BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


28 Nov 2010

Tangisan seorang lelaki

Salahkah jika seorang lelaki itu menangis? Kata orang, kalau lelaki menangis, maka tak 'macho' kerana air mata dikatakan hanya sinonim dengan perempuan. Benarkah? "No woman no cry", kata Bob Marley. Air mata yang mengalir kerana takutkan Allah mampu memadamkan api neraka, namun air mata yang mengalir kerana kehilangan 'buayafren' atau 'gelifren' hanya sia-sia.

Saya tidak pernah menangis kerana membaca buku mahupun kerana menonton TV atau filem walau sesedih mana cerita yang dilakonkan. Kadang-kadang pelik mendengar orang yang menangis kerana menonton TV. Bagi saya, mereka semua tidak munasabah dan hanya membazirkan air mata.

26 Nov 2010

Maafkan ku kawan

Seorang sahabat menghubungi saya meminta alamat untuk diposkan kad jemputan perkahwinan beliau dengan pasangannya. Sudah lama kami tidak bersua. Beliau di Lembah Klang sementara saya di Lembah Sireh. Jarak perjalanan antara kami adalah 45 minit penerbangan atau 7 jam perjalanan darat.

Sempat juga beliau menyatakan kerinduan kerana sudah lama tidak bertemu dan bertanya bila mahu datang ke Lembah Klang. Saya memberitahu beliau bahawa saya baru saja ke sana sebelum 'iduladha tetapi tidak sempat bertemu beliau kerana kesibukan. Beliau meluahkan kekecewaan kerana tidak sempat bertemu. Sebenarnya jika saya mahu, boleh saja saya mencari waktu di sebalik kesibukan itu untuk bertemu beliau namun saya memilih tidak melakukannya.

25 Nov 2010

Virus-virus ukhuwwah

Apakah dalam ukhuwah juga ada virus? Virus juga menyerang ukhuwah? Bukankah virus itu hanya menyerang komputer atau laptop yang tidak mempunyai kawalan keselamatan anti virus? atau menyerang sistem pertahanan badan? Sewaktu di bangku sekolah menengah dulu, cikgu mengatakan virus merupakan mikroorganisma yang paling kecil. Em, patutlah virus-virus ini tidak dapat dilihat, bahkan adakalanya tidak disedari.

Saya menulis tentang virus-virus ukhuwah ini kerana tertarik dengan petikan-petikan yang diambil dari buku virus-virus ukhuwah karangan Abu 'Ashim Hisyam bin Abdul Qadir Uqdah.
Saya belum berkempatan membaca keseluruhan buku ini, namun elok dikongsikan sedikit petikan menarik tentang buku ini. Petikan buku adalah yang berhuruf condong (italic)

23 Nov 2010

Ayuh Wanita

SEMINAR ISLAM DAN HAK-HAK WANITA
14 DISEMBER 2010
DEWAN ANNEX, DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR


MENGAPA SEMINAR INI DIADAKAN?

Seringkali isu berkaitan wanita Islam dibahas dan dibicara dalam pelbagai bentuk perbincangan semasa. Isu yang sering dimainkan ialah mengenai hak dan status wanita dari perspektif Islam. Lebih jauh dari itu, ada juga perbahasan yang cuba untuk melihat apakah wanita itu ditindas atau menjadi golongan kelas kedua di sisi Islam. Ia adalah topik yang sensasi dan sering juga disensasikan oleh media. Ia juga suatu topik yang sering dibahaskan oleh para sarjana sama ada sarjana Muslim atau bukan Muslim, dari dalam atau luar negara. Malaysia pernah menjadi tuan rumah kepada program Musawah yang dianjurkan pertubuhan tempatan, tidak lain bertujuan untuk membela wanita tetapi ada yang meragui kaedah dan pendekatan yang digunakan.   

Oleh itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cuba mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar ini agar segala tanggapan negatif terhadap kedudukan wanita dalam Islam dapat dirungkai serta difahami secara tuntas. Dengan cara ini, pendekatan pendidikan dan perbincangan akan dilihat sebagai jalan terbaik untuk menangani sebarang konflik berkaitan wanita dan status mereka dalam syariat. 

APAKAH OBJEKTIF SEMINAR INI?

22 Nov 2010

Jom ke Cheng Ho Expo 2010

Saya dengan rendah diri menjemput sahabat-sahabat datang berkunjung ke Expo Cheng Ho yang diadakan di Kota Bharu. InshaAllah saya yakin dan percaya sahabat-sahabat semua pasti berpuas hati dengan expo yang bertaraf antarabangsa ini. Ianya pasti jauh lebih baik jika ingin dibandingkan dengan Jom Heboh mahupun mana-mana expo.


Untuk keterangan dan maklumat lanjut, sahabat-sahabat semua boleh melayari laman web rasmi Expo Cheng Ho 2010. Jika anda penggemar aksi lagak ngeri, pasti menyukai pertunjukan akrobatik pemegang rekod dunia pejalan atas tali. InshaAllah pasti menghiburkan.

Untuk gambaran lebih jelas, boleh melayari Facebook Cheng Ho atau untuk jadual event, boleh merujuk di Brochure Cheng Ho

Kita jumpa di sana.

20 Nov 2010

dari Lembah Sireh ke Lembah Klang

Sebelum 'iduladha, saya menghabiskan masa lebih kurang seminggu di Lembah Klang. Asalnya hanya untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat, namun akhirnya saya memutuskan untuk tinggal lebih lama sambil menziarahi sahabat-sahabat yang lain. Bukan senang untuk saya ke sana selepas lebih 7 tahun berkelana di sana sewaktu belajar dan bekerja di jabatan kerajaan di sana.

Sepeninggalan saya ke sana, blog ini terabai dan tidak dikemaskini seperti biasa. Sebelum ini saya menetapkan sekurang-kurangnya satu artikel satu hari, bergantung pada isu. Mudah-mudahan selepas ini tidak lagi tertinggal banyak hari.

Ternyata banyak perubahan yang terjadi di sana samada dari segi pembangunan mahupun kos sara hidup. Amat dirasai lebih-lebih lagi bab makanan. Jika setahun yang lalu, di kedai yang sama dengan makanan yang sama harganya RM 3 tetapi sekarang meningkat kepada Rm 6. Tidak dapat dibayangkan bagaimana nasib pekerja-pekerja bawahan. Apakah yang mereka makan di sana? Bagaimana bagi yang sudah berkeluarga. Lebih menguntungkan jika pandai memasak namun banyak lagi kos tambahan yang perlu jika memilih untuk memasak. Silap-silap lagi mahal dari makan di kedai.

Paling seronok adalah berkumpul dengan sahabat-sahabat kerana dapat mengimbau kenangan sewaktu di zaman belajar dulu dan seterusnya berkongsi ilmu. Namun, tidak dapat meluangkan masa yang lama kerana ada antaranya terpaksa pulang awal atas komitmen keluarga. Ya, apabila sudah beristeri semestinya keutamaan harus diberikan kepada isteri. Jadi tinggallah yang mana masih bujang.

Antara yang menarik dibincangkan adalah tentang Zulqarnain. Siapa Zulqarnain? Ia berikutan pertentangan 2 buah buku iaitu
Walaupun isu ini sudah meluas skoop perbincangan namun sesekali mengupas bersama sahabat agak menarik. Namun perbincangan agak terbatas kerana masih ada yang belum membaca atau hanya membaca sebuah buku sahaja dari 2 buku tersebut. Saya sendiri hanya membaca buku tulisan Afarezz Abd Razak sahaja dan belum membaca buku tulisan Muhammad Alexander itu. Jadi tidak adil untuk terus menghukum.

Saya cuba melakukan penyelidikan antara keduanya melalui perspektif agama lain iaitu kristian lantaran saya mempunyai kawan beragama kristain. Namun kristian sebenarnya agak jauh dari kisah ini. Apapun inshaAllah akan saya kupas secara umum tentang gambaran antara keduanya dalam artikel akan datang. Jika sahabat-sahabat mempunyai pandangan dan maklumat, boleh dikongsikan di sini. Mudah-mudahan bermanfaat untuk kita semua.

17 Nov 2010

Salam 'iduladha

Saya mengucapkan salam 'iduladha kepada seluruh umat Islam terutama pengunjung blog kecil ini. Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dari kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam dan anak baginda Nabi Ismail Alaihissalam.

Kepada yang berpeluang menjadi tetamu Allah di Makkah al-Mukarramah bagi menunaikan fardhu haji, ucapan setinggi-tinggi tahniah kerana terpilih menjadi tetamu-Nya. Anda memang bertuah di antara yang bertuah. Manfaatkan peluang ini dan jangan lupa berdoa untuk kami yang masih tidak berpeluang ke sana. Alangkah bahagianya jika dapat menjadi tetamu Allah.

Kepada yang berkorban, alhamdulillah rezeki Allah berikan kepada anda. Ingatlah darah dan daging korban tidak sampai kepada Allah, tetapi yang sampai adalah amalan ketaqwaanmu. Marilah kita mengikhlaskan diri dan segala amal kita kerana Allah Taala.


Kepada yang pulang ke kampung, selamat kembali ke kampung halaman. Alhamdulillah saya juga bersama keluarga tercinta. Walaupun agak kepenatan kerana sampai menjelang tengah malam 'iduladha namun itu tidak menghalang dari merasai kemeriahan dan kebesaran hari raya ini.

Moga kita semua sentiasa dalam redha Allah.

11 Nov 2010

Terima Kasih... Terima Kasih... Terima kasih

Lama saya tidak membuka blog ini. Terima kasih atas ziarah sahabat-sahabat yang datang berziarah dan memberi respon. Maaf kerana tidak dapat membalas respon yang diberikan dan tidak dapat melakukan kunjungan balas kerana agak sibuk di luar kota.

Saya dijangka pulang ke rumah menjelang 'iduladha. Banyak pengalaman menarik yang ingin dikongsikan bersama sahabat-sahabat semua. InshaAllah pulang nanti akan saya tuliskan. Kepada sahabat-sahabat semua, teruskan menulis dan istiqamahlah dalam menasihati ummah. 

Terima kasih kepada pemberi pinjam komputer+streamyx ini. .Gembira dapat melepaskan rindu di sini.
Terima kasih juga buat semua.

Terima Kasih... Terima Kasih... Terima Kasih

4 Nov 2010

Muslimat jangan jadi Bimbo

Apa itu bimbo? Mungkin ada yang biasa mendengarnya. Kenapa saya menasihati muslimat supaya tidak menjadi bimbo? Ini kerana saya melihat semakin ramai mereka menjadi bimbo tanpa mereka sedari. Ini bahaya kerana jika tidak diperingati pasti mereka akan terus hanyut dan lupa diri.

Bimbo merujuk kepada perempuan yang cantik dan menarik tetapi rendah tahap kebijakan atau pendidikan. Sebenarnya ia adalah istilah Bahasa Inggeris dan untuk kefahaman yang lebih jelas, mungkin boleh bertanya kepada encik wikipedia di sini. Ya, ia sebenarnya adalah istilah untuk lelaki namun sekarang lebih meluas digunakan untuk perempuan sehingga jika ingin ditujukan kepada lelaki ia disebut male bimbo. Jika hanya menyebut bimbo, maka ia adalah merujuk kepada perempuan kerana mudahnya perempuan menjadi bimbo.

3 Nov 2010

Keganasan Penyokong Bolasepak Kelantan

Kelantan sering dilabelkan sebagai pasukan yang mempunyai penyokong yang ganas, tidak berdisiplin dan pelbagai lagi yang buruk-buruk. Setiap perlawanan pasti lense kamera mencari kepelikan kelakuan penyokong bola sepak Kelantan untuk disensasikan. Walaupun ia turut dilakukan oleh penyokong pasukan lain, namun kes penyokong Kelantan berbeza.

Apa saja keburukan pasti ditonjolkan seolah-olah hanya yang buruk saja dilihat. Saya turut menyelar tindakan segelintir penyokong yang berlebih-lebihan namun tidak adil jika ingin menyalahkan semua yang lain. Kenapa tidak didedahkan juga tindakan liar penyokong lain jika ikhlas ingin mengekang tindakan ini?

Hakikatnya pemandangan dan gambar ini tidak selalu dapat dilihat di stadium menjelang perlawanan bola sepak.

2 Nov 2010

Ada apa dengan tidur?

Tidur. Jarang yang memperkatakan tentang tidur. Orang yang banyak tidur digambarkan sebagai orang yang malas. Begitu juga orang yang tidur siang, namun tidur siang atau dipanggil qoilulah (tidur sekejap sblm zuhur) adalah saranan Rasulullah SAW. Nabi saw bersabda:

"Berqailulahlah (tidurlah pada tengahhari) kerana sesungguhnya setan tidak berqailulah." Tayalisi dan Abu Nu'aim dalam Tabrani , dinilai hasan oleh al-Albani, sahihul Jaami' 4431


Bagaimana kita tidur?

Dalam surah al-kahfi, Allah SWT berfirman
A011
"Maka Allah menutup telinga mereka di dalam gua itu (menidurkan mereka), selama beberapa tahun"


Mengapa dikaitkan menutup telinga dengan tidur? Mengapa bukan mata? Bukankah kita tidur dengan memejamkan mata, bukan dengan kita menutup telinga?

1 Nov 2010

Saya dan buku

Sewaktu belajar dulu, saya agak berkira terutama dari segi duit kerana yuran dan kos sara hidup di Lembah Klang amat tinggi. Jika ingin makan, pasti sasarannya adalah kedai yang paling murah. Penggunaan kredit juga amat berhati-hati terutama ketika mula-mula memiliki handphone.

Kewangan yang terhad menyebabkan saya sering 'makan hati' apabila ke kedai buku. Saya suka membeli buku tetapi bagaimana ingin membeli buku kalau tidak berduit. Saya jarang meminta dari bonda untuk membeli buku kerana itu sewaktu di sekolah menengah saya hanya memiliki 2 atau 3 buah buku rujukan sahaja. Bonda kadang-kadang hairan dengan saya sehingga terpaksa menawarkan duit untuk membeli buku rujukan kerana pelik melihat saya tidak meminta.

Saya tidak tahu kenapa saya tidak suka meminta duit dari ayahanda dan bonda sejak zaman sekolah lagi. Duit belanja adalah apa yang diberikan sahaja bahkan kadang-kadang saya menolak. Ini menimbulkan satu lagi kehairanan kepada bonda kerana jumlah yang diberikan bukan banyak bahkan lebih rendah dari yang diberikan oleh rakan-rakan pejabatnya kepada anak mereka. Kata bonda kepada saya, anak-anak rakan-rakannya sering mengadu tidak cukup wang walaupun diberi wang yang banyak sedangkan aku tidak meminta pun bahkan kerap menolak walaupun perbelanjaan yang diberi lebih rendah dari yang diterima oleh anak rakan-rakan bonda dari ibubapa mereka.

Namun sejak bekerja saya perasan diri saya berubah dari segi membeli. Mungkin kerana apabila berasa duit sentiasa masuk setiap bulan menyebabkan saya agak kuat berbelanja terutama buku. Saya melempiaskan keinginan membeli buku yang saya tahan sejak zaman belajar. Apabila masuk ke kedai buku, pasti ada yang dibeli terutama buku-buku agama. Karangan Tok Guru Menteri Besar Kelantan paling saya minati bahkan koleksinya hampir semua saya ada. Buku-buku fikrah lain tidak ketinggalan seperti tulisan Ust Fathi Yakan, TGHH, Sheikh Ramadhan albuti, Assyahid Imam Hassan albanna dan lain-lain. Ada yang habis dibaca dan ada yang tidak. Buku-buku ilmiah seperti karangan Ustaz Zaharuddin, Al-Qarni, Qaradhawi dan lain-lain turut menjadi pilihan.

Gila buku?

Rekod pembelian paling tinggi dicatat pada Pesta Buku Antarabangsa tahun lepas apabila hampir RM1 000 saya belanja di sana. Sekali ganda dari tahun sebelumnya. Bukan sekaligus tetapi 3 hari yang berlainan. Ada saja yang ingin dibeli termasuk juga langganan majalah-majalah. Ada juga sahabat-sahabat yang menasihati supaya berhenti dari membeli buku dan menghabiskan buku-buku yang sedia ada. Katanya membazir, Saya tidak menafikan nasihat mereka untuk kebaikan, namun saya terfikir mungkin sekarang saya mempunyai kewangan yang agak baik namun kesempatan masa kurang. Siapa tahu suatu ketika nanti saya mempunyai masa yang banyak tetapi kekurangan kewangan untuk membeli buku.

Mujur juga Pesta Buku Antarabangsa tahun ini saya tidak berada di Kuala Lumpur, jika tidak pasti berganda lagi belanjanya. Saya berharap agar saya mampu menghabiskan buku-buku yang dibeli ini supaya mendapat berkat dan manfaat ilmu daripadanya. Barangkali sifat saya yang tidak fokus kepada satu-satu buku menyebabkan jarang ianya habis.

Novel

Saya bukanlah hantu novel namun tetap membaca novel yang ditulis oleh Ramlee Awang Murshid. Saya tidak tahu kenapa saya suka novel RAM tetapi tidak bagi novel yang lain. RAM adalah satu-satunya penulis novel yang saya beli novelnya dan menunggu novel-novel terbarunya.

Novel Ayat-ayat Cinta pun hanya saya pinjam dari seorang sahabat. Menarik cerita tersebut namun tidak membuka hati saya untuk membelinya sebagai koleksi. Begitu juga novel Faisal Tehrani yang sangat diminati terutama oleh seorang sahabat saya. Saya cuba meminati novelnya namun gagal. Barangkali kerana saya tidak nampak keindahan sastera FT. Pernah saya cuba membacanya namun kesudahannya saya akan tertidur sehingga jika tidak boleh tidur pasti saya mencari buku FT untuk men'dodoi'kan saya.

Percubaan saya akhirnya berjaya menerusi novel Tunggu Teduh Dulu. Ternyata ceritanya menarik dan seakan-akan Ayat-ayat Cinta. Cumanya terbalik, TTD mengisahkan wanita yang diminati oleh ramai lelaki. Mungkin saya boleh mencadangkan kepada muslimah novel ini. Kalau anda meminati AAC, pasti anda akan menyukai TTD. Novel TTD ini sebenarnya novel lama dan diterbitkan secara bersiri di dalam akhbar suatu masa dahulu sebelum dibukukan sebagai novel. Bahkan lebih lama dari AAC. Argh, barangkali semua sudah mengetahui kerana peminat FT itu ramai. Hanya saya seorang saja yang sukar membaca tulisannya.

Boroskah?

Kadang-kadang terfikir juga, boroskah saya? Rasanya tidak. ini kerana saya melihat ada lagi seorang sahabat yang gila buku. Itulah, sepatutnya ingin membandingkan keborosan, lihatlah orang yang kurang boros dari kita. :-) Hakikatnya hanya kita yang mengetahui diri kita sendiri. Walaupun saya dilihat boros oleh rakan-rakan, suka beli buku, suka belanja makan, suka beli itu ini namun hakikatnya saya sendiri mempunyai plan perancangan kewangan sendiri (pada pandangan peribadi saya saja) . Orang yang tidak suka berbelanja tidak semestinya mempunyai perancangan kewangan yang baik. Ntahla.

Nasihat saya kepada sesiapa yang suka membeli buku, belilah dengan syarat akan berusaha untuk membacanya. Jangan hanya menjadikan ia sebagai koleksi kerana rugi tidak dapat mengambil manfaat darinya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails