BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


11 Feb 2011

Bangga bila dihina, kecewa bila dipuji

Hinaan dan pujian adalah lumrah dalam kehidupan ini. Bahkan ia sering menjadi makanan harian bergantung kepada kehebatan, kedudukan, pangkat mahupun harta kekayaan seseorang. Orang yang berpengaruh sering dipuji dan dijulang sehingga apa yang dikatakan oleh mereka dijadikan pegangan dan diambil serius walaupun kadang-kadang jelas apa yang dikatakan itu salah. Pujian yang berlebihan akan berubah menjadi ampu, apalagi jika dilakukan dengan niat tersembunyi.

Sesetengah kita berbangga bila dipuji dan berasa diri mereka hebat. Mereka rasakan penghargaan yang diberikan oleh manusia samada pingat, pangkat dan gelaran adalah kerana kehebatan dan kecerdasan mereka. Jika itu yang kita fikirkan, sebenarnya kita telah tersasar jauh dari hal yang sebenar. Sebenarnya penghargaan manusia kepada kita itu bukanlah kerana jawatan kita, atau kehebatan kita mahupun kecerdasan kita tetapi satu-satunya yang membuatkan diri kita dihargai oleh manusia lain adalah kerana ALLAH MASIH MENUTUP AIB KITA.

DEMI ALLAH, jika Allah membuka segala pintu KEAIBAN DAN KEBURUKAN KITA, ketika itu tiada sesiapa yang mahu pedulikan kita, bahkan kewujudan kita di dunia ini tidak disedari. Kita juga pasti akan dihina dan dipandang serong oleh masyarakat. Oleh itu, jangan terlalu berbangga dengan pujian dan penghargaan manusia, sebaliknya bersyukurlah kepada Allah kerana masih menutup keaiban dan keburukan kita.

Kita akan berasa sakit hati dan kecewa jika dihina. Amarah kesan dari penghinaan itu kadang kala menimbulkan pertelingkahan dan permusuhan. Barangkali berasa diri sangat mulia sehingga sangat benci kepada penghinaan. Usah dikecewakan dengan hinaan kerana penghinaan orang kepada kita masih lebih bagus berbanding dengan kejelikan kita.  Penghinaan orang itu sebenarnya masih ringan berbanding yang sebenarnya. Oleh itu jangan kita terlalu tergugat dengan kejian dan hinaan orang.

Pujian juga satu ujian, jangan terlalu bangga. Seharusnya kita tidak tergugat dengan kejian orang, dan tidak terpengaruh dengan pujian orang.

Wallahu 'alam

7 Feb 2011

Krisis di Mesir : Jangan tonjolkan kebodohan diri sendiri

Terlebih dahulu saya memohon maaf andai tajuk yang saya gunakan agak kasar, namun saya tidak dapat membendung lagi kesedihan saya mendengar ulasan-ulasan yang tidak masuk akal rakyat Malaysia yang suka tunjukkan pandai sehingga menyingkap kebodohan diri sendiri. Bukan bermaksud saya ingin katakan kononnya pandangan saya saja betul dan saya tidak boleh menerima pandangan lain, namun bagi saya kalau kita tidak tahu sesuatu isu, lebih baik kita diam dari memberi ulasan. Usah tonjolkan kebodohan kita yang orang lain tidak tahu.

Saya sebenarnya tidak ingin mengulas isu umat ini di blog kerana sudah ramai yang berbuat demikian, namun mendengar ulasan-ulasan tidak masuk akal dari rakyat Malaysia samada di blog, fb mahupun di kaca tv, saya berasa terpanggil untuk menasihati sahabat-sahabat yang sering ke sini supaya tidak terlibat dalam membuat ulasan yang menonjolkan kebodohan diri kita. Walaupun saya agak sibuk sejak seminggu yang lalu, namun saya meluangkan masa juga untuk mengulas tentang perkara ini.

Siapa kita sebenarnya untuk menyalahkan dan mengatakan patut atau tidak patut rakyat Mesir turun ke jalan raya mendesak Presiden mereka supaya berundur? Walaupun di negara kita segala-galanya semakin mahal, tapi ramai dari kalangan kita yang masih mampu makan, tidur di rumah mahupun berkenderaan. Kalau pun ada yang susah, fakir dan miskin, bilangan mereka masih dapat dikaburi dengan bangunan-bangunan yang tersergam indah, gedung-gedung membeli belah dan istana-istana golongan atasan. Namun tidak di Mesir, kekayaan Presiden mencecah 70billion dolar sedangkan ramai rakyatnya mempunyai pendapatan hanya 3ringgit sehari.

Pembunuhan berpuluh ribu ulama-ulama, berpuluh ribu masih di penjara bawah tanah dengan penuh penyeksaan yang tidak tergambar oleh fikiran, kezaliman ke atas rakyat yang dilakukan sejak dulu lagi serta rendition antara kejahatan Presiden Mesir kepada rakyatnya. Jadi, anda yang boleh makan dengan kenyang sambil menonton tv, usahlah keluarkan kenyataan mempersoalkan tindakan rakyat Mesir.

Sikap bodoh anda lebih terserlah jika anda menyatakan Malaysia mempunyai pelbagai agama, kaum dan etnik tidak mengalami kejadian seperti di Mesir sedangkan di Mesir hanya mempunyai majoriti Muslim dan Kristian pun boleh terjadi rusuhan seperti itu. Sedarlah, isu di Mesir ketika ini bukan isu agama, bahkan pihak kristian koptik juga turut bersama muslim mesir untuk menjatuhkan Presiden Maha Zalim yang menjadi boneka Amerika dan Israel itu. Jangan mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan anda baru lahir ke dunia semalam.

Isu Mesir tiada kaitan dengan kita. Ini kenyataan yang paling sedih apabila saya dengar. Sahabat, isu Mesir boleh merubah geografi politik bukan sahaja di Asia Barat malah seluruh dunia. Andai kata boneka Amerika di Mesir jatuh, dan diganti oleh kerajaan yang lebih baik, saudara kita di Palestin juga terbebas dari kepungan dan halangan untuk mendapat bantuan. Itulah yang paling ditakuti oleh Amerika dan Israel sehingga tercari-cari calon pengganti Husni, kerana itulah keluarnya nama-nama seperti Omar Suleiman dan Ahmed Syafiq untuk dijadikan kuda tunggangan seterusnya.

InshaAllah jika ada kesempatan, saya akan cuba sambung pandangan dan pendapat saya tentang krisis di Mesir. Apakah wajar kita membawa balik rakyat kita dan benarkah apa yang berlaku begitu teruk? Saya yakin dan percaya, sahabat-sahabat juga turut mengikuti krisis ini. Mohon kongsikan apa yang sahabat-sahabat tahu yang saya tidak tahu. Maaf kerana tidak berkesempatan untuk lebih lama di sini.

Jumpa lagi!!!

5 Feb 2011

"Seronoknya jadi lelaki"

Cuti Tahun Baru Cina kali ini merupakan kesempatan yang baik untuk keluarga saya berkumpul semua selepas 'iduladha yang lalu. Cuti seminggu ini, adik-adik semua pulang ke kampung samada yang di kampus, yang sedang menadah kitab di pondok mahupun yang berada di Maahad Tahfiz.

Seronok rasaya bila semuanya ada, masing-masing dengan kerenah masing-masing. Tanpa seorang adinda yang pergi terlebih dahulu, sudah pasti ada kelainannya, namun alhamdulillah ingtan itu kami salurkan melalui jalan yang baik.

Jumaat yang lepas saya berkesempatan menghadiri kuliyyah dhuha di Medan Ilmu yang disampaikan oleh TGNA dan disusuli dengan solat hajat untuk Mesir. Biasanya saya ke sana bersama bonda dan ayahanda, tetapi hari itu saya hanya berseorangan kerana bonda sibuk membantu mak saudara yang buat kenduri.

Petang itu, sewaktu makan-makan bersama family, saya ceritakan kepada bonda tentang solat hajat tersebut. (Saya solat di belakang TGNA, TGNA menangis semasa doa, bersalaman dgn beliau dsb).

"seronoknya jadi lelaki", kata bonda.

"hish, kenapa cakap cmtu. xbaikla. perempuan pun ada kebaikan dia", kata adik perempuan sy membela kaum hawa.

"la, bukan menyesal jadi perempuan. maksud bonda, ada 2 perkara yang buat bonda jeles dengan lelaki", terang bonda.

"apa dia?", tnya adik.

"pertama mereka boleh bersalaman denga ulama2, syeikh pondok, ustaz2, dan boleh ambil berkat mereka", kata bonda.

"kedua?", tingkah saya.

"boleh solat di belakang imam makkah, di depan kaabah terutama solat fardhu subuh", jelas bonda. Seterusnya bonda menceritakan bagaimana kaum perempuan 'dihalau' dari dataran kaabah sebelum subuh dan pengalaman-pengalaman lain di sana. Nyata sekali rindu bonda pada kaabah masih kuat.

Cerita bonda menggamit rasa hati saya untuk ke sana. Kebetulan sekarang kursus haji sudah dimulai di Masjid berhampiran rumah saya oleh seorang ustaz yang bawa haji dan terbuka untuk semua. Saya berharap agar saya dapat hadir pada sesi seterusnya. Walaupun giliran ke sana adalah pada tahun 2035, tetapi alangkah baiknya kalau mendapat pendedahan seawal ini. Mana tahu, dengan izin Allah saya mampu pergi lebih awal dari itu.

Bercakap soal ulama, saya agak jeles dengan sesetengah sahabat yang berpeluang menemui ulama besar dari mesir, jordan, syria terutama  Syeikh al-Qaradhawi dan Dr Wahbah azzuhaily. Ramai juga sahabat-sahabat yang mengambil peluang belajar di syria selama 3 atau 6 bulan. Sungguh beruntung mereka, sudahlah bahasa arab sy semakin hilang, peluang untuk bertemu ulama-ulama besar juga tiada. Moga Allah memberi mereka kesihatan berpanjangan untuk kemaslahatan ummah.

Ameen.

3 Feb 2011

Untuk mahasiswa/i sahaja : 7 Tanda anda akan gagal di universiti


Salahkan hujanTanda ketiga yang anda perlu perhatikan ialah ‘ tidak bawa payung, salahkan hujan’. Ini adalah ditujukan kepada pelajar yang suka menuding jari untuk menyalahkan orang lain di atas kesilapan dan kelemahan diri sendiri.
Saya pernah coretkan sedikit tulisan mengenai tanda ini hampir 2 tahun lalu di blog ini. Apa kata kita lihat kembali. Ketika itu saya tulis, ‘anda adalah orang yang sangat malang jika…
  • Anda terjatuh kerana terlanggar tunggul lalu anda memaki hamun tunggul tersebut kerana? berada di tengah jalan anda.
  • Anda terlewat bangun pagi dan terlepas bas ke sekolah lalu anda salahkan pihak televisyen kerana menayangkan perlawanan bola sepak pada lewat malam.
  • Anda dirotan kerana merokok di sekolah lalu anda menyalahkan pekedai runcit di tempat anda kerana menjual rokok tersebut kepada anda….
  • Anda gagal dalam peperiksaan Matematik lalu anda mengamuk pada kawan anda kerana tidak membenarkan anda meniru beliau.
  • Anda menconteng dinding-dinding atau tempat awam kerana anda rasa tidak ada orang mahu mendengar apa yang Salahkan hujananda hendak katakan.
  • Anda tidak mahu belajar subjek Sejarah dengan bersungguh-sungguh kerana anda rasa cikgu Sejarah anda suka pilih kasih.
  • Anda kalah dalam perlawanan badminton lalu anda salahkan syarikat pembuat raket badminton anda kerana produk tidak berkualiti.
Mungkin situasi yang saya bayangkan kelihatan agak ekstrem dan keterlaluan. Anda tidak mungkin mempunyai ciri-ciri begitu bukan? Namun pernahkah anda ada rasa anda dapat gred yang tidak baik kerana pensyarah anda membosankan, tidak pandai menarik perhatian dan tidak pandai menerangkan sesuatu dengan jelas? Pernahkah anda merungut atau terfikir, “pensyarah aku ni tak pernah belajar teknik presentation ke?” Akibat rungutan ini, anda mula tidak berminat apa yang pensyarah anda ajarkan. Apa kata kita lihat situasi sebenar di universiti pula.
  • Anda pilih untuk duduk kerusi paling belakang dewan kuliah dan kemudian merungut suara pensyarah terlalu perlahan.
  • Anda tidak membaca bahan bacaan asas untuk kuliah dan kemudian merungut pensyarah mengajar terlalu laju.
  • Anda lewat 15 minit ke kuliah dan merungut apa yang diajarkan terlalu sukar difahami.
  • Anda tidak pernah berjumpa pensyarah untuk bertanya apa yang diharapkan dalam assignment yang diberi. Apabila mendapat keputusan yang tidak memuaskan, anda kata pensyarah ini kedekut markah dan pilih kasih.
  • Anda tidak membuat persiapan rapi untuk presentation lalu gugup dan terlalu gementar semasa sesi presentation. Anda salahkan pensyarah kerana mewajibkan presentation.
Apa kata hari ini anda fikirkan sejenak semua rungutan dan keluhan yang pernah diluahkan atau terlintas di hati anda. Fikirkan juga jika ini adalah tanda bahawa anda akan gagal di universiti.

dipetik dari sini 

**ini bukan tulisan saya, tp jika saya masih jadi mahasiswa uni, mesti terasa jg terutama item nombor 4, pensyarah kedekut markah. Selalu juga mengomel begitu, siap mark beberapa pensyarah yang perlu dielak untuk memastikan grade yang baik dalam sesuatu subjek. Bukan setakat itu, malah jika ditanya oleh junior tips untuk jadi scorer, pasti tips memilih pensyarah jadi point utama. :)

Oleh sebab saya adalah cikgu, maka saya tidaklah terasa lagi dengan tanda-tanda yang diberikan, bahkan baru saya tahu, kadang-kadang markah perlu juga dikedekutkan untuk melatih murid lebih berhati-hati. Yup, kita kedekut markah untuk ujian-ujian, supaya mereka lebih cemerlang dalam peperiksaan. Ok kan?

Seingat saya, di uni dulu, saya adalah lelaki melayu terakhir di dalam kursus yang saya ambil. Bayangkan sewaktu tahun pertama pengajian hanya ada 4 orang lelaki melayu yang berdaftar bersama saya dari beratus-ratus pelajar lain. Tiada senior untuk dijadikan rujukan, maka bergeraklah kami berempat.

Seorang demi seorang berundur menyerah kalah, ada yang berhenti, ada yang menukar uni, sehingga pada semester ke-4 tinggallah saya terkontang kanting seorang diri. Saya hampir putus asa namun masih cuba survive dengan mula berkawan rapat dengan pensyarah-pensyarah. Apabila rapat, mereka mula bertanya kepada saya tentang masalah kenapa hanya saya yang tinggal dan apa yang perlu mereka lakukan untuk membantu pelajar-pelajar kita. Hasilnya alhamdulillah, tahun-tahun berikutnya kebajikan adik-adik junior lebih diambil berat.

Apapun, jika anda seorang pelajar dan terasa dengan apa yang dinyatakan di atas, ubahlah sebelum terlambat. Bak kata Cikgu Mala, UBAH SEKARANG!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails