BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


31 Dis 2010

Haid : Bukan wanita saja perlu tahu

Apabila disebut tentang darah haid, wanita-wanita pasti berasa malu kerana beranggapan ianya hal peribadi mereka dan para lelaki pasti tidak berminat untuk mengendahkannya kerana beranggapan itu bukan masalah mereka. Ini mungkin disebabkan persekitaran masyarakat kita yang melihat perkara itu sebagai kotor semata-mata sehingga menimbulkan malu bagi wanita untuk membicarakannya.

( Hal ini sama dengan term 'seks'. Pada asasnya, seks adalah sesuatu yang terhormat, bahkan mereka sendiri lahir hasil hubungan seks namun ia dilihat sebagai sesuatu yang lucah kerana persekitaran masyarakat kita sendiri yang melucahkan seks itu tersebut )

Oleh kerana malu tidak bertempat ini menyebabkan mereka tidak mendapatkan ilmu secukupnya tentang haid dan kesannya amatlah besar terutama terhadap ibadah mereka. Sudah pasti sukar untuk menentukan mana darah istihadah, mana darah haid, bila dikatakan istihadah, bila dikatakan haid dan sebagainya. Soal solat, puasa dan haji pasti bermasalah jika tiada pengetahuan mengenainya. Itu belum lagi bab untuk mengajarkan kepada anak-anak mereka nanti apabila bergelar ibu. Bagaimana ingin mengajar anak jika diri sendiri tidak faham tentang masalah ini?

27 Dis 2010

Wanita Meminang, Berkapel Dan Pertunangan Menurut Islam

Berkapel & Displin Dalam Bertunang
 kapel
Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?

Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini


Jawapan
 
Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah Maha Bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.
Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-

22 Dis 2010

3 benda ikut mayat ke kubur

Tak tahu kenapa 2 3 hari ini banyak perkongsian yang saya lepaskan dari draft artikel saya. Barangkali sudah terlalu lama ianya disimpan di sini sehingga tidak tahu mana satu yang harus didahulukan. Lebih baik lepaskan saja apa yang ada sebelum bertambah serabut untuk siarkan artikel yang mana satu dulu.

Kali ini saya ingin berkongsi perkara yang akan mengikut kita ke kubur. Ianya merupakan kupasan dari hadith baginda Rasulullah SAW untuk peringatan kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian supaya kita lebih sedar dan ingat tentang mati. Maaf sebab saya lupa matan hadith ini. Mohon sesiapa yang tahu, share kt sini.

3 perkara yang akan ikut kita ke kubur, 2 darinya akan pulang semula dan satu daripadanya akan tinggal bersama-sama kita dan menemani kita.

Ajaibnya sedekah

Ni sambung dari artikel yang lepas. Pada mulanya saya ingin mencantumkannya namun kekangan masa menyebabkan saya terpaksa menulis secara berasingan. Apabila kita bercakap tentang sedekah atau pun hadiah, kita akan terbayang harta atau sesuatu milik kita akan berpindah ke tangan orang lain dan kita rugi. Ini kerana harta kita dilihat semakin berkurangan. Ya, sudah pasti kita akan mendapat ganjaran di akhirat nanti, tapi sebelum itu, di dunia lagi kita mendapat berkat darinya.

Jika kita bersedekah, harta yang kita keluarkan itu tidak hanya berhenti terhadap penerimanya sahaja, bahkan dari penerimanya akan berpindah kepada orang lain, seterusnya kepada orang-orang lain dan akhirnya akan kembali kepada kita semula. Ianya seperti satu kitaran bahkan mungkin kita akan mendapat lebih lagi. Harta yang hanya ada pada kita tanpa sedekah, tidak akan bertambah dan bergerak dalam kitaran itu pasti statik saja sifatnya.
Rezeki yang diberikan oleh Allah kepada kita bukan milik kita keseluruhannya. Ianya juga rezeki orang lain yang Allah berikan melalui kita untuk menambahkan pahala kita. Allah boleh berikan rezeki itu terus kepada orang itu, namun Allah memberinya melalui kita untuk memberi manfaat kepada kita. Contohnya apabila kita belanja kawan kita makan, usah kita terlalu bangga dengannya kerana itu memang rezekinya yang Allah berikan kepada kita untuk menambah pahala kita. Begitu juga jika orang belanja kita makan atau beri sesuatu hadiah, jangan cepat ucap terima kasih tetapi dahulukan ucapan itu dengan Alhamdulillah sebelum terima kasih. Allah yang memberi rezeki, namun melalui rakan kita. Saya ada beberapa kisah menarik mengenainya. Mari sama-sama kita hayati :)

21 Dis 2010

Tahniah adindaku

Alhamdulillah. Puja dan puja hanya pada Allah. Setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, adik saya dipilih untuk belajar di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman (MTSNA) selepas berjaya dalam temuduga yang dihadiri beliau tempoh hari. Moga beliau berjaya menjadi saintis atau ulama yang hafiz al-quran.

Sebenarnya agak bimbang kerana sewaktu ujian lisan, beliau tidak dapat menghafal dengan sempurna dan beberapa kali ditegur oleh sang ustaz. Namun alhamdulillah mungkin markah temuduga dan ujian bertulis banyak membantu. Walaupun sewaktu melawat Maahad tersebut sewaktu ujian hari itu, saya melihat bangunannya masih belum siap sempurna namun inshaAllah semua itu tidak menjadi halangan.

Beliau adalah yang pertama dalam keluarga kami yang akan belajar di Maahad Tahfiz selepas saya gagal melakukannya dulu kerana 'halangan'. Ketika itu Maahad Tahfiz Sains belum ada, yang ada hanyalah Maahad Tahfiz wal Qiraat. Walaupun saya mendapat sokongan dan galakan penuh dari sahabat saya yang merupakan senior di sana, namun ada 'halangan' yang menjadi penghalang. Beliau agak kecewa kerana saya tidak hadir temuduga walaupun berkeyakinan saya mampu melepasinya, namun apa boleh buat saya tiada daya untuk menentang 'halangan' itu. Saya hanyalah anak kecil yang usai UPSR dan belum mengerti apa-apa. Mungkin ada sebab yang menyebabkan saya tidak dipilih untuk mengisi dada saya dengan ayat-ayat cinta-Nya. Bila diingat kembali 'halangan' itu, saya jadi sedih sendiri.

Apabila usai tingkatan 5, saya cuba berdikari dan melepaskan diri dari 'halangan' itu. Saya mencari ruang dan peluang untuk menjadi seorang al-hafiz namun tidak berjaya. Ada satu peluang untuk mengikuti Pensijilan Tahfiz di Darul Quran namun ketika itu tempatnya sangat terhad. Saya difahamkan ketika itu mereka hanya menyediakan 3 tempat untuk setiap negeri sedangkan yang hadir untuk ujian adalah lebih 50 orang semuanya dari sekolah yang hebat seperti Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Muhammadi Perempuan, Naim lilbanat dan sebagainya. Pengetahuan Bahasa Arab mereka amat hebat sehingga mereka menghafal al-quran sekejap saja dengan menggunakan tafsir. Tiada daya untuk saya mengatasi mereka. Apa yang saya tahu mereka yang terpilih adalah dari Maahad Muhammadi.

Mengingati kisah ini menyebabkan saya senyum sendiri. Ada kisah suka dan dukanya. Moga adik saya akan berjaya menghabiskan hafalannya di sana.

20 Dis 2010

Harta kita bukan hak kita

Harta ni ada beberapa jenis, harta alih atau harta tak alih. Ada harta dalam bentuk wang tunai, aset, liabiliti mahupun kebendaan. Sebut pasal harta, semua mahukan harta sehingga ada yang sanggup mati kerana harta. Harta jika digunakan dengan baik akan menjadi bekalan di akhirat namun jika sebaliknya pasti menjadi bahan bakar api neraka.

Seorang sahabat pernah berkata kepada saya. "hidup di Malaysia ni susah. Yang miskin ditindas, yang kaya dibunuh. Macam kes allayarhamah Sosilawati". Saya hanya diam dan terfikir, mungkin ada benarnya pendapat beliau. Secara mudahnya harta terbahagi kepada 3.

Pertamanya harta yang kita kita makan atau minum. Semua orang makan dan minum dan akhirnya makanan yang dimakan itu akan masuk ke dalam tubuh dan diproses sebelum dikeluarkan menjadi najis. Walaupun sesedap mana pun makanan yang dimakan, tetap yang akan dikeluarkan adalah najis yang tiada sesiapa yang mahu mengaku miliknya atau ingin disimpannya. Jadi, kenapa terlalu ghairah berbangga dengan harta yang akhir kesudahannya, kita sendiri tidak sudi untuk melihatnya.

18 Dis 2010

Tips bangun pagi tanpa jam loceng

Waktu subuh adalah antara waktu solat yang paling sukar dilakukan pada awal waktu apalagi dilakukan di masjid. Ini kerana ketika itu kita masih dalam keadaan lemah dan mamai sementara peluang itu dipergunakan oleh syaitan untuk menggoda dan mengulit kita. Bagi yang lemah iman, pasti tersungkur.

Diriwayatkan dari Uthman bin Affan r.anhu bahawasanya nabi s.a.w bersabda:

“ Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah akan mendapat pahala seolah-olah bangun separuh malam dan sesiapa yang solat subuh berjemaah akan mendapat pahala bangun sepenuh malam. 
[ HR Imam Muslim]

Sebenarnya mudah saja untuk bangun pada waktu subuh. Kunci jam pada waktu yang kita ingin bangun dan bangun bila mana jam tersebut berbunyi. Namun jam loceng semakin tidak mendapat tempat apabila tugas membangunkan manusia diambil oleh telefon bimbit. Pelbagai rentak dan irama lagu boleh disetkan pada telefon bimbit sehingga kadang kala lagu yang dimainkan lebih sesuai untuk mengulit tidur dari membangunkan kita.

17 Dis 2010

Mencari kasih abadi

Malam itu aku denganMu,
Mencari Kasih abadi,
Yang dapat menyinariku sepanjang hidup,
Yang dapat menawar segala lara,
Yang bisa menggembira dan menenangkan hatiku,
Sekian lama ku lupakan diriMu,

Tapi aku juga lemah,
Tak layak rasanya untuk memilikiMu,
Namun, tanpa diriMu 
Aku tak mungkin dapat hidup
Kau yang beri cinta ini,
Kau yang kekalkannya,
Tiba-tiba aku yang robekkannya,

Cukup hanya sekali aku pernah berpaling dariMu,
Biarkan aku denganMu,
Biar aku selalu menemaniMu untuk berbicara,
Biar aku selalu bersamaMu,
Biar semua orang membenciMu,
Asalkan aku bahagia disampingMu,

Cinta..
Jangan pernah tinggalkanku lagi,
Aku tak terdaya tanpaMu,
Menagih kasih suci,
Aku tak ingin mencemarkannya kembali,

Biar cinta mekar di hati,
Biar aku rasai rindu itu,
Biar diriku tenang dengan adanya Kamu,
Kerana ku tahu Kamu merinduku jua, 
Abadikanlah cinta ini hingga hujung nyawa
di akhir sana...

Nukilan : Ijlal Hariri

Puisi ini saya ambil di blog penulisnya. Kelihatan seperti tiada tajuk, jadi saya tinggalkan puisi indah ini tanpa tajuk juga. Adapun tajuk entry ini hanyalah rekaan saya sahaja walaupun dilihat seperti tajuk puisi. Sungguh sayu dan sebak membacanya menyebabkan saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabt sekalian. Amat terasa sekali membaca puisi ini. Seperti saya katakan sebelum ini, saya minat puisi walaupun tidak pandai mengarang. mungkin kelebihan saya bukan di sini.

Membaca rangkap kedua benar-benar membuat saya malu pada Allah. Kita sentiasa mengaku mencintai Allah namun seringkali kita merosakkan cinta itu dengan dosa dan maksiat kepada-Nya.  Kalau pun tidak tahu malu kepada Allah, malulah kepada diri sendiri.

Tahniah dan terima kasih kepada penulis puisi. Moga kita semua mendapat pengajaran dari tulisan ini.

16 Dis 2010

Blog aku, suka hati aku la!!!!


Pernah dengar tak ungkapan ini. Banyak ditulis di blog-blog yang saya kira mereka lupa siapa sebenarnya mereka. Barangkali mereka belum pernah terbaca artikel ini sehingga mendakwa boleh menulis sesuka hati. Saya baru terjumpa blog yang mempertikaikan kewajipan menutup aurat ke atas muslimat, katanya suka hati orang tu la nak tutup ke tak sebab rambut dia. Siap mendabik dada mengatakan dia mampu menulis apa yang dia suka sebab itu blog dia. Saya tidak bercadang untuk mengiklankan blog dia di sini. Lagi kasihan bila membaca komen dari yang menyokongnya dengan memberi menafsiran yang salah tentang ayat al-quran. Moga Allah memberi hidayah kepada mereka.

Benarkah kita bebas melakukan apa saja di rumah kita? Menganjurkan pesta-pesta maksiat, mengadakan pertandingan judi, menggalakkan penzinaan, menjadikannya sebagai markas pencuri. Bolehkah? Tidak!! Tentu sekali tidak. Begitu juga di blog, kita tidak boleh melakukan sesuka hati. Kecuali jika melibatkan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan hukum hakam agama seperti menyusun atur gadjet sebagaimana kita bebas meletakkan almari dan rak buku di rumah kita.

14 Dis 2010

Promosi Maksiat di Facebook & Blog

Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.
Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.
Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

13 Dis 2010

Wallahu a'lam atau Wallahu 'alam?

Saya mendapat teguran dari seorang sahabat kerana menulis Wallahu 'alam kerana kata beliau menurut literasi bahasa Melayu ianya salah kerana sebetulnya adalah wallahu a'lam. Saya tercari-cari artikel sebelum ini dan mendapati ianya benar bahawa saya telah salah tulis tentang ini menurut ejaan yang betul.

Walaupun saya sangat pasti sahabat-sahabat yang membacanya pasti membaca dengan betul walaupun ejaannya adalah salah, namun saya tidak dapat lari dari perasan bimbang kalau ada yang membaca menurut ejaannya. Sudah pasti ianya membawa maksud yang lain.

Saya bukan cikgu bahasa Melayu, saya hanyalah seorang cikgu matematik yang sentiasa bergelumbang dengan nombor-nombor, justeru saya terlepas pandang tentang kesilapan saya ini. Apabila difikir sejenak, betul juga katanya ;

ejaan a'lam di dalam bahasa arab adalah - alif, ein, lam dan mim.
ejaan 'alam di dalam bahasa arab pula - ein, lam dan mim sementara
ejaan alam di dalam bahasa arab pula - alif, lam dan mim.

Mudah-mudahan sahabat-sahabat yang berkunjung di sini membaca mengikut bacaan yang betul dan tidak terikut-ikut dengan kesilapan yang tidak disengajakan ini. Maaf atas kelemahan saya ini.

12 Dis 2010

Tahniah sahabatku, tahniah juga kawanku

Terlebih dulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada kawan saya atas perkahwinan beliau yang akan dilangsungkan pada penghujung bulan ini. Maaf kerana kemungkinan besar tidak akan hadir kerana selain faktor jauh, ada sebab tertentu yang menghalang.

Entry ini sebenarnya adalah untuk mengucapkan tahniah kepada 2 orang sahabat saya atas perkahwinan mereka. Barakallahu lakuma wa baroka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khoir. Seorang darinya yang melangsungkan perkahwinan pada hari ini di Lembah Klang. Majlis beliau juga tidak dapat saya hadir kerana saya ingin hadir ke majis yang akan diadakan di rumahnya pada minggu hadapan. Sahabat ini saya kenali sejak di bangku sekolah menengah sebelum kami berpisah kerana beliau melanjutkan pelajaran ke MRSM dan seterusnya ke luar negara sementara saya setia di sekolah yang sama sebelum melanjutkan pelajaran ke Lembah Klang.

Sejak itu hubunngan kami terputus sebelum kami bertemu 10 tahun kemudian, tetapi anehnya kami boleh bersembang seperti kami baru sehari tidak berjumpa. Setiap minggu kami bertemu dan banyak isu yang kami bincangkan dari isu kecil hinggalah isu besar. Seronok berusrah dengan beliau kerana banyak ilmu yang dapat kami kongsi.

10 Dis 2010

Kau yang bernama lelaki


Kau yang bernama lelaki
Seandainya suatu hari nanti
Melayari bahtera kehidupan
Takdirnya kita bersama
Usahlah diimpikan selaut sutera keindahan
Juga usah kau harapkan
kasih menggunung tanpa puncak
Akuilah hakikat yang tersurat
Aku bukan Siti Khadijah
Bukan 'Aishah
Juga tidak mencapai taraf Sumaiyyah Hafsyah
Wanita suci lagi terpuji

Kau yang bernama lelaki
Mengertilah dan waras keislaman
Aku hanyalah wanita akhir zaman
Yang masih cuba bertahan
Dalam mengharungi dunia
yang palsu lagi menjijikan
Dan kemampuan diri yang tinggal sekurun cuma

Kau yang bernama lelaki
Demi keranaNya semata-mata
Tak kutagihkan apa-apa darimu
Cuma kupohon sebuah pengertian
Kesetiaan dan kasih sayang yang abadi
Bahawa aku adalah amanah buatmu
Seandainya tertulis di suratan azali
Yang kita akan bersama

8 Dis 2010

Tips diet paling berkesan

Kali ini saya ingin berkongsi tips untuk diet yang inshaAllah akan berkesan dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Tips ini lebih berkesan jika anda seorang yang tidak mementingkan diri. Bagi sesetengah orang, berat badan adalah sesuatu yang sangat sensitif lebih-lebih lagi wanita. Kalau boleh, berat badan mereka tidak mahu diketahui oleh sesiapa pun. Ianya dianggap sebagai hak eksklusif dan rahsia peribadi yang lebih sulit dari kertas peperiksaan SPM.
Namun kadang kala ia akan naik di luar kawalan kita. Ada orang yang makan lah seberapa banyak pun makanan, badan tidak juga naik. Ada orang, makan sedikit pun dah naik badan. Kalau lelaki, ia sering disinonimkan dengan berat naik mendadak selepas berkahwin. Adakalanya dipanggil sindrom suami menemani isteri mengandung atau merasai penderitaan isteri mengandung. Namun isteri kembali kempis selepas bersalin, berbanding suami terus membesar. Ada juga yang mengatakan suami 'mengandung' terlebih dahulu dari isteri kerana sentiasa memakan masakan isteri yang memasak dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang itulah yang 'membesarkan' suami. Wallahu a'lam kerana saya belum berkahwin.

7 Dis 2010

Salam 1432 Hijrah

Sempena kedatangan tahun 1432 Hijrah ini, marilah sama-sama kita meningkatkan amalan ketaqwaan kita kepada Allah. Bulan Muharram adalah bulan yang dianjurkan untuk kita berpuasa sunat. marilah kita menjadikan permulaan tahun Islam ini untuk kita mengislahkan diri kita ke arah yang lebih baik.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah bulan Allah,Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”.
(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)

Wanita Jangan Jadi Bimbo | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Wanita Jangan Jadi Bimbo | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Alhamdulillah. Artikel ini telah dipostkan di iluvislam dengan sedikit editan. Moga menjadi pengajaran berguna untuk semua. Terima kasih kepada ISYRAK atas bantuan. Moga kita semua sentiasa dalam jagaan Allah. Sempena tahun baru 1432 hijrah ini, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.

6 Dis 2010

Tips temuduga KPLI

Bismillah.

InshaAllah kali ini saya cuba berkongsi sedikit tips untuk temuduga KPLI bagi calon-calon yang telah lulus ujian M-Test baru-baru ini. Sebenarnya bukan tips sangat pun tetapi lebih kepada pengalaman saya semasa mengikuti temuduga tersebut. Mungkin ada antara pembaca yang akan menghadapinya atau juga mungkin sahabat handai, rakan taulan atau saudara mara. Jika berguna alhamdulillah, jika tidak anggap sajalah ianya sebagai perkongsian pengalaman.


Sebenarnya soal dapat KPLI atau tidak lebih kepada rezeki. Memang kita berusaha tetapi usaha kita bukan segala-galanya. Sungguh, ramai rakan-rakan saya yang mengeluh kerana berkali-kali memohon tetapi belum berjaya, bukan hanya gagal temuduga bahkan M-test pun belum lepas, sedangkan saya kali pertama memohon terus lulus M-Test dan temuduga. Justeru, jika anda betul-betul berminat, mintalah dengan Allah sesungguh hati dan selalulah bangun malam dan berbaik sangka dengan Allah.

Pada hari temuduga, saya dalam dilema samada ingin mengikuti temuduga tersebut atau tidak. Fikiran saya berbelah bagi samada untuk ke temuduga atau ke tempat kerja kerana hari itu adalah hari bekerja dan ketika itu saya masih pegawai kerajaan. Saya tidak dapat bertanyakan pendapat sesiapa kerana tiada sesiapa pun yang tahu saya memohon menjadi seorang cikgu termasuk keluarga. Ini untuk mengelakkan saya dipaksa terima tawaran KPLI jika saya berjaya kelak. Biarlah saya memilih laluan ini kerana diri saya sendiri, bukan kerana paksaan orang lain. Selain itu, ia juga untuk mengelakkan tekanan dari mereka yang suka bertanya tentang itu.

4 Dis 2010

Aduhai wanita

Saya ingin berkongsi pengalaman menarik sewaktu bermusafir ke Lembah Klang. Sepatutnya dah tak dikira musafir kerana saya di sana melebihi 3 hari, tapi takpe lah sebab sebelum ke sana saya tidak berhajat untuk tinggal lama. Namun kerana kerinduan kepada sahabat-sahabat, saya panjang tempoh tinggal di sana kepada 10 hari walaupun niat asal hanya untuk ke sana dalam 3 hari sahaja.

Tinggal lebih lama di sana menyebabkan saya lebih masa untuk mengunjungi sahabat-sahabat. Saya memilih untuk menaiki pengangkutan awam walaupun ada motosikal kerana ingin merasai kesusahan rakyat marhein. Paling saya teruja adalah sewaktu menaiki komuter. Bukan saya tidak menaikinya namun inilah kali pertama saya menaikinya selepas pihak KTMB menyediakan koc merah jambu untuk wanita.

Saya memuji langkah KTMB yang begitu prihatin untuk menjaga kehormatan wanita dari dikotori oleh tangan-tangan gatal dan jahat. Saya amat bersetuju untuk diperkenalkan koc ini walaupun pada mulanya ada pihak yang memandang sinis terhadap cadangan yang baik ini. Koc tengah yang ditetapkan untuk wanita memudahkan mereka menunggu di ruangan wanita. Saya pada mulanya menunggu di ruangan itu juga namun baru saya sedar adanya papan tanda yang meyatakan tempat menunggu wanita. Nasib baik ketika itu orang masih tidak ramai.

3 Dis 2010

Terima Kasih, cikgu & Maafkan saya, cikgu

Semalam saya menghabiskan separuh dari hari saya di Maahad Tahfiz Sains untuk menghantar adik mengikuti ujian lisan untuk kemasukan ke sekolah tersebut. Mudah-mudahan beliau berjaya kerana tempat yang disediakan sangat terhad sedangkan permohonan yang diterima sangatlah banyak.

Sambil menunggu beliau mengikuti ujian hafalan, saya meninjau sekitar kawasan sekolah. Keadaan cuaca yang  hujan menyebabkan pergerakan saya agak terhad. Tiba-tiba saya terlihat kelibat seorang wanita yang saya rasa sangat familiar. Tatkala beliau memandang saya, beliau tersenyum dan mendekati saya. Alamak, beliau masih mengenali saya. Sebelum sempat beliau bersuara, saya terlebih dahulu menyapa beliau.

"Assalamu'alaikum,cikgu. Kenal saya lagi?"

"wa'alaikumussalam. Kenal lagi, dah lama xjumpa. Cikgu dah lupa dah nama awak".

Yela, lebih kurang 10 tahun saya meninggalkan bangku sekolah, tidak pernah kami bertemu, tiba-tiba bertemu di sini. Selang temph tersebut, dah beribu pelajar menjadi anak didik beliau, saya tidak berkecil hati tetapi bangga dapat dikenali oleh seorang cikgu yang sudah 10 tahun tidak bersua. Banyak juga yang kami sembang. Ternyata cikgu masih di sekolah yang sama dan kekal dengan penampilan tudung labuh dan jubah seperti dulu walaupun bukan mengajar subjek Pendidikan Islam mahupun Bahasa Arab.

2 Dis 2010

Rama-rama dan Cinta lelaki

Wahai wanita, anda adalah perhiasan. Dunia ini menjadi indah kerana adanya anda yang bernama wanita. Tanpa anda dunia pasti diselubungi sugul. Para lelaki yang mendiami bumi ini akan ketandusan kasih. Dunia pasti tidak menarik untuk didiami. Rasanya dunia akan penuh dengan kekejaman dan perbuatan-perbuatan 'sampai hati' sesama sendiri

Wahai wanita, anda ibarat rama-rama yang mengindahkan lagi alam. Anda telah menyempurnakan keindahan bunga. Sempurnalah keindahan apabila bunga dikitari sang rama-rama. Namun anda yang bernama wanita, mengapa ramai sekali yang sengaja merosakkan diri di tengah-tengah kebuasan lelaki.

Memang keinginan untuk berteman fitrah insan, tapi tak usah mangsakan diri anda untuk lelaki yang kurang perasaan. Tamsilkanlah diri anda sebagaimana rama-rama. Keindahan anda mudah terlerai sebagaimana mudahnya rama-rama terlerai daripada keindahannya apabila ia disentuh.

Tatkala rama-rama sudah hilang keindahan, tiada siapa akan pedulikannya lagi. Memang ramai wanita berasa bangga apabila ia digilai ramai lelaki. Tapi wahai wanita, sayap anda yang indah itu pasti luntur sedikit demi sedikit, melekat dijari lelaki tatkala dia menyentuh anda, sebagaimana sayap rama-rama berpindah coraknya kejari anda tatkala anda menyentuh serangga yang kecil itu.

1 Dis 2010

Kenapa saya menangis?

Dalam artikel saya sebelum ini saya bercakap tentang tangisan seorang lelaki di mana lelaki itu adalah saya. Saya menerima beberapa respon menarik samada dari emel, komen di post itu sendiri mahupun di iluvislam. Malah artikel itu mencatatkan kedudukan ke-2 paling diminati dalam sebulan selepas artikel Muslimat jangan jadi bimbo walaupun hanya beberapa hari disiarkan. Ada yang bertanya kenapa saya menangis, di samping ada juga yang berhasrat untuk membeli buku tersebut. Saya tidak dapat menjamin anda menangis membaca buku ini tetapi inshaAllah anda berpuas hati memilikinya. Kini saya difahamkan buku ini mempunyai cetakan terbaru yang disertakan dengan CD.

Penulisan Muhd Kamil Ibrahim di dalam 'Travelog Haji : Mengubah sempadan Iman' hanya bersahaja tetapi sangat menusuk ke dalam hati saya. Saya menangis saat beliau menceritakan bagaimana pada mulanya beliau 'melarang' isteri beliau untuk mengucup Hajaral Aswad kerana keadaan manusia yang ramai dan kuat-kuat. Biar hanya beliau seorang yang mengucup, tambahan pula mengucup batu itu hanya sunat. Beliau seolah 'lupa' bahawa beliau dapat mengucup bukan kerana beliau lelaki, beliau dapat mengucup bukan kerana beliau kuat tetapi kerana kuasa dan izin Allah. Beliau sedar akan 'kekhilafan' itu semasa beliau berpuasa dan dalam keadaan tidak kuat dan lemah beliau berjalan-jalan 'tanpa sedar' ke arah Hajaral Aswad lalu berjaya mengucupnya. Barulah beliau sedar betapa dalam keadaan lemah begitu pun beliau mampu dengan izin Allah lalu beliau membawa isteri beliau mengucup batu hitam itu. Akhirnya isteri beliau juga mampu mengucup batu hitam itu.

Apa yang sedihnya?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails