BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


28 Nov 2011

Cuti-cuti cikgu sekolah,

Lamanya saya tak berkongsi ilmu di sini, asyik cerita pasal diri sendiri je. Mesti sahabat-sahabat yang berkunjung ke Pena Cikgu menyampah kan. hehe. Bukan apa, menggunakan desktop ni menyebabkan sukar untuk mencari maklumat, kalau laptop tu semua dah sedia ada, cuma tinggal nak hurai je.

Air banjir semakin surut, ikan-ikan semakin kurang dapat namun alhamdulillah sudah dapat ikan keli yang agak besar dan sudah selamat landing di dalam perut. Juga , baru tadi dapat haruan yang agak besar di mana haruan itu sedang berehat di dalam gulai lemak di dapur. Sungguh, rasa ikan yang kita tangkap dan siang sendiri lebih sedap. Mungkin memakan hasil susah payah sendiri ditambahkan rempah kasih sayang bonda menyebabkan ianya lebih sedap. Bukan semua orang sanggup menyiang ikan darat kerana ianya lebih hanyir dari ikan laut.

Kesurutan (ada ke perkataan ini dalam BM) air di baruh menyebabkan saya terpaksa mencari alternatif baru bagi mengisi masa cuti. Aktiviti mengecat baru separuh setel di dapur. Itupun adik gegurl bongsu yang buat dengan bonda. Saya tolong gitu-gitu je. Nak kena beli cat warna dulu sebab yang di cat tu baru cat alas. Lepas tu nak cat di bilik lagi. Sementara semua itu berlaku ada baiknya saya pergi bercuti.
InshaAllah hujung minggu ini saya akan bercuti ke Bandoeng. Satu tempat yang dikatakan syurga membeli belah. Saya sendiri tidak tahu bahawa itulah tempat shopping kegemaran rakyat Malaysia sewaktu seorang sahabat mengajaknya baru-baru ini. Apa yang ada di fikiran saya ketika itu adalah untuk mengisi masa cuti dengan hobi saya iaitu melancong dan jalan-jalan. Alkisah seorang sahabat mengajak saya bercuti dan mengajak saya menemaninya. Bagaikan orang dahaga diberikan air, saya menerima tanpa banyak soal. Tanpa mengikut mana-mana agen, tanpa menempah mana-mana hotel, kami ke sana secara backpacking walaupun ini adalah adalah pengalaman pertama kami ke sana. Kasi adventure skit :D
Ikut perancangan awal, inshaAllah pulang dari Bandung, kami akan terus ke Langkawi. Apa yang menyebabkan saya tertarik ke sana adalah pada tarikh tersebut, kebetulan ada pertunjukan LIMA di sana di samping sahabat saya ini tidak pernah ke sana. Tambahan pula, pada hari terakhir sekolah baru-baru ini, seorang cikgu mengajak saya melawat kampungnya di Langkawi sambil diberikan penginapan dan kenderaan percuma sepanjang saya di sana. Penginapan dan pengangkutanlah yang paling mahal di sana lebih-lebih lagi sewaktu LIMA berlangsung, jadi bagaikan orang lapar diberikan nasi, sudah banyak dapat cut cost tu. Bolehlah bajet untuk penginapan dan pengakutan digunakan untuk shoping. (mengalahkan orang pompuan kan?).

Passport sudah siap, tiket sudah dicetak, hanya menunggu masa untuk berangkat. Apapun, kita merancang Allah jua merancang namun perancangan Allah adalah yang terbaik. Moga selamat pergi dan balik. INshaAllah.

Ikutkan cuti ini ingin bercuti secara lone ranger ke Sabah lebih-lebih lagi Sabah lah satu-satunya negeri di Malaysia yang belum saya jejaki. Sahabat di sana berkali-kali menjemput saya ke sana dengan dijanjikan penginapan, pengakutan dan makanan di sana akan ditanggung. Namun, memandangkan ajakan sahabat ini lebih menarik, percutian ke Sabah ditangguhkan ke tarikh yang akan ditentukan kemudian. Negeri-negeri lain sudah selamat dijajah sewaktu menjadi pengawai kerajaan dulu. Banyak outstation yang memerlukan saya ke terbang ke seluruh negara, jadi kesempatan itu digunakan untuk berjalan-jalan.

**timbul juga rasa risau untuk ke Indon buat masa ini kerana rakyat mereka pasti masih terluka dengan kekalahan sang Garuda kepada Harimau Malaya pada Sukan Sea yang lepas. InshaAllah, berkat doa sahabat-sahabat, segalanya akan selamat. (^_^)

27 Nov 2011

Azam terbesarku tahun 1433h

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah. Kita masih diberi kesempatan untuk hidup di dalam tahun baru 1433h. Samada sedar atau tidak, suka atau tidak, usia kita sudah meningkat setahun dan kita semakin menghampiri kematian. Namun, itu tidak boleh menjadi penghalang untuk kita hidup sambil lewa di dunia ini, seharusnya ia menjadi benteng kepada diri kita dari terpedaya dengan tipu daya syaitan.

Bila tiba tahun baru, perkataan yang paling femes adalah 'azam' hinggakan orang yang bernama Azam jadi perasan atau berlagak macho kononnya beliau menjadi sebutan ramai (hehe, sori zam, gurau2 je). Macam-macam azam yang kita dengar, antaranya azam nak jadi baik, azam nak berubah, azam nak tinggal rokok bagi perokok, azam nak tutup aurat bagi yang buka aurat, azam nak solat bagi yang tak solat dan macam2 lagi.

Pada saya, azam seperti bagus, namun alangkah lebih manis dan indah jika azam perubahan akhlak ini tidak ditunggu semasa tahun baru. Bahkan jika ingin berubah, berubah sekarang tidak kira bila 'sekarang' itu. Tidak perlu 'esok saya akan berubah' atau 'mulai hari ini saya akan berubah' tetapi katakan 'mulai SEKARANG saya akan berubah'.

Ibnu Umar pernah berkata, "Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit. 

Bagaimana azam tahun lepas? Dah tertunaikah? hehe. Saya pun dah lupa apa azam tahun lepas. Tak perlu malu bila azam tidak dapat ditunaikan kerana kita bukan Tuhan untuk mengatur segalanya seperti kehendak kita. Erm... untuk tahun ini saya tulis di sini supaya senang untuk diingati dan dirujuk kembali. Sebenarnya lebih kepada target. Banyak sebenarnya namun saya tulis yang paling utama buat diri saya untuk tahun ini.

Azam 1
Saya ingin menunaikan salah satu hak anak saya ke atas saya iaitu salah satunya mencari ibu yang baik. Masuknya tahun 1433h, umur saya sudah menginjak ke angka 28thn. Wah, tuanya walaupun rasa macam budak-budak lagi. Berapa umur sahabat-sahabat pada tahu 1433h ini? Umur di tahun hijrah lebih dari tahun Miladi.

Rasanya sudah sampai waktunya untuk saya mendirikan rumah tangga. Hukum berkahwin ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Rasanya saya sudah di peringkat sunat. hehe. Jadi harus segera melaksakan sunnah Rasulullah SAW.

InshaAllah, bermula sekarang, 1 Muharram, pencarian gadis melayu/ustazah pilihan/solehah akan bermula dengan lebih serius. Mohon doa sahabat-sahabat semoga Allah mengurniakan seorang isteri yang akan menjadi ibu yang baik buat anak saya kelak. INshaALlah.

Azam 2
Memiliki samada tanah atau rumah. Ya, jika azam 1 dicapai, di manakah saya ingin menempatkan ibu kepada si anak tadi. Jika tanah, saya memilih untuk membeli di negeri kelahiran saya, Kelantan. Namun, jika rumah, saya tertarik dengan pelawaan housemate untuk meninjau rumah di Kulim bila buka sekolah nanti. Kulim dengan Pulau Pinang tidaklah jauh mana, jadi tidaklah susah untuk berulang dari rumah ke tempat kerja.

Untuk membeli rumah di Pulau Pinang, rasanya agak sukar kerana kos yang tinggi untuk rumah di atas tanah. Lagipula, saya merasakan sukar untuk mendidik anak-anak menjadi soleh/solehah di Pulau ini. Mungkin ada sahabat-sahabat yang mempunyai info tentang rumah di Kulim boleh menghubungi saya di sini. Saya sedang menimbangkan 2 perkara ini secara serius.

Apapun,
"Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah". (3:159)

Siapa kita untuk mengarahkan Allah mengurniakan apa yang kita inginkan. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita, maka bersangka baiklah dengan Allah.

Kita merancang, Allah juga merancang dan sudah pastilah perancangan ALlah itulah yang terbaik kerana Allah sebaik-baik perancang. Apa yang penting, kerjasama. Eh, sempat lagi buat lawak. Serius beb!. Apa yang penting adalah usaha kita untuk mencapai apa yang kita rancang.

25 Nov 2011

Laptop rosak & cuti sekolah

Akhirnya laptop benar-benar rosak, disyaki masalah motherboard. Memang laptop Compaq selalu ada masalah begini. Risik-risik di kedai, kos pembaik pulih mencecah RM600. Satu jumlah yang lebih berbaloi jika membeli laptop baru. Huhu, rasanya di Penang lagi murah kos tukar motherboard baru menyebabkan saya menangguhkan operasi pembaikbulih sehingga buka sekolah nanti. Cuti tanpa laptop menjadi sesuatu yang pelik sejak 2 3 tahun kebelakangan ini.
Untuk hidup sebulan di rumah tanpa laptop adalah sesuatu yang sukar, lantas saya menghabiskan duit gaji yang baru diterima untuk membeli monitor LED yang baru untuk dipadankan dengan CPU di rumah. CPU ini saya gunakan sepanjang pengajian di kampus dulu dan saya tinggalkan di kampung halaman kerana lebih senang menggunakan laptop. Awal tahun yang lepas, monitor rosak tetapi saya membiarkan saja supaya adik-adik lebih menumpukan perhatian pada pelajaran mereka. Alhamdulillah, nasib baik CPU masih boleh digunakan walaupun hampir setahun tidak diguna.

Kalau ikutkan mahu saja membeli laptop baru, namun keinginan harus ditahan kerana ada kegunaan lain yang perlu diberi keutamaan pada bulan ini. InshaAllah akan dikongsikan pada post akan datang.

Cuti sekolah

Banjir mula melanda Kelantan. Alhamdulillah kawasan rumah saya tidak pernah terlibat dengan banjir walaupun kampung saya dinaiki air. Bahkan kawasan rumah digunakan oleh saudara mara untuk menyimpan kenderaan mereka apabila rumah mereka dinaiki air.

Cuti ini rutin kehidupan seminggu dua ini dijangka sama. Usai kuliah subuh (jika ada) atau mengulang hafalan yang semakin hilang, saya turun ke baruh untuk melihat hasil rezeki yang terlekat pada pukat yang dipasang. Bukan nak sangat, tapi sebab ayahanda selalu bertanya dan mengidam 'ikan darat', digagahkan juga untuk dimasukkan ke dalam rutin. Pulang dari baruh, menikmati sarapan di rumah atau menjengah ke kedai kopi atuk untuk membantu mana yang patut. Sepatutnya catata tentang kedai kopi ini sudah lama saya post kan namun masih terkurung di draft sejak 14/12/2010 yang lalu. Bayangkan betapa banyak artikel terperangkap dalam draft.

Pulang ke rumah, cari beberapa info di internet, atau ke luar berjumpa dengan sahabat-sahabat yang pulang ke Kelantan. Biasalah, sewaktu cuti sekolah, hanya rakan-rakan guru lah yang ada atau rakan-rakan yang bekerja di Kelantan.

Jika pulang sebelum asar, lepas asar kena bersiap untuk melihat hasil yang melekat di pukat. Jika menunggu keesokan harinya, pasti ikan-ikan akan mati dan rasanya tidak akan segar sangat. Setakat ini hanya ikan haruan, puyu, lampam, patung, sepat dan terbul. Ayahanda mengharapkan ikan keli namun belum rezeki. Sudah pastilah keli ini berlainan rasanya dari keli peliharaan yang selalu didapati di kedai makan. Gambar akan cuba saya usahakan kerana sukar membawa kamera ke sana, tak pasal-pasal masuk air :)

Malam, usai solat isya menghabiskan masa melayari internet. Ikutkan nak mengajar anak-anak jiran yang datang mengaji dengan bonda, namun mereka tidak mahu mengaji dengan saya. (^-^).

Mungkin esok atau lusa aktiviti mengecat rumah terpaksa dimasukkan ke dalam rutin harian. Nak bagi cantik sikit selepas lebih 10 tahun tidak berganti cat. Mana tau kot2 ada orang baru yang akan menjadi ahli keluarga kami. :D

23 Nov 2011

Perjalanan yang jauh

Alhamdulillah. Selamat sampai ke kampung halaman jam 1pagi tadi. Awal pagi Rabu baru sampai ke kampung halaman sedangkan sekolah sudah mula bercuti sejak Sabtu yang lepas. Kelewatan pulang ke kampung halaman kerana hari Ahad ada kenduri sahabat di Balik Pulau. Boleh saja pulang pada Ahad malam, tetapi ditangguhkan kerana ingin mengikuti kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Masjid Negeri P.Pinang pada malam itu.

Berjaya mengajak 3 orang sahabat guru yang lain dan turut membawa seorang anak murid yang sangat konsisten dalam belajar mengaji Al-Quran.
(Sesungguhnya saya malu pada rakyat Negeri Pulau Pinang kerana UAI dibenarkan memberi kuliah di Masjid Negeri yang besar itu dinegeri mereka sedangkan di negeri Kelantan, UAI tidak dibenarkan berkuliah di masjid atas arahan MAIK. Oleh itu, kuliah yang sepatutnya diadakah di Masjid wakaf Bharu pada Khamis ini ditukarkan ke Gelanggang Futsal Arena di Pengkalan Chepa)

Hajat untuk pulang pada Hari Isnin terbantut apabila bonda dan ayahanda sahabat ini meminta saya bermalam di rumah mereka semalam dua. Saya hanya mampu bermalam semalaman sahaja sebelum pulang pada hari Selasa bersama 2 orang sahabat yang lain.

Kami bertolak usai solat asar kerana menunggu seorang daripada kami masih mempunyai urusan di sekolah. Perjalanan lancar sehinggalah sampai di Tasik Banding, beliau diSMS tentang satu tugasan yang belum disiapkan. Bayangkan dalam keadaan pulang ke kampung masih lagi diburu.huhu.
Perjalanan diteruskan hingga kami tiba ke puncak Banjaran Titiwangsa jam 8.15 malam. Suasana hujan lebat dan kabus yang tebal menyukarkan perjalanan kami. Kami mengambil keputusan untuk berehat di sana sambil membantu sahabat tadi menyiapkan tugasan yang diSMS tadi. Kedinginan malam di puncak banjaran Titiwangsa amat mencengkam jiwa. Sangat sejuk umpama di musim salji apalagi saya hanya memakai t-shirt dan lupa membawa pulang sweater.

Usai menyiapkan kerja, masalah lain timbul apabila tidak dapat membuat sambungan internet kerana beliau tidak menjelaskan bil Celcom. Saya sendiri tidak mempunyai broadband selepas menamatkan perkhidmatannya  awal tahun yang lalu kerana menggunakan streamyx di rumah. Kami melihat masalah ini sebagai masalah bersama apalagi kami sama-sama cikgu. Kami bergegas meneruskan perjalanan sehingga ke Tanah Merah untuk mencari kedai yang mempunyai wifi percuma. Alhamdulilah, restoran Ed'de Chicken Chop ada menyediakan wifi, sambil beliau emelkan kerja tersebut, kami mengalas perut. Kami di sana agak lama sehingga jam 11 malam.

Perjalanan diteruskan mengikut jalan short cut ke Tumpat dari Pasir Mas melalui Meranti. Kami resah apabila air sudah melintasi jalan di pertengahan jalan dan tiada kenderaan lain yang lalu, namun setelah diteliti, rupanya hanya air hujan yang bertakung, bukan air sungai atau bendang. Di pertengahan jalan, kami terpaksa berpatah balik ke bandar Pasir Mas keadaan minyak kereta yang tidak mengizinkan untuk terus melalui jalan tersebut. stesen minyak yang terletak di jalan itu sudah tutup.

Alhamdulillah, selepas beberapa stesyen yang kami temui tutup walaupun ada orang, ada satu stesyen minyak yang masih buka. Menjadi masalah apabila tiada pekerja yang kelihatan, kami hampir putus asa sehingga terlihat kelibat seorang manusia sedang tidur terbaring di luar stesyen minyak. Rupanya beliau adalah petugas yang kebosanan tiada pelanggan.

Ringkas cerita jam 1 pagi lebih, saya sampai di rumah. Sebaik membuka pintu, bonda dilihat tertidur di sofa ruang tamu bersama 2 orang adinda sementara ayahanda di bilik. Usai bersalaman dengan bonda, kami bersembang lama sehingga ayahanda keluar jam 3 pagi ke dapur. Tetiba banyak topik yang dibincangkan. Ayahanda turut serta dalam bicara awal pagi. Adinda bongsu terbangun apabila kami berbicara tentangnya. Rupanya sudah lama beliau memasang telinga mendengar perbualan kami. Jam 4 pagi saya sudah tidak berani untuk tidur walaupun bonda menyuruh berehat. Bimbang sukar untuk bangun subuh kerana keletihan.
Bonda dan ayahanda ke bilik solat sementara saya ke bilik untuk refresh diri.

Azan subuh saya longlai sebelum diingatkan oleh bonda, "tadi kata taknak tidur sb takut susah bangun, ni dah azan baru nk tidur". Alhamdulillah, menang pertarungan dengan syaitan untuk membawa ayahnda dan bonda ke surau dengan menaiki kereta walaupun hujan.

Usai solat subuh, keadaan lemah. Cuba hidupkan laptop untuk menulis namun laptop tetiba rosak. Alhamdulillah, sekarang dan boleh guna walaupun nampak tanda-tanda awal kerosakan motherboard. Mudah-mudahan  tidak berpanjangan supaya perkongsian dapat diteruskan sepanjang cuti sekolah.

Akhirulkalam. Selamat bercuti untuk semua guru dan adik2 yang bersekolah mahupun bermaktab :D

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails