BLOG PENA CIKGU MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN. MOGA KITA SENTIASA DALAM REDHA ALLAH


28 Feb 2010

Boleh ke laki dan perempuan berpegangan tangan?

Pernahkah anda ditanya soalan ini? Em, apa perasaan anda bila diajukan persoalan ini oleh rakan anda? Apakah jawapan yang bakal anda berikan kepadanya? Bagi yang biasa mengikuti usrah dan kuliah agama, mungkin mereka akan berhujah dengan mengemukakan dalil-dalil naqli yang terdapat di dalam al-quran dan membacakan hadith2 baginda SAW untuk dihamburkan kemuka mereka yang bertanya kerana menganggap soalan ini tidak patut ditanya oleh seorang Muslim.

Bagaimana pula jika yang bertanya itu bukan Muslim? Apakah jawapan anda lebih-lebih lagi soalan itu ditanya ketika anda berdua melihat sepasang kapel sedang berpegangan tangan? Masih mahu menggunakan dalil naqli?

Itulah yang saya hadapi ketika bersama dengan seorang rakan kristian dulu. Sewaktu belajar, majoriti kawan saya adalah kristian dari pelbagai mazhab. Saya seringkali berdialog dengan mereka untuk mengetahui tentang agama mereka dan dalam masa yang sama cuba memberi kefahaman Islam kepada mereka. Walaupun mereka dari agama yang sama, pernah juga mereka berselisih faham tentang agama mereka untuk membenarkan hujah masing-masing.

Pernah sewaktu makan bersama salah seorang dari mereka, saya ditanya,

"sebenarnya boleh ke lelaki dan perempuan itu berpegangan tangan?"

"kenapa?", saya bertanya kerana terkejut mendengar soalannya.

"takde pape, yang saya tahu tidak boleh tetapi saya lihat ramai juga yang berpegangan tangan", jujur dia memberitahu saya.

Huh, sukar sekali bila berhadapan pertanyaan ini. Saya tidak menyalahkannya kerana dia hanya inginkan penjelasan. Walaupun soalan ini ditanya selepas dia tidak dapatmenjawab soalan saya, tetapi saya tahu dia betul2 ingin tahu.

Saya menjelaskan apa yng saya tahu kepadanya sehingga dia paham. Begitulah sukarnya bila kita ingin mendekati mereka dan berbincang persoalan agama dengan mereka. Sukar kerana dikalangan Muslim sendiri yang menimbulkan masalah. Kalaulah Muslim itu beramal dengan Islam yang sebenarnya, alangkah bagusnya tetapi itu bukanlah alasannya. Timbul rasa kesal di dalam diri kerana tidak memperlengkapkan diri dengan ilmu dakwah sewaktu di kampus dulu. Sekarang, ada sahabat memberitahu ada pihak yang mahu menaja saya mengikuti kelas dakwah. Namun atas kekangan masa, tidak dapat saya terima buat masa ini.

Saya sebenarnya kagum dengan mereka menghormati Islam lebih-lebih lagi Azan. Sewaktu kami sedang bersembang, tiba-tiba azan berkumandang. Secara spontan seorang dari mereka berkata "diam-diam, azan-azan, shyyhh!!!", sambil jari telunjuk diletakkan dibibir. Terkejut juga dengan reaksi mereka dan perkara ini berlaku lagi sewaktu kami bermain di padang. Tetapi yang menjadi masalah, di hujung padang tersebut, ada sekumpulan Muslim yang bermain tanpa menghiraukan azan. Saya berdoa dan memohon kepada Allah di dalam hati, "Ya Allah, janganlah Engkau biarkan mereka bertanya aku kenapa Muslim tersebut tidak menghormati azan seperti mereka". Alhamdulillah, doa saya diperkenankan.

27 Feb 2010

Apabila cuti sekolah menjelang...

Kata orang, menjadi seorang guru ini sangat beruntung kerana banyak cuti. Tidak cukup dengan cuti sekolah, ditambah lagi 7 hari cuti rehat khas setahun. Ada benarnya kata-kata itu tetapi janganlah dilihat pada cuti tapi lihatlah pada tugasan hariannya. Cuti sekolah juga belum tentu cuti bagi seorang guru. Kursus, kelas tambahan, program motivasi, taklimat, mesyuarat dan sebagainya sering memburu cikgu-cikgu pada musim cuti sekolah. Itu belum masuk tugas menjaga peperiksaan, menanda kertas dan sebagainya. Namun bukan ini maksud penulisan saya kali ini.

Apabila umur sudah melewati 25 tahun pada tahun lepas, seringkali apabila tiba cuti sekolah saya akan ditanya tentang kawin. Seolah-olah satu soalan yang sangat sinonim dengan cuti sekolah, apalagi disaat banyak kad jemputan dan undangan perkahwinan yang diperolehi.

Kata sahabat2 "hang tu cikgu, ramai org cari... mak mentua pun ramai berkenan nak menantu cikgu, pilih je la mana satu". Amboi, sedap gamok dia bercakap. Perkahwinan bukan soal kerja apa tetapi persoalan tanggungjawab yang bakal dipikul.

Kata coursemate saya dulu pula "ala, ko kawan je la dulu dgn sape ko berkenan, lps tu bila dh sedia ko g pinang la. senang skit". Melihat seorang sahabat yang didesak oleh pasangannya untuk segera masuk meminang membuatkan saya risau untuk memberi komitmen dan harapan kepada orang lain dan diri saya sendiri. Apalagi ia boleh membuka peluang kepada setan untuk menggoda. Benarlah kata-kata yang menyebut...

"A woman worries about the future until she gets a husband. A man never worries about the future until he gets a wife."

Padahal sahabat saya baru saya tamat pengajian dan belum bekerja sementara pasangannya masih ditanggung oleh ibu bapanya di kampus. Bahkan sanggup menaja segala perbelanjaan perkahwinan. Apakah semudah itu kaum hawa melihat sebuah perkahwinan itu?

Saya sedih melihat sebuah perkahwinan seorang kawan yang roboh disebabkan kejahilan dalam ilmu rumah tangga. Perkahwinan bukan sekadar aku terima nikahnya bahkan menuntut komitmen yang tinggi. Robohnya perkahwinan kerana dia 'menarik balik' taklik yang dilafazkannya padahal ianya tidak boleh ditarik balik.

Banyak berita-berita perceraian yang kita dengari di media tetapi bilamana terkena kepada orang yang kita kenali, kita pasti terkejut dan sedih. Saya mohon dijauhkan oleh dari terjadi kepada kita.




26 Feb 2010

Kisah dulu

Seingat saya, sewaktu di bangku sekolah rendah dulu, saya tidak pernah dirotan oleh cikgu kerana saya jarang menimbulkan masalah lebih-lebih lagi ada cikgu sekolah yang dikenali bonda. Sebarang masalah yang saya timbulkan akan diadukan kepada bonda sehingga saya tidak berani melakukan masalah. Pernah saya tidak menghantar kerja rumah kerana tidak siap lalu cikgu tersebut memberitahu bonda saya. Akibatnya pada malam itu saya dimarahi bonda dengan teruk dan disuruh membuat kerja tersebut sampai siap walaupun waktu sudah melepasi tengah malam.

Untuk menangani kes-kes disiplin, rotan jarang digunakan berbanding penampar dan cubitan perut. Amat sakit sehingga boleh mengeluarkan air mata. walaupun saya tidak pernah kena tetapi saya lihat pelajar-pelajar yang kena tidak pernah membawa kes ini ke rumah, apalagi ke balai polis mahupun mahkamah. Ada sekali, seorang ustazah 'memukul' murid dengan pembaris kuning yang panjang kerana mengganggu murid perempuan, pukulan tersebut terkena di bisul sehingga basah bajunya dengan darah yang keluar. Namun tiada ibu bapa yang datang menyerang cikgu. Murid-murid sendiri tidak berani untuk memberitahu ibu bapa kerana sudah pasti mereka akan mendapat 'hadiah' dari ibu bapa mereka pula jika diberitahu.

Walaupun senakal mana murid dahulu, mereka tidak pernah sampai kurang ajar dengan guru atau menyimpan dendam kepada guru yang menghukumnya. Bahkan mereka tetap menghormati guru tersebut. Nakal mereka hanyalah nakal seorang budak berbanding sekarang yang nakal mereka boleh ditakrifkan sebagai jahat. Apakah sebabnya? Apakah kerana didikan awal yang diterima dari ibubapa ataupun ia berkait dengan keikhlasan seorang guru dalam mendidik mereka. Minggu ini ada budak bergaduh di dalam kelas dan apabila seorang guru pelatih cuba meleraikannya, guru tersebut pula cuba ditolak oleh murid itu.

Saya amat kagum dengan guru kelas saya sewaktu sekolah dulu. Selepas 'pukulan' ustazah itu menyebabkan bardarah baju kawan saya, beliau dengan rasa tanggungjawab yang menganggap murid sebagai anak mengambil baju tersebut dan membasuh dan menjemurnya tanpa rasa berat.

Sewaktu rehat, kami suka bermain bola di padang atau bermain Police Sentry. Teringat kisah seluar saya terkoyak (tertetas benang ) dari paha sampai ke bawah. Apabila masuk kelas, cikgu yang mengajar subjek ketika itu meminta kawan saya mengambil kain pelikat di musolla untuk saya gunakan. Selepas tamat kelas beliau, beliau menjahit seluar saya tanpa disuruh sehingga saya amat terharu dengan tindakan beliau. apakah keikhlasan melakukan tanggungjawab yang tidak berkait dengan aktiviti P&P ini yang menyerlahkan keizzahan mereka sebagai guru sekaligus membuahkan rasa hormat murid kepada mereka?

Sebenarnya banyak lagi kisah yang apabila mengingatkannya membuatkan saya kagum dengan mereka. InshaAllah jika berkesempatan saya akan kongsikan untuk posting yang akan datang.


25 Feb 2010

Hajat dihati ingin mencari pahala, tapi...

Apa yang ingin saya nyatakan ini adalah pengalaman saya sendiri yang agak sedih dengan sikap segelintir kita terutama para pelajar yang tinggal di asrama samada di universiti mahupun IPG. Sikap tidak cakna atau lebih tepat lagi suka mengambil mudah sesuatu perkara kadang kala bakal menimbulkan sesuaut yang tidak didugai bahkan tidak tercapai akal kita tentang apa yang akan berlaku.

Sepanjang saya tinggal di asrama, ada beberapa peristiwa yang mengejutkan saya dan saya tertanya-tanya kepada ia berlaku. Moga ia boleh menjadi pengajaran kepada kita unutk tidak mengulanginya lagi iaitu tentang al-quran. Ya, memang patut bahkan semestinya kita menyimpan al-quran di dalam bilik kita untuk menjadi bahan bacaan kita, namun selepas habis semester berkenaan seharusnya kita membawa balik al-quran dan jangan tinggalkannya di bilik. Mungkin kita berasa inign mewakafkannya untuk mencari pahala, atau pun mungkin juga kerana kesusahan untuk membawa pulang maka kita tinggalkannya tetapi saya pohon janganlah kiranya ditinggalkan di bilik. Ini kerana kita tidak tahu siapa yang bakal mengisi tempat kita. Apakah mereka penggemar al-quran? ataupun lebih teruk lagi, muslimkah mereka?

Pernah ketika ingin mengosongkan bilik kerana tamat pengajian, seorang rakan saya beragama kristian membawa kitab suci Al-quran lalu bertanya kepada saya, "di mana saya perlu letakkan quran ni?"

Wah, apakah sepanjang dia menginap di situ al-quran menjadi 'tangkal' yang menghalang pencuri menceroboh lockernya?

Ada juga ketika pembersihan bilik sewaktu bermulanya semester ada rakan kristian yang terjumpa cebisan al-quran dan ingin membuangnya ke dalam tong sampah. Mujurlah dia bertanya kepada saya dahulu.

"mana saya mahu buang ni? boleh buang di dalam tong sampah ke?",tanya beliau. Walaupun cebisan itu tidak sampai satu muka surat namun ia perlu dijaga.

Sekurang-kurangnya jika tidak mahu membawa pulang, letaklah di tempat yang pasti ada muslim yang akan menjaganya seperti surau atau masjid. wakaflah di sana, bukan di bilik. Ada juga di bilik-bilik mereka ayat-ayat suci al-quran yang ditampal di dinding. Saya risau jika kehormatan al-quran tidak dijaga oleh mereka kerana sudah pasti pandangan kita kepada al-quran lebih dari mereka.

Ini kisah yang berlaku di depan mata saya, bagaimana yang berlaku di belakang saya? Mujur juga mereka bertanya, bagaimana jika mereka terus membuang saja? Mohon kitalebih cakna.


24 Feb 2010

"cayalah, ustaz"

Peranan seorang guru bukan hanya di dalam bilik darjah untuk mengajarkan ilmu tetapi di luar kelas untuk mendidik dari segi disiplin dan sebagainya. Selain tugas di dalam kelas, ko-kurikulum juga merupakan tugas yg perlu dipikul oleh guru. Saya menjangkakan pada minggu ini saya boleh meruangkan banyak masa kerana murid-murid menghadapi ujian bulanan.

Namun rupanya tidak, bertimbun-timbun transkrip jawapan yang perlu disemak termasuk dari kelas yang tidak saya ajar. Kebetulan ada guru yg cuti bersalin dan ada yang bercuti lama menyebabkan tugasan mereka serba sedikit terpikul ke atas saya. Ditambah juga dengan aktiviti ko-kurikulum pada minggu ini tetap berjalan walaupun minggu ujian.

Selaku guru baru, saya mula merasai kesusahan ini. Kebetulan ketika minum di kantin, seorang pakcik secara tiba-tiba berkata kepada saya, "susahkan jadi cikgu ni,kan? Banyak tugasan kena buat. Betul x?".

Saya hanya mampu menganggukkan kepala kerana terkejut dengan pertanyaan yang tiba-tiba.

"sabarlah cikgu. Lagipun bukan mereka (KPM) yang tarik tangan cikgu dalam bidang ni, cikgu yang hulur kepala kat mereka (memohon untuk menjadi guru) kan?", katanya lagi.

Saya hanya tersenyum mendengar kata-katanya.

"Cuba cikgu lihat cikgu-cikgu lama, mereka tak kan mampu bertahan selama ini jika tidak bersabar,... ", panjang syarahnya kepada saya. Saya hanya mendengar dan kadang-kadang menambah apa yang diperkatakan. jauh di sudut hati, saya bersetuju dengan apa yang dikatakannya. Ya, saya yang memilih profesion ini dan saya harus bersabar dalam meneruskannya. alah bisa tegal biasa.

"Jika kamu penat melakukan kebaikan, sesungguhnya kepenatan itu akan hilang dan kebaikan itu akan kekal".

Usai solat zohor tadi, sambil menunggu aktiviti ko-ko, saya melihat persiapan pasukan kompang yang dilatih oleh seorang ustazah. Sudah lama saya teringin untuk belajar kompang namun tiada kesempatan. Lama saya memerhatikan mereka dan agak tertarik dengan kebolehan mereka bermain kompang.

"Nah cikgu, nak try?", tiba-tiba ustazah yang mengajar mereka menghulurkan kompang kepada saya.

"eh, takpelah, mana la saya tau main benda ni", jujur saya berkata kepada beliau.

"trylah, buat macam ni", ustazah menunjukkan demo.

"takpe2, bagilah mereka berlatih", saya menolak.

"ala, ustaz. palu lah, kami nak tengok ustaz main", tetiba ada seorang murid bersuara. Bukan murid saya tetapi macam pernah lihat mukanya. Kenapa memanggil saya ustaz. rupanya murid dari kelas tersebut.

"aah la ustaz, kami nak tengok ustaz", sampuk sorg lagi. Uih, murid saya rupanya yang menyampuk sebelum ditambah oleh murid-murid lain. Teragak-agak saya mengambil kompang dari ustazah dan mengikut rentak yang ditunjukkan.

Saya mengambil peluang ini untuk belajar tentang cara bermain kompang. Wah, susah juga ya. tak pasal-pasal aktiviti latihan mereka bertukar menjadi aktivit mengajar saya. =)
Lama juga saya bersama mereka sehingga aktiviti ko-ko saya bermula.

"CAYALAH USTAZ, pandai ustaz palu kompang", puji mereka. Haha, apakah ini satu pujian ikhlas.

22 Feb 2010

Apa khabar solat kamu?

Imam al-ghazali pernah bertanya kepada muridnya, antara soalannya adalah 'apakah yang paling ringan di dunia ini?", bermacam jawapan diberikan kapas, debu dan sbgnya. Jawab beliau, ya, benar semua itu ringan tetapi yang paling ringan adalah meninggalkan solat.

Amatmudah utk seseorang itu meninggalkan solat. Sebenarnya segalanya bermula di rumah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Suruhlah anakmu mengerjakan sembahyang ketika mereka
berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka jika mereka
enggan ketika berusia sepuluh tahun."

(Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Hakim dengan
sanad yang sahih.)

Umur 7 tahun lebih dilihat oleh para ibu bapa sebagai umur untuk ke sekolah. Ya, betul tu dan tak salah untuk bersekolah pada usia tersebut. Bahkan ianya dikiaskan daripada hadith tersebut untuk mengajarkan sesuatu ilmu yang lain selain solat, tetapi persoalannya apakah suruhan utama di dalam hadith tersebut diikuti?

Suruhan tersebut adalah fardhu kifayah kepada ibu dan bapa, jika si ibu tidak menyuruh anaknya bersolat, tetapi ayahnya mengambil tanggungjawab tersebut maka keduanya terlepas dari dosa. Jika salah satu daripadanya tiada (kerana bekerja atau sebagainya), maka menjadi fardhu ain kepada seorang lagi. Ini menunjukkan betapa solat ini perkara utama yang perlu diberi penekanan tetapi sejauh mana ia dilaksanakan?

Pernah suatu ketika saya ditugaskan untuk relief' class agama untuk kelas tahun 5. Murid-murid beranggapan saya adalah ustaz walaupun saya hanyalah seorang guru matematik. Pada mulanya saya membiarkan mereka membuat kerja sendiri kerana banyak kerja rumah dari kelas sebelumnya tidak mereka siapkan. tetapi lama kelamaan kelas menjadi bising dan memaksa saya untuk mengajar.

Oleh kerana tiada persediaan untuk kelas ini, saya memilih untuk bercerita kisah isra' mikraj dan beberapa siri peperangan di zaman Rasulullah SAW. Ternyata mereka amat berminat dan memberi perhatian kepada cerita yang disampaikan.

Apabila kisah isra' mikraj selesai, saya bertanya "siapakah antara kamu yang tidak cukup solat 5 waktu?".

Amat mengejutkan, hampir keseluruhan kelas mengangkat tangan. Saya hanya menjangkakan sebilangan kecil saja kerana mereka sudah berusia 11 tahun dan berada di kelas paling pandai. Untuk menyedapkan hati, saya mengubah soalan saya.

"siapa yang tidak bersolat subuh tadi?", respon yang diberikan lebih kurang sama.

Bila ditanyakan sebab, jawapan yang diberikan adalah "tidak sempat", "bangun lambat", "takut tertinggal bas" dan sebagainya. Kadang-kadang saya terfikir, apakah ibu bapa mereka tidak mengendahkan pendidikan rohani anak mereka. Apakah hanya kepandaian dunia saja yang dititikberatkan. atau apa mungkin ibu bapa mereka juga culas dalam mengerjakan ibadah? Saya mohon berlindung dari sikap berburuk sangka kepada orang lain.



Pernah juga seorang pelajar datang lewat ke sekolah lalu bila ditanya kepada kamu lambat? Jawapan yang diberikan adalah "saya bangun lambat".

"Ibu bapa kamu tidak mengejutkan kamu?", saya bertanya.

"Mereka pun bangun lambat", katanya.

Akhlak seseorang murid itu harus dibentuk dengan solat. Bukankah solat itu dapat mencegah dari melakukan perkara keji dan munkar? Jika tidak diajarkan dan ditegaskan tentang solat, bagaimana mungkin pembentukan akhlak mereka akan sempurna. Ibu bapa haruslah menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak kerana ia juga merupakan satu contoh teladan kepada anak-anak.

Peranan guru

Juga para guru harus juga mengambil berat akan hal ini. Bantulah para ibu bapa mendidik anak-anak mereka. Bukan hanya mengajar saja. Selain itu, juga guru juga harus menilai diri sendiri apakah mereka sudah menunaikan tanggungjawab ilahi dengan sempurna? Ia juga berkait dengan penyampaian ilmu kepada murid. Kadangkala niat dan ikhlasan guru juga menjadi penentu kepada berkesannya penyampaian kepada murid. Janganlah hendaknya guru hanya menyalahkan pelajar jika mereka susah untuk menerima pelajaran. Selain itu amalan dan hubungan dengan Allah juga perlu dijaga.

Apa khabar solat kamu?

21 Feb 2010

"Mak saya tak bagi berkawan sebab dia Hindu"

Tugas memanusiakan murid supaya mempunyai akhlak mulia dan bermoral tinggi bukanlah sesuaut yang mudah bagi seorang guru. Ini kerana pendidikan sebenarnya bermula di rumah dan sebahagian yang lain dari rakan-rakan mereka. Pendidikan sekolah hanyalah mengikut arus semasa dan hanya untuk mendapatkn ilmu duniawi semata-mata. Cubalah tanya mana-mana ibu bapa, kenapakah mereka menghantar anak-anak ke sekolah. Jawapan yang biasa diberi adalah, suapaya anak pandai atau pun untuk berjaya. Hanya sekadar itu.

Apalagi dengan sistem pendidikan Malaysia yang saya lihat tidak mampu melahirkan insan yang berakhlak dan bermoral. Masakan tidak, cuba beberapa waktu sahaja diperuntukkan untuk mata pelajaran agama di sekolah rendah termasuk J-Qaf. Apabila tiba di sekolah menengah, semakin dikurangkan dan hanya bergantung kepada subjek pendidikan Islam dan apabila sampai di Universiti, pelajar-pelajar selain aliran agama bebas dari mata pelajaran agama. Maka tidak pelik jika manusia semakin lari dari agama. Usah pelik dengan isu pembuangan bayi yang semkin teruk jika isu agama ini tidak dititik beratkan.

Teringat sewaktu masuk ke kelas murid darjah 3. Saya melihat 2 orang murid yang duduk bersebelahan tetapi tidak bertegur sapa bahkan bergaduh sehingga mencederakan. Seorang Muslim (M) dan seorang lagi Hindu (H). Saya bertanya kepada mereka mengapa tidak berkawan?

"dia cakap semacam (bahasa tamil) ", kata M.

"betulkah?kenapa kamu tidak menggunakan bahasa melayu", saya bertanya kepada H. Dia hanya tersipu-sipu. Mendengar dia bercakap, saya dapat rasakan dia tidak fasih berbahasa melayu.

"oklah, kalau dia bercakap bahasa melayu, kamu boleh berkawan dengan dia?", tanya saya kepada H.

"saya taknak kawan dengan dia. mak saya tak bagi?", aku terkejut. kenalkah mak M dengan si H ni lalu saya bertanya "kenapa?".

"sebab dia sembah tokong. sebab dia hindu", jawab dia. "mak saya cakap takleh kawan dengan hindu", katanya dengan yakin.

Saya terdiam seketika. Dia bersungguh-sungguh tidak mahu berkawan dengan H sehingga meminta saya menukarkan H ke tempat lain.

apakah yang harus saya lakukan? Kalaulah murid seusia ini diajar untuk membenci rakan seagama lain, apa akan jadi bila besar nanti. seingat saya, sewaktu di bangku sekolah rendah, saya juga pernah berkawan dengan rakan yang berbangsa lain. Percanggahan inilah yang menyukarkan tugas guru. Jadi bagaimana?

Rumet ku seorang kristian

Alhamdulillah, kita masih lagi diberi 2 nikmat yang terbesar iaitu nikmat Islam dan nikmat iman. jarang sekali kita merasai betapa besarnya nikmat ini kerana kita memperolehinya secara percuma. Saat mata kita ditembusi sirna lampu kalimantang hospital atau rumah, kalimah pertama yang dialunkan di telinga kanan adalah azan dan di telinga kiri adalah iqamah. Ya, kita beruntung kerana dilahirkan di dalam keluarga yang sudah Islam atau dalam ertikata lain kita adalah Islam baqa'. Moga taufiq dan hidayah Allah sentiasa bersama kita untuk terus menikmati nikmat ini. Nikmat Allah amatlah banyak tetapi dalam sebanyak2 nikmat itu, 2 nikmat inilah yang mampu menyelamatkan kita dari azab neraka.

Kita juga mungkin tidak berasa apa-apa dengan nikmat ini kerana sentiasa berada di dalam lingkungan sahabat-sahabat sefikrah dengan kita. Itulah yang saya rasakan sehinggalah suatu ketika saya ditempatkan sebilik dengan rakan yang beragama kristian. Bukan kristian sebarangan bahkan kristian yang kuat. Teringat saat beliau meminta izin untuk tinggal sebilik dengan saya lantaran tiada sesiapa di kalangan teman-teman lain yang sudi sebilik dengan beliau.

Tanya beliau "jika saya sebilik dengan kamu, apakah saya dibenarkan untuk sembahyang secara senyap-senyap?". saya tersenyum mendengar kebimbangan beliau jika tinggal sebilik dengan saya.

"kenapa?apakah kamu bermasalah jika saya bersembahyang di bilik?" saya menjawab dengan persoalan.

"bukankah kamu bersembahyang di surau?" masih tiada jawapan antara persoalan ini.

"adakalanya saya juga bersolat di bilik", kataku. "jadi bagaimana?".

" saya tiada masalah", jawab beliau".

"kamu tidak perlu risau tentang amalan agama kamu. saya ok saja", jawabku. "lakum diinukum waliyadin"...

Teringat juga kebimbangan bonda bilamana saya memberitahu perkara ini sewaktu tazkirah keluarga. Ketika giliran saya menyampaikn tazkirah, saya mengaitkan nikmat islam dan iman dengan perkara ini. Padahal sebelum itu saya tidak pernah memberitahu bonda.

Kata bonda, "nanti dia bagi minum air holy water".

"bukan air itu yang berkuasa", pintas kakanda sebelum sempat saya meredakan kebimbangan bonda.

Banyak pengalaman yang saya perolehi sewaktu tinggal bersama rakan yang beragama kristian ini. Mungkin di dalam posting akan datang saya akan ceritakan serba sedikit mengenainya. Barulah saya mengerti mengapa rakan-rakan kristian yang lain tidak mahu menerimanya sebagai rakan sebilik. Saya amat mengagumi cara beliau menghormati agama Islam termasuk ketika saya ingin bersolat. Kami sering juga berdialog untuk memahami agama masing-masing.

Apapun, saya bersyukur dilahirkan di dalam agama Islam dan saya berharap, bilhal yang saya tunjukkan dapat dilihat sebagai kecantikan dan keindahan Islam itu sendiri pada pandangan beliau.

Dunia Pendidikan

Alhamdulillah, sejak berada di alam pendidikan ini, banyak pengalaman baru yang saya perolehi. Menjadi guru yang mengajar muridnya adalah sesuatu yang mudah dan senang tetapi menjadi seorang guru yang mendidik muridnya adalah sesuatu yang sukar. Mengajar dan mendidik adalah 2 perkara yang berbeza dari segi pelaksanaannya.

Setelah menghabiskan pengajian di Uni Perdana hampir 3 tahun yang lepas, saya memilih untuk bekerja walaupun hati kecil sangat inginkan untuk meneruskan pengajian ijazah lanjutan. Bahkan saya telah memberitahu rakan-rakan perancangan ini sejak saya di tahun pertama namun perancangan Allah mengatasi perancangan manusia dan Allah sebaik-baik perancang.

Ketika mendapat peluang menjadi seorang guru pada tahun lepas, saya telah berbincang dengan keluarga dan orang-orang di sekeliling.

Kata bonda "Terserahlah, tapi kalau pendapat bonda yang anakanda inginkan, bonda lebih suka anakanada menerima tawaran itu", Adinda saya adalah orang yang paling gembira dengan tawaran ini. Masakan tidak, beliaulah yang bersungguh-sungguh meminta saya menjadi seorang guru sejak saya masih belajar, tapi tidak diendahkan.

Bos saya pula berkata "Keputusan di tangan awak, fikirkanlah, saya tidak akan menghalang kerjaya awak tapi untuk menjadi seorang guru saya galakkan kerana pahalanya besar..Doa anak murid sentiasa bersama kita" di dalam smsnya kepada saya walaupun beliau boleh berkata kepada saya secara berdepan.

Kata seorang lagi bos ku " bagus kalau awak terima kerana kerjaya mulia itu banyak pahala. tapi awak kena ikhlas". Saya amat menghargai pandangan-pandangan tersebut.

Sememangnya menjadi guru bukanlah sesuatu yang mudah jika ingin mendidik murid tetapi ia akan menjadi ringan jika semuanya dilakukan kerana Allah. Sabar merupakan senjata utama. Teringat seorang pegawai kesihatan yang datang mengadakan kempen anti merokok di sekolah, "cikgu memang mengikuti kursus untuk melatih kesabaran ke? saya yang mengendalikan ceramah 2 jam ni pun rasa xsabar nk hadapi kerenah mereka."

Saya hanya tersenyum mendengar kata-kata beliau.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails