang lain terutama rakan-rakan di Palestin mahupun pasukan misi Gaza yang sedang bertaarung nyawa di lautan sana. Terdetik dihati alangkah bagusnya jika diri ini menjadi sebahagian dari mereka, namun apakah layak untuk saya menjadi sebahagian bersama mereka. Teringat kisah angkatan perang yang tidak berqiamullai tidak dibenarkan mengikuti perang.

Barangkali ini adalah ujian dan peringatan dari Allah untuk saya. Baru saya sedar sejak pulang dari bercuti Ahad lalu, saya belum mencecahkan kaki ke surau. Kadang kala disebabkan saya keluar bersama kawan kadang kala juga disebabkan kelemahan iman sehinggakan saya ditanya oleh seorang pakcik "lama x nampak?". Pertemuan kami hanya di surau, bagaimana ingin nampak kalau saya tidak ke sana. Saya merenung dan muhasabah kembali diri ini. Sepatutnya selepas kembali dari bertemu sahabat-sahabat, saya menjadi semakin kuat, sepatutnya selepas bertemu ustazah dan ustaz hari tu saya semakin lebih bertambah iman tetapi saya merasakan ada sesuatu yang menghalang saya ke arah itu.

Semoga ujian Allah ini akan kembali meletakkan diri saya di landasan yang betul. Saya amat teringin untuk berteduh di bawah arasy Allah sewaktu tiada lagi perlindungan lain di bawah item "lelaki yang hatinya terikat dengan masjid". Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Moga ujian ini menjadikan diriku semakin kuat dan ada hikmah yang lebih besar di sebaliknya. Walaupun ianya disebabkan kelemahan diri saya sendiri namun saya tetap bersangka baik akan ada hikmah di sebaliknya. Mohon rakan-rakan di alam maya dan sahabat-sahabat bloggers sekalian mendoakan saya. Terima kasih

31 Mei 2010

Isteri Cerdik yang solehah

Isteri cerdik yang solehah penyejuk mata penawar hati penajam fikiran. Di rumah dia isteri di jalanan kawan di waktu kita buntu dialah penunjuk jalan.

Alunan nasyid ini memuji-muji seorang isteri solehah yang dinginkan oleh mana-mana lelaki.

Petang tadi saya mengambil kesempatan untuk menziarahi seorang ustazah di wisma pensyarah Jabatan Agama Islam. Sesampai di sana saya amat tertarik dengan seorang anak kecil yang membawa sebiji kek ke dalam bilik seorang ustaz. Kebetulan saya lalu di hadapan bilik itu tetapi ustaz itu tiada di bilik. Selepas melintasi bilik itu saya terdengar nyanyian lagu Selamat hari Jadi dan bila saya menoleh saya melihat ustaz tersebut baru ingin masuk ke biliknya. Rupanya isteri dan anak-anak beliau membuat surprise party sempena hari lahir beliau.

Saya hanya tersenyum melihat gelagat ustaz yang kelihatan terkejut dengan sambutan tersebut dan meneruskan hajat saya untuk bertemu ustazah. Dengan tidak di sangka ustaz tersebut memanggil nama saya. Sangat terharu kerana ustaz masih mengingati nama saya dan menjemput saya untuk menjamu selera di dalam party kecilan tersebut. Selesai urusan, saya menunaikan hajat ustaz dan bersama beberapa orang pensyarah lain di dalam bilik tersebut. Terasa malu juga bila seorang pensyarah bertanya "ini pensyarah mana ni?". Ameen, mudah-mudahan masin mulut beliau.

Masakan isteri ustaz sangat istimewa ditambah dengan gelagat anak-anak beliau yang comel-comel itu. Namun saya kagum dengan isteri ustaz yang menjadi mastermind kepada surprise party tersebut. Sudahlah penat balik dari sekolah, meluangkan masa menyiapkan hidangan istimewa dan membeli kek untuk ustaz tersebut, juga mengadakan kejutan untuk suami tercinta. Sungguh bertuah ustaz mendapat isteri yang cantik lagi solehah, namun apa yang nak dihairankan kerana seorang ustaz sememangnya layak mendapat isteri yang solehah. Benarlah kata-kata Al-quran yang bermaksud :

"wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)". (An Nur:26)

Seorang lelaki mendambakan seorang isteri yang solehah manakala seorang wanita mengharapkan suami yang soleh. Bagaikan terlalu sulit untuk mendapatkannya walau hakikatnya amat mudah. Ya, yang lelaki jadilah soleh, maka peluang mendapat yang solehah terbuka luas, juga seorang wanita harus menjadi solehah untuk berjumpa dengan yang soleh. Saya menilai diri saya di mana letak duduknya saya ini.

Teringat suatu kisah di mana seorang lelaki di tanya oleh rakannya mengapa belum berkahwin lalu dijawabnya bahawa dia mencari wanita yang solehah. Katanya dulu dia sudah berjumpa seorang wanita yang cantiik dan bijak namun akhirnya putus kerana dia menyedari kesombongan wanita tersebut, lalu diteruskan pencarian namun ada saja kekurangan yang ditemui sehingga akhirnya dia berjumpa dengan wanita yang sempurna pada pandangannya. Kawannya bertanya mengapa tidak kamu mengahwininya saja dan jawab lelaki itu wanita itu juga sedang mencari lelaki yang sempurna untuk dijadikan suami.

Selamat Pengantin Baru kepada semua pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga pada cuti sekolah nanti. Banyak jemputan yang saya terima dari rakan-rakan dan saya mengucapkan tahniah kepada semuanya. Kad jemputan dihantar bersama pakej soalan "enta bila lagi?". wallahu 'alam atau jawapan yang paling mudah "bila tiba masanya nanti"


30 Mei 2010

Ukhuwwah itu manis

Mencari beribu kawan bagi saya amat mudah namun untuk mencari sahabat ianya agak sukar lebih-lebih lagi sahabat yang sekepala dan sefikrah dengan kita. Sahabat yang paling baik adalah sahabat yang diikat dengan ingatan ukhuwwah atas nama gerak kerja Islam. Dapat berkumpul dengan sahabat seperti ini sudah pasti akan menjadikan hidup kita lebih bahagia dan mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Saya amat merindui ukhuwwah yang terbina sejak di matrikulasi suatu ketika dulu. Walaupun hanya setahun di sana namun ukhuwwah yang terbina sangat hebat. Selepas masing-masing membawa diri ke kampus yang berlainan, kami tetap meneruskan ukhuwwah ini. Sudah pasti sepanjang pengajian di U tetap ada ikatan ukhuwwah dengan yang lain namun dengan sahabat-sahabat ini tetap berlainan. Dengan kekangan kewangan yang terhad sepanjang pengajian, kami tetap cuba mencari masa untuk bertemu.

Dan selepas tamat pengajian, ukhuwwah ini tetap terjalin kukuh dan setiap tahun sekurang-kurangnya sekali atau dua kali pasti ada program bersama untuk menyemarakkan ukhuwwah ini. Walaupun masing-masing sudah berkerjaya, namun itu bukanlah penghalang bahkan satu bonus kerana masing-masing sudah mempunyai pekerjaan. Namun terdapat beberapa kekangan seperti commitment tugas dan rumah tangga baru dibina antara kami. Benar kata orang, jika mahu berukhuwwah lakukan sebelum berumah tangga kerana ketika itu komitmen kurang.

Inilah yang dihadapi oleh kami kerana ada di antara kami yang menjadi pensyarah, doktor, guru dan researcher. Kalaupun tidak boleh berkumpul semua, yang berkelapangan akan hadir. Kami tidak ramai, hanya sekitar 10 orang sahaja, namun ukhuwwah ini akan tetap disemai. Mungkin siapa tahu dalam masa akan datang, pertemuaan ini akan menjadi pertemuaan 20 orang atau lebih dengan masing-masing membawa zaujah dan anak-anak.

Saya amat bersyukur dengan ukhuwwah yang hebat ini. Masih banyak tempat yang belum dijelajahi walaupun kami pernah ke tanah tinggi, pulau, air terjun, taman tema, tempat bersejarah dan sebagainya. Mungkin suatu ketika nanti trip ke luar negara boleh dirancang.

Apapun, 3 hari cuti ini amat bermakna kerana diisi dengan xtvt ukhuwwah ini. Saya mencadangkan kepada sahabat-sahabat yang masih di kampus, manfaatkan ukhuwwah anda kerana bila sudah berkeluarga sukar untuk anda bersama sahabat anda. Manfaat masa yang ada dan lakukan program mengeratkan ukhuwwah sekurang-kurangnya setahun sekali. Apabila lama tidak berjumpa, masa perjumpaan itu sangat indah kerana Ukhuwwahfillah itu sangat manis.


16 Mei 2010

Selamat Hari Guru

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru terutama guru-guru yang mengajar saya sejak dari kecil (ayahanda dan bonda), guru sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi, universiti, IPG dan sistem pendidikan yang tidak formal seperti usrah, kuliah, tazkirah, daurah, ceramah, kursus, tamrin(latihan) dan sebagainya.

Mereka adalah guru saya meskipun hanya mengajar satu alif

Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

13 Mei 2010

Uhibbuka fillah ya akhi

Selepas mengerjakan solat isya pada malam tadi, saya disapa oleh seorang anak muda yang jernih mukanya dan cantik perilaku akhlaknya. Sudah lama saya memerhatikan beliau dan pernah juga berbual dengan beliau namun peristiwa malam tadi begitu menyebakkan hati saya. Allah telah menghantar anak muda ini untuk memberi teguran kepada saya.

Sungguh, saya kagum dengan anak muda ini. selain memiliki suara yang lunak, di dalam diri beliau juga ada 30 juzuk al-quran. Namun sering mengelak untuk untuk menjadi imam kerana beranggapan ada orang lain yang lebih layak, barangkali memandang diri beliau yang masih muda dari saya dan ahli jemaah yang lain.

Malam tadi beliau datang kepada saya dan bersalaman dengan saya, dengan teragak-agak beliau mencium tangan saya dan meminta saya memberi nasihat dan teguran andai ternampak tingkah laku beliau yang 'lain' atau 'pelik' atau nampak tergelincir dari rutin seorang mukmin.

Saya tersentak. Selama ini saya amat mengagumi akhlak beliau sekarang diminta menjadi penasihat dan memberi bimbingan dan teguran kepada beliau. Sungguh, saya berasa malu bila diminta demikian oleh beliau. Benar, di dalam Al-quran Allah berfirman yang maksudnya

"Ingat mengingatilah,sesungguhnya ingat-mengingati itu memberi manfaat kepada orang mukmin."

tetapi bilamana ingin membandingkan diri saya dengannya saya jadi malu.

Lalu saya terfikir apakah ini teguran dari Allah kepada saya melalui sahabat ini. Walaupun beliau dilihat ikhlas meminta nasihat dari saya tetapi jauh di sudut hati saya melihat disebaliknya. Wahai diri, malulah kepada Allah andai kamu tidak malu pada diri kamu sendiri atau anak muda itu. Alhamdulillah, terima kasih anak muda. Aku mencintaimu kerana Allah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails