BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


31 Jan 2012

Tips menangani murid nakal

Saya tidak pasti samada cara ini berkesan untuk anda atau tidak, tetapi ianya berkesan untuk saya. Sebagai seorang cikgu, sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk anak didik saya. Namun situasi sekolah saya ketika itu tidak membantu saya menjadi seorang cikgu yang terbaik buat mereka. Saya tiada masalah jika ada pelajar yang bercakap2 di dalam kelas asalkan tidak berlebihan dan kerja saya tidak mereka abaikan. Namun tidak bagi pentadbir sekolah, bagi beliau kelas perlu diam dan jika ada murid yang bercakap, cikgu akan dimarahi dan murid itu akan dirotan.

Situasi ini amat merimaskan cikgu-cikgu. Saya sebenarnya tiada masalah jika ingin memarahi saya tetapi merotan pelajar yang membuat kesalahan bercakap adalah sesuatu yang tidak patut. Bagi mengelak mereka dirotan, saya terlebih dahulu memarahi mereka supaya tidak membuat bising dan menyiapkan kerja.

Suatu hari, kelas saya bising seperti biasa, almaklumlah masa-masa terakhir sebelum balik ni mereka lebih agresif. Dari jauh kelihatan pentadbir sekolah berjalan dari kelas ke kelas. Alamak, apa aku nak buat ni.

"Boys. Quite and do your work", saya meminta mereka duduk sambil mengetuk rotan ke meja cikgu. Suasana kelas berubah seketika dan masing-masing menyambung kerja, tetapi ada seorang murid saya tidak mengendahkan arahan saya untuk duduk di tempatnya dan menyiapkan kerjanya.

"You, come here boy", saya memanggilnya ke depan. Kelas menjadi sepi dan seluruh mata memandangnya. Perlahan-lahan dia datang ke depan sambil tersengih-sengih. Saya menarik tangannya ke tepi meja guru, lalu saya pun duduk di kerusi guru.

"Kenapa kamu tak dengar cakap cikgu? Cikgu suruh buat kerja, satu kerja pun kamu tak mula lagi ni", tanya saya. Dia diam saja, senyumannya mula kendur walaupun saya tidak marah pun padanya.

"Kamu tak suka cikgu ke? kamu tak suka cikgu ajar kelas kamu?", saya bertanya. Diam lagi.

"takpelah, if u dont like me, i'll ask other teacher to replace me to teach u. Next class, cikgu minta cikgu lain ganti cikgu ye. Kamu kan tak suka cikgu, biarlah cikgu lain yang ajar kamu", saya terus bermain kata-kata. Dia menggeleng-geleng kan kepala. Seperti mahu berkata sesuatu tetapi tidak keluar dari mulutnya.

"Kamu jangan risau. Cikgu tak marah pun. dah kamu tak suka, takpelah. cikgu lain yang ganti cikgu nanti", jelas saya kepadanya. Kelihatan cecair nipis keluar dari mata kirinya.

"eh, menangis ke? betul ke ni? Sikit je air mata, dahla sebelah je. Ni nangis betu-betul ke olok2.", getus hati saya. Nak bagi dia lebih terharu, saya menyeka air mata itu dengan menggunakan tangan saya

"huushhhh!!! jangan nangis, orang laki tak boleh nangis", saya 'memujuk'. Air matanya terus berlinangan. Kali ini dari kedua belah mata. Alamak, dah nangis betul2 ni.

"dah2, pergi masuk tempat", saya memujuknya lagi. Dia tidak berganjak, lalu saya memimpin je ke tempat duduk untuk mengelaknya menangis teresak-esak.

Elok je dia duduk, dia mengambil pensil dan memulakan tugasannya. Walaupun kawan-kawannya datang mengusik, mengacau, mengajaknya bermain, tidak dipedulikannya. Padahal sebelum ini, dialah yang selalu mengacau kawannya. Saya memerhatikannya dari jauh. Sekejap2 dia memanggil saya sambil mengangkat hasil kerjanya.

"cantik tak cikgu?", dia bertanya.

"wah, sangat cantik. bagus2", puji saya.

Sebenarnya, itulah hari terakhir saya di sana. Ya, memang betul-betul ada cikgu lain yang masuk menggantikan saya. Namun, nama itu tetap akan saya ingat. Mohd Danish.

Sebenarnya sahabat-sahabat, kadang-kadang pelajar-pelajar ni kita kena jentik perasan mereka. walaupun seganas dan sebrutal mana pun mereka, di dalam hati mereka tetap ada taman.

20 Jan 2012

Cikgu dan tanda nama

Tanda nama atau orang kampung saya panggil name tag ni, kadang-kadang kita lihat sebagai benda yang kecil dan menyusahkan. Kadang-kadang ada yang taknak pakai walaupun itulah pengenalan seorang cikgu. Biasanya kalau pegawai-pegawai kerajaan ni, kita boleh kenal mereka melalui pemakaian kemeja lengan panjang dan bertali leher, cikgu sekolah tiada semua tu tetapi boleh dikenali melalui tanda nama. Ya, tanda nama yang hitam bertulis nama cikgu semata-mata, tiada logo KPM, JPN mahupun sekolah.

Baru-baru ini saya ke Kepala Batas atas urusan kerja. Oleh kerana saya terpaksa ke sekolah terlebih dahulu, di samping untuk mengelak kesesakan lalu lintas dan kelewatan, saya memilih untuk menaiki motor sahaja. Usai urusan, saya bergegas pulang. Sesampai di laluan motor di Plaza Tol Sungai Dua, ada sekatan JPJ dan semua motor ditahan. Saya sebenarnya suka jika ada road block begini kerana saya tidak bersalah. Ye la kan, dah kita tak salah kenapa nak takut.

Apabila saya memberhentikan motor saya, brother JPJ itu tersenyum kepada saya dan bertanya
gambar name tag ni saya jumpa di sini
"cikgu ek?". Ha, saya terkejut kemudian tersenyum melihat name tag yang lupa saya tanggalkan, lalu saya masukkan name tag ke dalam saku baju.

"tengok road tax", pintanya kepada saya. Dengan tenang dan yakin, saya buka seat motor dan tunjukkan kepada beliau dan rakan beliau yang tiba-tiba datang.

"Ni dah lama dah tamat tempoh ni, cikgu", ujarnya kepada saya. Bagaikan nak tercabut jantung saya dengar. Biar betul. Yup, rupanya sudah lebih 2 minggu road tax motor mati dan langsung saya tak sedar. "Tula, tadi konfiden sangat", getus hati saya.

"err, saya tak perasan la pulak bang. betul-betul saya tak perasan road tax dah mati", jujur saya memberitahu mereka.

"emm... kita boleh consider kalau 2 3 hari, cikgu. tapi ni dah 2 minggu ni", jelas rakan beliau dan kemudian bertanya "tengok lesen?"

"abis macamana ye", saya buat-buat tanya sambil menyerahkan lesen yang masih hidup.

"As.... sini jap", beliau memanggil seorang kawan beliau. Seorang JPJ wanita datang ke tempat kami dan tersenyum kepada saya.

"Cikgu kita ni... road tax dia mati. 2 minggu dah", kata beliau kepada pegawai JPJ wanita itu. Makin manis pula senyuman dia. Perli ke apa ni.

"saya memang tak perasan pun. kalau takde road block ni, memang saya tak sedar dah", saya cuba bertahan.

Selepas beberapa ketika...

"Beginilah cikgu. Cikgu pergilah, cuma cepat-cepatlah renew road tax ni sebab cikgu mungkin kena kat tempat lain walaupun cikgu terlepas kali ni", kata beliau kepada saya sambil menyerah kembali lesen kepada saya selepas kedua rakan beliau diam saja.

"ya, cikgu. sekarang ni kami melakukan operasi bersepadu. Banyak road block yang kami buat, kalau cikgu kena waktu malam, lagi teruk, kenderaan cikgu akan disita ke balai polis", barulah pegawai JPJ wanita itu bersuara.

"Baiklah. terima bang, terima kasih kak", ucap saya sambil berlalu pergi.

Huh, nasib baik lepas. Untung juga lupa pecat name tag tadi. Saya meneruskan perjalanan pulang dan sebelum tiba di tol jambatan saya melihat sebuah motor berpatah balik. "eh, kenapa dia ni, takkan lupa bawa duit tol kot", getus hati saya.

Semakin menghampiri tol, ada 2 3 buah lagi motor berpatah balik. Rupanya ada sebuah lagi road block selepas tol. Ternyata cakap pegawai JPJ tadi bukan cakap kosong, tapi takkan lah secepat ini saya kena. Takkan keajaiban berlaku 2 kali berturut-turut. Berfikir untuk berpatah balik tapi ke mana? Lantas saya memakai kembali name tag.

Bismillah.

Saya melalui road block itu tanpa ditahan walaupun motor-motor lain ditahan. Alhamdulillah. Huh, lega. Ternyata tempias keberkatan dan kemuliaan seorang cikgu menyelamatkan saya dari tahan. Syukur alhamdulillah. Kalau tak, lari lagilah bajet bulan ni :)

Kesimpulan, pakailah name tag.

14 Jan 2012

Zakat yang sering kita terlepas pandang

Kali ini saya ingin menyentuh sedikit tentang zakat yang sering kita terlepas pandang khususnya bagi yang telah bekerja. Zakat yang saya maksudkan adalah zakat pendapatan dan zakat simpanan.

1. Zakat pendapatan.

Kadang-kadang kita terlepas pandang kerana beranggapan belum cukup nisab, tetapi sedarilah terutama yang ber gred 41 (cth : DG41), anda wajib berzakat seawal tahun pada tahun pertama anda bekerja.


Contoh pengiraan : 

A - Pendapatan dari semua sumber setahun:
       (gaji termasuk semua elaun ) biasanya cth :                                                           RM 33 000

B -  Perbelanjaan setahun
       1.Diri  (tetap)                                                                                                                      RM    8 000
       2.Isteri (RM 3000 untuk seorang isteri)                                                                RM   3 000
       3.Anak (RM 1000 untuk seorang anak) 2 anak :                                                  RM   2 000
       4.Nafkah ibu bapa ( cth : RM 200 sebulan)                                                           RM   2 400 
       5.KWSP (11% dari gaji tahunan)                                                                                  RM   3 630

       6.Caruman Tabung Haji (cth: RM 100 sebulan)                                                    RM   1 200
      JUMLAH                                                                                               RM 20 230


C- Pendapatan yang wajib dizakatkan (A-B)                                                              RM 12 770


D-  Zakat yang wajib dibayar kerana C melebihi nisab   ( RM 12 770 x 2.5%)           RM     319.25      


Untuk muslimat, samada bujang/berkahwin, tolakan perbelanjaan hanya untuk Diri, Nafkah ibu bapa, KWSP dan Tabung Haji sahaja. Nafkah ibu bapa yang ditolak mengikut apa yang diberikan kepada ibu bapa pada tahun tersebut, begitu juga dengan tabung haji. 

Tempoh setahun merujuk kepada kalendar hijrah. Kadar Nisab bersamaan 85gram emas semasa dan berbeza mengikut negeri. Untuk Pulau Pinang, kadar nisab adalah RM 10 000. Untuk negeri lain, boleh rujuk kepada Majlis Agama masing-masing.

2. Zakat simpanan

Ramai yang terlepas pandang tentang zakat simpanan.

Kaedah kiraan zakat wang simpanan

· Simpanan Tetap
Bagi pengiraan zakat simpanan ini, hendaklah dipastikan wang simpanan itu telah melebihi nisab bagi tahun berkenaan dan simpanan tersebut hendaklah mencukupi setahun Qamariah(354 hari). Maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah wang simpanan tersebut.

· Simpanan Biasa
Ianya adalah dikira berdasarkan kepada jumlah baki terendah dan berakhir haul bagi simpanan tersebut.

· Simpanan dalam satu akaun
Jika sesuatu simpanan itu telah genap setahun dan baki terendahnya (setelah ditolak faedah yang ada dalam tempoh tersebut) adalah melebihi nisab, maka seseorang itu wajib untuk mengeluarkan zakat atas wang simpanan.

· Simpanan dalam beberapa akaun
Jika simpanan dalam salah satu akaun sudah mencukupi atau melebihi nisab (nilai 85 gram emas), maka simpanan di dalam buku-buku lain, walaupun kurang dari nisab, wajib dikenakan zakat.

CONTOH:

Katakan simpanan :

Lembaga Tabung Haji (LTH) - RM10,000
BSN - RM1,000
BIMB - RM 500

· Oleh kerana simpanan di LTH telah melebihi nisab, simpanan lain secara langsung wajib dikeluarkan zakat iaitu :
2.5 % x RM1500.00 = RM37.50 (Pihak LTH telah membayar zakat di atas simpanan di LTH)

Untuk zakat simpanan, simpanan tabung haji hanya digunakan untuk menentukan samada melebihi nisab atau tidak, tetapi tidak termasuk dalam kiraan zakat.
Kenapa? kerana tabung haji membayar zakat untuk simpanan di dalamnya.
Jika ada sebarang kemusykilan, boleh bertanya di sini atau di Pusat Urus Zakat negeri masing-masing.


Wallahu 'alam.


sumber : PUZ P.Pinang             

8 Jan 2012

Untuk mereka yang tinggal di Pulau Pinang

Pada bulan Rajab, Syaaban dan Ramadhan tahun lalu, kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Masjid Negeri mengadakan kelas hafazan di Dewan Syarahan, Masjid Negeri Pulau Pinang sebagai salah satu aktiviti sambutan bulan al-quran. Matlamat program ini adalah untuk mendekatkan orang awam dengan al-quran dan memberi peluang kepada mereka yang berminat menghafaz al-quran tetapi tidak berpeluang mengikuti pendidikan secara formal.

Usai program ini, ramai antara peserta meminta supaya program ini diteruskan sepanjang tahun bagi meneruskan kesinambungan al-quran dalam diri dan menambah hafalan. Alhamdulillah, bermula tahun ini, Masjid Negeri kembali mengadakan kelas ini. 

Saya mengajak mana-mana sahabat yang mempunyai keazaman dan minat yang tinggi untuk menghafal quran untuk datang ke Kelas hafazan yang dilakukan 5 kali sebulan.

Minggu pertama - hari rabu.
Minggu kedua - hari rabu.
Minggu ketiga - hari isnin dan khamis.
Minggu keempat - isnin.

Moga al-quran akan menjadi pemberi syafaat kepada kita dan menjadi peneman kita di alam kubur kelak. Ameen.

5 Jan 2012

Apabila ibu bapa lebih ramai dari murid

Bismillah.

Ambil sedikit kesempatan untuk menukilkan kehidupan pada hari pertama persekolahan tahun 2012. Mohon maaf tidak sempat berziarah dan memberi respon kepada komen. Hari in sangat sibuk sehingga hampir jam 12 sekarang ni, masih berusaha menyiapkan perancangan p&p utuk esok. Erm, siapa kata tugas guru hanya separuh hari, try this at home. huhu. Dah macam budak praktikal dah ni.

Sukarnya menjadi guru kelas untuk kelas paling hadapan ni. Pagi tadi hampir semua murid ada ibu bapa yang berkampung di luar kelas saya. Bayangkanlah jika ada 35 orang murid, maka jumlah ibu bapa adalah 2 kali ganda dari jumlah tersebut. Sudah pasti tidak semua begitu tetapi majoriti ibu bapa ada di luar kelas. Itu kelas saya, kelas lain pun sama juga.

Ditambah lagi dengan pembahagian buku teks pada hari ini kerana buku tersebut baru saja sampai, ditambah lagi dengan ibu bapa yang berkeras ingin membayar yuran PIBG, ditambah lagi dengan rayuan untuk meletakkan anak mereka di hadapan kelas. Yang ini paling sukar untuk dilayan kerana semua ibu bapa ingin anak mereka diletakkan di hadapan + tengah. Sudah pasti hanya ada 1 atau 2 tempat. Ada yang membawa surat doktor, ada yang menunjukkan pelbagai alatan bantu penglihatan dan bermacam lagi untuk mengukuhkan dakwaan.
gambar hiasan : ihsan dari google
Itu belum masuk lagi yang jumpa personali dan meminta memerhatikan anak mereka seolah-olah jika tidak berbuat begitu saya akan mengabaikan anak mereka. Saya cikgu kelas kepada 35 orang murid, sudah pasti mereka semua tidak akan saya abaikan. Nasib baik ada 35 sahaja berbanding ada cikgu yang mendapat 40 dan sebagainya.

Sudah berbuih mulut meminta mereka tidak berada di koridor. Seolah tidak mepercayai cikgu, masing-masing setia menunggu di luar kelas. mati kutu cikgu dibuatnya. Lepas sejam, bilangan mereka berkurangan dan saya meneruskan tugasan di kelas. Usai tugasan guru kelas, saya menuju ke kantin bagi mengalas perut yang minta di isi. Tu dia, kantin pula penuh dengan ibu bapa yang tadinya berada di koridor. Ingatkan dah balik, rupanya menunggu anak mereka yang bakal rehat setengah jam lagi. huhu, dah macam sekolah orang tua dah.

Apapun harapnya esok keadaan menjadi lebih baik. Pihak sekolah memberi kebenaran sehingga selasa depan untuk ibu bapa masuk ke kawasan sekolah, selepas itu sekolah akan menjadi kawasan larangan mereka pada waktu p&p. Harapnya begitulah dan tidak menjadi seperti tahun lepas di mana ibu bapa bebas masuk menunggu anak di dalam kawasan sekolah.

Akhir sekali selamat bertugas buat cikgu-cikgu samada lama atau baru untuk sesi persekolahan 2012. Juga buat adik-adik bakal guru mahupun mahasiswa-mahasiswi sekalian.

1 Jan 2012

Cetusan hati seorang bakal cikgu : Hebatnya perancangan Allah

Alhamdulillah, masih berkesempatan untuk pulang ke kampung selepas seminggu menghabiskan masa di Penang. Selain bertugas, saya juga dipaksa menandatangani SBPA dan juga mesyuarat guru dari 27-29 Disember selain Orientasi pada 30 Disember.

Kali ini, saya ingin berkongsi sebuah email yang saya terima dari seorang bakal cikgu menceritakan pengalaman yang beliau lalui sebelum terjun ke dalam bidang pendidikan. Bermula dari SPM sehinggalah selepas mendapat segulung Ijazah, beliau berkali-kali tanpa putus asa dan penuh pengharapan kepada Allah, akhirnya pada Julai yang lalu barulah Allah kabulkan permohonan beliau.

Rupanya Allah mengabulkan doa beliau pada masa yang sesuai dan banyak hikmah yang beliau perolehi sepanjang perjalanan untuk menjadi seorang cikgu. Begitu hebat dan teraturnya perancangan Allah yang tidak kita sedar. Sebagai menghormati permintaan beliau, saya menutup beberapa bahagian di dalam surat ini. Moga kita dapat pengiktibaran dari perkongsian ini.

Emel ini saya terima sebelum saya ke Bandung lagi, namun oleh kerana beberapa hal yang tidak dapat dielakkan, baru kini saya berkesempatan untuk menyiarkannya di sini. Moga bermanfaat.

klik pada teks untuk besarkan


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails