BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


30 Ogo 2010

Saya malu

Isu ini hangat diperkatakan di media sekarang. Seluruh media arus perdana mencanangkan berita ini terutama Utusan Malaysia sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di jiwa rakyat 1Malaysia. Sebenarnya isu ini hanyalah isu kecil yang tidak menjadi salah pun namun kerana politik semuanya menjadi heboh.

Kunjungan seorang YB bukan Islam ke Surau baru-baru ini mencetuskan kegemparan di media arus perdana kerana YB tersebut bukan beragama Islam lalu dengan cepat lalu beberapa orang ustaz lantas menghukumkan haram bukan Islam memasuki Masjid. Aduh, cepatnya mereka berhukum. Apakah hukuman ini untuk semua orang termasuk nabi yang menjadikan Masjid Nabawi sebagai pusat pemerintahan dan pernah menerima delegasi bukan Islam di dalam masjid? Apa ada wahyu baru?

Saya agak bernasib baik kerana sudah tidak tinggal bersama rakan-rakan non-Muslim sebilik, jika tidak apakah pandangan mereka terhadap isu ini dan Islam. Ini kerana pernah saya mengajak mereka mengikuti saya berbuka puasa di Surau bagi mendekatkan mereka dengan Islam. walau berkali-kali saya mengajak, namun mereka agak keberatan kerana malu. Pada mulanya mereka ragu apakah dibenarkan ke rumah ibadah orang Islam, namun apabila saya menjelaskan keharusan tersebut barulah mereka faham. Selain malu, mereka juga keberatan kerana tidak wajar mereka yang tidak berpuasa bersama berbuka dengan orang yang berpuasa.

Saya tidak pasti apakah reaksi mereka tentang isu ini? Mohon agar mereka tidak tertipu dan masih ingat akan jawapan saya kepada mereka itu. Pada saya, jika tidak di Masjid, di mana lagi mereka ingin berkenalan dengan Islam? Di media yang sering menayangkan hiburan? atau di stesen bas yang menempatkan bayi orang Islam yang dibuang? atau di pasaraya yang menjadi tempat lepak Muslim liar itu?
Saya tidak dapat menerima jika alasan yang diberikan adalah kerana bukan Islam tersebut tidak menutup aurat. Jika persoalan ini dijadikan alasan, mereka tidak menutup aurat kerana mereka tidak Islam tetapi orang Islam itu wajib menutup aurat samada di Masjid atau di luar masjid. Masjid itu rumah Allah tetapi di lluar masjid itu bumi Allah.

Saya jadi teringat kisah azan ini.

16 Ogo 2010

Terawih : 8 rakaat atau 20 rakaat?

Kira-kira, masih adakah perkelahian tentang bilangan solat terawih pada ramadhan kali ini? Sejujurnya saya tidak bertemu lagi perkelahian ini seperti tahun-tahun lepas di tempat saya. Mungkin masyarakat sudah semakin faham tetapi tidak diketahui pula di tempat-tempat lain.

Apakah sebenarnya bilangan rakaat terawih? Apapun pandangan yang kita pegang, jangan sampai menimbulkan perkelahian dan perbalahan. Saya ingin memetik kisah yang berlaku di zaman Imam Hassan albanna tentang perbezaan bilangan rakaat terawih ini.

Suatu ketika beliau menziarahi salah satu kampung bagai menyampai ceramah. Pada masa itu kebetulan bulan Ramadhan. Penduduk kampung pada masa itu berpecah kepada dua puak. Mereka berbalah mengenai solat terawih adakah 20 rakaat sebagaimana ditunaikan di zaman Umar RA dan diwarisi oleh umat Islam beberapa kurun selepas itu atau 8 rakaat sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh nabi SAW dan tidak lebih dari itu?

Setiap puak begitu taasub dengan pendapat masing-masing sehingga hampir-hampir mencetuskan pertumpahan darah. Setiap puak mendakwa mereka berada di atas jalan kebenaran dan Al-Sunnah, manakala pihak lawan berada di atas landasan yang salah dan bida'ah. Apabila mereka mengetahui Syeikh Mursyid datang ke kampung mereka, mereka bersetuju meminta pandangan dari Syeikh bagi menyelesaikan perselisihan mereka.

Setiap puak menjangkakan syeikh akan cenderung kepada pendapat mereka dan menentang pendapat lawan mereka, namun begitu syeikh Hasan Albanna telah menggunakan satu strategi lain yang langsung tidak diduga oleh mereka.

Syeikh bertanya kepada mereka : "Apakah hukum solat terawih?".

Mereka menjawab : Sunat di mana orang yang menunaikannya diberi pahala dan orang yang meninggalkannya tidak dikenakan balasan siksa.

"Apakah hukum mewujudkan perpaduan sesama orang Islam" tanya sheikh seterusnya.

"Satu kefardhuan yang ditetapkan oleh agama dan juga tonggak keimanan"jawab mereka.

"Adakah harus manurut syariah Allah, kita mensia-siakan perkara fardhu semata-mata kerana menjaga perkara sunat? Sebenarnya kalau tuan-tuan semua terus kekal berada dalam persaudaraan dan perpaduan Islam, kemudian tuan-tuan kembali ke rumah masing-masing untuk menunaikan solat terawih di rumahnya mengikut dalil yang disenangi oleh tuan-tuan baik 8 rakaat mahupun 20 rakaat, adalah lebih baik kepada tuan-tuan semua dari tuan-tuan bertengkar dan berbunuh-bunuhan antara satu sama lain", ujar sheikh seterusnya.
(dipetik dari buku "Fi Usul al-Da'wah, Muqtabasatun Min Kutub al-Doktor Yusuf al Qaradhawi" KEWAJIPAN MENGUASAI ENAM JENIS FIQH BAGI PENDAKWAH ISLAM DI ALAF BARU karangan Mustafa Malaikah)

Bagaimana dengan anda? Melakukan 8 rakaat atau 20 rakaat? Jika melakukan 8 rakaat, kerana apa ye? Bilangan yang sedikit atau qaul yang lebih sohih? Amatlah rugi kalau pilihan itu kerana bilangan semata-mata. Lipat gandakanlah amalan di bulan yang mulia ini sementara masih ada peluang kerana kita tidak tahu apakah kita masih sempat untuk bertemu ramadhan pada tahun hadapan.

Saya kagum dengan kesungguhan umat Islam yang bersunguh-sungguh beribadat di bulan mulia ini. Mereka berlumba-lumba mengerja ibadah dan berusaha untuk berada di saf pertama solat. Jemaah di Masjid Telipot, Kota Bharu yang paling saya kagumi. Jika anda ingin bersolat di saf pertama, lakukannya pada solat qobliyah Isya kerana anda tidak akan berpeluang lagi jika tidak berada saf pertama pada masa itu. Jemaah di sana merapatkan saf pada solat qobliyah isya dan hanya keluar selepas solat witir rakat ke-23. Saya hanya melihat seorang saja yang keluar selepas rakaat ke-10. Yang lain langsung tok degih walaupun mereka bukan jemaah yang muda. Mungkin juga berkaitan dengan keselesaan dan kemerduan suara imam.

Moga kita semua beroleh kejayaan di dalam madrasah ramadhan ini dan mencapai visi menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Ameen

14 Ogo 2010

Tragedi Bazar iftor dan alahai JAKIM

Tragedi Bazar Iftor

Sungguh menyayat hati. 3 maut sementara lagi kebanyakan cedera. Bala apakah ini? Harap-harap hanya ujian untuk memberi peringatan kepada kita yang masih hidup. Ramadhan bukan bulan pesta makanan. Berpada-padalah dalam melayan nafsu.
Tradegi Ramadhan ini moga menjadi pengiktibaran kepada kita. Bagaimana tanpa tanda-tanda awal, boleh berlaku ribut kuat sehingga menerbangkan khemah lebih dari lampu limpah stadium? Wallahu'alam

Alahai JAKIM

Sudah pasti kita berasa bangga dengan operasi JAKIM ke hotel-hotel yang menawarkan bufet ramadhan tanpa mendapat sijil yang halal. Namun walaupun sudah mempunyai bukti kukuh, hanya amaran saja yang diberikan. Senyum sajalah pemilik hotel itu. Mereka bukan anak kecik yang tunduk kepada amaran. Bahkan sudah banyak amaran dalam akhbar selama ini.

Amri berkata, berikutan itu dia berjumpa pihak pengurusan hotel terbabit dan memberi amaran terhadap kesalahan dilakukan dan meminta mereka memastikan ia tidak berulang. rujuk : di sini

Jika dulu ada sahabat-sahabat yang bekerja di bahagian Hab Halal JAKIM ini, jadi bolehlah saya terus menghubungi mereka. Sekarang sahabat-sahabat tersebut sudah berpindah ke bahagian lain.

Apapun harap JAKIM teruskan operasi ini dan AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG. Jangan biarkan mereka mengambil kesempatan sempena Ramadhan.

Yang peliknya kenapala si Muslim suka berbuka di Hotel. Ramadhan ni bulan makan ke? Jangan sampai terlepas maghrib pula.

13 Ogo 2010

Peringkat Penurunan al-Quran

Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk hidup di bulan ramdhan yang penuh keberkatan ini. Bulan yang menawarkan pelbagai ganjaran kepada hamba yang soleh. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba yang bertaqwa.

Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)...
(al-baqarah ;185)

Al-quran telah diturunkan melalui 2 peringkat ;

Peringkat pertama ;

Dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia pada malam lailatulqadr secara sekaligus.

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-quran) pada Malam Lailatul Qadr (surah al-qadr :1)

Peringkat kedua ;

Beransur-ansur dari Baitul izzah kepada nabi SAW melalui perantaraan Malaikat Jibrail beransur-ansur selama 23 tahun.

Firman Allah yang bermaksud

"dan al-quran itu telah kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacanya perlahan-lahan kepada manusia dan kami menurunkan bahagian demi bahagian."
(surah al-isra' ; 106)

Banyak hikmah al-quran diturunkan beransur-ansur. Ayat ini juga adalah untuk menjawab celaan yahudi dan musyrikin yang meencadangkan al-quran diturunkan sekaligus seperti Kitab taurat kepada nabi Musa AS.

Ramadhan adalah bulan diturunkan al-quran. Oleh itu marilah sama-sama kita meningkatkan amalan kita terutama amalan membaca al-quran ini selain digandakan pahala bacaannya.

Kalau dapat bertadarus lebih baik, namun jika tidak dapat, baca seorang diri pun ok cuma jangan terlalu mengejar untuk khatam sampai tersalah bacaan.

Kalau boleh khatam, Alhamdulillah. tetapi bacalah dengan tartil dan mengikut tajwid yang betul. Usahlah terlalu cepat sampai mengabaikan hak-hak huruf. Luangkan masa untuk al-quran supaya ia menjadi peneman kita di kubur kelak.

Kalau dapat diteliti terjemahan lagi baik namun kalau boleh, disertakan dengan tafsir sekali supaya kita tersilap mebuat tafsiran sendiri ayat-ayat mutasyabihat. Bacaan tafsir amat menyeronokkan kerana mengandungi asbab nuzul dan huraian lengkap. Saya mencadangkan Tafsir Al-Munir karangan Prof Dr wahbah Azzuhaily. Bahasanya mudah dan senang difahami. Namun tafsir-tafsir lain tidak kurang hebatnya seperti tafsir fi zilalil quran atau tafsir ibnu kathir.

Sama-sama kita meningkatkan amalan kita.Moga kita dapat mencapai visi utama puasa iaitu la'allakum tattaqun. Hamba yang bertaqwa. Ameen.

Wallahu 'alam

7 Ogo 2010

Ingat 2 perkara dan lupa 2 perkara

InshaAllah saya ingin berkongsi tentang 2 perkara yang perlu kita ingati dan 2 perkara yang perlu kita lupakan. Justeru, ia dapat menghindarkan sifat buruk seperti dengki, dendam, sakit hati dan akan sentiasa dicintai orang seterusnya menjamin kebahagian hidup

2 perkara yang perlu kita ingati adalah
- Jasa orang lain kepada kita. Apabila kita sentiasa mengingati jasa mereka kepada kita sudah pasti kita akan menghargai segala jasa tersebut dan berbuat baik kepada mereka.

- Keburukan dan kejahatan yang kita lakukan. Apabila kita mengingati kesalahan kita, ia akan mengundang rasa bersalah dan sentiasa bertaubat dan meminta ampun kepada Allah dan orang tersebut. Harus diingat, Ungkapan M A A F sangat senang dan ringkas namun amat berat untuk dilafazkan oleh manusia. Entah kenapa sebabnya.

2 perkara yang perlu kita lupakan adalah
- Kejahatan dan kesalahan orang lain kepada kita. Walaupun kita terluka dengan kesalahan orang kepada kita, namun jika kita melupakannya ia pasti akan mengelakkan diri kita dari membalas kesalahan tersebut dan ia akan berterusan.

- Kebaikan kita kepada orang lain. Justeru, dengan melupakannya ia akan mengelak diri kita dari mengungkit apa yang telah kita berikan.

InshaAllah dengan mengingati 2 perkara di atas dan melupakan 2 perkara di atas, kita akan dicintai oleh manusia lain. Ameen.

5 Ogo 2010

Apa nasib kita nanti?

Mengingati mati adalah sesuatu yang tidak digemari oleh kebanyakan orang kerana dikatakan akan menyebabkan kita kurang produktif. Barangkali mereka lupa akan hadith yang menyatakan orang yang paling bijak adalah orang yang paling banyak mengingati mati.

Saya hanya mahu berkongsi tentang roh kita selepas mati. Sekurang-kurangnya kita dapat memuhasabah diri kita apa nasib kita selepas mati.

Kata pak ustaz, selepas kita mati, dimandikan dan dikafankan, roh kita akan berada antara jasad yang terbujur kaku dan kain kafan. Bagaimana keadaannya, wallahu 'alam. Selepas di solat jenazahkan, mereka akan diusung ke kuburan.

Semua jenazah akan mengalami salah satu keadaan seperti ini. Sama ada :

1) Jenazah orang beriman akan berkata "cepatlah! cepatlah!" kerana sudah tidak sabar untuk ke salah satu taman syurga. Bukankah kubur itu adalah taman syurga bagi orang beriman dan lubang neraka bagi orang yang berdosa.

atau;

2) Jenazah orang yang tidak beriman pula keluh kesah dan bertanya "kemana kamu semua ingin membawa aku ni?".

Semua jenazah mengalami 2 situasi ini dan tiada satu pun yang senyap saja sepanjang diusung. Bagaimana kita?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails