BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


23 Jul 2010

Melayu perlu bersatu

Kebelakangan ini isu perpaduan Melayu semakin hangat diperkatakan. Perpaduan di kalangan orang melayu dilihat punah selepas pihak kerajaan tumbang di empat negeri dan hilang 2/3 majoriti parlimen pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Seterusnya isu ini terus diperkatakan dan diperdebatkan.

Pelbagai pihak merangka pelan perpaduan ini. Bahkan kuasa politik utama orang Melayu iaitu PAS dan UMNO juga disarankan untuk bersatu bagi mengukuhkan perpaduan Melayu. Maaf, ketepikan PKR dalam isu ini kerana bagi saya ia bukan parti utama orang melayu kerana ia lebih terbuka kepada semua kaum. Isu kerajaan perpaduan PAS-UMNO juga dicadangkan dan terbaru seorang mufti telah bersuara untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut ini.

Sekurang-kurangnya ada 3 kaedah utama melayu bersatu sekarang iaitu :

1. PAS menyarankan UMNO sertai PAS kerana PAS sudah merasa serik menyertai UMNO dulu dan kini giliran UMNO pula bersama PAS bagi menguatkan melayu.

2. UMNO pula kini semakin giat menyarankan perpaduan PAS dan mengajak PAS mewujudkan perpaduan dengan UMNO.

3. Tawaran seorang mufti pro-UMNO untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan keduanya dan seterusnya menyatukan melayu.

Tidak kedengaran mufti Pro-PAS mengemukakan cadangan. Barangkali mereka tidak perlukan mufti kerana di dalamnya sudah ramai ulama. Namun tidak kedengaran pula suara ulama muda dalam isu ini.
JADI BAGAIMANA?

Ketepikan soal UMNO, PAS mahupun mufti. Melayu sudah sinonim dengan Islam. Jadi sebarang pertelingkahan wajar kita merujuk kepada Islam. Membuka lembaran al-quran dan al-hadith adalah penyelesaian terbaik kerana Islam itu agama syumul dan sebarang masalah sudah ada cara penyelesaian dari Allah. Bahkan al-quran sesuai sepanjang zaman.

Firman Allah di dalam al-quran yang mafhumnya :

"...Jika kamu berselisih terhadap sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada Allah dan Ar-Rasul."
(surah annisa' ayat 59)

Nah, kita kembali kepada penyelesaian al-quran. Bukankah Allah melarang kita berpecah belah di dalam surah ali-imran ayat 103 yang bermaksud

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai."

Inilah cara penyelesaian terbaik. Wala tafarraqu di dalam ayat ini datang selepas kalimah wa' tasimu bihablillah. Isu perpaduan ini hanya dapat diselesaikan dengan masing-masing berpegang kepada tali Allah. Sudah pun ada penyelesaian oleh Allah. Jadi manakah yang terbaik antara penyelesaian yang diberikan oleh Allah mahupun ciptaan manusia.

Jika kita masih mencari sesuatu pelan penyatuan yang selain ini, saya yakin dan percaya tidak akan ke mana penyatuan itu jika kita membelakangkan penyelesaian Allah ini. Usahkan mufti, jika mana-mana tok guru pun merangka pelan penyatuan selain yang diajar oleh Allah, pasti tidak akan berhasil. Ketepikan isu UMNO, PAS dan mufti seketika dan mari berbalik kepada Al-quran. Usah pening mencari penyelesaian dan menawarkan diri menjadi orang tengah kerana jawapan dan kaedah sudah ada dalam al-quran.

PERSOALANNYA : Mahukah 'mereka' kembali kepada Al-quran?

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails